Hot Stuff

Monday, June 25, 2012

:: Membaca Bismillah Sebelum al-Fatihah Kuat Atau Perlahan? ::


Oleh : Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman
Sumber : Petikan Formula Solat Sempurna

1) Membaca Secara Perlahan.

Merupakan amalan sahabat Nabi s.a.w antaranya Abu Bakar, Ali, Ibn Mas'ud, Ibn Zubair, Ammar dan ijtihad ulama seperti Imam Abu Hanifah dan Ahmad. (Al-Mughni, jld.2, hlm. 27)

Anas berkata :"Aku solat bersama Rasulullah s.a.w dan Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar dan Saiyidina Uthman dan tidak kudengari seorang pun antara mereka yang membaca Basmalah (dengan kuat)." (Riwayat Muslim)

2) Membaca Secara Lantang (jahr).

Imam al-Syafi'i, Said Ibn Jubair, Ata' Bin Abi Rabah dan Mujahid berpandangan: Ijtihad mereka didasari oleh riwayat yang menunjukkan Nabi s.a.w menguatkan basmalah.

Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang bermaksud ; "Apa-apa yang diperdengarkan oleh Rasulullah s.a.w maka kami akan memperdengarkannya kepadamu (dengan menguatkan bacaan) dan apa-apa yang Baginda perlahankan, kami turut memperlahankannya." (Riwayat al-Bukhari)

3) Tidak Perlu Sebut.

Ia pandangan Imam Malik dan hanya sunat dibaca ketika solat sunat. Manakala hadis-hadis berkenaan membacanya secara kuat, sekali lagi diperdebatkan oleh para ulama. Terdapat juga hadis yang melemahkan keseluruhannya.

Namun Ibn Hajar membawakan hadis berikut sebagai salah satu pegangan dalam mazhab Syafi'i : "Sekumpulan sahabat membaca Basmalah secara kuat ; iaitu Umar al-Khattab." (Musannaf Ibn Abi Syaibah, jil.1, hlm. 362  no.4156) Ibn Zubair, Mu'awiyah dan lain-lain. Namun masih terdapat komentar kerana telah sabit juga mereka tidak membaca basmalah secara jahr, antaranya hadis sahih di atas.

Kesimpulan

Diharuskan membaca basmalah secara jahr semasa solat jahr terutamanya apabila diyakini ijtihad yang menganggap masalah basmalah adalah salah satu daripada surah al-Fatihah. Dalam hadis yang bermaksud ; "Apabila kamu membaca al-Fatihah, maka bacalah basmalah kerana sesungguhnya ia Ummul Quran dan tujuh pujian yang diulang-ulang dan basmalah adalah salah satu daripada ayatnya." (Riwayat al-Daraqutni)

Dalam hadis lain yang bermaksud, daripada Nu'aim Ibn al-Mujmir berkata : " Aku solat di belakang Abu Hurairah r.a maka beliau membaca basmalah dan kemudian membaca al-Fatihah sehingga akhir, lalu Abu Hirairah berkata; 'Demi nyawaku di tangan Allah, sesungguhnya solatku, adalah yang paling hampir kepada Rasulullah s.a.w."

Saturday, April 28, 2012

:: Video Pilihan : Couple Vs Kahwin Part 1 ::

Oleh :  
Sumber : Youtube



:: Hargailah Anugerah-Nya :

Oleh : Muhammad Ammar bin Abd Hadi
Sumber : I Luv Islam
Di sebalik kelemahan kaum wanita, tersembunyi seribu satu rahsia yang Allah anugerahkan kepada makhluk ciptaan-NYA yang bertuah ini.
Anugerah itu tidak mampu diterjemah dengan kata-kata sebaliknya ia hanya mampu disingkap oleh wanita yang benar-benar melalui keperitan sebagai seorang muslimah sahaja. Mereka ini, bukan insan yang terpilih   ,sebaliknya mereka ini adalah wanita yang dijanjikan kemulian dan darjat yang tinggi di sisi Allah  hanya kerana kesetiaan kepada perintah sang pencipta..
Siapakah Muslimah dimaksudkan?
Muslimah tidak pernah akan sama dengan wanita, biarpun dua perkataan " Muslimah" dan " wanita"  mempunyai maksud yang serupa tetapi hakikatnya ia berbeza. Dalam dunia ini bilangan wanita sentiasa melebihi  mengatasi  lelaki. Namun siapa sangka nisbah yang dikatakan besar itu hanya gah pada "angka" sahaja ,secara dasarnya tiada apa yang boleh dibanggakan.
Dalam Al-quran Allah mengangkat darjah wanita dengan  berkali-kali menegaskan mengenai kewajipan dan  kesamaan  hak golongan bertuah ini. Malah terukir penuh sejarah golongan ini dalam suran " An-Nisa" yang bermaksud wanita.
Meskipun begitu, tidak ramai wanita yang menghargai pengiktirafan tertinggi oleh Allah kepada mereka sebaliknya mereka hanya  lebih gemar  membiarkan nilai diri yang sebenarnya terlalu berharga menjadi  harga diri yang susut nilainya.
Wanita yang menghiasi dirinya dengan sifat pemalu, kesopanan budi bicara, keindahan akhlak dan mahal harga diri tidak boleh ditandingi oleh wanita lain. Mereka ini sedaya upaya melengkapi kekurangan diri dengan tuntutan agama. Mereka tidak mudah melayani  segala rayuan mahupun pujian yang boleh meruntuhkan pendiriaan, tetapi terus utuh berpegang kepada prinsip agama sebagai bekalan menuntut janji dari Allah di akhirat kelak.  Mereka itulah muslimah.

