Hot Stuff

Showing posts with label sirah Rasulullah. Show all posts
Showing posts with label sirah Rasulullah. Show all posts

Friday, January 27, 2012

:: Bertawassul Dengan Hak Para Nabi ::




PADA minggu ini, kita menyambung semula perbahasan kita tentang isu tawassul, suatu persoalan yang boleh menjadi punca kekeliruan dalam masyarakat.
Penentangan sesetengah pihak terhadap tawassul boleh menjerumuskan mereka kepada sikap merendah-rendah kemuliaan dan kelebihan yang ada pada diri Rasulullah SAW dan para ulama pewaris baginda. Ini bukannya suatu kegelinciran yang kecil.
Oleh itu, wajarlah kita menghabiskan sedutan tentang perbahasan isu ini dari kitab Mafahim karya al-Allamah al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid ‘Alawi al-Maliki.
Disebut di dalam manaqib (biografi) Fatimah binti Asad, bonda Saidina Ali ibn Abu Talib r.a, bahawa setelah beliau wafat, Rasulullah SAW sendiri menggali lubang lahadnya dan mengeluarkan tanah dengan tangannya.
Apabila telah selesai, Rasulullah SAW masuk ke dalam lubang tersebut dan berbaring di dalamnya. Kemudian Rasulullah SAW berdoa: “Allah Tuhan yang menghidupkan dan mematikan. Dia adalah Maha Hidup dan tidak akan mati. Ampunilah bondaku (bonda saudaraku), Fatimah binti Asad. Ajarilah dia hujah (jawapan pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir), luaskanlah untuknya tempat masuknya (kuburnya), dengan kemuliaan nabi-Mu dan para Nabi sebelumku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih dari segala yang mengasihani.”
Lalu Nabi SAW bertakbir sebanyak empat kali dan memasukkan jenazah Fatimah ke dalam lahad bersama al ‘Abbas r.a dan Abu Bakar al Siddiq r.a. (riwayat al-Tabrani di dalam al-Kabir dan al-Ausot. Demikianlah seperti yang disebut di dalam Majma’ al Zawaid Jld 9, H: 257)
Sebahagian ahli hadis berselisih pandangan tentang Rauh ibn Solah, salah seorang perawi hadis ini. Namun Ibnu Hibban menyebut namanya di dalam rijal-rijal yang thiqah.
Dalam pada itu, al-Hakim berkata, beliau adalah seorang yang thiqah yang dipercayai. Justeru, kedua-dua al-Hafiz ini mensahihkan hadis di atas. Demikian juga al-Haithami di dalam Majma’ al Zawaid, beliau berkata: “Dalam perawi hadis ini ada seorang yang bernama Rauh ibn Solah, beliau telah dihukumkan thiqah oleh Ibnu Hibban dan Hakim. Dia mempunyai kelemahan, manakala perawi-perawi yang lain adalah sahih.”
Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Abdil Bar daripada Ibni Abbas r.a, dan Ibni Abi Syaibah daripada Jabir r.a. Ia diriwayatkan juga oleh al-Haithami dan Abu Nu’aim.
Maka jalan-jalannya saling menguatkan dan mendukung di antara satu sama lain dengan kuat dan tahqiq sekali.
Sheikh al-Hafiz Abdullah ibn al-Siddiq al-Ghumari berkata: “Rauh ibn Solah ini hanya mempunyai sedikit kelemahan di sisi mereka yang melemahkannya sebagaimana yang dilihat dalam ungkapan mereka.”
Oleh yang demikian, al Hafiz al-Haithami pun mengira Rauh ibn Solah mempunyai kelemahan yang ringan, sebagaimana yang biasa didapati pada perawi-perawi yang lain oleh mereka yang berkemahiran tinggi tentang kitab-kitab Fan (ilmu hadis).
Kesimpulannya, hadis ini tidak kurang daripada menempati darjat hasan. Bahkan, mengikut syarat Ibnu Hibban, ia adalah sahih. (Ittihaf al Azkiya’ h: 20.)
Dari sini juga, kita mendapat satu kesimpulan, bahawa para nabi yang ditawassulkan oleh Nabi Muhammad SAW dengan hak mereka kepada Allah sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis ini dan hadis lain, telah pun wafat.
Justeru, hadis ini juga mensabitkan hukum harus bertawassul pada Allah dengan kemuliaan dan ahli yang mempunyai kemuliaan; tidak kira sama ada mereka itu masih hidup atau pun telah wafat.

Monday, January 23, 2012

:: Cinta Di Saat Menghadapi Sakaratul Maut ::


Sumber : http://akuislam.com

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya.

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah,
“Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Ku wariskan dua perkara pada kalian, Al-Qur’an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku.”
Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.

Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar adanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

“Rasulullah akan meninggalkan kita semua,” keluh hati semua sahabat kala itu. 

Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tetapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya. Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.

“Bolehkah saya masuk?” tanyanya. 

Tetapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, “Maafkanlah, ayahku sedang demam,” kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian dia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, “Siapakah itu wahai anakku?” 

“Tak tahulah ayahku, aku tidak pernah melihatnya,” tutur Fatimah lembut.

Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. 

“Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut,” kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.

Malaikat maut datang menghampiri, tetapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

“Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?” Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. 

“Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,” kata Jibril. 

Tetapi itu masih tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. “Engkau tidak senang mendengar khabar ini?” Tanya Jibril lagi.
“Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?” 

“Jangan khuatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: ‘Ku haramkan syurga bagi siapa sahaja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,” kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan – lahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. 

“Jibril, sungguh sakit sakaratul maut ini.” Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. 

“Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?” Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu. 

“Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal,” kata Jibril. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

“Ya Allah, sungguh dahsyat azab maut ini, timpakan sahaja semua siksa maut ini kepadaku, janganlah pada umatku”

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.

“Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku”peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.” 

Di luar pintu tangisan mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

”Ummatii, ummatii, ummatiii?” – “Umatku, umatku, umatku..

Dan berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli ‘ala Muhammad wa baarik wa salim ‘alaihi. 

Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Wednesday, December 28, 2011

:: 9 Mimpi Baginda Rasulullah S.A.W ::


Daripada Abdul Rahman Bin Samurah ra berkata, Nabi Muhammad saw bersabda:


"Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam aku sebelum di Israqkan........"

1. Aku telah melihat seorang dari umatku telah didatang oleh  malaikatul maut dengan keadaan yg amat mengerunkan untuk mengambil nyawanya, maka malaikat itu terhalang perbuatannya itu disebabkan oleh KETAATAN DAN KEPATUHANNYA KEPADA KEDUA IBUBAPANYA.

2. Aku melihat seorang dari umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyiksakan, diselamatkan oleh berkat WUDUKNYA YANG SEMPURNA.

3. Aku melihat seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis lakhnatullah, maka ia diselamatkan dengan berkat ZIKIRNYA YANG TULUS IKHLAS kepada Allah.

