Hot Stuff

Showing posts with label suami dan isteri. Show all posts
Showing posts with label suami dan isteri. Show all posts

Saturday, January 21, 2012

:: Menghadapi Ribut Rumah Tangga ::


Oleh : Ahmad Faiz Muhamad Sabri
Sumber : I Luv Islam

Fikir Sejenak
Apabila kita sedang marah, kita perlu tanya pada diri "Mengapa aku marah?", dan perlu fikir akan jawapannya. Dalam konteks rumahtangga, apabila kita marah, sebabnya ada 2 kemungkinan:
1.      Marah disebabkan perkara lain
2.      Marah kepada suami/isteri

Mungkin marah disebabkan perkara lain.
Pernah dengar kisah 'Siapa yang menendang kucing itu'? Seorang pekerja lelaki dimarahi oleh bosnya di pejabat. Lelaki tersebut cuba pertahankan bahawa bukan dia yang melakukan kesalahan. Maka lelaki tersebut pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang, jalan pula sesak. Tambah pula ada pemandu lain yang memandu secara tidak berhemah. Setibanya di rumah, si isteri menjemput dengan wajah ceria. Namun fikiran si suami masih berserabut, tidak dapat membalas ceria sapaan isteri. Maka suami terus mencari kerehatan, meninggalkan isteri. Isteri pula terasa hati. Sudah tidak ceria. Si anak pula meminta izin ibunya untuk pergi keluar bermain. Ibu tidak membenarkan, si anak masam mencuka. Dilihatnya si kucing, ditendangnya akan kucing itu. Maka, siapakah yang menendang kucing itu?
Kisah ini sebagai contoh umum, dan wataknya berubah-ubah dalam kehidupan realiti. Propagasi marah boleh berlaku, dan mungkin natijahnya lebih buruk daripada seekor kucing ditendang.
Maka satu perkara atau ciri yang perlu ada pada diri kita agar propagasi gelombang marah tidak berlaku atau dapat dihentikan adalah kemampuan mengawal diri (self-control). Kemampuan mengawal diri ini adalah hasil daripada penimbaan ilmu dan pengamalan kita tentang aspek-aspek akhlaq Islamiyyah.
Firman Allah Ta'ala:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
(Ar-Ra'd:11).

Kita marah disebabkan kesalahan suami/isteri.
Adakah dia memang bersalah?
Atau mungkin disebabkan salah faham antara suami isteri, yang tidak tahu tentang perbezaan lelaki dan wanita dalam keperluan perasaan, berfikir dan bertutur?

Lelaki dan wanita, berbeza dalam keperluan perasaan, berfikir, bertutur, memahami, reaksi, cara memberi kasih sayang. Seolah-olah mereka menuturkan bahasa yang suami/isteri tidak dapat memahami. Perbezaan inilah yang perlu kita pelajari, ketahui, dan hormati, agar perasaan cinta suami isteri terus kekal subur dan mekar hingga ke syurga.
Kerana tidak tahu tentang perbezaan-perbezaan ini, mudah masalah dan konflik timbul dalam rumahtangga, dan sukar pula mencari penyelesaian dan jalan keluar untuk konflik tersebut. Perasaan marah mudah timbul, diri mudah berasa tension.
Seringkali suami dan isteri berada dalam konflik, apabila mereka menganggap bahawa pasangannya adalah seperti diri mereka, daripada aspek perasaan, fikiran, dan komunikasi. Suatu kesilapan juga apabila ada yang menganggap bahawa cara menyatakan cinta dan menerima cinta tiada perbezaan antara lelaki dan wanita.
1.      Apabila Mereka Berkomunikasi
Secara umumnya, apabila seorang lelaki berbicara dengan lelaki tentang masalah, bermakna dia berusaha mencari penyelesaian kepada masalah tersebut dengan meminta bantuan rakannya. Maka mereka akan berbincang, agar jalan keluar ditemui untuk mengatasi masalah tersebut. Ini jelas kepada kita.
Dalam kehidupan rumahtangga, apabila isteri berbicara dan berkongsi perasaan tentang perkara-perkara hariannya (masalah luaran, bukan masalah rumahtangga) - terutama yang tidak menyenangkannya, suami mudah menganggap bahawa itu adalah suatu luahan masalah yang meminta cadangan solusi. Ini adalah normal sekiranya adalah urusan antara lelaki. Namun tidak sebegitu antara lelaki-wanita atau suami-isteri. Apabila wanita membuat luahan tentang perkara yang tidak menyenangkan, tidak semestinya ia adalah luahan masalah yang berhajatkan kepada cadangan penyelesaian.
Maka suami apabila mendengar luahan tersebut, dengan niat baik ingin membantu, mula menganalisa satu demi satu yang diluahkan isteri, dan memberi cadangan demi cadangan, tetapi bukanlah itu sebenarnya yang dikehendaki. Isteri terus berasa tidak gembira, atau bertambah sedih.
Langkah yang betul yang perlu diambil oleh suami, yang benar-benar membantu, adalah mendengar dengan empati, cuba memahami dan menghayati, seolah-olah turut melalui situasi yang sama, tanpa cadangan solusi.
Bukanlah cadangan solusi itu perkara yang tidak elok, ia perkara yang penting, namun perlu juga dinilai faktor masa (bila), juga cara disampaikan (bagaimana).
Wanita berubah-ubah kondisinya, mengikut keadaan dan masa, dan umumnya boleh dibahagikan kepada 3 mode:
1.      Rasional
Mode ini wanita boleh dibawa berbincang, dan mampu mendengar cadangan solusi atau penambahbaikan.

