Hot Stuff

Showing posts with label usrah. Show all posts
Showing posts with label usrah. Show all posts

Monday, December 5, 2011

:: Minggu Kelima Usrah (Konsep Ibadah Dalam Islam) ::



OBJEKTIF
1.     Ahli usrah memahami tentang konsep ibadah di dalam Islam.
2.  Ahli usrah memahami bagaimana sesuatu amal perbuatan dapat mencapai status ibadah.
3.    Ahli usrah memahami kepentingan ibadah dalam membina ummah.

KANDUNGAN
1.      Pengertian ibadah bahasa dan istilah
2.      Hubungan aqidah dan ibadah
3.      Ruang lingkup ibadah dalam Islam
4.      Pengkhususan ibadah umum dan khusus
5.      Syarat amal untuk mendapat status ibadah
6.      Salah faham terhadap pengertian ibadah
7.      Kepentingan ibadah dalam membina ummah

PENGERTIAN IBADAH
Abu Al-Ala Al-Maududi telah mentarifkan ibadah daripada segi bahasa dan istilah di dalam bukunya Asas-asas Islam seperti berikut:

Bahasa: Merendah diri, tunduk, patuh dan taat
Istilah : Taat, tunduk, patuh dan merendah diri kepada Allah. Jelasnya, ibadah ialah pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah subhaanahu wa taaala.

Al-Quran menjelaskan bahawa ibadah sebagai ubudiyyah dan ketaatan. Firman Allah:
  Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (Al-Baqarah:1-2)

HUBUNGAN AQIDAH DAN IBADAH
Bila seseorang itu telah mempunyai aqidah yang kukuh maka:
*   Hidupnya hanyalah untuk beribadah kepada Allah sebagaimana firman Allah:

Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu. (Adz-Dzariyat:56)

Perintah dalam ayat ini adalah perintah untuk beribadat kepada Allah semata-mata, menghambakan diri dengan sepenuhnya kepada Allah dan hikmah diciptakan jin dan manusia.
*  Menolak segala kepatuhan dan ketaatan yang selain dari ketaatan kepada Allah.
Firman Allah:

Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): Sembahlah Allah dan jauhilah thoghut. (Al-Nahl:36)

Thoghut ialah semua yang disembah atau yang dipatuhi selain Allah.

*         Membina kehidupan di dunia menurut peraturan-peraturan Allah

RUANG LINGKUP IBADAH DALAM ISLAM
Islam amat istimewa hingga menjadikan seluruh kegiatan manusia sebagai ibadah apabila diniatkan dengan penuh ikhlas kerana Allah demi mencapai keredhaanNya serta dikerjakan menurut cara-cara yang disyariatkan olehNya.

Islam tidak membataskan ruang lingkup ibadah kepada sudut-sudut tertentu sahaja. Seluruh kehidupan manusia adalah medan amal dan persediaan bekalan bagi para mukmin sebelum mereka kembali bertemu Allah di hari pembalasan nanti.

Hakikat ini ditegaskan oleh Allah di dalam Al-Quran:
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (Al-Mulk:2)

Oleh itu ruang lingkup ibadah dalam Islam sangat luas. Ia adalah seluas tempoh hayat seseorang Muslim dan kesanggupan serta kekuatannya untuk melakukan apa saja amal yang diredhai oleh Allah dalam tempoh tersebut.

PEMBAHAGIAN IBADAH UMUM DAN KHUSUS
Ibadah terbahagi kepada dua iaitu khusus dan umum:
*         Ibadah khusus
Merupakan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana  yang terkandung di dalam Rukun Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan beberapa amalan khusus seperti tilawah Al-Quran, zikir dan seumpamanya.

 Ianya bersifat taufiqiyyah, iaitu dilaksanakan menurut garis-garis yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan berhenti setakat sempadan yang telah ditentukan oleh syara dan sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tanpa boleh ditambah atau dikurangkan atau membuat sebarang perubahan terhadapnya. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:

  Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang. (Sahih Bukhari)

*         Ibadah umum
Segala perkara atau amalan selain daripada kumpulan ibadah khusus di atas yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan sehariannya.