4. Aku melihat bagaimana umatku diseret dengan rantai yang diperbuat daripada api neraka jahanam yang dimasukkan dari mulut dan dikeluarkan rantai tersebut ke duburnya oleh malaikut Ahzab, tetapi SOLATNYA YANG KHUSUK DAN TIDAK MENUNJUK-NUNJUK telah melepaskannya dari seksaan itu.

5. Aku melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat, setiap kali dia mendatangi satu telaga dihalang dari meminumnya,ketika itu datanglah pahala PUASANYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT memberi minum hingga ia merasa puas.

6. Aku melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang sedang duduk berkumpulan-kumpulan, setiap kali dia datang dia akan diusir, maka menjelmalah MANDI JUNUB DENGAN RUKUN YANG SEMPURNANYA sambil ke kumpulanku seraya duduk disebelahku.

7. Aku melihat seorang dari umatku berada di dalam keadaan gelap gelita disekelilingnya, sedangkan dia sendiri di dalam keadaan binggung, maka datanglah pahala HAJI DAN UMRAHNYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT lalu mengeluarkannya dari kegelapan kepada tempat yang terang-menderang.

8. Aku melihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin  tetapi mereka tidakpun membalas bicaranya, maka menjelmalah SIFAT SILATURRAHIMNYA DAN TIDAK SUKA BERMUSUH-MUSUHAN SESAMA UMATKU lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaranya,lalu berbicara mereka dengannya.

9. Aku melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api ke  mukanya,maka segeralah menjelma pahala SEDEKAHNYA YANG IKHLAS KERANA ALLAH SWT lalu menabir muka dan kepalanya dari bahaya api tersebut. 

BERSABDA RASULULLAH SAW, ”SAMPAIKANLAH PESANANKU KEPADA UMATKU YANG LAIN WALAUPUN DENGAN SEPOTONG AYAT"

Thursday, December 22, 2011

:: Malaikat Bantu Tentera Islam ::

Mereka ialah Utbah bin Rabiah dan anaknya Walid bin Utbah serta saudaranya Syaibah bin Rabiah ingin bertarung satu lawan satu dengan para pahlawan Islam itu.
Ibarat buku bertemu ruas, akhirnya ketiga-tiga pahlawan Quraisy ini berjaya ditumpaskan dengan mudah oleh Ubaidah, Ali dan 'Singa Allah', Hamzah.
Namun Ubaidah sebenarnya mengalami kecederaan parah ketika berlawan dengan Utbah. Sebelah tangannya putus ditetak lawan. Ini menyebabkan Hamzah segera membantu Ubaidah dengan menerkam dan terus membunuh Utbah.
Namun Ubaidah dengan semangatnya yang masih tinggi terus bertahan walaupun cedera parah akhirnya gugur sebagai syahid. Setelah ketiga-tiga pahlawan mereka dibunuh menyebabkan, tentera Quraisy tergamam dan tidak lagi berani mencabar untuk berlawan satu lawan satu. Lalu strategi ditukar kepada serangan besar-besaran terhadap tentera Islam.
Pihak musuh yakin dengan cara itu dengan jumlah anggota tentera Quraisy yang lebih ramai berbanding pihak lawan, kemenangan di medan Badar akan menjadi milik mereka.
Rasulullah yang mengetahui taktik serangan yang bakal dilakukan oleh pihak musuh terus mengeluarkan arahan kepada anggota tentera baginda, satu arahan yang disifatkan agak pelik dan luar biasa kerana tidak pernah strategi seperti itu dilakukan sebelum ini. Lazimnya serangan akan dibalas dengan serangan. Maka pada suatu titik pertempuran kedua-dua belah akan bertempur dan berlawan antara satu sama lain.
Tetapi kali ini baginda meminta anggota tenteranya supaya bertahan.
Baginda memerintahkan supaya tenteranya duduk berlutut dan menunggu kemaraan pihak musuh.
"Kalau pihak musuh mula menyerang sambil memanah kamu bertahan di belakang perisai masing-masing. Tetapi apabila mereka semakin dekat dan menyerbu untuk menyerang ketika itulah kamu segera bangun dan serentak itu juga kamu balas serangan dengan cara mengejut," tegas Rasulullah. Sebagaimana yang dijangkakan, gerombolan tentera Quraisy mara dan apabila mendapati pihak Islam tidak turut mara, mereka begitu galak untuk terus menyerang dengan anak-anak panah dihala dan menghujani tentera Islam.
Sebagaimana diarahkan, tentera Islam hanya tunduk menahan di sebalik perisai masing-masing. Namun ada juga anggota tentera Islam yang menemui ajal akibat terkena anak panah yang beracun dari pihak musuh itu. Namun pasukan tentera Islam terus bangkit secara mengejut dan mengeluarkan pedang masing-masing lalu dengan pantas menyerang pasukan Quraisy yang menyerbu mereka.
Lalu berlakulah pertempuran buat pertama kalinya antara tentera kafir Quraisy dan tentera Islam. Walaupun dalam jumlah yang sedikit daripada pihak lawan namun tentera Islam tetap bertarung seolah-olah kekuatan seorang tentera Islam itu mampu mengalahkan lebih dari seorang tentera musuh. Atau dengan nisbah 1:3.
Begitupun dikatakan bantuan Allah sebagaimana yang dipohon oleh baginda turut bersama dengan pasukan tentera Islam."Bergembiralah wahai Abu Bakar! Bergembiralah wahai Abu Bakar! Ini Jibrail, malaikat yang sedang menunggang kuda putih datang bagi mengetuai 1,000 malaikat lain yang turun membantu kita," kata Rasulullah SAW.
Kehadiran para malaikat untuk membantu itu sebenarnya tidak disedari oleh para anggota tentera Islam yang lain. Ini kerana mereka tetap beradu berlawan dan bertempur walaupun ada malaikat yang turut memerangi kafir Quraisy itu.
Dalam satu riwayat oleh Ibnu Saad menyebutkan: "Pada hari itu ada kepala orang Quraisy yang gugur tanpa diketahui siapa yang memenggalnya dan ada tangan yang putus sehingga terpelanting jatuh ke tanah tanpa diketahui siapa yang mencantasnya."
Dan pelbagai lagi dikisahkan oleh para sahabat mengenai kehadiran para malaikat yang membantu tentera Islam.Begitu pun dikatakan di pihak musuh ada Iblis yang menyamar untuk membantu mengalahkan tentera Islam pula.
Iblis menyamar diri sebagai Suraqah bin Malik (terkenal sebagai musuh Islam dan pernah memburu Rasulullah ketika baginda keluar menyelamatkan diri bersama Abu Bakar As Siddiq sehingga mereka menyembunyikan diri ke Gua Tsur).Tetapi apabila Iblis itu menyaksikan kehadiran ribuan para malaikat, dia menjadi gentar dan tahu adalah mustahil untuknya membantu mengalahkan tentera Islam.
Apabila iblis itu ditahan apabila dilihat cuba melarikan diri, Iblis itu berkata dengan ketakutan: "Aku melihat apa yang kamu tidak lihat, aku benar-benar takut!"  Tentera musuh mula melihat tanda-tanda kekalahan apabila satu demi satu atau semakin ramai tentera mereka yang berjaya dibunuh oleh tentera Islam.
Begitupun mereka masih diperkuatkan dari aspek semangat oleh ketua panglima mereka yang tak pernah mengenal erti kalah, Abu Jahal. Sesuai dengan peranannya, Abu Jahal akan mengeluarkan kata-kata semangat dan menyeru kepada bala tenteranya supaya meneruskan serangan kerana inilah sahaja peluang yang ditunggu-tunggu selama ini untuk mereka menghancurkan umat Islam.
Jika ada di kalangan tentera Quraisy yang mati ditangan tentera Islam, tuduh Abu Jahal hanya disebabkan mereka bertindak terlalu gopoh dan tidak berhati-hati.


