IBU,aku menantimu DI SANA….
Bulan ini,sudah hampir sembilan bulan aku dikandung ibu dan dibawa ke sana ke mari. Rasanya, sudah tidak sabar lagi untuk aku keluar melihat dunia. Aku sering mendengar cerita ibu tentang keindahan dunia. Betapa cantiknya alam ciptaan Tuhan ini. Dan yang paling aku nantikan, ialah menatap wajah ibuku.
Ah! Sebulan ini bagaikan setahun rasanya bagiku.
Masa yang aku nantikan akhirnya tiba jua. Dengan payah, dengan jerit tangis dan sakitnya, akhirnya aku dilahirkan. Sebaik keluar,aku menjerit dan menangis ketakutan. Bilik kecil itu begitu asing bagiku. Aku berasa begitu takut apabila melihat dunia.
Tiba-tiba, aku dipeluk oleh seorang manusia seperti aku. Aku membuka mata dan mengerling kearah menusia itu. Oh! Inilah ibu. Ibu yang mengandungkan aku dengan susah payah selama sembilan bulan. Cantik orangnya. Apabila ibu mendakapku, terasa aman jiwa ini. Aku berhenti daripada menangis. Aku begitu selesa berada di dalam dakapan ibu.
Aku memerhati sekeliling. Ayah, di mana ayah? Aku ingin menatap wajah ayah. Tapi ayah tiada. Ibu sebaliknya memberikan aku kepada seorang wanita lain. Aku tidak tahu siapa wanita itu, lalu aku kembali menangis. Lantas wanita itu menyuapkan aku sebotol susu dan aku menghisap semahu-mahunya.
Tidak lama kemudian, aku melihat ibu bersiap-siap. Ibu….ibu mahu ke mana? Ibu tidak menjawab pertanyaanku itu, sebaliknya berlalu keluar dari bilik itu bersama wanita lain yang sedang mendukungku ini.
Aku menjadi pelik, kenapa ibu tidak mahu mengendong aku. Bukankah aku ini anaknya? Selama sembilan bulan aku menunggu untuk menatap wajahmu ibu,kenapa tiba-tiba ibu bersikap dingin terhadapku?
Kemudian, ibu dan wanita itu menaiki sebuah kereta. Ibu memelukku erat, matanya tepat memandang ke wajahku. Mataku dan mata ibu bertentangan. Terasa begitu bahagia apabila aku menatap wajahmu ibu…
Aku melihat sekeliling. Gelap. Ada bulan di atas sana dan sekelilingnya berkelip-kelipan jutaan butir bintang. Alangkah indahnya dunia ini. Mungkin inilah yang ibu katakan sebagai malam.
Sedang aku mengelamun, tiba-tiba kereta yang aku naiki bersama ibu berhenti di sebuah taman permainan kanak-kanak. Wanita itu kemudiannya mengambil aku dari pangkuan ibu. Aku kembali menangis. Entah kenapa, aku benar-benar tidak selesa dengan wanita itu.
Aku memandang wajah ibu dengan tangisan dan teriakku. Namun,ibu hanya melihat aku dengan pandangan yang sayu. Kemudian dia berpaling kearah lain. Wanita itu membawa aku pergi, lantas meletakkan aku di atas tanah yang berumput, bersebelahan dengan tong sampah yang hapak baunya.
Aku menangis dan menjerit. Kenapa letakkan aku di sini! Aku mahu kembali ke pangkuan ibuku! Mana ibuku?
Ibu,aku takut! Aku menjerit sepuas-puas hati,namun tangisan aku hanya sia-sia. Ibu dan wanita itu telah meninggalkan aku seorang diri.
Ibu! Kenapa kau tinggalkan aku di sini? Di sini bukanlah tempat seorang bayi seperti aku ini. Bukankah aku sepatutnya dibelai dan dimandikan, lalu diberikan pakaian untuk menutup tubuh ini?
Semut-semut merah yang bias berkeliaran itu mula merayapi tubuhku. Seekor daripadanya menggigit tubuhku yang masih dipenuhi darah. Aduh! Ibu…sakit ibu,sakit!
Aku terus meraung apabila semut-semut itu menggigit tali pusatku. Ia kemudian menggigit pula bibirku. Aduh, aku tidak tertahan lagi. Aku cuba menepis semut-semut merah yang mula menyerang telinga, kaki, tangan dan seluruh tubuhku, tetapi tidak berdaya. Tanganku ini terlalu kecil dan lemah.
Aduuhh….ibuuuu!!! aku menangis kesakitan, tetapi ibu tidak juga datang membawaku pergi.
Waktu berlalu, akhirnya aku menjadi lesu sendiri. Aku tidak punya suara lagi untuk menangis dan aku tidak berdaya lagi menepis semut yang semakin ganas menggigit tubuhku ini. Aku juga tidak berminat lagi untuk melihat kegelapan malam dan bulan yang terapung di langit.
Ibu….aku sayangkanmu, ibu. Aku tidak sabar-sabar untuk lahir ke dunia, semata-mata untuk menatap wajahmu ibu, tapi ini yang kau lakukan padaku.
Langit beransur cerah, matahari muncul dan cahayanya kian terik. Tersa aku sudah tidak mampu lagi untuk menghembuskan nafas ini. Tekakku luka kerana semalaman aku menangis memanggil namamu ibu, kini, aku benar-benar lemah. Sisa nafas hanya tinggal di tenggorokku.
Telingaku tiba-tiba terdengar suara-suara manusia di sekelilingku. Kemudian aku diangkat dan dipeluk oleh seseorang, lalu membawa aku pergi dari situ.
Namun, aku sudah tidak lagi bersemangat untuk hidup. Aku tidak lagi menjerit dan menangis. Aku sudah tidak mahu lagi melihat dunia ini. Aku juga tidak mahu lagi menatap wajah ibuku.
Ibu, biarlah aku pergi, kalau itu yang engkau inginkan.
Hanya satu yang ingin aku tanyakan padamu ibu…tidakkah engkau takut kepada Tuhan yang menjadikan diriku dan dirimu? Tidakkah engkau tahu, bahawa anak adalah satu kurniaan yang paling besar dari Tuhan buat hamba-Nya? Aku berdoa, semoga Tuhan mengampuni segala dosa-dosamu ibu.
Aku tahu, sebentar lagi aku akan kembali ke pangkuan Tuhan. Aku akan bertemu dengan dua lagi abangku yang pernah dibuang sebegini oleh ibu. Nanti, aku akan mendengar pula kisah sedih abang-abangku yang senasib dengan diriku ini.
Terima kasih ibu,kerana melahirkan aku. Terima kasih juga kerana membuangku. Tunggu, aku akan menunggu ibu ‘di sana’ nanti”..