Mahalkan harga dirimu
Arus permodenan yang semakin menghambat manusia kepada keduniaan, adalah pemusnah utama wanita . Lihat sahaja pada hari ini bertapa kemodenan yang kononnya menggambarkan kemajuan sebuah bangsa umpama pedang yang sentiasa menunggu mangsanya. Islam tidak pernah menolak kemodenan malah menyeru umatnya untuk sentiasa kehadapan dalam pelbagai perkara ,malangnya faktor ini tidak difahami secara mendalam oleh kebanyakkan kita.
Wanita abad ini seakan semakin hilang sifat malu seolah-olah menolak fitrah . Aurat mereka sengaja didedahkan untuk menjadi bahan bakar diakhirat kelak. Pergaulan mereka tidak lagi dipagari oleh batas-batas agama, apatah lagi mahu menjaga maruah diri, Semunya dianggap sebagai "kebebasan" , soal agama  pula  hanya dijadikan alasan sebagai kolot dan pembeban hidup.
Mencabar hukum yang telah ditetapkan Agama umpama sengaja menempah derita. Ungkapan sebegitu mungkin tidak keterlaluan untuk ditujukan kepada golongan wanita yang semakin ego mencabar Allah. Buktinya , kaum hawa semakin ligat  "memperjudikan" larangan-larangan agama tanpa segan silu mengulanginya.
Melahirkan anak luar nikah angkara sumbang mahram sudah menjadi kebiasaan , ia bukan perkara yang memeranjatkan . Menonjolkan "kecantikan" sehingga membelakangi batas syariat pula perkara biasa, maka tidak perlu hairan jika mendapat tahu wanita kian lebih kehadapan dalam serba serbi serbi tingkah laku, semuanya sudah  menjadi gaya hidup yang tidak mampu dipisahkan.
Platform terbaik untuk wanita islam menunjukkan taring mereka dapat di lihat di Institusi Pengajian tinggi . Perkara ini tidak boleh dinafikan lagi kerana ia benar-benar berlaku dalam kalangan wanita pada hari ini. Jika diteliti, sosial kaum wanita di universiti perlu dirawat segera. Saban hari, kegilaan mereka untuk menagih perhatian semakin melarat. Jika dahulu asalnya bertudung labuh kini telah disingkatkan, dari seorang yang biasa kini sudah memakai wangi-wangian, pergaulan tidak lagi dikawal,  malah berpeleseran berlainan jantina sudah dijadikan rutin harian.
Paling menyedihkan, kaum hawa terus membiarkan "imej" sebagai umat islam dicalari dengan ikutan budaya luar. Tidak ramai yang memelihara keistimewaan yang dikurniakan Allah  kepada mereka. Tatkala agama islam  sangat mengharapkan pemuda dan pemudinya menyuburkan kembali  hidup yang penuh dengan kelazatan bersyariat, umatnya pula seakan-akan sengaja mengabaikannya. Kesimpulannya , dimanakah tanggungjawab kita?
Cabaran  sebagai Muslimah
Menyusuri kehidupan sebagai seorang muslimah bukanlah indah seperti yang dijangka .Cabaran yang mereka lalui begitu getir, tidak mampu untuk ditafsirkan dengan kewarasan akal.  Namun di sebalik cabaran itu terselit 1001 keredhaan dan Rahmat dari-Nya. Mereka juga asalnya hanya wanita biasa di dunia ini, tetapi mengapa  coretan kisah mereka  sehingga terpahat dalam  al- quran? Mari kita selongkari perjalanan wanita-wanita pilihan Allah .
Mereka misalnya Siti Maryam yang hidupnya penuh zuhud dan taat beribadah kepada tuhannya. Suatu masa tanpa disangka-sangka Allah telah menguji wanita mulia ini dengan ujian yang hebat. Wanita syurga ini dikhabarkan oleh Malaikat bahawa dia bakal melahirkan anak yang cukup istimewa tanpa sentuhan dari seorang bapa.
Siti Maryam menyambut berita itu dengan hati yang penuh tawaduk  dan pasrah kepada sang pencipta .Biarpun sedar fitnah bakal menimpa dirinya , tetapi ia tidak dijadikan alasan untuk berpaling dari perintah Allah.  Tanpa sebarang perkahwinan mana mungkin bagi seorang putri melahirkan seorang anak , apatah lagi untuk insan sepertinya mempunyai hubungan yang mengundang dosa yang dimurkai Allah, tetapi bagi Siti Maryam Allah lebih mengetahui segala-galanya .
Tatkala mengabdikan diri dalam munajat dan ibadahnya, Siti Maryam menadah tangan menagih perhatian tuhannya, lalu berdoa,

"Tuhanku, apakah aku akan melahirkan seorang anak, sementara tidak ada seorang pun yang menyentuhku"?

Debaran semakin dirasai oleh Siti Maryam , Jiwanya menanti jawapan penuh harapan dari yang Esa. Maka Allah menjawab pertanyaan insan penuh istimewa ini melalui perantaraan malaikat-Nya,
"ALLAH menciptakan sesuatu yang diinginkan-NYA. Dan anak yang akan kamu lahirkan ini akan mempunyai keistimewaan. Dan di antara keistimewaannya adalahdia akan berkata kepada manusia ketika masih dalam buaian."
Perjalanan akhir wanita ini menyingkap seribu satu erti kesetiaan . Ya, inilah kesetiaan yang perlu ditanam dalam jiwa setiap dari kita untuk terus taat kepada Perintah Allah. Mengapa perlu kita terikut-ikut dengan budaya "kafir" yang meruntuhkan nilai  wanita islam? Dari soal pakaian sehinggalah aspek pergaulan, wanita islam di Malaysia khususnya  jelas jauh ketinggalan . Bukan ketinggalan kerana masih mengekalkan syariat islam, sebaliknya mereka semakin jauh dari fitrah asal kejadiaan iaitu sifat "malu" . Kerana hilang sifat inilah yang membuatkan islam kehilangan "aset" yang amat berharga. Generasi muslimah yang ditungu-tungu untuk mengibarkan semula sejarah "kehebatan" wanita yang diukir dalam Al-quran masih menyepi tanpa sebarang suara.