Namun Abu Jahal benar-benar tidak dapat menerima hakikat bahawa kekalahan akan hanya menjadi milik kepada tentera yang beliau pimpin. Malah nyawanya sendiri dalam bahaya kerana sentiasa diintai dan diambil kesempatan untuk dibunuh oleh mereka yang begitu marah dengan tindak tanduk beliau selama ini yang begitu memusuhi Islam.

Tuesday, December 20, 2011

:: Setabah Hatimu Sumayyah ::



Sumayyah binti Khabath adalah hamba Abu Huzaifah bin Mughirah. Tuannya mengahwinkan Sumayyah dengan Yasir bin Amir, perantau dari Yaman ke Mekah. Apabila Allah mengurniakan mereka seorang anak yang diberi nama Amar, Abu Huzaifah pun membebaskan Sumayyah daripada menjadi hambanya.
Apabila Islam mula tersebar, keluarga Yasir antara golongan pertama memeluk agama suci itu. Sumayyah tidak gentar dengan amaran musyrikin Quraisy yang menyeksa dan membunuh sesiapa yang memeluk Islam.
Apabila bangsawan Quraisy mengetahui Sumayyah sudah memeluk Islam, mereka menyerbu rumahnya. Keluarga Amar ditangkap dan dibawa ke khalayak untuk diseksa.
“Mereka sudah menyahut ajaran Muhammad walaupun ditegah oleh pihak atasan Quraisy. Kamu akan menerima balasan kerana ingkar perintah kami,” kata Abu Jahal kepada pengikutnya sambil menarik keluarga Yasir yang terikat ke kawasan padang pasir di luar kota Mekah.
“Mereka tidak serik dengan hukuman kita walaupun pengikut agama yang dibawa Muhammad telah diseksa oleh kita,” kata seorang bangsawan Quraisy yang berjalan di sebelah Abu Jahal.
“Kali ini saya tidak akan bebaskan mereka bertiga sehingga mereka mengaku berhala-berhala kita sebagai tuhan mereka,” tegas Abu Jahal yang mengacah tombaknya ke arah keluarga Yasir yang diseret secara kasar oleh pengikut Abu Jahal.
Mereka berhenti di kawasan lapang yang dipenuhi bongkah batu besar. Yasir, Amar dan Sumayyah ditanggalkan pakaian mereka lalu diikat pada bongkah batu yang panas mendidih dipanah matahari padang pasir.
Kaki dan tangan mereka diikat ketat sehingga tidak dapat bergerak seinci pun. Abu Jahal, pembesar Quraisy dan pengikut setianya ketawa melihat penderitaan ketiga beranak itu.
“Kamu akan diseksa dengan lebih teruk seandainya kamu tidak mahu meninggalkan agama yang dibawa oleh Muhammad. Kamu akan dibebaskan jika kamu sanggup mengaku berhala-berhala di kota Mekah ini sebagai tuhan kamu,” Abu Jahal mula mengambil tali sebat bagi menakutkan Yasir, Sumayyah dan Amar.
“Kami tidak akan mengaku berhala-berhala itu sebagai tuhan kami. Hanya Allah Tuhan kami,” balas Yasir dengan tenang.
“Saya beriman dengan Allah sahaja,” kata Sumayyah pula.
“Berani kamu melawan kata-kata saya,” api kemarahan Abu Jahal semakin membara mendengarkan kata-kata Sumayyah itu tadi.
“Ini balasan kepada kamu kerana enggan menerima berhala-berhala sebagai tuhan kamu,” Abu Jahal dan pengikutnya mula menyebat tubuh Yasir, Sumayyah dan Amar dengan kejam. Hinggakan darah mengalir daripada tubuh mereka yang terikat pada bongkah batu yang panas dipanah matahari tengah hari.
Berita penyeksaan keluarga Yasir sampai ke pengetahuan Nabi SAW sehingga baginda dan Abu Bakar keluar bagi menyelamatkan keluarga tersebut daripada seksaan kejam Abu Jahal dan pengikutnya. Namun, mereka dihalang oleh orang-orang Quraisy yang menyaksikan seksaan terhadap keluarga Yasir.
Hati Abu Jahal semakin sakit melihat reaksi Yasir, Sumayyah dan Amar yang masih enggan menerima berhala sebagai tuhan mereka. Dia mengarahkan pengikutnya memakaikan baju besi kepada ketiga-tiga ahli keluarga tersebut agar bahang matahari semakin menyeksa mereka.
“Kita lihat berapa lama kamu boleh menahan seksa di tengah-tengah kepanasan matahari ini,” sindir Abu Jahal sambil memandang wajah Yasir dan Sumayyah dengan bengis.
“Tiada tuhan melainkan Allah,” kata Yasir, Sumayyah dan Amar merintih dalam kesakitan memakai baju panas.
“Letakkan batu besar ke atas badan Yasir,” arah Abu Jahal lagi kerana geram mendengar kata-kata Yasir sekeluarga.
Seksaan demi seksaan ke atas Yasir menyebabkan fizikalnya menjadi lemah kerana usianya yang sudah lanjut. Akhirnya, Yasir menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan menyebut nama Allah tanpa menerima agama berhala Abu Jahal.
Walaupun hati Sumayyah hancur melihat suaminya mati akibat seksaan Abu Jahal yang kejam, dia gembira kepada suaminya mati dalam menegakkan agama Allah.
“Kamu pun mahu mati seperti suami kamu. Lebih baik kamu terima tawaran saya sebelum ajal kamu tiba!” Abu Jahal mahu menunjukkan yang seksaannya mampu mengubah pendirian pengikut Nabi Muhammad kepada ajaran berhala.
“Jangan kamu berharap saya akan menurut kata-kata kamu itu. Tiada tuhan melainkan Allah,”. Hati Sumayyah keras seperti batu teguh pada keimanannya pada Allah.
“Kamu sudah semakin degil dan melawan kata-kata saya!” Abu Jahal mengambil tombak dari tangan kanannya lalu dicucuk ke dalam alat sulit Sumayyah.
“Allahu Akbar”. Begitulah kata terakhir Sumayyah sebelum menghembuskan nafasnya akibat tikaman tombak Abu Jahal itu.
Kematian Sumayyah dengan nama Allah di mulutnya demi mempertahankan keimanan pada Allah adalah peristiwa penting dalam sejarah pengembangan agama Islam. Sumayyah adalah wanita pertama mati syahid dalam sejarah Islam.

