Hot Stuff

Friday, April 23, 2010

::ALHAMDULLILAH..ana sudah BERTUNANG::


Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.


Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.


Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.


Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.


Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.


"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"


Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."


"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."


"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."


Ibu angguk perlahan.





Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh sanubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.


Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.



"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"



Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.


"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."


Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.




"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"




Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.


"Bila enti menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Insyirah, jom makan!"


Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.


"Tafaddal, ana puasa."


Sahabiah juga semakin galak mengusik.


"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"


"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

..........................
.............


"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."


"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."


"Ya Allah, tenangnya..."


"Moga Allah memberkatinya...."


Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.




Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.


Dalam sedar tidak sedar...




Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.


"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...


"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."


"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.


"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."


Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."


Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.




"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."


* Kisah ini bukan kisah ana (Insyirah), ianya kisah KITA (semua yang sedang membaca/tak) *

Mulai hari ini, jangan bersoal tika melihat ana memakai cincin. Kerana, ana sudah bertunang! Bertunang dengan kematian, tidak tahu bila ana akan dinikahkan dan tidak tahu bagaimana rezeki di malam pertama. Tetapi, sekurang-kurangnya apabila sudah dirisik dan bertunang, kita sama-sama akan mempersiapkan diri sebaik-baiknya walaupun bukan yang terbaik untuk hari pernikahan dengan KEMATIAN. Wallahua'lam.


Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.

Setidak-tidaknya, Insyirah (watak di atas) sudah 'membeli' baju pernikahannya... Untungnya Insyirah. (Cemburu! Cemburu! Cemburu!)
"sesungguhnya Allah maha adil..


Sunday, April 18, 2010

::Sebalik Pernikahan Itu::


SESIAPA saja mempunyai naluri ingin hidup berpasangan dengan pilihan hati masing-masing. Hanya melalui ikatan perkahwinan saja seseorang itu dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara yang halal.


Dalam Islam, hubungan yang dihalalkan melalui pernikahan itu bukan sekadar memenuhi hawa nafsu semata-mata tetapi ia adalah ibadah bertujuan melahirkan generasi dan zuriat soleh sebagai penyambung keturunan.Al-Quran menjelaskan pernikahan adalah untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah." (Surah al-Rum ayat 21).
Begitu indah perencanaan Allah yang menjadikan manusia melalui fitrahnya untuk hidup berkasih sayang bersama pasangannya.
Allah menciptakan manusia berpasang-pasangan agar manusia dapat hidup lebih teratur selain dapat berkongsi suka duka bersama.
Namun bukan mudah untuk memenuhi tuntutan sebagai pasangan suami isteri kerana perkahwinan perlu pengorbanan dan tanggungjawab.
Perkembangan dunia moden sekarang tidak menidakkan setiap orang amat mudah berjumpa dan mengenali 'calon berpotensi' untuk dijadikan teman hidup.

Malangnya, kebebasan dengan budaya berpasangan dibimbangi mengundang banyak masalah terutama aktiviti seks sebelum berkahwin.

Ramai bersetuju agar perkahwinan dipercepatkan. Kita mungkin biasa dengar ada yang mengatakan; "Kejar cita-cita dulu baru kejar cinta", "esok anak dengan bini kamu nak bagi makan pasir?" apabila menyatakan hasrat mahu mendirikan rumah tangga dalam keadaan belum bersedia.
Malah, ada beranggapan berkahwin pada usia muda mendatangkan pelbagai masalah. Lebih buruk, ia membabitkan campur tangan ahli keluarga bakal pasangan seperti adik beradik yang mempengaruhi keputusan ibu bapa dalam menyatakan soal sesuai atau tidak pasangan terbabit.
Bagaimanapun, ia terpulang kepada diri masing-masing yang membawa haluan. Yang penting mereka perlu bijak dan bersedia mental dan fizikal sebelum melangkah ke alam yang penuh dugaan dan tanggungjawab itu.
Perkahwinan dalam usia muda memang baik bagi mengelak perilaku sumbang pasangan yang sedang bercinta.

Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah. Tidak kira pada usia berapa pun, jika sampai jodoh dan ketentuan Ilahi, apa saja kehendak-Nya pasti akan berlaku.
Pada zaman dahulu, pasangan muda mendirikan rumah tangga dianggap perkara biasa, namun tidak pula pada zaman sekarang.
Ramai anak gadis menamatkan zaman bujang ketika usia belasan tahun. Mereka menganggap jika lambat kahwin nanti tidak 'laku' selain ibu bapa bimbang anak mereka melakukan perbuatan luar batasan.
Tidak dinafikan peluang melanjutkan pelajaran tidak seluas sekarang. Tidak hairanlah anak gadis di zaman dulu tamat saja persekolahan peringkat menegah terus mendirikan rumah tangga.
Mereka dinilai jika pandai melakukan kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah dan menjaga adik-beradik sudah dikira layak untuk berkahwin.
Hari ini ramai menyambung yang pengajian ke peringkat lebih tinggi dan mahu mengecapi kejayaan dahulu sebelum memikirkan soal perkahwinan.
Pujian dan galakan perlu diberikan kepada mereka yang 'berani' meninggalkan keseronokan hidup membujang dengan membuat keputusan untuk berkahwin muda.
Sesetengah pihak beranggapan remaja berusia bawah 20 tahun masih 'mentah' untuk mengharungi kehidupan berumahtangga.
Tetapi, perasaan itu pasti bertukar apabila mereka sudah mengalami sendiri pengalaman memikul tanggungjawab sebagai suami isteri.
Jika ditentukan kita berkahwin dalam usia muda, mungkin itu jalan terbaik yang Allah tentukan untuk kita.

Perkahwinan pada usia muda adalah cabaran besar kerana ia membabitkan sensitiviti, emosi serta perasaan cemburu tidak kiralah suami atau isteri.
Justeru, perlu wujud persefahaman dalam memahami keperluan masing-masing. Bagi pasangan yang bercadang mendirikan rumah tangga pada usia muda, kisah puteri kesayangan Rasulullah, Fatimah az-Zahra serta Saidina Ali boleh dijadikan contoh.
Ketika berkahwin, Fatimah berusia 18 tahun yang mendapat bekas air diperbuat daripada kulit, sebuah kendi tanah, sehelai tikar dan batu penggiling jagung sebagai mahar daripada ayahnya.

Nabi juga pernah berkata kepada puterinya, "Anakku, aku menikahkanmu dengan lelaki yang kepercayaannya lebih kuat dan lebih tinggi daripada yang lainnya, dan seorang yang menonjol dalam hal moral dan kebijaksanaan." Fatimah melaksanakan tugasnya sebagai isteri seperti mengambil air telaga dan menggiling jagung manakala Ali pula keluar bekerja mencari nafkah.
Mereka terkenal dengan budi pekerti tinggi dan bersifat dermawan. Fatimah meninggal dunia di sisi Ali dan anaknya ketika berusia 28 tahun iaitu enam bulan selepas kewafatan Rasulullah.
Rasulullah pernah menyatakan, Fatimah akan menjadi 'ratu segenap wanita di syurga'. Ada kaum lelaki dan ada pula kaum perempuan. Begitulah unik dan rahmat Allah menjadikan alam ini untuk hamba-Nya renungi.
Sebab itu, Rasulullah memberi bimbingan kepada manusia agar memilih pasangan atas empat perkara iaitu kecantikan, keturunan, kekayaan dan agamanya.
Namun, lebih utama dari empat perkara berkenaan adalah agama yang menjadi tunjang kepada kebahagiaan rumah tangga yang dibina.
Pernikahan adalah alat mencipta keluarga bahagia. Ia bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat semata-mata tetapi pengisian nilai agama sangat penting dalam membentuk keluarga yang harmoni.
Ekonomi kukuh, mengenali pasangan dengan lebih rapat, kesabaran serta persediaan psikologi adalah persediaan penting dalam mengharungi cabaran alam rumah tangga.

Kisah seorang bapa mengahwinkan anak perempuannya yang berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun di Kelantan baru-baru ini boleh dijadikan iktibar kerana ia tersasar menjadikan Sunnah nabi sebagai contoh.
Bayangkan bagaimana seorang budak yang berumur bawah 12 tahun yang mungkin belum matang boleh menjalankan melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dalam mengurus rumah tangga dan menjaga kebajikan suaminya.
Maka, sesiapa yang mampu dan bersedia untuk berkahwin elok mereka segera berbuat demikian. Kalau hendak difikirkan soal duit, sampai bila-bila pun ia sentiasa tidak mencukupi. Allah sudah menjanjikan pelbagai nikmat dan ganjaran bagi mereka yang melakukan ibadah kahwin ini.
Hadis Rasulullah yang diriwayatkan Imam Al-Bukhari mengatakan bahawa: "Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah ia berpuasa kerana puasa adalah penahan hawa nafsu...."
Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Saad, berkata perkahwinan perlu dirancang kerana ada perbezaan hukum kahwin iaitu harus, sunat, wajib bahkan haram.

