Hot Stuff

Saturday, February 26, 2011

:: Rahsia Kecantikan Wanita ::



Artikel kali ini bukan tentang artikel-artikel cinta, tips-tips cinta atau tentang cinta dan perhubungan seperti artikel-artikel saya yang lain. Cerita hari ni lain sikit. Hari ini saya nak bagi tau “tips-tips kecantikan” yang boleh anda lakukan dan mendapatkan hasil yang cukup memuaskan!



Memanglah saya ni bukan “beauty therapist” untuk wanita, namun apa yang saya perhatikan, ramai wanita cukup bersusah-payah untuk kelihatan cantik jelita, namun masih juga tidak puas hati dengan hasilnya, walaupun banyak masa dan wang ringit telah habis dibelanjakan. Jadi tak mahu cerita banyak, baca, faham dan buat! Kemudian anda tengoklah hasilnya.

1) Uruskan Tekanan.

Ini tips pertama dan cukup penting. Walaupun ramai dah tahu, saya tetap nak bagitau jugak. “Stress” atau tekanan, atau lebih teruk daripada itu dipanggil kemurungan(depression), akan menyedut segala tenaga dari tubuh anda. Bila anda berada dalam keadaan tertekan apatah lagi tekanan itu berterusan dalam jangkamasa yang panjang sehingga sampai ke peringkat kemurungan, tenaga yang digunakan oleh bahagian tertentu otak anda untuk “menekan” tekanan itu dan menstabilkan emosi supaya tidak bertambah teruk akan menyebabkan fizikal anda tidak mendapat tenaga yang mencukupi. Ini sudah pasti memberi kesan ke atas fizikal anda. Ketahanan tubuh terhadap penyakit semakin berkurangan, kulit menjadi kering, kulit muka mula berjerawat dan susah nak hilang , dan yang paling berbahaya kesannya ke atas kecantikan anda iaitu – “air muka” anda tidak akan berseri.. 

Biasa tengok muka orang yang bermasalahkan? Walau secantik mana pun wajahnya, walau semahal mana pun “kosmetik” yang dia gunakan, tetapi bila anda perhatikan wajahnya seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Wajahnya tidak ceria walaupun dia cuba “menceriakan” dirinya. “Make-up”lah macamana pun, kecantikan sebenar tidak akan terserlah.

Saya nak sentuh sikit dalam hal berkenaan tekanan dan kemurungan. Tekanan ni selalunya terjadi bila wujud perasaan tidak puas hati akibat sesuatu masalah atau perkara yang kemudiannya disimpan di dalam hati tanpa masalah tersebut diuruskan. Biasa dengar ungkapan “makan hati berulam jantung”? Selalunya ungkapan ini untuk siapa la agaknya ya, lelaki ke wanita? Yups, untuk wanita. Mungkin ada la seorang dua lelaki yang makan hati berulam jantung tapi tak pernah pulak saya jumpa (harap-harap tak jumpa!) Ok, bila sesuatu masalah itu disimpan di dalam hati, ia akan ditekan dengan cara cuba untuk tidak mengendahkannya, sebagai contoh seseorang itu berkata, “biarlah, perkara kecik je tu..”, atau jika anda dimalukan oleh pasangan di hadapan orang lain, mungkin juga hati kecil anda akan berkata-kata, “takpelah, sikit jer tu, dia tak sengaja nak buat macam tu agaknya..”.

Ungkapan-ungkapan tersebut sebenarnya tidak lebih daripada cubaan untuk “menipu” hati anda sendiri supaya anda tidak berasa kecil hati. Sekali terjadi mungkin tidak apa. Sekiranya ia kerap terjadi, perasaan tidak puas hati semakin bertambah dan bila anda pula berterusan menekan perasaan itu yang semakin lama lapisannya makin menebal, tekanan yang semakin bertambah hasil daripada perasaan tidak puas hati yang asyik ditekan itu akhirnya bertukar kepada peringkat yang lebih teruk iaitu kemurungan (depression). Tahap kemurungan ini boleh dikatakan masalah tekanan perasaan yang kronik, mampu menjejaskan mental dan fizikal. Apa yang pasti di tahap ini bantuan professional diperlukan. 

Dari keterangan ringkas ini, anda perlu faham di antara cara untuk mengelakkan tekanan ialah JANGAN menekan perasaan tidak puas hati anda. Anda perlu belajar bagaimana untuk membuatkan hati anda sentiasa terpelihara daripada disakiti dan bagaimana untuk meluahkan apa yang anda rasa supaya hati anda bebas daripada tekanan. 

“Make-up”, kosmetik yang berjenama, vitamin-vitamin atau makanan tambahan yang anda ambil walau sebanyak mana pun hanyalah tidak lebih sebagai “bantuan” kepada fizikal anda supaya kelihatan sihat, bertambah cantik dan menarik. Ia bukanlah medium utama yang menjadikan anda kelihatan cantik dan jelita.