Tewas sekali lagi
Kepuasan jelas terpancar pada raut wajah musuh-musuh islam yang setia menanti kekalahan umat islam.  Kemenangan sudah pasti berpihak kepada mereka tatkala melihat wanita islam terikut-ikut dengan gaya hidup yang dianjurkan mereka . Status sebagai umat islam tidak lagi menggentarkan mereka , ia bukan lagi ancaman yang menggerunkan, sebaliknya musuh-musuh islam hanya tertawa melihat kepada "kebodohan" umat islam yang begitu mudah dipengaruhi. Sejarah tumbangnya kegemilangan islam pada zaman Turki Uthmaniah pada suatu ketika dahulu belum menyedarkan kita. Sejarah yang begitu perit untuk ditelan seakan mahu berulang lagi. Kali ini kita kecundang tanpa pertempuran, tetapi kecundang kerana tidak ada pendiriaan. Kita seolah-olah masyarakat yang begitu mudah untuk diperkotak-katik dan terus diperalatkan . Ironinya, jalan penyelesaian kemudharatan ini hanya dapat diselesaikan oleh mereka yang sanggup mengharungi  liku-liku hidup sebagai seorang muslimah.

:: Peminangan (Khitbah) Sebelum Pelaksanaan Pernikahan ::


Oleh : Fatimah Syarha
Sumber : I Luv Islam

Definisi Peminangan.Beberapa ahli Fiqih berbeza pendapat dalam mendefinisikan peminangan. Di antaranya adalah sebagai berikut:

Sayyid Sabiq dengan ringkas mendefinisikan pinangan (khitbah) sebagai permintaan untuk mengadakan pernikahan oleh dua orang dengan perantaraan yang jelas. Pinangan ini merupakan syariat Allah SWT yang harus dilakukan sebelum mengadakan pernikahan agar kedua calon pengantin saling mengetahui.
Wahbah Zuhaili pula mengatakan bahawa pinangan (khitbah­) adalah pernyataan seorang lelaki kepada seorang perempuan bahawasanya ia ingin menikahinya, baik langsung kepada perempuan tersebut maupun kepada walinya. Penyampaian maksud ini boleh secara langsung ataupun dengan perwakilan wali.
Adapun Amir Syarifuddin mendefinisikan pinangan sebagai penyampaian kehendak untuk melangsungkan ikatan perkahwinan. Peminangan disyariatkan dalam suatu perkahwinan yang waktu pelaksanaannya diadakan dalam tempoh sebelum berlangsungnya akad nikah.
Al-Hamdani berpendapat bahwa pinangan ertinya permintaan seseorang lelaki kepada anak perempuan orang lain atau seseorang perempuan yang ada di bawah perwalian seseorang untuk dikahwini, sebagai pendahuluan nikah.
Dari beberapa pendapat di atas, dapat disimpulkan bahawa pinangan (khitbah) adalah proses penyataan hasrat untuk mengadakan pernikahan yang dilakukan baik secara langsung ataupun melalui wali. Ia dianggap mengikat apabila kedua-dua pihak saling bersetuju.
Pinangan yang lebih barakah kepada seorang gadis dan lebih kuat ikatannya ialah sebagai mana yang ditunjukkan oleh sunnah iaitu dengan memuliakan hak wali. Praktikalnya, menyatakan hasrat melalui perantaraan wali atau dalam pengetahuan wali.
Apabila Rasulullah SAW ingin menikahi Aisyah r.ha (satu-satunya wanita yang dinikahi ketika masih gadis), Rasulullah menyatakan hasratnya itu kepada bapa Aisyah, Abu Bakar al-Siddiq. Keelokan peribadi dan besarnya  potensi Aisyah diketahui dan dikenali melalui orang tengah iaitu Khaulah binti Hakim, bukannya melalui berkawan-kawan dengan Aisyah r.ha sendiri.
Manakala peminangan terhadap janda, Rasulullah SAW banyak menggunakan khidmat orang tengah dan merujuk walinya sendiri. Namun, baginda pernah juga menunjukkan contoh pernah menyatakan hasratnya secara langsung kepada calon tersebut seperti pinangan baginda terhadap Ummu Hani' binti Abi Talib.
Dasar dan Hukum PinanganDari Mughirah r.a., sesungguhnya ia pernah meminang seseorang perempuan, lalu Nabi SAW bersabda kepadanya, "Lihatlah perempuan itu dahulu kerana sesungguhnya melihat itu lebih cepat membawa kekekalan cinta antara keduanya." (Riwayat Nasa'i dan Tirmizi).

Wali boleh mencadangkan calon yang baik kepada puterinya seperti Nabi Syua'ib yang berkenankan Nabi Musa sebagai calon menantu.
Namun begitu, wali tidak boleh memaksa puterinya menerima calon yang tidak disukai, samada puterinya itu gadis atau janda.


Pernah terjadi suatu kisah, seorang ayah  mengahwinkan anak gadisnya tanpa diminta persetujuan. Gadis itu kemudian datang mengadukan perkara itu kepada Rasulullah SAW. Atas pengaduannya itu, baginda kemudian menceraikannya daripada suaminya. (HR Jabir).


Bolehkah Wali Memaksa?
Imam Ahmad telah meriwayatkan pada hadis yang ke 136/6, Al-Nasa'ie: 3269 dan Ibn Majah: 1874,:-
Daripada Abdullah ibn Buraidah daripada Aisyah: Seorang pemudi pergi menemui Aisyah. Beliau berkata kepadanya:
" 
Bapaku telah mengahwinkan aku dengan anak saudaranya untuk menghilangkan kehinaannya sedang aku tidak menyukainya." Maka Saidatina Aisyah berkata: "Duduklah sehingga Rasulullah datang." Setelah Rasulullah SAW datang, Aisyah memberitahu kepada baginda lalu Rasulullah SAW mengutus seseorang kepada bapa pemudi itu dan menjemputnya datang. Rasulullah memberikan hak keputusan kepada pemudi itu. Pemudi itu berkata: "Wahai Rasulullah! Saya telah redha dengan apa yang dilakukan oleh bapaku, tetapi saya cuma ingin mengetahui: Adakah bagi wanita ada hak untuk membuat ketetapan?." Dalam riwayat yang lain: "Saya inginkan kaum wanita mengerti bahawa bukanlah bapa yang berhak untuk membuat ketetapan."