"Perlu lihat kemampuan untuk menguruskan tanggungjawab selepas kahwin. Kebaikan kahwin awal dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan salah laku nafsu disamping mempercepatkan kematangan.

"Keburukan kahwin awal adalah akan wujudnya hubungan 'fragile' jika sebarang masalah tidak dapat diurus dengan baik," katanya.

Rahimi berkata perkahwinan adalah jalan keluar bagi menghalalkan hubungan tetapi kemampuan melaksanakan tanggungjawab itu tidak terletak pada umur tetapi terletak pada sikap serta kematangan.

"Kerana itu penilaian terhadap kemampuan untuk membina rumah tangga perlu dilihat secara menyeluruh.

"Tidak dinafikan bahawa keselesaan (bukan kemewahan) hidup penting dalam kehidupan rumah tangga. Jadi, kos untuk mewujudkan keselesaan hidup berbeza antara dulu dan sekarang," katanya.

Beliau berkata berkenaan rezeki selepas berkahwin tidak perlu dirisaukan kerana Allah memberi jaminan terhadapnya.
"Bab rezeki memang tidak perlu dibimbangi kerana itu adalah jaminan Allah kepada hamba-Nya tetapi kita perlu berusaha mencari nafkah buat keluarga," katanya.

Mengulas mengenai kes di mana seorang kanak-kanak perempuan dipaksa berkahwin dengan rakan bapanya sebagai mengikut sunnah nabi, Rahimi berkata itu perbuatan orang yang faham sunnah tidak menyeluruh.
"Individu berkenaan hanya mempelajari ilmu sekerat saja. Justeru, kepada yang berhajat berkahwin muda pastikan kita berjumpa dengan pasangan benar-benar diyakini.

"Mintalah ibu bapa faham dan menyokong usaha kita pada peringkat awal perkahwinan. Carilah pasangan yang dapat membahagiakan kita di dunia dan akhirat selain restu keluarga," katanya

PETIKAN HARIAN METRO

Friday, April 16, 2010

::Dikala HIDAYAHNYA hadir buatmu::



Dikala malam yang heningi,dikala kesejukan menusuk kalbu..di saat mata dicengkam rasa mengantuk,fikiran diundang mimpi indah..pasti mampu menggugat keinginan seseorang untuk menunaikan ibadah tatkala 1/3 malam..namun itu semua hanyalah alasan semata2..nikmat dunia sementara..bagi seorang hamba Allah yang sentiasa menyerahkan dirinya pada Yang Maha Esa..seorang pemuda yang tidak lekang menyuarakan puji-pujian kepada Yang Maha Besar..Allah Pencipta Sekalian Alam..bahkan dirinya juga..sesekali kedengaran rintihan pemuda memohon keampunan Ilahi diatas dosa-dosanya yang lampau..terkenang kembali kesalahan..betapa bebasnya pergaulan dalam meniti kehidupan yang penuh dugaan..menduga kekuatan iman..ternyata dahulunya dia gagal mempertahanksan keutuhan iman didada..kehidupannya diulit kesenangan dunia..enjoy ur life  semata-mata..dihalalkannya
 sesuatu yang sememangnya haram..mengusap lembut tangan gadis yang bukan muhrim baginya..membelai akan rambut si gadis yang turut lalai dalam perbuatannya,,berkata-kata 
kesat dia terhadap sahabat-sahabatnya sendiri..biarpun dalam nada bergurau...menghabiskan waktunya,.leka..memandang remeh akan perihal agama..sekejap diingatinya,sekejap dia lupakan..dibuat ingat-ingat lupa akan tanggungjawabnya menegakkan syariat Islam..dimusuhi saudara islamnya kerana menasihati akan tingkah lakunya yang tersimpang dari kebenaran..diherdik..sengaja dia menjauhi perjuang agama Islam..pembela agama dihina..diperlinya dia tanpa sedar kesilapan sendiri....lalu dia membiarkan dirinya hanyut dalam kesesatan..segala harta dimiliki disalahgunakan..lupa dia menginfakkan rezekinya pada jalan Allah Yang Maha Pemurah,biarpun secubit garam..melibatkan diri dalam kancah maksiat..serta kerja yang sia-sia..bangganya dirinya digelar samseng jalanan..bangga memegang status anak jantan.''jantan'' gelaran yang kasar seolah sekadar menunjuk kemegahan..sedangkan tiada yang dapat dibanggakan akan menjadi jantan,melainkan SEORANG LELAKI..kerana lelaki mampu menjadi lelaki berani..bahkan tersematnya sifat penyayang ,pemurah dan sebagainya..