SYARAT AMAL UNTUK MENDAPAT STATUS IBADAH
Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya Ibadah Dalam Islam telah memberikan syarat-syarat supaya sesuatu itu mendapat status ibadah:
*   Amalan-amalan yang dikerjakan itu mestilah bersesuaian dengan hukum Islam dan tidak bercanggah dengan hukum tersebut.
*         Amalan tersebut dilakukan dengan niat yang baik atau kerana Allah.
*    Amalan tersebut mestilah dilakukan dengan seelok-eloknya bagi menepati oleh Rasulullah:
Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya. (Muslim)
*    Ketika membuat amalan tersebut, hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syara dan ketentuan batasnya, tidak menzalimi orang lain, tidak khianat, tidak menipu, tidak menindas orang lain dan merampas hak-hak orang.
*    Tidak mencuaikan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat, dan sebagainya dengan melaksanakan ibadah-ibadah umum.

SALAH FAHAM TERHADAP PENGERTIAN IBADAH
Ibadah dalam Islam adalah berlainan sama sekali dengan konsep dan amalan agama-agama lain atau kepercayaan-kepercayaan lain. Ianya bukan perbuatan mengasingkan diri, ianya juga tidak terbatas kepada tempat-tempat tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui perantaraan orang-orang tertentu.

Konsep-konsep seperti ini tidak wujud di dalam syariat Islam. Namun demikian pengaruh konsep asing ini telah dapat juga meresap ke dalam kehidupan sebahagian  besar daripada masyarakat Islam. Oleh itu timbullah pelbagai tanggapan terhadap ibadah. Ada yang menganggap ibadah itu hanya tertumpu kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja, terdapat juga di kalangan ummat Islam yang mengaku beribadah kepada Allah, tetapi tindak-tanduknya menunjukkan bahawa ia melaksanakan ubudiyyah kepada sesuatu yang lain daripada Allah. Malah terdapat juga orang yang berpendapat bahawa ruang lingkup ibadah itu tidak ada kaitan langsung dengan urusan masyarakat, terutamanya dalam bidang politik dan pemerintahan. Semua ini adalah tanggapan-tanggapan yang amat salah.

HIKMAH DAN FALSAFAH IBADAH SOLAT, PUASA, ZAKAT, DAN HAJI
*         Solat
Dalam solat jelas tergambar ibadah lisan dengan membaca ayat-ayat Al-Quran, bertakbir, bertasbih dan berdoa. Demikian juga dengan ibadah perbuatan dengan berdiri, duduk, ruku dan sujud. Terdapat di sana ibadah aqal dengan berfikir, dan merenung makna Al-Quran. Di sana terdapat ibadah hati dengan ikhlas, khusyu mencintai Allah dan merasakan Allah senantiasa memerhati dan mengamati amal hambaNya.

Solat juga menjadikan seseorang itu benar-benar menyedari kedudukannya sebagai hamba Allah. Setiap kali dia bertakbir, maka ia mengingatkan dirinya tentang kebesaran Allah. Rasa takut dan berharap terhadap Allah yang ditanam oleh ibadah solat ini akan memimpin di dalam seluruh hidupnya hinggakan seluruh tindak-tanduknya dipengaruhi oleh sifat-sifat yang terkandung di dalam solat tersebut.

*        Zakat
Zakat bereti kesucian dan kebersihan. Ini bererti kesucian dan kebersihan jiwa seseorang mukmin tidak mungkin dapat dicapai tanpa dia memberikan hak saudara-saudaranya yang miskin terhadap harta bendanya melalui zakat. Oleh itu di dalam Islam zakat adalah satu asas persaudaraan Islam. Ia melenyapkan sikap mementingkan diri sendiri yang selalu menjadi punca kelemahan sesuatu masyarakat. Zakat adalah di antara asas penting bagi penubuhan sebuah masyarakat Islam yang bertaqwa.

*         Puasa
Matlamat utama puasa ialah supaya kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah subhaanahu wa taaala. Sebagaimana firman Allah:

  Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.

Dalam ibadah puasa, orang-orang beriman dilatih supaya bersedia untuk berkorban demi untuk kepentingan Islam melalui menanggung kesusahan, kelaparan, kedahagaan dan keletihan. Puasa yang disyariatkan sebulan penuh bertujuan untuk meningkatkan dalam diri mukmin daya juang, keikhlasan dan sifat konsisten (istiqamah) yang mana kesemuanya akan menambahkan ketaqwaan kepada Allah subhaanahu wa taaala.