Tuesday, April 24, 2012

:: Wanita yang harus dielakkan ::


Sumber : I luv Islam

Pesanan Rasulullah saw untuk kaum Lelaki : "Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang ananah, yang mananah, dan yang hananah dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang basaqah dan yang syadaqah".

1. Wanita Ananah : wanita yang banyak mengomen itu dan ini. Apa yang diberi atau dilakukan suami untuk rumahnya tangga semua tidak kena dan tidak berpuas hati.
2. Wanita Mananah : wanita sebegini yang menidakkan usaha dan jasa suami sebaliknya mendabik dada dialah yang banyak berkorban untuk membangun rumah tangga. Dia suka mengungkit-ungkit apa yang dilakukan untuk kebaikan rumah tangga. Biasanya wanita ini bekerja atau berkedudukan tinggi dan bergaji besar.
3. Wanita Hananah : Menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain dan wanita ini berangan-angan mendapatkan suami yang lebih baik dari suami yang sedia ada. Dalam kata lain wanita sebegini tidak bersyukur dengan jodohnya itu. Wanita sebegini yang mengkufuri nikmat perkahwinan. Dia juga merendahkan kebolehan dan kemampuan suaminya.
4. Wanita Hadaqah : melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya utk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya selain itu wanita ini suka ikut nafsunya. Wanita sebigini memeningkan kepala lelaki. Dia tenguk apa saja dia mahu. Dia suka membandingkan dirinya dengan diri orang lain. Suka menunjuk-nujuk. Wanita inilah yang menjadikan suami dulu handsome sekarang sudah botak.
5. Wanita Basaqah :
ada 2 makna:
Pertama wanita sebegini yang suka bersolek dan menghiaskan diri. Dia menghias diri bukan untuk suaminya tetapi untuk ditunjuk-tujukkan kepada dunia. Suka melawa. Wangnya dihabiskan untuk membeli make-up, kasut dan barang kemas. Wanita begini juga suka dipuji-puji. Kalau dia kebetulan menjadi isteri orang ternama dan menjadi pula ketua dalam kumpulan itu, orang lain tidak boleh mengatasi dirinya.

Kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.
6. Wanita Syadaqah : banyak cakap, tidak menentu lagi bising. Kebecokan itu juga menyebabkan segala kerja yang dibuatnya tidak menjadi, hanya tukang sibuk dan komen saja.

:: Kemuliaan CINTA ::


Oleh : Abu Ridhwan

Bagaimana kita memaknai cinta? Cinta punya pelbagai telahan dan tafsiran. Walaupun sudah pelbagai buku terbit bicara akan cinta, maknanya masih tetap luas seluas pemilik cinta itu; Allah SWT. Malahan Imam Ibnul Qayyim sendiri pernah berkata sukar untuk mendefinasikan cinta itu. Ibnul Qayyim berkata, terkadang cinta membawa maksud al luft (kelembutan). Terkadang cinta satu makna dengan rahmah atau kasih sayang. Kadang cinta bermakna thadiyah atau pengorbanan. Kadang cinta dekat dengan itsar iaitu mendahului orang lain walaupun dirinya amat memerlukan.

Pengaruh Cinta
Begitu dalamnya makna cinta ( Al Mahabah) sampai-sampai ada yang mengeluarkan pendapat tentang makna cinta seperti “Hati yang buta untuk melihat selain orang yang dicinta, tuli untuk mendengar selain yang dicinta”. 

Seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith:
“Kecintaanmu terhadap sesuatu mampu membuat buta dan tuli” (HR. Ahmad).

Menurut Imam Ibnu Jauzi pula, cinta adalah kecondongan jiwa yang sangat kuat kepada satu bentuk yang sesuai dengan tabiatnya, maka jika pemikiran jiwa itu kuat mengarah kesana, ia akan selalu mengharapkannya. Oleh kerana itu pula, biasanya penyakit baru akan selalu muncul bagi orang yang sedang jatuh cinta, demikian huraian beliau dalam kitab Dzammul Hawa. Demikianlah impak cinta, pengaruhnya boleh menjadi positif bahkan mampu mengheret kita kepada negatif.

Abu Umar az-Zajaji pula berkata, aku pernah bertanya kepada al-Junaid, tentang definasi cinta, lalu ia berkata, “Cinta adalah anda mencintai semua yang dicintai Allah pada hamba-hamba-Nya dan membenci semua yang dibenci Allah pada hamba-hamba-Nya.” Inilah benchmark kalau mahu bercinta. Kayu pengukur samada cinta kita itu benar atau tidak, ianya merujuk kepada matlamat cinta itu. Apakah ia selari dengan kehendak Allah SAT atau sebaliknya.

Cinta berbeza dengan syahwat. Cinta itu mesti baik, suci, bersih dan mendapat redha Allah. Sedangkan syahwat adalah cinta yang ternoda. Cinta yang ternoda akan membawa kita kepada kehancuran, kelalaian dan terhalang dari menerima petunjuk Allah SWT. Namun cinta syahwatlah yang menjadi arus cinta anak muda hari ini. Apabila bicara cinta sahaja, kita akan melihat anak-anak muda terpesona dengan keindahannya sehingga melupakan kebesaran Allah SWT. Apabila cinta kita mengenepikan kebesaran Allah SWT kita akan kehilangan keindahan yang paling besar, iaitu keindahan syurga. Justeru kalau kita terlepas keindahan syurga, ke mana kita akan pergi nanti di akhirat?

Kemuliaan Kita Bermula Dengan Keimanan

Kemuliaan cinta yang bersih kerana Allah akan membawa kemuliaan buat diri kita di akhirat dengan meraih syurga. Dalam sahih al-Bukhari, Rasulullah SAW menjelaskan kemuliaan cinta yang melayakkan seseorang meraih syurga Allah SWT. Ada seorang arab badwi bertanya kepada Rasulullah SAW. “Ya Rasulullah, bilakah hari kiamat?” Kemudian Rasulullah bertanya, “Apakah yang telah kamu persiapkan untuk menghadapinya.” Lalu arab badwi itu menjawab. “Aku tidak menyiapkan sesuatu untuk menghadapi kiamat, kecuali hanya cinta Allah dan Rasul-Nya.” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Fainnaka ma’a man ahbabta, sesungguhnya engkau kelak di hari kiamat berada bersama dengan apa yang engkau cintai.”