2.      Empati
Ini mode tidak gembira, sedih atau marah disebabkan masalah luaran. Mode ini wanita inginkan pendengar yang memahami. Tidak berhajat kepada cadangan solusi, melainkan mereka sendiri yang meminta.

3.      Emosional
Ini mode tidak gembira, sedih atau marah disebabkan masalah dalaman (masalah suami-isteri). Juga tidak berhajat kepada cadangan solusi, melainkan mereka sendiri yang meminta.

2.Belajar Menjadi Pendengar Yang Baik

Kita perhatikan satu contoh daripada buku Men Are From Mars, Women Are From Venus.
Mary pulang ke rumah dengan hari yang meletihkan. Dia perlu dan mahu berkongsi perasaannya tentang hari tersebut.
Dia berkata, "Sungguh banyak yang perlu dilakukan, saya tidak mempunyai masa untuk diri sendiri."
Tom berkata, "Awak perlu berhenti kerja itu. Awak tidak perlu bekerja keras. Cari sesuatu yang ingin awak lakukan."

Mary berkata, "Tetapi saya suka kerja saya. Mereka mengharapkan saya untuk mengubah segala-galanya serta-merta."
Tom berkata, "Jangan dengar kepada mereka. Lakukan apa yang awak mampu lakukan."

Mary berkata, "Itulah apa yang saya buat! Saya tidak dapat percaya saya benar-benar terlupa untuk menelefon mak cik hari ini."
Tom berkata, "Jangan bimbang tentang hal itu, dia akan faham."

Mary berkata, "Adakah awak tahu apa yang dia lalui? Dia perlukan saya."
Tom berkata, "Awak terlalu risau, sebab itu awak tidak gembira."

Mary marah berkata, "Saya tidaklah selalu sedih. Tak bolehkah awak hanya dengar?"
Tom berkata, "Saya sedang dengarlah ni."

Selepas perbualan ini, Mary lebih kecewa daripada apabila dia tiba di rumah. Tom juga kecewa dan tidak tahu apa yang tidak kena. Dia mahu membantu, tetapi taktik penyelesaian masalah itu tidak berhasil.
Tom tidak tahu apa yang diperlukan dan diinginkan oleh Mary. Tom juga tidak memahami betapa pentingnya untuk dia hanya mendengar tanpa menawarkan penyelesaian. Penyelesaian hanya memburukkan lagi keadaan. Cara untuk memberi sokongan dan membantu adalah dengan mendengar - dengan sabar dan empati, dan berusaha untuk benar-benar memahami perasaan Mary.
Tom tidak tahu pada awalnya bahawa hanya mendengar dengan empati Mary mengekspresikan perasaannya akan membantu menggembirakan Mary. Apabila Tom tahu betapa Mary perlu untuk meluahkan perasaannya dan didengari, beliau secara beransur-ansur belajar menjadi pendengar yang baik.
Hasilnya, apabila Mary pulang ke rumah dalam keletihan, perbualan mereka agak berbeza.
Mary berkata, "Begitu banyak yang perlu dilakukan. Saya tidak mempunyai masa untuk berehat."
Tom mengambil nafas panjang, menghembus nafas, dan berkata, "Awak seperti melalui hari yang amat sukar."