*         Haji
Allah telah berfirman:
  Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. (Al-Hajj:27)

Seseorang Mukmin yang telah melalui seluruh proses haji ini kan kekal bersama-sama pengalaman melaksanakan ibadah tersebut. Hinggakan kesannya tidak akan hilang selama bertahun-tahun. Malahan hatinya akan sentiasa rindu untuk terus berkunjung semula ke Tanah Suci demi untuk mencurahkan rasa kecintaannya kepada Allah di Baitullah.

KEPENTINGAN IBADAH DALAM MEMBINA UMMAH
Tiang-tiang ibadah mengembangkan kebaikannya kepada seluruh ruang lingkup kehidupan manusia sehingga manusia dibanjiri dengan kebaikan dan kemanfaatan melaluinya. Solat yang benar-benar khusyu akan mempengaruhi seluruh kehidupan seseorang itu sehingga ia merasakan jijik untuk dan benci untuk melakukan sebarang kejahatan dan kemungkaran. Sebagaimana firman Allah:

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (Al-Ankabut:45)

Ruh yang dibawa oleh sistem zakat pula mengembangkan daya kerja yang tinggi di kalangan orang-orang beriman. Orang yang benar-benar beriman menganggap bekerja dan menambah rezeki adalah dengan satu tujuan sahaja iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah dengan mengeluarkan sebahagian daripada pendapatan yang diperolehi ke jalan Allah iaitu dengan memberikan sedekah dan membayar zakat dan jihad fisabilillah.

Tujuan utama puasa pula ialah untuk mewujudkan taqwa kepada para mukmin. Puasa yang mengukuhkan sifat taqwa di dalam jiwa mukmin akan menjadikan seseorang itu ikhlas dengan sepenuh hatinya dalm melaksanakan segala perintah Allah, sanggup melakukan tugas-tugas yang berat dalam mentaati Allah dan lebih mengutamakan kepentingan ummat Islam daripada kepentingan peribadinya.

Manfaat haji yang besar adalah dorongan bagi seluruh ummat Islam mengukuhkan kesatuan Muslim. Kesatuan ummat Islam merupakan tunjang kekuatan yang paling utama yang dapat memimpin ummat manusia.

Kesimpulannya, setiap ibadah itu jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan dapat melahirkan ummah yang kuat, bersatu dan diredhai oleh Allah subhaanahu wa taaala.

BAHAN RUJUKAN
1.      Konsep-konsep Umum Islam Abu Urwah
2.      Al-Ibadah Fil Islam Dr Yusuf Al-Qardhawi

SOALAN-SOALAN PERBINCANGAN
1.      Apakah yang dimaksudkan dengan ibadah dalam Islam?
2.      Apakah yang anda faham dengan ibadah umum dan ibadah khusus?
3.      Apakah unsur-unsur yang perlu diberi perhatian untuk memastikan sesuatu amal itu mendapat taraf ibadah?
4.      Mengapakah ibadat itu penting?

Friday, December 2, 2011

:: Minggu Keempat Usrah (Iman dan Perkara Yang Berkaitan Dengannya) ::



OBJEKTIF
1. Ahli usrah mengetahui perkara-perkara yang membatalkan syahadah dan sentiasa berhati-hati agar tidak melakukannya.
2.     Ahli usrah memahami dengan baik konsep iman.
3. Ahli usrah mengetahui sifat iman yang bertambah dan berkurang dan mengetahui cara-cara untuk meningkatkan iman.
4.  Ahli usrah memahami konsep kufur, syirik, murtad, nifaq, dan fasiq; dan senantiasa berwaspada agar tidak terlibat dengannya.