Namun...kini semuanya berubah...hidupnya mulai merasa kosong..umpama keringnya air di lautan yg luas terbentang...harta yang ada,hilang tanpa dia sedari kemana pergi...rakan-rakan yang sentiasa menemani dikala senang hilang dari pandangan....fikiran..mulai kebuntuan,pintu rezeki seolah-olah tertutup..hilang mata pencarian....dirinya mulai terasa dipinggirkan..keluarga seolah-olah membenci dirinya...perasaan menjadi gundah gulana..fikiran berkecamuk..masalah mulai menimpa tanpa henti..akal fikiran dirasai mati....ilmu didada berlalu pergi tanpa menoleh kembali.....merasa bingung mencari sebab-musababnya....lalu berjalan dia cuba mencari ketenangan..sedangkan dirinya lupa ketenangan diperolehi dari keredaan Ilahi..dari ibadah yang dikerjakannya..
Berjalan...dia sendirian..tanpa seorang teman bual bicara meluahkan segala duka..sekali lagi dirinya lupa sesungguhnya Allah Maha Mendengar..mengorak langkah demi selangkah..di tepian pantai yang indah..cuba mencari biarpun sekelumit rasa                                                             bahagia..diusap angin bayu seindah bahasa..terus melangkah..dan melangkah..butiran pasir menjadi hamparan perjalanan..namun semuanya sia-sia belaka....................
.sehinggalah...berkumandangnya laungan azan.....dikala petang...menandakan...tibanya waktu asar......mendengar laungan azan tersentak rasa di dada..tersedar si pemuda..timbul keinsafan....bersinarnya kebahagiaan...itulah jawapan yang cuba dirungkaikan sekian waktu yang berlalu.....terkedu rasa..sebak dan hiba...terduduk dirinya di atas hamparan pantai memutih tanpa sedikit kotoran tidak seperti hidupnya yang penuh kegelapan.....menadah kedua-dua belah tangannya pemberian Ilahi....seraya memohon keampunan kerana betapa dia lalai!!! leka!!!hidupnya bergelumang dosa!!! lupa diri kepada Pemelihara seluruh alam...melebihkan dunia yang sementara....tanpa sedar betapa hidup perlunya bersederhana....bertapa hukum Ilahi..tidak boleh dipandang mudah mahupun remeh semata ..''''alah..aaah..biasa lar..ramai dah wt''',,..kata-kata yang dilontarkan tatkala teguran disuarakan, diatas kesalahan yang dilakukan...kata-kata itulah yang menjadi pengundang kemudaratan.....
kini..dirinya sedar...insaf...ahli-ahli agama..menjadi pendamping..wuduk menjadi penyeri wajah..Al-Quran menjadi panduan...Agama Islam dirangkul erat..pegangan sehingga AKHIRAT..Rasulullah dikasihi,menjadi idola....ALLAH DICINTAI segenap jiwanya..


Wednesday, April 14, 2010

::Indahnya sebuah kemaafan::



Aku hanya ingin memberitahumu, kata “maaf” tak selalu memberi kedamaian. Kata “maaf” tak selalu membuat kita merasa lega setelah mengucapkan ataupun mendengarnya. Apa kamu tahu bahwa kata “maaf” adalah kata-kata yang sulit untuk diungkapkan?

A yat diatas membuktikan bertapa sukar untuk mengunkap kata maaf dan memberi kemaafan.Bukan mudah untuk memaafkan sesorang yang membuat salah pada kita,tetapi sebenarnya di sebalik maaf itu ada indah 
nya..