Thursday, December 15, 2011

:: Kisah Kewafatan Rasulullah ::



Diriwayatkan bahawa surah AI-Maa-idah ayat 3 diturunkan pada sesudah waktu asar iaitu pada hari Jumaat di padang Arafah pada musim haji penghabisan [Wada*].


Pada masa itu Rasulullah s.a.w. berada di Arafah di atas unta. Ketika ayat ini turun Rasulullah s.a.w. tidak begitu jelas penerimaannya untuk mengingati isi dan makna yang terkandung dalam ayat tersebut. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersandar pada unta beliau, dan unta beliau pun duduk perlahan-lahan.


Setelah itu turun malaikat Jibril a.s. dan berkata: 
"Wahai Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah disempurnakan urusan agamamu, maka terputuslah apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.dan demikian juga apa yang terlarang olehnya. Oleh itu kamu kumpulkan para sahabatmu dan beritahu kepada mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu dengan kamu."

Sebaik sahaja Malaikat Jibril a.s. pergi maka Rasulullah s.a.w. pun berangkat ke Mekah dan terus pergi ke Madinah. Setelah Rasulullah s.a.w. mengumpulkan para sahabat beliau, maka Rasulullah s.a.w. pun menceritakan apa yang telah diberitahu oleh malaikat Jibril a.s.. Apabila para sahabat mendengar hal yang demikian maka mereka pun gembira sambil berkata: "Agama kita telah sempurna. Agama kila telah sempuma."

Apabila Abu Bakar r.a. mendengar keterangan Rasulullah s.a.w. itu, maka ia tidak dapat menahan kesedihannya maka ia pun kembali ke rumah lalu mengunci pintu dan menangis sekuat-kuatnya. Abu Bakar ra. menangis dari pagi hingga ke malam.

Kisah tentang Abu Bakar r.a. menangis telah sampai kepada para sahabat yang lain, maka berkumpullah para sahabat di hadapan rumah Abu Bakar r.a. dan mereka berkata: "Wahai Abu Bakar, apakah yang telah membuat kamu menangis sehingga begini sekali keadaanmu? Sepatutnya kamu berasa gembira sebab agama kita telah sempuma." Mendengarkan pertanyaan dari para sahabat maka Abu Bakar r.a. pun berkata: 

"Wahai para sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesualu perkara itu telah sempurna maka akan kelihatanlah akan kekurangannya. Dengan turunnya ayat tersebut bahawa ianya menunjukkan perpisahan kila dengan Rasulullah s.a.w. Hasan dan Husin menjadi yatim dan para isteri nabi menjadi janda."

Setelah mereka mendengar penjelasan dari Abu Bakar r.a. maka sedarlah mereka akan kebenaran kata-kata Abu Bakar r.a., lalu mereka menangis dengan sekuat-kuatnya. Tangisan mereka telah didengar oleh para sahabat yang lain, maka mereka pun terus beritahu Rasulullah s.a.w. tentang apa yang mereka lihat itu. Berkata salah seorang dari para sahabat: "Ya Rasulullah s.a.w., kami baru bailk dari rumah Abu Bakar r.a. dan kami mendapati banyak orang menangis dengan suara yang kuat di hadapan rumah beliau." Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar  keterangan dari para sahabat, maka berubahlah muka Rasulullah s.a.w. dan dengan bergegas beliau menuju ke rumah Abu Bakar r.a..

Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w. sampai di  rumah Abu Bakar r.a. maka Rasulullah s.a.w. melihat kesemua mereka yang menangis dan bertanya: "Wahai para sahabatku, kenapakah kamu semua menangis?." Kemudian Ali r.a. berkata: "Ya Rasulullah s.a.w., Abu Bakar r.a. mengatakan dengan turunnya ayat ini membawa tanda bahawa waktu wafatmu telah dekat. Adakah ini benar ya Rasulullah?." Lalu Rasulullah s.a.w. berkata: "Semua yang dikata oleh Abu Bakar r.a. adalah benar, dan sesungguhnya masa untuk aku meninggalkan kamu semua telah hampir dekat."

Sebaik sahaja Abu Bakar r.a. mendengar pengakuan Rasulullah s.a.w., maka ia pun menangis sekuat tenaganya sehingga ia jatuh pengsan, sementara Ali r.a. pula mengeletar seluruh tubuhnya. Dan para sahabat yang lain menangis dengan sekuat-kuat yang mereka mampu. Sehingga gunung-gunung, batu-batu, semua malaikat yang dilangit, cacing-cacing dan semua binatang baik yang di darat mahu-pun yang di laut turut menangis.

Kemudian Rasulullullah s.a.w. bersalam dengan para sahabat satu demi satu dan berwasiat kepada mereka. Kisah Rasulullah s.a.w. mengalami hidup selepas turunnya ayat tersebut, ada yang mengatakan 81 hari, ada pula yang mengatakan beliau hidup sehingga 50 hari selepas turunnya ayat tersebut, ada pula yang mengatakan beliau hidup selama 35 hari dari ayat tersebut diturunkan dan ada pula yang mengatakan 21 hari.

Pada saat sudah dekat ajal Rasulullah s.a.w., beliau menyuruh Bilal azan untuk mengerjakan solat, lalu berkumpul para Muhajirin dan Anshar di masjid Rasulullah s.a.w.. Kemudian Rasulullah s.a.w. menunaikan solat dua raka'at bersama semua yang hadir. Setelah selesai mengerjakan solat beliau bangun dan naik ke atas mimbar dan berkata: 

"Alharndulillah, wahai para muslimin, sesungguhnya saya adalah seorang nabi yang diutus dan mengajak orang kepada jalan Allah dengan izinnya. Dan saya ini adalah sebagai saudara kandung kamu, yang kasih sayang pada kamu semua seperti seorang ayah. Oleh itu kalau ada sesiapa yang mempunyai hak untuk menuntut, maka hendaklah ia bangun dan membalasi saya sebelum saya dituntut di hari kiamat."

Rasulullah s.a.w. berkata demikian sebanyak 3 kali kemudian bangunlah seorang lelaki yang bernama 'Ukasyah bin Muhshan dan berkata: "Demi ayahku dan ibuku ya Rasulullah s.a.w., kalau anda tidak mengumumkan kepada kami berkali-kali sudah tentu saya tidak mahu mengemukakan hal ini." Lalu 'Ukasyah berkata lagi: "Sesungguhnya dalam Perang Badar saya bersamamu ya Rasulullah, pada masa itu saya mengikuti unta anda dari belakang, setelah dekat saya pun turun menghampiri anda dengan tujuan supaya saya dapat mencium paha anda, tetapi anda telah mengambil tongkat dan memukul unta anda untuk berjalan cepat, yang mana pada masa itu saya pun anda pukul pada tulang rusuk saya. Oleh itu saya hendak tahu sama ada anda sengaja memukul saya atau hendak memukul unta tersebut."