KANDUNGAN
1.      Perkara yang membatalkan syahadah (1-20)
2.      Iman Pengertian
3.      Iman bertambah dan berkurang
4.      Cara menambahkan iman
5.      Cra pembatalan iman
6.      Kufur Pengertian
7.      Pembahagian kufur
8.      Syirik, murtad, nifaq dan fasiq pengertian dan perbahasan

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAH
*   Bertawakkal dan bergantung kepada selain daripada Allah.
*  Ingkar nikmat Allah samaada yang terang atau yang sembunyi, yang mudah difikirkan atau yang memerlukan kajian.
*  Bekerja atau berkhidmat dengan tujuan selain daripada Allah kerana Allah tidak menyukainya.
* Menggubal undang-undang mengikut kemahuan manusia bukan mengikut ketentuan Allah.
*  Menumpukan segala ketaatan kepada selain Allah dengan cara yang tidak disukaiNya.
* Menjalankan hukum selain dari hukum Allah atau tidak merujuk kepada hukum Allah dalam sesuatu perkara.
*   Benci atau menentang sesuatu perkara yang berhubung dengan Islam atau menbenci agama Islam seluruhnya.
* Mencintai kehidupan dunia mengatasi kecintaan akhirat dan menjadikan dunia ini sebagai matlamat utama yang unggul dalam hidupnya.
* Menghina sesuatu daripada kitab Allah atau sunnah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam atau orang-orang alim yang menegakkannya  atau mempersendakan hukum-hukum daripada hukum Allah atau syiar-syiar Islam.
*    Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan sebaliknya.
*   Tidak beriman dengan semua sumber-sumber (punca) hukum daripada kitab Allah dan As-Sunnah.
* Melantik orang-orang kafir dan munafiq menjadi pemimpin serta tidak mencintai orang-orang yang beraqidah Islam dan mukmin.
* Tidak beradab dalam pergaulan dengan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.
*   Rasa takut, lemah hati di dalam menegakkan Tauhidullah dan rasa lapang, terbuka dan riang dalam menegakkan perkara-perkara syirik.
*  Menyatakan bahawa Al-Quran terdapat pertentangan di antara ayat yang dan isi yang terkandung di dalam ayat itu.
*  Tidak mengetahui tentang marifat Allah dan pengenalan yang jelas serta ingkar dengan sifat-sifat ketuhananNya dan ingkar nama-namaNya.
* Tidak mengetahui atau mengenali Rasul dengan betul atau menafikan adanya sifat-sifat yang terpuji yang diberikan oleh Allah kepadanya atau menghina sifat-sifat kepujian atau mengitiqad bahawa baginda adalah contoh utama bagi manusia.
* Mengkafirkan orang yang mengucap dua kalimah syahadah serta tidak mengkafirkan orang yang telah ingkar syahadah dan tidak menghalalkan berperang dengan mereka.
*  Membuat sesuatu pekerjaan (ibadah) bukan kerana Allah, sujud dan tawaf berkiblatkan kepada selain Baitullah dengan niat mendekati Allah.
*  Banyak jenis syirik yang menggugurkan syahadatain yang dinamakan syirik kecil seperti mengerjakan solat kerana hendak mendapatkan pujian, bersedekah kerana sungutan orang atau supaya orang datang kepadanya seolah-olah dia berjihad iaitu supaya orang mengenag jasa dan namanya.

PENGERTIAN IMAN
Kalimah iman berasal daripada kata akar (al-amanu) yang bererti aman; iaitu ketiadaan rasa takut. Pecahan kalimah (al-amana) pula terdiri daripada kalimah-kalimah (al-amaanu), (al-amaanatu) dan (al-amiinu). Kesemuanya mengandungi makna induk iaitu: keamanan daripada rasa takut dan bimbang dan aman daripada dusta dan penipuan. Ia juga memberi makna kedamaian dan ketenangan jiwa.

Daripada kalimah (al-amanu) ini lahirlah kalimah (al-iimaan) yang mengandungi beberapa makna. Di antaranya kalimah iman ini membawa maksud: mengitiraf, mengakui dan membenarkan sesuatu tanpa mendustakannya. Iman dalam pengertian bahasa mengandungi makna-makna: ketenangan, rasa penuh percaya, tiada keresahan jiwa, kesihatan aqal serta aman damai daripada takut dan bimbang.

Daripada segi istilah pula, iman bermaksud: membenarkan (tasdiq) iaitu beritiqad dengan hati dengan segala yang diketahui ianya daripada deen Islam yang dibawa oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam serta berikrar dengan lidah dan beramal dengan seluruh anggota badan.