Langkah-langkah:
1. Fikirkan apa yang telah berlaku dan perbuatan apa yang anda mahu dimaafkan.
2. Tuliskan perkara tersebut; ini akan membantu anda mengatur idea dan meredakan ketegangan perasaan anda.
 3. Berlatih perkara yang anda hendak cakapkan sehingga anda merasa selesa dengannya.
4. Nyatakan dengan jelas perbuatan yang anda mahukan kemaafan.
5. Mengakui perbuatan anda tanpa mengemukakan sebarang alasan.

6. Berkongsi perasaan anda mengenai apa yang telah terjadi - elakkan daripada menyalahkan orang lain, membesar-besarkan cerita atau menyebut kata-kata yang sia-sia.

7. Mendengar respon daripada orang berkenaan tanpa mempertahankan diri.

8. Tawarkan diri untuk memperbaiki keadaan sekiranya sesuai.

9. Teruskan kehidupan. Apabila anda telah meminta maaf, lupakannya dan biarkan ia berlalu.

 Panduan-panduan:

* Fikirkan bahawa memohon kemaafan itu sebagai satu komitmen terhadap perhubungan dan bukannya satu kelemahan diri.

* Ikhlas. Meminta maaf terhadap perkara-perkara yang anda benar-benar berasa bertanggungjawab terhadapnya; jangan meminta maaf hanya semata-mata untuk menjernihkan suasana.

* Beri masa kepada orang berkenaan untuk menenangkan perasaannya - jangan berasa tawar hati sekiranya anda tidak dimaafkan sepenuhnya pada masa anda meminta maaf.

Bagaimana 'Maaf' Dalam Pandangan Islam?

Setiap manusia pernah melakukan kesalahan. Kesalahan, kekhilafan adalah fitrah yang melekat pada diri manusia.

Rasulullah saw bersabda: "Setiap manusia pernah melakukan kesalahan, dan sebaik-baik pelaku kesalahan itu adalah orang yang segera bertaubat kepada Allah SWT".

Ini bererti bahwa manusia yang baik bukan orang yang tidak pernah berbuat salah, sebab itu mustahil kecuali Rasulullah SAW yang ma’shum (sentiasa dalam bimbingan Allah SWT). Tetapi, manusia yang baik adalah manusia yang menyedari kesalahannya dan segera bertaubat kepada-Nya. Dalam Islam, mampu memaafkan kesalahan orang lain merupakan salah satu ciri orang yang bertaqwa (muttaqin).

Allah SWT berfirman: "Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu, Allah menyediakan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. Yaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya baik diwaktu lapang atau sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain, Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan."
(QS. Al-Imran: 133-134).

Ibnu Qudamah dalam Minhaju Qashidin menjelaskan bahawa makna memberi maaf di sini ialah sebenarnya engkau mempunyai hak, tetapi engkau melepaskannya, tidak menuntut qishash atasnya atau denda kepadanya. Quraish Shihab dalam Membumikan Al-Quran menjelaskan: Kata maaf berasal dari bahasa Al-Quran alafwu yang berarti "menghapus", iaitu yang memaafkan menghapus bekas-bekas luka di hatinya. Bukanlah memaafkan namanya, apabila masih ada tersisa bekas luka itu didalam hati, bila masih ada dendam yang membara.

Boleh jadi, ketika itu apa yang dilakukan masih dalam tahap "masih menahan amarah". Usahakanlah untuk menghilangkan noda-noda itu, sebab dengan begitu kita baru boleh dikatakan telah memaafkan orang lain. Islam mengajak manusia untuk saling memaafkan. Dan memberikan posisi tinggi bagi pemberi maaf. Kerana sifat pemaaf merupakan sebahagian dari akhlak yang sangat luhur, yang harus di ikuti bagi seorang Muslim yang bertakwa.

Allah swt berfirman: "...Maka barang siapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya atas tanggungan Allah."
(Q.S.Asy-Syura : 40).

Dari Uqbah bin Amir, dia berkata:
"Rasulullah SAW bersabda, "wahai Uqbah, bagaimana jika ku beritahukan kepadamu tentang akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling utama? Hendaklah engkau menyambung hubungan persaudaraan dengan orang yang memutuskan hubungan denganmu, hendaklah engkau memberi orang yang tidak mahu memberimu dan maafkanlah orang yang telah menzalimimu."
(HR.Ahmad, Al-Hakim dan Al-Baghawy).

