Hot Stuff

Sunday, August 30, 2009

:: Warkah Buat Bondaku Sayang ::



Oleh : Tuan Muda Farhan

ASSALAMUALAIKUM warahmatullahi wabarakatuh.

Menemui ibu yang dikasihi, semoga sentiasa dalam kesejahteraan dan limpah rahmat kasih sayang-Nya. Anakanda doakan mudah-mudahan dirimu terus tegar dan tabah dalam menghadapi keperitan dan ranjau kehidupan yang kian mencabar.

ibu sayang,
Sesungguhnya tiada kata yang dapat anakanda lafazkan. Tiada lukisan yang dapat dilakarkan dan tiada tulisan yang dapat dititipkan untuk melahirkan rasa penghargaan buatmu ibu, melainkan rasa kesyukuran setinggi-tingginya kerana dikurniakan ibu seperti mu. Sedar tidak sedar, kini usiaku menjangkau 18 tahun. Tidak dapat kugambarkan betapa keperitan yang ibu rasakan ketika bertarung nyawa melahirkanku. Ibu berkorban segala jiwa dan raga demi melihat sinar hidup anakmu. Hanya Dia yang layak membalasnya.

ibu,
Seketika aku terkenang firman Allah bermaksud: Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah. Mengandungnya hingga berpisah selama 30 bulan sehingga apabila dia dewasa dan umurnya menjangkaui 40 tahun, dia berdoa:

Ya Tuhanku, tunjuklah aku untuk mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau berikan kepadaku dan kedua-dua ibu bapaku dan supaya aku beramal soleh yang Kau redai. Berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada zuriatku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk dalam golongan orang yang berserah diri."Firman-Nya lagi: 

"Mereka itulah orang yang kami terima daripada mereka amalan kebaikan yang mereka kerjakan dan Kami ampunkan kesalahan mereka bersama penghuni syurga sebagai janji benar yang telah dijanjikan kepada mereka." (Surah al-Ahqaf, ayat 15 hingga 16)

Aku terharu.
Tanpa disedari, air bergenang di kelopak mataku. Betapa tingginya kedudukanmu di sisi Tuhan. Betapa mulianya tugasmu ibu hingga disebutkan dalam al-Quran. Betapa Dia menjanjikan keampunan dan syurga buat mereka yang mentaati ibu bapa. Dalam ayat lain pula, firman-Nya bermaksud:

Dan Kami perintahkan kepada manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menderita kelemahan atas kelemahan dan berpisah (melahirkan) dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu." (Surah Luqman, ayat 15)

Nabi Muhammad SAW juga amat memuliakan diri insan bergelar ibu. Sabda Baginda bermaksud: "Telah datang seorang lelaki menemui Rasulullah, lalu dia bertanya: Siapakah orang yang paling layak untuk aku berbuat baik? Jawab Baginda: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Jawab Baginda: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Jawab Baginda: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Jawab Baginda: Bapamu". 

(Muttafaqun 'alaih)Urwah, sahabat Rasulullah berkata: "Tunduklah kamu di hadapan ibu bapamu sebagaimana tunduknya seorang hamba abdi di hadapan tuannya."Kata Atha' bin Rabah: "Janganlah kamu mengangkat tangan apabila sedang bercakap dengan kedua-dua ibubapamu."

Imam Hassan al-Banna berkata: "Hendaklah si anak itu bercakap kepada orang tuanya: Wahai ibu! Wahai ayah! Dan jangan sesekali memanggil dengan menyebut nama mereka."

Apabila dikenang kembali waktu kecil, hatiku sering memberontak lantaran rasa kebebasan diri disekat. Tidak seperti orang lain yang mudah memperoleh apa saja yang diinginkan. Namun, kini aku sedari bahawa tindakanmu ibu, bukan untuk menyakiti diriku, bukan juga untuk mendera. Jauh sekali untuk membalas dendam terhadap apa yang pernah ibu rasakan.

Tindakan itu untuk mendidik diriku menjadi seorang insan yang bakal berjuang untuk agama, keluarga, bangsa dan negara. Terima kasih ibu, ayah.Namun ibu, aku berduka cita melihatkan fenomena dunia kini. Tamadun manusia semakin meningkat, kemajuan di sana sini, namun hakikatnya jiwa dan rohani mereka kian mundur. Demi mengejar kemajuan kebendaan dan mengagungkan nafsu menyesatkan, mereka sanggup mengetepikan arahan Tuhan.

Bukankah Dia Yang Maha Mulia memerintahkan agar sekalian manusia berlaku ihsan terhadap ibu bapanya yang bersusah payah melahir dan membesarkannya? Bukankah Dia memberi amaran keras terhadap mereka yang mengabaikan kedua-dua ibu bapanya? Lupakah mereka pada kisah Alqamah, sahabat Rasulullah yang menghadapi kesulitan untuk mengucap syahadah ketika ajal menjemput lantaran mengutamakan isteri melebihi ibunya?Apakah manusia tidak ingin mengambil iktibar terhadap kisah pemuda yang diselamatkan Allah daripada terperangkap dalam gua hanya kerana bakti dan pengorbanan terhadap kedua-dua orang tuanya? Adakah mereka sangka bahawa mereka dapat membalasnya dengan nilaian wang dan harta?

Duhai ibu, semoga Allah melindungi diriku daripada bersifat sebegitu. Ibu, sampaikan salam hormatku buat sekalian sahabatmu. Anakmu yang kerdil ini mendoakan agar ibu sekalian dikurniakan ketabahan seperti tabahnya Maryam, ibu Nabi Isa. Allah memilihnya untuk dipertanggungjawabkan dengan amanah sebagai seorang ibu, meskipun tanpa kehadiran suami. Begitu juga kepahitan yang dirasakan oleh bonda Rasulullah, Aminah binti Abdul Wahab ketika dibawa berita gembira mengandungkan Baginda, suami tercinta pula dipanggil mengadap Yang Esa. Ketabahan dan keutuhan peribadi mereka akhirnya melahirkan peribadi unggul, insan pilihan yang membawa manusia kepada Penciptanya.

Ibu tercinta, anakanda memohon keampunan atas segala kesalahan dan keterlanjuran yang dilakukan selama ini dalam sedar atau tidak. Ketahuilah ibu, sesungguhnya anakmu ini tidak ingin melukai hati suci ibu. Anakanda tidak ingin menjadi seorang anak derhaka. Ibu, anakanda akan berusaha menjadi seorang anak terbaik buat ibu dan ayah, contoh cemerlang buat keluarga. Doakan anakmu ini berjaya mencapai cita-cita, dan menjadi penyejuk hati kedua-dua ibu dan ayah. Sebelum berundur, dari jauh anakanda titipkan petikan kata-kata nasyid ini buat mu.

Ibu... Bergenang air mataku. Terbayang wajahmu yang redup sayu.. Restumu dan kasihmu kuharapkan..Kerana di situ letak syurgaku..Ibu... Kau ampunilah dosaku..Andainya ku pernah menghiris hatimu... Kasihanilah Wahai Tuhan..Ibu yang telah melahirkan diriku... Dengan kepayahan sewaktu kecilku..Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana...


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...