CARA MENAMBAH IMAN
Ada beberapa perkara yang menyebabkan bertambahnya iman seseorang:
*         Ilmu
Ilmu yang dimaksudkan di sini ialah:
1.      Ilmu yang berkaitan dengan Allah, nama-namaNya serta sifat-sifatNya, perbuatan-perbuatanNya dan nikmat-nikmatNya.
2.      Ilmu yang berkaitan dengan Rasulullah, akhlak-akhlak beliau, manhaj hidup serta syariatnya, serta perjalanan hidupnya dalam masalah ibadahnya, perjuangan dan juga muaamalahnya.
3.      Ilmu yang berkaitan dengan kitaabullah yang mengandungi berita-berita, contoh-contoh, hukum, pengajaran, perbezaan dan lain-lain lagi.
*         Amal perbuatan
 Amal perbuatan yang dimaksudkan di sini ialah membanyakkan amalan-amalan soleh serta menperdalami ketaatan sehingga menambahkan keyakinan dan memperkukuhkan keimanan serta menghindari diri daripada perkara-perkara yang boleh menjerumuskan ke dalam nafsu syahwat serta kemaksiatan-kemaksiatan lainnya yang boleh melemahkan iman.
*         Zikir dan fikir
 Zikir ialah mengingati Allah serta sifat-sifatNya, apa-apa yang berkaitan dengan keagunganNya dan membaca kalam-kalamNya sehingga hati kita senantiasa ingat kepadaNya. Fakir pula ialah aktiviti yang membawa kepada renungan terhadap ciptaanNya serta memandang kepada Allah dengan memikirkan mukjizat-mukjizatNyaa sehingga dapat membuahkan iman kepada Allah, iaitu merasakan kekuasaan dan keagunganNya. Cara pandang yang demikian itulah yang disebutkan dengan tafkir dan itibar.

CARA PEMBATALAN IMAN BERLAKU
 Empat batas utama yang menjadikan terbatalnya iman seseorang itu ialah:
*         Mengingkari atau mencela sifat rububiyyah Allah.
*         Mengingkari atau mencela nama-nama Allah serta sifat-sfatNya.
*         Mengingkari atau mencela sifat uluhiyyah Allah.
* Mengingkari atau mencela Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, kerasulannya, dan apa-apa yang dibawanya dalam bentuk syariat atau lain-lainnya.
Keempat-empat perkara tersebut berlaku dengan itiqad, perkataan dan perbuatan di mana sesiapa sahaja yang melakukannya maka terbatallah imannya dan terkeluarlah ia daripada Islam dan syahadahnya.

PENGERTIAN KUFUR
Kufur ialah tidak beriman kepada keesaan Allah, atau kenabian, atau syariat, atau ketiga-tiganya sekali.

PEMBAHAGIAN KUFUR
Ibn. Manzur dalam Lisan Al-Arab telah membahagikan kufur itu kepada empat bahagian iaitu:
*         Kufur ingkar
Iaitu kufur di dalam hati dan lidah. 

Sebagaimana firman Allah subhaanahu wa taaala:
  Sesungguhnya orang-orang kafir itu sama sahaja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak, mereka tidak juga beriman. (Al-Baqarah:6)

*         Kufur juhud
Iaitu mengakui dengan hati tanpa ikrar dengan lidah. Contonya seperti kufurnya iblis dan kufurnya Umayyah Bin Abi Al-Salt.
*         Kufur
Iaitu mengaku dengan hati, ikrar dengan lidah tetapi tidak menunaikan kehendak-kehendak agama kerana dengki dan sombong seperti kufur Abu Jahal dan kuncu-kuncunya.
*         Kufur nifaq
Iaitu mengakui dengan lidah, tetapi kufur dan tidak bertekad di dalam hatinya. Di dalam kita Al-Tahzib ada menyebutkan bahawa: Mengaku dengan hati dan ikrar dengan lidah, tetapi enggang menerima Islam, ini seperti kafirnya Abu Talb, yang mana beliau berkata: Saya akui bahawa agama Muhammad adalah sebaik-baik agama, jika tidak kerana celaan dan cacian tentu aku terimanya (memeluk Islam).