Al-Quran memang menetapkan, bahawa seseorang yang diperlakukan secara zalim diizinkan untuk membela diri tapi bukan didasarkan balas dendam. Pembelaan diri dilakukan dengan penuh simpati seraya menunjukan perangai yang luhur, bersabar, memaafkan dan toleran. Ketika Matsah yang dibiayai hidupnya oleh Abu Bakar menyebarkan gosip yang menyangkut kehormatan puterinya, Aisyah yang juga isteri Nabi.
Abu Bakar bersumpah tidak akan membiayainya lagi. Tapi, Allah melarangnya sambil menganjurkan untuk memberika maaf dan berlapang dada.

(Q.S. an-Nur : 22). Dari ayat ini ternyata ada tingkatan yang lebih tinggi dari alafwu (maaf), aitu alshafhu. Kata ini pada mulanya bererti kelapangan. Darinya dibentuk kata shafhat yang bererti lembaran atau halaman, serta mushafahat yang bererti berjabat tangan. Seorang yang melakukan alshafhu seperti anjuran ayat diatas, dituntut untuk melapangkan dadanya sehingga mampu menampung segala ketersinggungan serta dapat pula menutup lembaran lama dan membuka lembaran baru.

AlShafhu yang digambarkan dalam bentuk jabat tangan itu, menurut Al-Raghib al-Asfahaniy "lebih tinggi nilainya" dari pada memaafkan. Dalam alshafhu dituntut untuk membuka kembali lembaran baru dan menutup lembaran lama." Let’s gone be by gone (yang lalu biarlah berlalu) bangunkan kembali masa depan dengan semangat yang baru. Kita selalu lupa, hanya kerana kesalahan yang telah dibuat orang lain, kita melupakan semua kebaikan yang pernah dibuatnya. Untuk itu, kita juga harus memperlakukan semuanya secara seimbang.

Yang terbaik buat kita hari ini adalah bersama-sama bangun kembali dengan semangat baru, ketulusan hati dan semangat persaudaraan. Jangan ada yang berkata: "Tiada maaf bagimu". Ahli hikmah mengatakan: Ingatlah dua hal dan lupakanlah dua hal. Lupakanlah kebaikanmu kepada orang lain dan lupakanlah kesalahan orang lain kepadamu.
Wallahu a’lam..

Friday, April 9, 2010

:: Bezamu Ar-Rijal Denganku Nissa::


..::AR RIJAL::..
Lelaki menanggung dosa sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis yang belum bernikah ditanggung oleh bapanya. Lelaki berkahwin menanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh.BERATKAN???
Hukum menjelaskan anak lelaki bertanggungjawab ke atas ibunya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggung jawabnya, maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua.Berlainan kepada perempuan , perempuan hanya perlu taat kepada suaminya. Sekiranya seorang isteri berbuat baik kepada suaminya maka pahala akan dapat kepadanya dan jikalau berbuat yang tidak baik dosanya ditanggung oleh suaminya.
BERATKAN???

Suami diwajibkan memberi nafkah kepada isteri namun tidak bagi seorang isteri walaupun isteri boleh membantu. Haram bagi suami bertanyakan mengenai pendapatan isteri lebih-lebih lagi jika menggunakan pendapatan isteri tanpa izin.Dan jika dilihat banyak lagi amanah dan tanggungjawab yang Allah kurniakan kepada insan yang bernama lelaki, lebih-lebih lagi kepada mereka yang bergelar "zauj". Mengikut kajian yang dilakukan juga,nyawa seorang wanita lebih panjang daripada seorang lelaki, mungkinkah kerana bebanan dan amanah yang dipikul ini begitu berat untuk dilaksanakan? atau mungkin kerana memikikirkan beratnya dosa-dosa yang terpaksa ditanggung.
TETAPI seorang lelaki ada keistimewaan-keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT.