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda; “Demi Zat yang jiwaku ada dalam genggamanNya, kamu sekalian tidak akan masuk syurga sebelum beriman, dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling mencintai”. HR Muslim.

Dalam hadith di atas, persiapan keimanan menjadi asas kepada pembinaan cinta sesama manusia. Bermakna, proses pembinaan iman adalah yang paling asasi sebelum membina cinta yang Allah redha. Tanpa keimanan yang benar, maka manusia akan terjebak dengan cinta syahwat. Inilah permasalahan kita, kita mahu merasai keindahan dan kebahagiaan cinta, tetapi kita tidak bersedia menyiapkan diri kita untuk beriman dengan Allah SWT dengan sebenar-benar iman sehingga melahirkan perasaan cinta berpaksikan wahyu. Hari ini ada yang rela melanggar syariat demi cinta, mengapa? Kerana hatinya tidak disiapkan dengan iman.

Kalau begitu, dalam Islam susahlah nak bercinta? Ada pula yang merasakan cinta sesama manusia (antara lelaki dan wanita) itu haram atau tidak digalakan dalam Islam. Ini pandangan yang salah. Allah menuntut kita sebagai muslim saling mencintai kerana Allah. Namun, Allah membimbing kita agar membina cinta berasaskan iman bukan nafsu. Lihatlah di Barat hari ini, mereka memperjuangkan kebebasan dalam berhubungan baik antara sesama jantina mahupun berlainan jantina, Akhirnya hari ini mereka menghadapi masalah kelahiran anak luar nikah dan berkesedudukan antara lelaki perempuan sehingga merosakan insitusi kekeluargaan mereka. Makin parah mereka menghalalkan perkahwinan sesama jantina atas dasar kebebasan individu. Situasi ini akan melahirkan generasi masa depan yang celaru dan hilang makna kemanusiaan sebenar. Di negara kita juga saat ini kelahiran anak luar nikah semakin berkembang, penceraian rumahtangga kalangan yang baru berkahwin semakin meningkat. Bahkan ribuah perkahwinan dibina atas asas syahwat justeru berlaku porak peranda dalam institusi kekeluargaan. Apakah hal ini kita sedari?

Jalan Meraih Cinta Allah

Islam tidak pernah menghalang cinta. Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW;
“Barangsiapa ingin memperoleh kelazatan iman, hendaklah ia mencintai seseorang hanya kerana Allah SWT."

Luarbiasa, Islam telah mendepani garis panduan dalam persoalan cinta kerana Allah amat memahami akan naluri manusia. Islam tidak pernah memisahkan persoalan cinta dengan persoalan iman. Masalahnya kita yang memisahkannya kerana kelemahan jiwa kita yang tidak diisi dengan keimanan. Atau kita tidak membesar dengan biah (suasana) keimanan.

Mencintai seseorang kerana Allah merupakan sebahagian dari proses meraih kenikmatan iman. Justeru siapa kata Islam melarang cinta, bercintalah kerana Allah kerana ianya akan menyuburkan iman.

Dalam hadith Qudsi Allah berfirman; “CintaKu harus Kuberikan kepada orang-orang yang saling mencintai keranaKu, CintaKu harus Kuberikan kepada orang-orang yang saling berkorban keranaKu, dan CintaKu harus Kuberikan kepada orang-orang yang menyambung hubungan keranaKu”.

Indahnya bila cinta kita berpaksikan iman. Hanya kerana mencintai seseorang kerana Allah, maka Allah akan mencintainya pula. Subhanallah. Inilah rahsia kenapa para sahabat Muhajirin dan Ansar diiktiraf sebagai sebaik umat. Mereka membina cinta sesama mereka kerana Allah. Mereka meletakkan iman mereka kepada Allah dan Rasulullah SAW di hadapan dalam membina kecintaan. Mereka bahagia dalam cinta yang hakiki. Kehidupan mereka penuh dengan kasih sayang dan kecintaan pada yang satu, Allah SWT.

Hiduplah di bawah naungan cinta dan saling mencintailah kerana keagunganNya, nescaya akan mendapatkan naungan Allah, yang pada hari itu tidak ada naungan selain naunganNya.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda; “Pada hari kiamat Allah berfirman: Dimanakah orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu? Pada hari yang tiada naungan selain naunganKu ini, Aku menaungi mereka dengan naunganKu”. (HR Muslim)

Mari kita membina cinta yang membangkitkan prestasi terbaik kita di akhirat kelak. Kita meletakkan aspirasi cinta agung kita kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW kemudian untuk orang-orang soleh, untuk keluarga kita, untuk sahabat-sahabat kita yang ikhlas bersahabat dengan kita, dan kita cinta akan diri kita. Jangan sampai cinta yang bersih yang seharusnya dapat menghantarkan kita ke syurga, dikotori dengan tindakan kenistaan kita akibat gejolak hawa nafsu. Dalam sebuah hadith qudsi, Allah berfirman pada hari kiamat, “Di mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku, pada hari ini aku akan lindungi mereka pada hari tidak ada perlindungan kecuali perlindungan-Ku.”

Energi Cinta Yang Mendasyatkan Peribadi

Mari kita arahkan energi cinta kita untuk berprestasi sebagai hamba Allah. Mari menjadi hamba Allah kerana kita cinta kepada Allah, insyaAllah kita akan mudah berprestasi sebagai hamba-Nya yang baik di dunia. Mengapa para sahabat RA memiliki prestasi yang luarbiasa sehingga memberi implikasi besar kepada sejarah ketamadunan manusia? Kerana cinta mereka yang begitu besar kepada Allah SWT. Lantas mereka dicintai oleh Allah, Rasul, para malaikat dan seluruh penduduk bumi.
Dalam sahih Bukhari dan Muslim diriwayatkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang menyatakan bahwa Rasulullah SAW bersabda;
“Kalau Allah sudah mencintai seorang hamba, Dia memanggil Jibrail dan berkata, ‘Aku mencintai fulan, cintailah dia.’ Jibrail pun mencintainya, kemudian Jibrail pun berseru di tengah penduduk langit, ‘Diumumkan bahawa Allah mencintai si fulan, kerana itu cintailah dia.’ Maka seluruh penduduk langit mencintainya. Lalu disampaikan kepada penduduk bumi, dan seluruh penduduk bumi mencintainya.”