Rasulullah s.a.w. berkata: "Wahai 'Ukasyah, Rasulullah s.a.w. sengaja memukul kamu." Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata kepada Bilal r.a.: "Wahai Bilal, kamu pergi ke rumah Fatimah dan ambilkan tongkat aku ke mari." Bilal keluar dari masjid menuju ke rumah Fatimah sambil meletakkan tangannya di alas kepala dengan berkata: "Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk dibalas [diqishash]."

Setelah Bilal sampai di rumah Fatimah maka Bilal pun memberi salam dan mengetuk pintu. Kemudian Fatimah r.a. menyahut dengan berkata: "Siapakah di pintu?." Lalu Bilal r.a. berkata: "Saya Bilal, saya telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. unluk mengambil tongkat beliau."Kemudian Fatimah r.a. berkata: "Wahai Bilal, untuk apa ayahku minta tongkatnya." Berkata Bilal r.a.: "Wahai Fatimah, Rasulullah s.a.w. telah menyediakan dirinya untuk diqishash." Bertanya Fatimah. r.a. lagi: "Wahai Bilal, siapakah manusia yang sampai hatinya untuk menqishash Rasulullah s.a.w.?."Bilal r.a. tidak menjawab pertanyaan Falimah r.a., sebaik sahaja Fatimah r.a. memberikan tongkat tersebut, maka Bilal pun membawa tongkat itu kepada Rasulullah s.a.w.

Setelah Rasulullah s.a.w. menerima tongkat tersebut dari Bilal r.a. maka beliau pun menyerahkan kepada 'Ukasyah. Melihatkan hal yang demikian maka Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. tampil ke hadapan sambil berkata: "Wahai 'Ukasyah, janganlah kamu qishash baginda s.a.w. tetapi kamu qishashlah kami berdua." Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar kata-kata Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. maka dengan segera beliau berkata: "Wahai Abu Bakar, Umar, duduklah kamu berdua sesungguhnya Allah s.w.t. telah menetapkan tempatnya untuk kamu berdua." Kemudian Ali r.a. bangun, lalu berkata: "Wahai "Ukasyah! Aku adalah orang yang sentiasa berada di samping Rasulullah s.a.w. oleh itu kamu pukullah aku dan janganlah kamu menqishash Rasulullah s.a.w." Lalu Rasulullah s.a.w. berkata: "Wahai Ali, duduklah kamu sesungguhnya Allah s.w.t. telah menetapkan tempatmu dan mengetahui isi hatimu."

Setelah itu Hasan dan Husin bangun dengan berkata: "Wahai 'Ukasyah, bukankah kamu tidak tahu bahawa kami ini adalah cucu Rasulullah s.a.w., kalau kamu menqishash kami sama dengan kamu menqishash Rasulullah s.a.w." Mendengar kata-kata cucunya Rasulullah s.a.w. pun berkata: "Wahai buah hatiku, duduklah kamu berdua." Berkata Rasulullah s.a.w. "Wahai 'Ukasyah pukullah saya kalau kamu hendak memukul." Kemudian 'Ukasyah berkata: "Ya Rasulullah s.a.w., anda telah memukul saya sewaktu saya tidak memakai baju." Maka Rasulullah s.a.w. pun membuka baju, sebaik sahaja Rasulullah s.a.w. membuka baju maka menangislah semua yang hadir.

Sebaik sahaja 'Ukasyah melihat tubuh badan Rasulullah s.a.w. maka ia pun mencium beliau dan berkata; "Saya tebus anda dengan jiwa saya, ya Rasulullah s.a.w. siapakah yang sanggup memukul anda. Saya melakukan begini adalah sebab saya hendak menyentuh badan anda yang dimuliakan oleh Allah s.w.t dengan badan saya. Dan Allah s.w.t. menjaga saya dari neraka dengan kehormatanmu." Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata: "Dengarlah kamu sekalian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya."

Kemudian semua para jemaah bersalam-salaman atas kegem-biraan mereka terhadap peristiwa yang sangat genting itu. Setelah itu para jemaah pun berkata: "Wahai 'Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu, engkau telah memperolehi darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah s.a.w. di dalam syurga."Apabila ajal Rasulullah s.a.w. makin hampir maka beliau pun memanggil para sahabat ke rumah Siti Aisyah r.a. dan beliau berkata: "Selamat datang kamu semua semoga Allah s.w.t. mengasihi kamu semua, saya berwasiat kepada kamu semua agar kamu semua bertaqwa kepada Allah s.w.t. dan mentaati segala perintahnya. Sesungguhnya hari perpisahan antara saya dengan kamu semua hampir dekat, dan dekat pula saat kembalinya seorang hamba kepada Allah s.w.t dan menempatkannya di syurga. Kalau telah sampai ajalku maka hendaklah Ali yang memandikanku, Fadhl bin Abas hendaklah menuangkan air dan Usamah bin Zaid hendaklah menolong keduanya. Setelah itu kamu kapanilah aku dengan pakaianku sendiri apabila kamu semua menghendaki, atau kapanilah aku dengan kain yaman yang putih. Apabila kamu memandikan aku, maka hendaklah kamu letakkan aku di atas balai tempat tidurku dalam rumahku ini. Setelah itu kamu semua keluarlah sebentar mening-galkan aku. Pertama yang akan menshalatkan aku ialah Allah s.w.t., kemudian yang akan menshalat aku ialah Jibril a.s., kemudian diikuti oleh malaikat Israfil, malaikat Mikail, dan yang akhir  sekali malaikat lzrail berserta dengan semua para pembantunya. Setelah itu baru kamu semua masuk beramai-rarnai bershalat ke atasku."

Sebaik sahaja para sahabat mendengar ucapan yang sungguh menyayat hati itu maka mereka pun menangis dengan nada yang keras dan berkata: "Ya Rasulullah s.a.w. anda adalah seorang Rasul yang diutus kepada kami dan untuk semua, yang mana selama ini anda memberi kekuatan dalam penernuan kami dan sebagai penguasa yang menguruskan perkara kami. Apabila anda sudah tiada nanti kepada siapakah yang akan kami tanya setiap persoalan yang timbul nanti?."Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata: "Dengarlah para saha-batku, aku tinggalkan kepada kamu semua jalan yang benar dan jalan yang terang, dan telah aku tinggalkan kepada kamu semua dua penasihat yang satu daripadanya pandai bicara dan yang satu lagi diam sahaja. Yang pandai bicara itu ialah AI-Quran dan yang diam itu ialah maut. Apabila ada sesuatu persoalan yang rumit di antara kamu, maka hendaklah kamu semua kembali kepada AI-Quran dan Hadis-ku dan sekiranya hati kamu itu berkeras maka lembutkan dia dengan mengambil pengajaran dari mati."