...::NISSA::...
Auratnya lebih susah dijaga berbanding lelaki.Perlu meminta izin dari suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya.Saksinya kurang berbanding lelaki.Menerima pusaka kurang dari lelaki.Perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak.Wajib taat kepada suaminya tetapi suami tidak perlu taat kepada isterinya.Talak terletak di tangan suami dan bukan isteri.Wanita kurang dalam beribadat kerana masalah haid dan nifas yang tidak ada pada lelaki.Pernahkah kita lihat sebaliknya??Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang tersorok dan selamat. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiar bersepah-sepah bukan? Itulah bandingannya dengan seorang wanita. Wanita perlu taat kepada suami tetapi lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapanya. Bukankah ibu adalah seorang wanita ?Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya , manakala lelaki menerima pusaka perlu menggunakan hartanya untuk menyara isteri dan anak-anak.Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala haiwan, malaikat dan seluruh makhluk ALLAH di mukabumi ini, dan matinya jika kerana melahirkan adalah syahid kecil. Manakala dosanya diampuni ALLAH swt (dosa kecil).

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap 4 wanita :
1. ibunya
2. isterinya
3. anak perempuannya
4. saudara perempuannya.

Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 org lelaki ini :
1. suaminya
2.ayahnya
3. anak lelakinya
4. saudara lelakinya

Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yg disukainya cukup dengan 4 syarat sahaja iaitu dengan :
1. sembahyang 5 waktu
2. puasa di bulan Ramadhan
3. taat kepada suaminya
4. menjaga kehormatannya

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi seorang wanita yang taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH akan turut menerima pahala seperti pahala orang yang berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata. MasyaALLAH,sayangnya ALLAH pada wanita!

Seorang wanita adalah pelengkap dan sememangnya istimewa di sisi seorang lelaki tetapi ingatlah wahai lelaki,kamu sebenarnya adalah istimewa disisi Allah, maka dengan sebab itu DIA mengangkat kamu menjadi pemimpin.
SUBHANALLAH

Wednesday, April 7, 2010

::Engkau Telah Pergi Dengan Cintamu::

 Assalamualaikum....  Pagi tadi  tercari-cari lagu nasyid yang ana inginkan dekat youtube...Ana terbuka video ni,memang simple dan tidak ada yang menarik berkenaan video ini, tapi apa yang di sampai lebih menarik dari video yang bergambar dan kalau betul-betul menghayati kalian pasti akan menangis...

















   Bertapa dalamnya cinta baginda Rasulluah terhadap umatnya.Sehingga disebut tentang hak-haknya di syurga baginda masih cemas,cemaskan siapa??  Baginda cemaskan umat baginda!umat yang hari ini dalam kejatuhan dalam kehancuran..umat yang tidak pernah memikirkan langsung tentang  nasib dirinya..

  Kalian mengaku mencintai Rasulluah,tetapi apa bukti kalian mencintai Rasulluah?? Al-quran dan As-sunnah yang baginda tinggalkan berapa ramai yang amal dan pertahankan?? Kerana cinta baginda terhadap umatnya disaat-saat akhir baginda bertanya malaikat Jibril ,
Khabarkan kepadaku,bagaimana nasib umatku kelak??,
lalu Jibril menjawab,Jangan khuatir wahai Rasulluah,aku pernah mendengar ALLAH berfirman kepadaku: Ku haramkan syurga bagi siapa saja kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya;kata Jibril..

Ya Allah!! sakitnya nian maut ini,timpakan saja semua seksa maut ini kepadaku, jangan kepada umatku...Rasulluah sanggup lalui sakitnya maut,ditanggung sendirian oleh baginda untuk umatnya,agar umatnya tidak merasai sakitnya maut itu...demi umat tercinta baginda snggup berkorban...dan ucapan terakhir yang keluar dari bibir baginda di saat nyawa di penghujungnya... adalah umattti.....umattti....umatttiiii....

Sama-samalah kita renungkan...apakah kita umat yang menghargai cinta dan pengorbanan baginda??tepuk dada tanya iman...sekadar perkongsian..Ana ingatkan untuk diri ana sendiri dan kalian semua...