Inilah penangan cinta hakiki, mendasyatkan peribadinya di sisi Allah dan makhluk-Nya. Tidak teringinkah kita membina cinta kita atas paksi ini, samada kita membina cinta sesama manusia apatah lagi cinta kepada suami, isteri dan anak-anak. Jom meraih cinta yang mendasyatkan di sisi sang pemilik cinta…Allah SWT.!

:: Derita Cinta Dunia Bahagia Cinta Akhirat ::


Sumber : http://usrahkeluarga.blogspot.com

Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa akhirat menjadi obsesinya, maka Allah menjadikan semua urusannya lancar, hatinya kaya dan dunia datang kepadanya dalam keadaan tunduk. Dan, barangsiapa dunia menjadi obsesinya, maka Allah mengacaukan semua urusannya, menjadikannya miskin dan dunia datang kepadanya sebatas yang ditakdirkan untuknya.” Ibnu Majah meriwayatkan dengan sanad shahih

Barangsiapa akhirat menjadi kesibukan utamanya dan obsesinya (tujuan), maka setiap hari ia ingat perjalanan hidupnya kelak, apa pun yang ia lihat di dunia pasti ia hubungkan dengan akhirat, dan akhirat selalu ia sebut di setiap pembahasannya. Ia tidak bahagia kecuali kerana akhirat, tidak sedih kecuali kerana akhirat. Tidak redha kecuali kerana akhirat. Tidak marah kecuali kerana akhirat. Tidak bergerak, kecuali kerana akhirat. Dan tidak berusaha kecuali kerana akhirat.

Siapa saja yang dapat melaksanakan arah hidupnya sebagaimana di dalam hadis di atas, ia diberi tiga kenikmatan oleh Allah SWT. Nikmat yang Dia berikan kepada siapa saja yang Dia kehendaki diantara hamba-hambaNya. Iaitu orang-orang yang menyiapkan jiwa mereka hanya untuk ALLAH SWT dan tidak ada selain DIA yang masuk ke hati mereka, baik dalam bentuk berhala-berhala dunia, atau perhiasan, atau kebendaan mahupun pemikiran .

Nikmat tersebut adalah:

1. Seluruh urusan lancar
Allah SWT memberinya ketenteraman dan kedamaian, mengumpulkan semua ideanya, meminimakan sifat lupanya, mengharmonikan keluarganya, menambah jalinan kasih sayang antara dirinya dan pasangannya, merukunkan anak-anaknya, mendekatkan anak-anak padanya, menyatukan kaum kerabat, menjauhkan konflik dari mereka, mengumpulkan hartanya, ia tidak gundah dan bimbang memikirkan pekerjaannya atau perniagaannya yang tidak begitu lancer perjalanannya, tidak bertindak seperti orang bodoh, membuat hati manusia terarah padanya, siapapun mencintainya dan melancarkan urusan-urusan yang lain.

2. Kaya hati
Nikmat yang paling agung adalah kaya hati, sebab Rasulullah SAW bersabda dalam hadis shahih, yang ertinya;
“ Kekayaan hakiki bukan bererti harta melimpah. Tapi, kekayaan ialah kekayaan hati” (HR. Muslim)
Imam Al Nawawi berkata; maksudnya, kekayaan terpuji itu bukan banyak harta dan perabot mahupun kewangan. Telah banyak sekali orang dibuat kaya oleh Allah, namun kekayaannya yang banyak itu tidak bermanfaat baginya dan ia berterusan mengejar dan menambah kekayaannya, tanpa peduli dari mana sumbernya.

Ia seperti orang miskin, kerana begitu kuat keinginannya. Orang berselera sedemikian itu miskin selama-lamanya. Tapi, kekayaan terpuji dan ideal menurut orang-orang sempurna adalah kekayaan hati.

Di riwayat lain disebutkan kekayaan jiwa. Maksudnya, orang yang punya kekayaan jiwa merasa senang dan redha dengan setiap rezekinya, menerimanya dengan lapang dada, dan syukur dengannya, tanpa memburu dan meminta-minta sehingga melupakan Tuhannya. 

Barangsiapa dijaga jiwanya dari kerakusan, maka jiwanya tenteram, barakah, mendapatkan kebersihan, kemuliaan, dan pujian. Itu semua jauh lebih hebat dibandingkan dengan kekayaan yang diterima orang yang miskin hatinya. Kekayaan membuat orang yang miskin hati terpuruk dalam hal-hal hina dan perbuatan-perbuatan murahan, kerana kecilnya obsesi yang ia miliki. Akibatnya, ia menjadi orang kerdil di mata orang, hina di jiwa mereka, dan menjadi orang paling hina di sisi Allah.

Jika seseorang punya harta yang berlimpah, namun ia tidak qana’ah (merasa cukup) dengan rezeki yang diberikan Allah SWT kepadanya, maka ia hidup terengah-engah seperti binatang buas dan menjadikan hartanya sebagai tuhan baru. Sungguh, ia orang miskin sejati, kerana orang miskin ialah orang yang selalu tidak punya harta dan senantiasa merasa memerlukannya. 

Dikisahkan, seseorang berkata kepada orang zuhud, Ibrahim bin Adham, lalu berkata, “saya ingin anda menerima jubah ini dariku.” Ibrahim bin Adham berkata,”Kalau anda kaya, saya mahu menerima hadiah ini. Jika anda miskin, saya tidak mahu menerimanya.” Orang itu berkata,”saya orang kaya.”