Setelah Rasulullah s.a.w. berkata demikian, maka sakit Rasulullah s.a.w. bermula. Dalam bulan safar Rasulullah s.a.w. sakit selama 18 hari dan sering diziarahi oleh para sahabat. Dalam sebuah kitab diterangkan bahawa Rasulullah s.a.w. diutus pada hari Isnin dan wafat pada hari Isnin. Pada hari Isnin penyakit Rasulullah s.a.w. bertambah berat, setelah Bilal r.a. selesaikan azan subuh, maka Bilal r.a. pun pergi ke rumah Rasulullah s.a.w.. Sesampainya Bilal r.a. di rumah Rasulullah s.a.w. maka Bilal r.a. pun memberi salam: "Assalaamualaika ya rasulullah." Lalu dijawab oleh Fatimah r.a.: "Rasulullah s.a.w. masih sibuk dengan urusan beliau." Setelah Bilal r.a. mendengar penjelasan dari Fatimah r.a. maka Bilal r.a. pun kembali ke masjid tanpa memahami kata-kata Fatimah r.a. itu.

Apabila waktu subuh hampir hendak lupus, lalu Bilal pergi sekali lagi ke rumah Rasulullah s.a.w. dan memberi salam seperti permulaan tadi, kali ini salam Bilal r.a. telah di dengar oleh Rasulullah s.a.w. dan baginda berkata; "Masuklah wahai bilal, sesungguhnya penyakitku ini semakin berat, oleh itu kamu suruhlah Abu Bakar mengimamkan solat subuh berjemaah dengan mereka yang hadir." Setelah mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w.  maka Bilal r.a. pun berjalan menuju ke masjid sambil meletakkan tangan di atas kepala dengan berkata: "Aduh musibah." Sebaik sahaja Bilal r.a. sampai di masjid maka Bilal r.a. pun memberitahu Abu Bakar tentang apa yang telah Rasulullah s.a.w. katakan kepadanya.

Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan dirinya apabila ia melihat mimbar kosong maka dengan suara yang keras Abu Bakar r.a. menangis sehingga ia jatuh pengsan. Melihatkan peristiwa ini maka riuh rendah dalam masjid, sehingga Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Fatimah r.a.; "Wahai Fatimah apakah yang telah berlaku?." Maka Fatimah r.a. pun berkata: "Kekecohan kaum muslimin, sebab anda tidak pergi ke masjid." Kemudian Rasulullah s.a.w. memanggil Ali r.a. dan Fadhl bin Abas, lalu Rasulullah s.a.w. bersandar kepada kedua mereka dan terus pergi ke masjid. Setelah Rasulullah s.a.w. sampai di masjid maka beliau pun bersolat subuh bersama dengan para jemaah.

Setelah selesai solat subuh maka Rasulullah s.a.w. pun berkata: "Wahai kaum muslimin, kamu semua sentiasa dalam pertolongan dan pemeliharaan Allah, oleh itu hendaklah kamu semua bertaqwa kepada Allah s.w.t. dan mengerjakan segala perintahnya. Sesungguhnya aku akan meninggalkan dunia ini dan kamu semua, dan hari ini adalah hari pertama aku di akhirat dan hari terakhir aku di dunia."

Setelah berkata demikian maka Rasulullah s.a.w. pun pulang ke rumah beliau. Kemudian Allah s.w.t. mewahyukan kepada malaikat lzrail: "Wahai lzrail, pergilah kamu kepada kekasihku dengan sebaik-baik rupa, dan apabila kamu hendak mencabut rohnya maka hendaklah kamu melakukan dengan cara yang paling lembut sekali. Apabila kamu pergi ke rumahnya maka minta izinlah lerlebih dahulu, kalau ia izinkan kamu masuk, maka masukilah kamu ke rumahnya dan kalau ia tidak izinkan kamu masuk maka hendaklah kamu kembali padaku."

Sebaik sahaja malaikat lzrail mendapat perintah dari Allah s.w.t. maka malaikal lzrail pun turun dengan menyerupai orang Arab Badwi. Setelah malaikat lzrail sampai di hadapan rumah Rasulullah s.a.w. maka ia pun memberi salam: "Assalaamu alaikum yaa ahia baitin nubuwwati wa ma danir risaalati a adkhulu?" [Mudah-mudahan keselamatan tetap untuk kamu semua sekalian, wahai penghuni rumah nabi dan sumber risaalah, bolehkan saya masuk?" Apabila Fatimah mendengar orang memberi salam maka ia-pun berkata; "Wahai hamba Allah, Rasulullah s.a.w. sedang sibuk sebab sakitnya yang semakin berat."

Kemudian malaikat lzrail berkata lagi seperti dipermulaannya, dan kali ini seruan malaikat itu telah didengar oleh Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Falimah r.a.: "Wahai Fatimah, siapakah di depan pintu itu." Maka Fatimah r.a. pun berkata: "Ya Rasulullah, ada seorang Arab badwi memanggil mu, dan aku telah katakan kepadanya bahawa anda sedang sibuk sebab sakit, sebaliknya dia memandang saya dengan tajam sehingga saya merasa mcnggigil badan saya." Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata; "Wahai Fatimah, tahu-kah kamu siapakah orang itu?." Jawab Fatimah; "Tidak ayah." Dia adalah malaikat lzrail, malaikat yang akan memutuskan segala macam nafsu syahwat yang memisahkan perkumpulan-perkumpulan dan yang memusnahkan semua rumah serta meramaikan kubur." Fatimah r.a. tidak dapat menahan air matanya lagi setelah mengetahui bahawa saat perpisahan dengan ayahandanya akan berakhir, dia menangis sepuas-puasnya.

Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar tangisan Falimah r.a. maka beliau pun berkata: "Janganlah kamu menangis wahai Fatimah, engkaulah orang yang pertama dalam keluargaku akan bertemu dengan aku." Kemudian Rasulullah s.a.w. pun menjemput malaikat lzrail masuk. Maka malaikat lzrail pun masuk dengan mengucap: "Assalamuaalaikum ya Rasulullah." Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: "Wa alaikas saalamu, wahai lzrail engkau datang menziarahi aku atau untuk mencabut rohku?" Maka berkata malaikat lzrail: "Kedatangan saya adalah untuk menziarahimu dan untuk mencabut rohmu, itupun kalau kamu izinkan, kalau kamu tidak  izinkan maka aku akan kembali." Berkata Rasulullah s.a.w.: "Wahai lzrail, di manakah kamu tinggalkan Jibril?" Berkata lzrail: "Saya tinggalkan Jibril di langit dunia, semua para malaikat sedang memuliakan dia."

Tidak beberapa saat kemudian Jibril a.s. pun turun dan duduk dekat kepala Rasulullah s.a.w. Apabila Rasulullah s.a.w. melihat kedatangan Jibril a.s. maka Rasulullah s.a.w. pun berkata: "Wahai Jibril, tahukah kamu bahawa ajalku sudah dekat" Berkata Jibril a.s.: "Ya aku memang tahu." Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Wahai Jibril, beritahu kepadaku kemuliaan yang  menggembirakan aku disisi Allah s.w.t." Berkata Jibril a.s.: "Sesungguhnya semua pintu langit telah dibuka, para malaikat bersusun rapi menanti rohmu dilangit. Kesemua pintu-pintu syurga telah dibuka, dan kesemua para bidadari sudah berhias menanti kehadiran rohmu."

