HATI
adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan nikmat paling agung diberikan
Allah sebagai titik untuk menilai keikhlasan. Di hati lahirnya niat yang
menjadi penentu sesuatu amalan diterima sebagai pahala atau sebaliknya.
Hati
perlu dijaga dan dipelihara dengan baik supaya tidak rosak, sakit, buta, keras
dan tidak mati bagi mengelak penyakit masyarakat yang berpunca daripada hati.
Kerosakan
pada hati membawa kepada kerosakan seluruh nilai hidup pada diri seseorang
individu. Penyakit hati yang menyerang kebanyakan kita ialah penyakit fitnah,
sama ada menjadi penyebar atau mudah mempercayai fitnah.
Perbuatan
fitnah adalah sebahagian perbuatan mengadu-domba yang mudah menyebabkan
permusuhan dua pihak yang dikaitkan dengan fitnah berkenaan.
Masyarakat
yang dipenuhi budaya fitnah akan hidup dalam keadaan gawat. Sebelah pihak sibuk
menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah
itu.
Natijah
akibat perbuatan itu boleh mencetus persengketaan dan mungkin berakhir dengan
tragedi kerugian harta benda dan nyawa. Individu yang suka menyebar fitnah
sentiasa mencari kejadian atau berita boleh dijadikan bahan fitnah.
Hakikatnya,
dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga.
Sabda Rasulullah SAW
bermaksud: Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah. (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)
Dosa menyebar fitnah
umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu
sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan
sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.
Penyebar khabar
angin biasanya menyebut perkataan dengar khabar mengenai berita yang
disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang,
maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti
berita benar.
Dalam Islam, sesuatu
berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu
tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap
dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.
Imam Ghazali dalam
buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan
menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu
diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah.
Mengenai berita
benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan
orang berkaitan, Rasulullah
SAW bersabda bermaksud: Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)?
Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan
sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya.
Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang
benar-benar berlaku pada dirinya? Rasulullah bersabda lanjut: Jika kamu berkata
mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu
mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu
memfitnahnya. (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Larangan mencari dan
membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam
firman-Nya bermaksud: Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari
kesalahan dan keaiban orang lain. (Surah al-Hujurat, ayat 12)
Justeru, setiap
Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan
kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.
Perkara pertama
perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan
sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian
orang yang membawa berita itu.
Umat Islam tentu
tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di
Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan
ekstremis agama.
Penyebaran fitnah
turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara
ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu.
Fitnah juga
meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar
kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah. Ubat bagi penyakit hati
ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.
No comments:
Post a Comment