Ibrahim bin Adham berkata,”Anda punya jubah berapa?” Orang itu menjawab,”Dua ribu jubah.” Ibrahim bin Adham berkata,”Apakah Anda ingin punya empat ribu jubah?” Orang itu menjawab, “Ya.” Ibrahim bin Adham berkata,”Kalau begitu anda miskin (kerana masih memerlukan jubah lebih banyak lagi). Saya tidak mahu menerima hadiah jubah ini darimu.”

3. Dunia datang kepadanya
Saat ia lari dari dunia, justeru dunia mengejarnya dalam keadaan tunduk. Seperti yang dikatakan Ibnu Al-Jauzi;
“Dunia itu bayangan. Jika engkau berpaling dari bayangan, maka bayangan itu mengekorimu. Jika engkau memburu bayangan, maka bayangan menghindari darimu. Orang zuhud tidak menoleh kepada bayangan malah diikuti bayangan. Sedangkan orang rakus tidak melihat bayangan setiapkali ia menoleh kepadanya.”

Sedang orang yang dunia menjadi obsesinya, ia hanya memikirkan dunia, bekerja kerananya, peduli kepadanya, tidak bahagia kecuali kerananya, tidak berteman dan memusuhi orang kerananya. Akibatnya, ia dihukum Allah dengan tiga hukuman;

  1. Urusannya kacau : Allah SWT mengacaukan semua urusannya. Hatinya menjadi gundah tidak tenang, fikirannya kacau, jiwanya goncang dan kalut dalam hal yang kecil, apatah lagi yang besar. Allah SWT mengacau hartanya, mengacaukan anak-anak dan pasangannya. Allah SWT membuat manusia antipati kepadanya. Tidak ada seorangpun yang mencintainya sebab Allah SWT menentukannya dibenci orang di bumi.
  2. Selalu miskin : Hukuman ini membuatnya selalu tidak puas, padahal memiliki harta banyak. Ia senantiasa merasa miskin. Dan itu menjadikannya lari hingga termengah-mengah di belakang harta.
  3. Dunia lari darinya :Ia memburu dunia namun dijauhi dan ia berlari dibelakangnya, persis seperti orang yang menyangka fatamorgana itu air. Ketika ia tiba di fatamorgana, ia tidak mendapatkan apa-apa. 
Inilah yang membuat Utsman bin Affan RA berkata, “Obsesi dunia itu kegelapan di hati, sedang obsesi kepada akhirat itu cahaya di hati.”

Bagaimana karakteristik dari orang-orang yang terobsesi pada akhirat? 

Kita dapat mengukur dengan membandingkannya pada diri kita. Sebelum mengenali cirinya, ada tiga kelompok yang perlu kita perhatikan:

1. Orang yang lebih sibuk dengan akhirat daripada dunia. 
Mereka membuat hidupnya didominasi oleh akhirat. Dunia hanya diletakkan digenggaman tangannya bukan di hatinya. Ini adalah kelompok orang yang berjaya dengan sebenarnya.

2. Orang yang lebih sibuk dengan dunia daripada akhirat
Mereka begitu cinta dunia hingga dunia menguasainya dan membuatnya lupa total kepada akhirat dan mereka juga tidak tahu bahawa dunia itu jambatan menuju akhirat. Ini adalah kelompok orang yang celaka.

3. Orang yang sibuk dengan keduanya sekaligus.
Mereka tidak ingin masuk pada kelompok pertama atau kedua, namun ingin mendapatkan sebahagian karakteristik kelompok pertama dan sebahagian kelompok kedua. Ini adalah kelompok orang yang dalam keadaan kritikal.

Tentunya kita tidak ingin masuk ke dalam kelompok kedua dan ketiga, justeru kita perlu mengetahui karakteristik kelompok pertama iaitu orang-orang yang berjaya.

Karakteristik dari kelompok pertama antara lain:

1. Sedih kerana akhirat
Sedih kerana akhirat membuat dirinya punya perasaan takut kepada Allah Ta’ala menghisab dirinya pada Hari Kiamat, lalu ia menghisab dirinya sebelum ia dihisab kelak di akhirat. 

2. Selalu mengadakan Muhasabah (evaluasi diri)
Umar bin Khattab RA berkata “Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab. Timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang. Dan, bersiap-siaplah menghadapi Hari Kiamat.”

3. Selalu beramal untuk akhirat
Amal soleh bukan hanya solat, puasa, membaca Al-Qur’an dan zikir, tapi amal soleh adalah apa saja yang dicintai Allah Ta’ala.

4. Terkesan pada jiwanya melihat kematian
Seorang tabi’in Ibrahim An Nakhai berkata, “Jika kami datang ke rumah orang yang meninggal atau mendengar ada orang yang meninggal dunia, hal itu membekas pada kami hingga berhari-hari, kerana kami tahu tatkala ajal datang pada orang tersebut, lalu membawanya ke syurga atau neraka”
Itulah pengingat bagi kita semua, bahawa sesungguhnya kehidupan ini adalah jalan untuk kembali kepada Allah, sekolah yang laporannya nanti akan dibentangkan di akhirat. Mari kita sama-sama mengevaluasi diri kita, selalu meluruskan niat kita hanya kepada Allah dan berdoa kepada-Nya memohon ketetapan iman di hati sampai pada hari penutup kita nanti. 

“Yaa muqollibalquluub tsabbit qolbiy alaa diinika” Wahai Dzat yang membolak-balik hati, kokohkan hatiku tetap berada di atas agamamu.