Mary berkata, "Mereka mengharapkan saya untuk mengubah segala-galanya serta-merta. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan."
Tom berhenti sejenak dan kemudian berkata, " Hmmm."

Mary berkata, "Saya bahkan lupa untuk menelefon mak cik."
Tom berkata dengan dahi yang sedikit berkedut, "Oh, tidak."

Mary berkata, "Dia memerlukan amat saya sekarang. Saya rasa bersalah."
Tom berkata, "Awak memang seorang yang penyayang."

Tom kemudian memeluk mesra Mary. Mary kemudiannya berkata, "Saya suka bercakap dengan awak. Terima kasih kerana mendengar. Saya rasa lebih tenang."

3.Kenali Dia
Know our spouse, and let our spouse know about ourself.
Suami perlu belajar dan berusaha mengenali isteri, isteri perlu belajar dan berusaha mengenali suami. Isteri perlu memberitahu tentang diri kepada suami, suami perlu memberitahu tentang diri kepada isteri.

Wujudkan sesi khas tazkirah dan perbincangan mingguan secara konsisten. Semoga perasaan cinta dan kasih saying bait Muslim terus mekar hingga ke hujung hayat dibawah naungan cinta Ilahi.

Friday, December 30, 2011

:: Walimah Kita Nanti ::


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Assalammualaikum,


Ku tujukan warkah ini buat bakal zaujku yang aku masih belum pasti siapakah orangnya cuma aku hanya ingin memesan sesuatu yang sangat penting bagiku. Semoga kau memahaminya.


Duhai bakal zaujku

Inginku memesan sesuatu kepadamu. Sungguhku mahu kau ketahui bahawa akulah orang yang sangat bahagia ketika walimah kita nanti. Sungguh daku menantikan saat ini dari tempoh yang lama dahulu andai kau ketahui dan fahami.


Apa yang daku ingin tekankan di sini adalah tentang moment kita nanti. Walaupun bukanlah ia satu keperluan tetapi pasti, daku ingin segala memori walimah kita dipaterikan dalam bentuk foto juga video. Mana mungkin walaupun daku seorang jurufoto, pasti mahu walimahku dilakarkan kenangannya untukku tatap di masa hadapan sebagai kenangan saat berbahagia kita mula bertemu. Mulakan hidup baru sebagai suami isteri, kau halal bagiku juga daku halal bagimu. Segala sentuhan mendapat pahala daripada dosa yang menambah murka-Nya.


Duhai bakal zaujku

JANGAN kau biarkan daku dinoda jurufoto lelaki yang akan menangkap gambar kemesraan kita yang akan memalukan diri ini juga akan mencemari permulaan hidupku sebagai isterimu. Kemesraan antara kita biarlah menjadi rahsia kita dan Allah, tak perlu ia dicemarkan oleh orang lain yang ajnabi bagiku juga dirimu.


Pertahankanlah daku daripada bersalaman dengan lelaki ajnabi yang berada dalam kalangan keluargamu. Daku terlalu takut jari jemari yang mulus ini bersentuhan dengan lelaki ajnabi yang haram menyentuhku selain daripada menyentuh dirimu yang halal bagiku.


Fahamilah daku jika daku kelihatan malu untuk bergambar bermesra-mesraan denganmu agar maluku tidak berkurang, juga imanku tidak dicemar hanya kerana ingin merakam gambar untuk tatapan kita pada masa akan datang.


Duhai bakal zaujku


Dahulu daku sering tertanya-tanya juga daku risau,


"Adakah pengantin yang bersanding pada waktu Zuhur sudah menunaikan solat sebelum bersanding?"