Bebas dari tekanan dan kemurunganlah yang akan membuatkan kecantikan seseorang wanita itu terserlah di wajahnya. Hati yang bebas dari tekanan dijelmakan pada tubuh badan dan menjadikan wajah berseri, ceria, dan bersinar. Bebas dari tekanan juga bermakna anda mudah untuk menjadi seorang yang berfikiran positif dan mempunyai keyakinan yang kuat terhadap diri sendiri – sifat yang akan membuatkan anda cukup menarik pada pandangan lelaki.

2) Yakin Pada Diri Sendiri.

Wanita yang mempunyai keyakinan terhadap dirinya sendiri akan memberi gambaran kepada lelaki bahawa dia adalah seorang wanita yang berpendirian. “Aura” yang terpancar darinya memberitahu lelaki bahawa wanita seperti ini adalah seorang yang matang. Wanita matang tahu bagaimana untuk menjaga dirinya, bagaimana untuk bergaul dengan sesiapa sahaja dan boleh menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan dan di mana juga dia berada. Wanita yang matang sentiasa pentingkan ilmu, jika tidak mana mungkin dia boleh menjadi seorang wanita yang matang, betul?

Wanita yang matang berfikiran kritis dan bijak menangani masalah dalam perhubungan. Keyakinan yang wujud padanya membuatkan lelaki sentiasa berasa selesa sewaktu berdamping dengannya. 

Ramai wanita tidak berasa yakin kepada diri sendiri. Walaupun kadangkala mereka kelihatan seolah-olah seorang wanita yang positif dan berkeyakinan, namun ramai yang cuba menyembunyikan perasaan ragu-ragu terhadap diri mereka sendiri.

Perkara yang selalunya ditakuti oleh wanita seperti ini ialah merasakan diri mereka tidak berguna, bodoh, tidak disayangi, bersikap pelik, dan juga mempunyai wajah atau fizikal yang tidak cantik. Semua ketakutan dan kerisauan seperti ini selalunya tertanam jauh dalam “bahagian luar sedar” (unconscious side) dirinya sehinggalah wanita itu rasa “terbuka”, dan sekali dia membuka hatinya, semua perasaan yang indah, perasaan takut serta risau tersebut akan muncul sekaligus.

Lagi satu perkara yang penting di sini, selalunya wanita yang ragu-ragu atau tidak mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri sering menarik lelaki berbahaya kepada mereka tanpa mereka sedari. Kenapa saya cakap macam ni? Lelaki berbahaya, katalah “jenis buaya” yang sentiasa ingin mendapatkan wanita hanya dengan tujuan sex sahaja, tidak akan berani untuk cuba memikat wanita yang mempunyai keyakinan diri yang teguh. Lelaki jenis ini tahu wanita itu sukar untuk dipengaruhi kerana berpendirian kuat dan tidak mudah “dikelentong”. Kalau diperhatikan, wanita yang ragu-ragu dan tidak yakin dengan diri sendiri itu lebih mudah terpedaya dengan lelaki “species” syaitan ini.

Oleh itu, anda perlu belajar bagaimana untuk mempunyai keyakinan terhadap diri anda sendiri tetapi anda perlu ingat, jangan pula sampai “over-confident” dan menyebabkan diri menjadi sombong. Itu bukanlah maksud dan idea saya tentang yakin kepada diri sendiri.

Bila keyakinan terhadap diri sendiri itu wujud, ia akan diserlahkan dalam bentuk karektor, sifat, peribadi, dan juga tindak-tanduk anda. Pada masa inilah, kecantikan anda yang sebenar akan terserlah. Wajah anda pasti akan berkali ganda cantik dan menarik berbanding sekarang walaupun hanya dengan berpakaian dan menggunakan solekan yang “simple”.

Hakikat sebenar kecantikan itu bukanlah diukur hanya dari segi pandangan terhadap fizikal sahaja. Kecantikan fizikal hanya bersifat sementara dan memberi tumpuan hanya untuk menampilkan kecantikan fizikal sahaja akan membuatkan seseorang wanita itu akhirnya menjadi “penat”.

Saya hanya terangkan secara ringkas tentang dua perkara ini sahaja pada artikel kali ini. Kenapa? Sebabnya kalau dua perkara ini pun anda tidak dapat lakukan, kenapa anda perlukan cara yang lain?

Walau apa pun, cuba buat 2 perkara ini dahulu, kemudian perhatikan dalam masa 3 bulan yang akan datang, anda akan mula mendengar rakan-rakan, saudara-mara, pasangan anda atau mungkin juga sesiapa yang anda tidak sangka-sangka berkata kepada anda, “Wah, makin cantik la kau sekarang.. makin berseri nampak! Apa rahsia?”.

Saya pasti hati anda akan tersenyum!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...