Berkala Rasulullah s.a.w.: "Alhamdulillah, sekarang kamu katakan pula tentang umatku di hari kiamat nanti." Berkata Jibril a.s.: "Allah s.w.t. telah  berfirman yang ber-maksud: "Sesungguhnya aku telah melarang semua para nabi masuk ke dalam syurga sebelum engkau masuk terlebih dahulu, dan aku juga melarang semua umat memasuki syurga sebelum umatmu memasuki syurga." Berkata Rasulullah s.a.w.: "Sekarang aku telah puas hati dan telah hilang rasa susahku." Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata: "Wahai lzrail, dekatlah kamu kepadaku."

Setelah itu Malaikat lzrail pun memulakan tugasnya, apabila roh nya sampai pada pusat, maka Rasulullah s.a.w. pun berkata: "Wahai Jibril, alangkah dahsyatnya rasa mati." Jibril a.s. mengalihkan pandangan dari Rasulullah s.a.w. apabila mendengar kata-kata beliau itu. Melihatkan telatah Jibril a.s. itu maka Rasulullah s.a.w. pun berkata: "Wahai Jibril, apakah kamu tidak suka melihat wajahku?" Jibril a.s. berkata: "Wahai kekasih Allah, siapakah orang yang sanggup melihat wajahmu dikala kamu dalam sakaratul maut?"

Anas bin Malik r.a. berkata: "Apabila roh Rasulullah s.a.w. telah sampai di dada beliau telah bersabda: "Aku wasiatkan kepada kamu agar kamu semua menjaga shalat dan apa-apa yang telah diperintahkan ke atasmu." Ali r.a. berkata: "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ketika menjelang saat-saat terakhir, telah mengerakkan kedua bibir beliau sebanyak dua kali, dan saya meletakkan telinga, saya dengan Rasulullah s.a.w. berkata: "Umatku, umatku." Telah bersabda Rasulullah s.a.w. bahawa: "Malaikat Jibril a.s. telah berkata kepadaku; "Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah s.w.t. telah menciptakan sebuah laut di belakang gunung Qaf, dan di laut itu terdapat ikan yang selalu membaca selawat untukmu, kalau sesiapa yang mengambil seekor ikan dari laut tcrsebut maka akan lumpuhlah kedua belah tangannya dan ikan tersebut akan menjadi batu."

Tuesday, December 6, 2011

:: Rasulullah Pernah Disihir? ::



Oleh : Dato' Dr Harun Din
Sumber : http://www.darussyifa.org

Soalan

Saya ada beberapa soalan:
1.Ada dakwaan mengatakan Nabi Muhammad s.a.w. pernah disihir, betulkah ini berlaku? Tidakkah Nabi Muhammad maksum, terpelihara daripada kejahatan manusia? Adakah wujud keterangan dalam al-Quran atau as-Sunah tentang perkara ini?
2.Apakah hikmah Islam melarang keras pekerjaan atau amalan sihir?
3.Bolehkah saya menggunakan tangkal untuk menghalang kejahatan atau hasad dengki manusia?

MOHAMAD BACHOK
Rengit, Johor

Jawapan Pertama

Maksud firman Allah: “Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diperturunkan kepada mu dari Tuhan kamu dan jika tidak kamu kerjakan apa yang diperintahkan itu, bererti kamu tidak menyampaikan amanat­Nya. Allah akan memelihara kamu daripada (kejahatan) manusia, sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir” (Al-Maaidah: 67).

Perkataan maksum daripada makna perkataan ya’tsimuka (memelihara kamu). Dalam tafsir muktabar maksudnya, tidak ada orang yang boleh membunuhnya. Ia juga bermakna, Nabi Muhammad dipelihara sehingga tidak berlaku sesuatu kemaksiatan ke atasnya. Nabi tidak melakukan kesalahan yang mendatangkan dosa.

Bagi peristiwa Nabi disakiti sehingga luka kaki, dibaling batu oleh kanak-kanak upahan di Taif atau terluka (mengalami berbagai kesa­kitan) dalam Perang Uhud, sakit kepala, demam dan sebagainya, ia bukan bermaksud maksum, yang dipelihara Allah kerana baginda sebagai manusia biasa yang menerima wahyu, baginda juga berlapar, rasa dahaga, sakit dan sebagainya.

Mengenai Nabi disihir, jika diteliti, sihir memang boleh berlaku. Disebut dalam hadis sahih: Kata Aishah, telah disihir Rasulullah oleh seorang lelaki daripada Bani Zuraiq, dikatakan lelaki itu ialah Labid bin al-A’sam al-Yahudi. Rasulullah berasa tidak keruan atas perkara yang telah dilakukan, baginda merasa ragu sudah dilakukan atau tidak. Nabi bertanya Aishah, “Wahai Aishah, apakah kamu tahu bahawa Allah telah melakukan sesuatu ke atas diriku?” Nabi menyambung dengan katanya, “ada dua orang laki-laki datang kepadaku ketika aku sedang tidur, maka salah seorang berada di sisi kepalaku, seorang lagi berada di sisi kakiku, maka seorang daripadanya bertanya kepada kawannya, apakah sebenarnya yang dideritai oleh Muhammad ini?

Maka seorang lagi menjawab, dia telah disihirkan orang. Ditanya lagi, siapakah yang telah menyihirnya? Dijawab lagi, disihirkan oleh Labid bin al-A’samDitanya lagi dengan apakah dilakukan sihir itu? Jawab­nya, digunakan sikat rambutnya, dengan satu ikhtiar lain (sihir). Ditanya, di manakah diletakkan barang-barang tersebut?Dijawab­nya, ditanam dalam sebuah perigi namanya Perigi Darwan.

Maka ditanya lagi, dengan apa­kah kita akan merawatkan Muham­mad ini? Maka dibacakan beberapa ayat dari al-Quran. Nabi Muhammad s.a.w. sedar dari tidurnya, maka diberitahu kepada Aishah, “Bahawa­sanya, Allah SWT telah menyem­buhkan aku dan aku tidak mahu hal ini menjadi fitnah di kalangan manusia dan aku telah sembuh.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Musuh Islam, terutamanya Yahudi, akan melakukan apa sahaja untuk memenuhi kehendak mereka. Ulama bersepakat berpandukan hadis sahih ini, ada percubaan melakukan sesuatu yang dipanggil sihir. Nabi memerintahkan sahabat, turun ke dalam perigi mencari ba­rang-barang sihir tersebut, dikeluar­kan dan Nabi telah sembuh seperti biasa.

Peristiwa ini tidak boleh disa­makan dengan manusia di zaman kita yang terkena sihir sehingga hilang pertimbangan kewarasan, menderita kesakitan memanjang dengan mengganggu ibadat, malah mengganggu daripada melakukan kerja harian.