Dan hari ini kita akan disandingkan selepas Zuhur, daku berharap kau akan terlebih dahulu menunaikan solat sebelum itu agar ia menjadi permulaan yang baik kepada kita dalam meniti hidup bersama. Daku tidak permulaan kita dicemari hanya kerana kita ingin bersanding. Lebih ku rela tidak bersanding daripada meninggalkan suruhan-Nya. Sebaiknya solatlah secara berjemaah, insyaAllah lebih ganjaran dan keberkatan-Nya.


"Peliharalah kehormatanku sebagai isterimu di kala walimah kita nanti agar ia menjadi permulaan yang baik kepada kita dalam meniti hidup bersama."

:: Kahwin Semasa Waktu Belajar ::


Oleh : Ust Burhan Sodiq
Sumber : 
Isu perkahwinan sewaktu dalam tempoh belajar memang selalu menjadi suatu persoalan yang besar bermain difikiran anak-anak muda pada waktu sekarang. Berikut adalah petikan dari buku Ya Allah, Aku Tak Ingin Sendiri (Ust. Burhan Sodiq) mengenai pandangan ulama-ulama yang memberi nasihat berkenaan isu ini.

Menunda perkahwinan menurut Syeikh Muhamad Bin Shalih Al-Utsaimin adalah sikap yang bertentangan dengan perintah Rasulullah SAW: 

Rasulullah SAW bersabda: Jika seorang lelaki yang engkau sukai agama dan akhlaknya melamar, maka nikahilah dia (dengan puterimu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, maka akan ada fitnah di atas bumi dan kerosakan”

Rasulullah SAW juga bersabda, ” Wahai para pemuda, barang siapa di antara kalian yang memiliki kesanggupan, maka hendaklah dia berkahwin. Kerana sesungguhnya berkahwin lebih menjaga pandangan dan lebih memelihara kemaluan.”

Syeikh Muhamad Bin Shalih Al-Utsaimin menasihati wali wanita, dan wanita itu sendiri; janganlah menolak untuk berkahwin dengan alasan belajar atau mengajar. 

Namun adakalanya seorang wanita belajar menggapai ilmu yang tidak diperlukan oleh umat Islam. Dalam kaitannya dengan kes ini, diperlukan pertimbangan dan pemikiran yang saksama. Menurut pendapat Syeikh Muhamad Bin Shalih Al-Utsaimin, jika dia telah mampu  membaca Al-Quran sekali gus tafsirannya, dan dia juga dapat membaca hadis dan sekaligus tafsirannya, maka hal ini sudah cukup.

Namun tidak mengapa jika dia mendalami ilmu yang sangat diperlukan umat , seperti ilmu kedoktoran dan ilmu semisalnya. Tetapi dalam proses pembelajaran itu tidak boleh ada perkara-perkara yang diharamkan Allah seperti bergaul secara berlebih-lebihan dengan kaum lelaki dan perkara haram yang lain.


Menurut pandangan Syeikh Nasyirudin Al-Balihi pula, sebahagian remaja perempuan mengatakan sesuatu yang tidak patut untuk dikatakan. Mereka mengatakan, “Aku tidak akan berkahwin sehingga pelajaranku tamat”. Menurut Syeikh Nasyirudin, tekad remaja perempuan ini bukanlah suatu masalah, jika pelajarannya akan selesai dalam waktu terdekat. 

Namun jika pelajarannya hanya akan selesai beberapa tahun kemudian, maka saya (Syeikh Nasyirudin) tidak bersetuju jika remaja perempuan itu menunda perkahwinan dengan alasan untuk menyelesaikan pelajaran, apatah lagi jika dia menghadapi mata pelajaran yang sukar dan tidak tidak sesuai dengan selera pilihannya. Betapa ramai muslimah yang sudah berusia matang yang masih lagi belum bertemu jodohnya.

Seringkali sebuah nasihat daripada seorang ulama yang hanif, akan memberikan ketenangan hati. Ibarat sebuah dakapan erat yang menenangkan jiwa bergelojak, ibarat tegukan air segar yang menghilangkan dahaga. Semoga beberapa nasihat dari para ulama soleh yang sarat akan hikmah-hikmah besar ini dapat menjadi pelipur hati yang sedang menanti, dan jiwa merindu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...