Monday, April 5, 2010

::Dosa Pembuat Fitnah::


HATI adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan nikmat paling agung diberikan Allah sebagai titik untuk menilai keikhlasan. Di hati lahirnya niat yang menjadi penentu sesuatu amalan diterima sebagai pahala atau sebaliknya.
Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik supaya tidak rosak, sakit, buta, keras dan tidak mati bagi mengelak penyakit masyarakat yang berpunca daripada hati.
Kerosakan pada hati membawa kepada kerosakan seluruh nilai hidup pada diri seseorang individu. Penyakit hati yang menyerang kebanyakan kita ialah penyakit fitnah, sama ada menjadi penyebar atau mudah mempercayai fitnah.
Perbuatan fitnah adalah sebahagian perbuatan mengadu-domba yang mudah menyebabkan permusuhan dua pihak yang dikaitkan dengan fitnah berkenaan.
Masyarakat yang dipenuhi budaya fitnah akan hidup dalam keadaan gawat. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah itu.
Natijah akibat perbuatan itu boleh mencetus persengketaan dan mungkin berakhir dengan tragedi kerugian harta benda dan nyawa. Individu yang suka menyebar fitnah sentiasa mencari kejadian atau berita boleh dijadikan bahan fitnah.
Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan dengar khabar mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar.

Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.

Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah.

Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya? Rasulullah bersabda lanjut: Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya. (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain. (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.

Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu.

Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.

Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu.

Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah. Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.

Sunday, April 4, 2010

::Untukmu Sayap Kiri Perjuanganku::




Assalamualaikum wrt. wbt.

Untukmu, Bakal isteriku..

Tangan ini mula menulis apa yang telah dikarangkan oleh hati ini di dalam kalbu. Aku mula tertanya-tanya adakah aku sudah seharusnya mula mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai oleh nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya. Acap kali aku mendengar bahawa ungkapan "Kau tercipta untukku."

Aku awalnya kurang mengerti apa sebenarnya erti kalimah ini kerana diselubungi jahiliyah. Rahmat dan hidayah Allah yang diberikan kepada diriku, baru kini aku mengerti bahawa pada satu hari nanti, aku harus mengambil satu tangungjawab yang sememangnya diciptakan khas untuk diriku, iaitu dirimu. Aku mula mempersiapkan diri dari segi fizikal, spiritual dan juga intelektual untuk bertemu denganmu.



Aku mahukan pertemuan kita yang pertama aku kelihatan 'sempurna' di hadapanmu walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan diri ini. Aku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab yang harus aku galas ketika dipertemukan dengan dirimu. Aku cuba membataskan perbicaraanku dengan gadis lain yang hanya dalam lingkaran urusan penting kerana aku risau aku menceritakan rahsia diriku kepadanya kerana seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana dirimu adalah sebahagian dariku dan ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala zahir dan batin diriku ini.



Aku khuatir amalanku bukan sebulatnya untuk Rabbku tetapi untuk makhluknya. Aku memerlukan dirimu untuk menghindari fitnah ini. Aku khuatir kurangnya ikhlas dalam ibadahku menyebabkan diriku dicampakkan ke neraka meninggalkan kau seorang diri di syurga. Aku berasa bersalah kepada dirimu kerana khuatir cinta yang hak dirimu akan aku curahkan kepada wanita lain. Aku sukar untuk mencari dirimu kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca menyilau. Tetapi aku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanam dalam diri kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehkan diriku. Sukar untuk mencari solehah dirimu andai solehku tidak setanding dengan ke’solehah’anmu. Janji Allah pasti kupegang dalam misi mencari dirimu. "Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik."

Jiwa remaja ku ini mula meracau mencari cinta. Matang kian menjelma dan kehadiran wanita amat terasa untuk berada di sisi. Setiap kali aku merasakannya, aku mengenangkan dirimu. Di sana engkau setia menunggu diriku, tetapi di sini aku curang kepadamu andai aku bermain dengan cinta fatamorgana. Sampaikan doamu kepada diriku agar aku dapat menahan gelora kejantananku disamping aku mengajukan sendiri doa diperlindungi diri.



Bukan harta,rupa dan keturunan yang aku pandang dalam mencari dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih antara kita. Saat di mana aku bakal melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar mencipta keserasian diantara kita kerana itu pesan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah delima tetapi cukup cuma akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi.


"Kahwinilah isteri kerana empat perkara; keturunan, harta, rupa dan agama. Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal.” Jika aku dipertemukan dengan dirimu, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum masanya. Akan ku jadikan syara’ sebagai pendinding diri kita. Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu. Biarlah kita mengikuti nenek moyang kita, Nabi Adam dan Siti Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin. Doakan diriku ini agar tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencari dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku.

Dariku, Bakal suamimu.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...