Semua itu tidak mengganggu Nabi, baginda cuma terasa ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam dirinya.Tiada siapa yang me­ngetahui, Aishah pun tidak menge­tahui sehingga Nabi memberitahu tentang dua orang lelaki (malaikat) datang untuk mengubat baginda dengan ayat-ayat al-Muawwizat, ayat pelindung penyakit sihir.

Ia merupakan panduan kepada umatnya untuk melindungi diri daripada penyakit. Jelas bahawa Nabi sendiri pun bila disihirkan orang, tidak mengetahui, melainkan selepas Jibrail as. memberitahu bahawa baginda telah matbub (disi­hirkan).

Jika Nabi sendiri tidak menge­tahui baginda disihirkan, bagaima­na orang hendak berubat, mengadu kesakitan, tiba-tiba si pengubat mengatakan ‘kamu telah kena sihir’ Datang pesakit lain, dikata ‘kamu telah kena buatan orang’, ada yang lebih ke hadapan mengatakan, ‘ka­mu telah disihir fulan bin si fulan.’

Bagaimana insan biasa boleh mengetahui sihir yang kena kepada orang lain? Bukan kena kepada dirinya, dengan membuat keputusan orang itu kena sihir, ini­lah masalah yang kita hadapi. Tidak sepatutnya berlaku sede­mikian kerana hanya Allah sahaja mengetahuinya dan tidak ada orang yang boleh tahu hal sebenarnya.Pengubatan disyariatkan, tetapi jangan sampai mendakwa orang itu kena sihir atau menuding jari kepada orang yang didakwa melakukan sihir.

Jawapan Kedua

SIHIR pada kebiasaannya meng­agungkan makhluk halus sama ada yang bernama iblis, jin, syaitan dan sebagainya. Mereka bertugas sapenuh masa menyesatkan anak Adam dan menjauhkan mereka dari rahmat Allah SWT.
Selepas dilaknati Allah mereka berusaha menyesatkan manusia. Salah satu caranya adalah meng­gunakan sihir sebagai satu profesion mereka mengajar manusia melakukan kejahatan tersebut.

Manusia mudah terpengaruh melihat orang yang mampu mela­kukan perkara ganjil, mengetahui penyakit orang lain tanpa diberitahu, atau mungkin boleh membaca fikiran orang lain. Kemungkinan ini boleh berlaku dengan bantuan makhluk halus. Perkara itu merangsang manusia mendampingi dan mendapatkan khidmat ahli sihir untuk menyam­paikan sesuatu maksud mereka.

Sihir menyebabkan kerosakan akidah. Maksud hadis Rasulullah, “Sesiapa yang mendatangi ahli sihir maka sesungguhnya dia telah mensyirikkan Allah SWT.” (Riwayat Imam Muslim)

Hadis lain menyebut (mahfumnya), “Sesiapa yang mendatangi seorang yang mendakwa mengetahui perkara ghaib, lalu mempercayai dakwaan tersebut, sesungguhnya dia telah kufur dengan al-Quranul Karim yang diturunkan kepada Nabi Muhammad.”

Sihir membuka jalan manusia mempercayai apa sahaja yang di­katakan ahli sihir. Kata-kata seperti, “penyakit itu berpunca daripada orang yang terdekat kepadanya” atau kadang-kadang menamakan orang tertentu (sama ada ahli keluarga atau kawan karibnya). Ini boleh menimbulkan permusuhan sehingga perkara yang tidak sepatutnya beraku, dilakukan. Lebih buruk apabila, dibalas balik dengan sihir juga.

Allah menyebut (mahfumnya), “Sesungguhnya syaitan-syaitan itu mengehendaki supaya berlakulah di kalangan kamu, permusuhan dan benci-membenci.” (Ali-Imran: 91)

Apabila orang yang mendatangi ahli sihir,  syaitan mengambil kesem­patan menimbulkan permusuhan antara dua orang yang berkasih, menimbulkan kebencian antara anak beranak.

Ilmu sihir boleh menimbulkan caca marba dalam masyarakat. Peluang ini digunakan oleh orang yang bukan ahli sihir, tetapi mendakwa boleh melakukan hal-hal sedemikian untuk mendapat keun­tungan duniawi sehingga menge­nakan bayaran yang tidak tertanggung oleh pesakit.

Maka Islam sebagai agama salam sejahtera, menyelamatkan manusia dari hal-hal yang tidak baik, khasnya menjaga akidah supaya tidak rosak, memelihara harta benda dari peme­rasnya dan supaya manusia kembali kepada pertolongan Allah SWT.

Islam melarang dengan sekeras­ kerasnya menggunakan sihir sebagai medium menyampaikan sesuatu maksud.


Jawapan Ketiga

DI zaman permulaan Islam amalan memakai tangkal digunakan dalam masyarakat jahiliyyah. Rasulullah mengharamkan tangkal dan meng­gantikan dengan penggunaan ayat Al-Quran dan doa, khususnya memohon daripada Allah menghindari dari sesuatu yang tidak diingini.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya, juzuk ke 4 halaman 156 disebut hadis yang mahfumnya, “Sesiapa yang menggantung tangkal, maka sesungguhnya dia telah melakukan perkara syirik.”

Hadis ini merupakan hadis umum. Berlaku suatu ketika apabila sahabat menerima ayat al-Quran, diamalkan untuk menghindari gangguan, menulis ayat tersebut di kertas dan menggantungkan kepada anak-anak meneka yang belum boleh membaca al-Quran. Bila dirujuk kepada Rasulullah, baginda tidak melarangnya. Ada sebahagian pendapat jika tangkal tersebut diperbuat daripada ayat-ayat al-Quran, maka ia diharuskan.

Pandangan ulama muktabar yang dipetik daripada Kitab al-Fatawa an­Zahabiyyah pada halaman 253 bagi soalan seperti dikemukakan ini, dijawab bahawa, “Adapun penulisan ayat-ayat al-Quran dan nama-nama Allah SWT untuk dijadikan tangkal, maka ulama- ulama berselisih pendapat, di kalangan ulama-ulama salaf ada yang mengharamkannya secara mutlak dan ada sedikit yang mengharuskannya dengan syarat-syarat khusus.

“Yang paling sahih, bahawasanya penggunaan tangkal-tangkal sama ada al-Quran atau tidak, dilarang dalam hadis-hadis terdahulu. Tentang keharusan yang Rasulullah berikan kepada beberapa orang sahabat, itu adalah pada permulaan Islam.

“Apabila iman sudah tertanam dalam diri dan untuk mengelak daripada keburukan-keburukan yang boleh menjejaskan iman, maka, dilarang sama sekali penggunaan tangkal, walaupun menggunakan ayat al-Quran kerana, (1) mencegah daripada keburukan yang lebih besar; (2) menjaga kesucian al-Quran dari terbawakedalam tandas dan; (3) membulatkan keyakinan bahawa Al­lah Taala sahaja yang melindungi manusia daripada segala-galanya.”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...