SYIRIK, MURTAD, NIFAQ, FASIQ
*         Syirik
Syirik bermakna mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain daripada sifat uluhiyyahnya (berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintahNya dan didoakan kepadaNya) ataupun sifat rububiyyahnya (menjadikan, mentadbir, dan menguruskan alam). Sesiapa yang menganggap mana-mana satu daripada sifat-sifat yang tersebut itu ada pada selain daripada Allah, sesungguhnya dia telah melakukan syirik dengan Allah walaupun dia pada masa itu masih mengaku beriman dengan Allah. 

Sebagaimana firman Allah subhaanahu wa taaala:
  Dan (orang yang beriman kepada Allah), kebanyakannya tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.

Perkataan kufur juga mempunyai makna yang sama dengan syirik walaupun terdapat di kalangan ulama yang membezakan di antara kufur dengan syirik tetapi apabila dilihat kepada mafhumnya maka ianya tidaklah mempunyai perbezaan yang boleh dianggap bahawa dua perkataan itu mempunyai makna yang terlalu berlainan. 
*         Murtad
Murtad bermakna kembali setelah Islam. Ijma ulama menyatakan bahawa seseorang Muslim yang ingkar kepada apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah adalah murtad; iaitu kafir setelah Islam kecuali jika dia benar-benar jahil. Tetapi sekiranya diberitahu dan ditegakkan hujjah namun dia masih tetap dengan keingkarannya maka dia dihukumkan dengan kufur dan murtad.
*         Nifaq
Nifaq ialah sifat dan amalan yang dilahirkan oleh seseorang yang berupa amalan dan sifat seorang Muslim pada zahirnya tetapi hakikatnya dan juga apa yang ada di dalam hatinya tidak demikian. Jika apa yang tersembunyi di hatinya itu berupa perasaan yang tidak menafikan iman, maka tidaklah menjadi kufur. Sekiranya terdapat perasaan yang menafikan iman walaupun lidahnya berikrar, maka dia tidak beriman di sisi Allah. Tetapi di kalangan kita, dia adalah orang Islam, bermuamalah dengannya sebagai seorang Islam selagi tidak lahir kekufurannya. Sesungguhnya Allah hanya memberitahu kepada kita tand-tandanya sahaja dan terserahlah kepada si munafiq itu untuk menyedari bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang tersembunyi di hatinya. Di dalam Al-Quran, Allah telah mendedahkan sifat-sifat orang munafiq seperti berikut:

  Dan di antara manusia ada yang mengatakan: Kami beriman kepada Allah dan hari akhirat, padahal mereka bukanlah oran yang beriman. Mereka hendak menipu Allah, padahal mereka menipu diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak sedar.

*         Fasiq
Fasiq pada umunya ialah maksiat, meninggalkan perintah Allah, dan keluar dari jalan yang dibenarkan. Di dalam Al-Quran, istilah fasiq ini digunakan bagi menerangkan perbuatan-perbuatan tersebut:
1. Maksiat kepada Allah dalam meninggalkan tauhid, maka ini adalah syirik (As-Sajadah:18)
2. Maksiat kepada apa yang dibawa oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, maka ini adalah kufur (At-Taubah:80)
3.      Maksiat kepada Deen tanpa syirik dan kufur (Al-Maidah:25)

BAHAN RUJUKAN
1.      Muqaddimah Aqidah Muslim Haji Abdul Hadi Haji Awang
2.      Rukun-rukun Islam dan Pengertian Syahadah Said Hawwa
3.      ILHAM Bahan Kendiri PJJ
4.      Garis Pemisah Antara Kufur dan Iman Dr Abdul Rahman Abdul Khalid

SOALAN-SOALAN PERBINCANGAN
1.   Merujuk kepada situasi masyarakat kita hari ini, sila kenal pasti beberapa perkara yang boleh membatalkan syahadah.
2.      Jelaskan konsep iman yang anda fahami.
3.      Apakah sifat-sifat iman?
4.      Bagaimanakah caranya untuk kita meningkatkan iman?
5.      Jelaskan pengertian kufur, syirik, murtad, nifaq, dan fasiq.
6.      Berikan contoh-contoh yang menjebakkan manusia moden hari ini ke dalam penyakit aqidah seperti di atas.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...