Rujukan: Kitab Taujih Ruhiyah, Syeikh Abdul Hamid al- Bilali

Sunday, April 22, 2012

:: Dialah Penjaga Akhlaknya ::



Oleh : Hilal Asyraf
Sumber : http://langitilahi.com
Kita terus menelaah Bidadari Dunia hari ini. Perempuan yang merupakan manusia, tetapi melangkah dengan langkahan bidadari. Mahal. Indah. Tinggi. Mulia.
Antara ciri-ciri wanita, perempuan yang sedemikian, pada saya, adalah yang menjaga akhlaknya.
Ya. Akhlak.
Dikatakan bahawa akhlak adalah pakaian yang menunjukkan keadaan kita.
Buruk akhlak, buruklah orang memandang kita. Walaupun pada kita ada seribu satu kelebihan, seperti cantik, kaya dan sebagainya.
Cantik akhlak, cantiklah orang memandang kita. Walaupun pada kita ada seribu satu kekurangan, seperti miskin, tidak berapa cemerlang dalam pelajaran dan sebagainya.
Dan antara yang mendamaikan jiwa manusia, adalah akhlak.
Sebab itu perempuan berakhlak, dia adalah bidadari dunia.
Akhlak, bukan semata berdiri di atas nilai murni.
Pertamanya, perlu difahami bahawa, akhlak mulia bukanlah semata-mata berdiri di atas nilai murni semata-mata. Apakah maksud saya dengan penyataan ini?
Yakni, kita tidak memandang bahawa akhlak mulia itu semata-mata berdiri di atas nilai moral. Contohnya, kita tidak berbogel di tengah masyarakat, kerana masyarakat menganggap itu satu perkara yang tidak bermoral. Maka kita berpakaian, kerana pada masyarakat, berpakaian itu bermoral.
Contoh lain, kita tidak menengking-nengking orang, kerana masyarakat menganggap menengking itu satu perkara yang tidak murni. Begitu juga dengan kita membantu orang, kerana masyarakat menganggap membantu orang lain adalah perkara yang murni.
Ya. Akhlak bukan berdiri di atas ‘nilai murni’ atau ‘moral’ dengan ukuran masyarakat, ukuran manusia.
Tetapi konsep berakhlak yang sebenar itu, diukur dengan nilaian yang telah diletakkan oleh Allah SWT.
Masyarakat mungkin boleh menerima bahawa yang memakai baju kurung, tanpa tudung, itu dikatakan berakhlak, sopan. Tetapi di dalam Islam, itu belum mencapai tahap berakhlak lagi. Kerana jelas, di situ ada ‘keingkaran’ kepada Allah SWT berlaku. Maka bagaimanakah kita boleh mengira keingkaran kepada Allah SWT sebagai ‘berakhlak’?
Contoh lain dalam isu ini, berpegangan tangan dengan yang bukan mahram. Mungkin pada masyarakat, itu tidak mengapa. Tiada masalah. Bukan peluk pun. Jadi kalau berpegangan tangan, bersentuh bahu studi bersama, maka itu boleh dikira berakhlak lagi. Tetapi tidak di dalam Islam. Itu belum mencapai tahap ‘berakhlak’. Kerana jelas berlaku pengingkaran kepada Allah SWT di situ.
Jadi, bidadari dunia memahami akhlak mulia itu sedemikian rupa.
Apakah ‘akhlak mulia’? Itulah dia dengan berakhlak mengikuti akhlak yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.

Maka Mereka Berakhlak dengan akhlak yang diperintahkan.
Firman Allah SWT:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. Surah An-Nur ayat 31.
“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).Surah Al-Ahzab ayat 32.
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah Al-Ahzab ayat 59.
“Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga boleh terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh.” Hadith Riwayat Muslim, bernombor 3971.
Begitulah Allah SWT memerintahkan. Begitulah Rasulullah SAW menunjukkan.
Maka Bidadari Dunia itu matanya tidak liar dalam memandang yang tidak sepatutnya. Tidaklah bermaksud tunduk hingga terlanggar tiang dalam perjalanannya. Tetapi bermaksud, tidak terlalu teruja dengan sesuatu yang tidak sepatutnya.
Tiadalah pula mereka ini menunjuk-nunjukkan perhiasan mereka, kecuali pada tempat yang memang tidak terlindung. Tiadalah mereka menayang-nayangkan barang kemas, dan berlebih-lebihan dalam mengenakan hiasan.
Mereka juga menutup aurat dengan kemas. Tidak semata-mata mengikut fesyen arus itu dan ini. Tetapi memastikan bahawa yang Allah kehendaki itu selesai. Yakni menutup seluruh tubuh kecuali tangan dan wajah. Juga tidaklah hingga menunjukkan tubuh badan. Pakaian mereka labuh, walau apa pun yang dipakai mereka.
Mereka juga tidaklah ‘gedik’, mengada-ngada, melembutkan suara pada yang bukan mahram, dan berhubungan bebas dengan mereka. Tidak pula perempuan yang beriman ini, bidadari dunia ini, bila berjalan kedengaran ‘keletak-keletuk’. Mereka berjalan dengan sopan, teratur, dan tidak terlalu menarik perhatian. Terjaga.
Walaupun ada ayat di atas menyebut ‘isteri-isteri nabi’, tetapi hakikatnya hukum itu jatuh kepada semua perempuan muslimah yang beriman. Hal ini kerana, isteri-isteri nabi adalah ibu kepada perempuan yang beriman. Kerana itu mereka digelar, Ummul Mukminin. Mereka menjadi ikutan kepada perempuan yang inginkan keredhaan Allah SWT.
Kerana itu. Bidadari Dunia Sangat Indah.
Kerana memahami akhlak yang sedemikian ini dan melaksanakannya lah, Bidadari Dunia menjadi sangat indah. Cuba perhatikan semula sub topi di atas ini dan kemudian bayangkan. Sederhana bukan?
Ya. Sederhana. Tidak kelihatan terlalu terkinja-kinja. Kelihatan amat sopan. Amat cantik dalam erti kata cantik yang sebenar. Amat indah.
Saya tidak mampu menterjemahkan dengan apa-apa perkataan lain selain perkataan Sederhana.
Tidak terlalu melebih-lebih. Dan tidak pula terlalu kurang. ‘Just nice’ orang putih kata.
Itu yang membuatkan Bidadari Dunia indah.
Penutup: Tetapi siapakah yang hendak berakhlak sedemikian rupa?
Tetapi siapakah daripada kalangan saudari-saudari saya ingin berakhlak sedemikian?
Berakhlak dengan apa yang Allah SWT mahu. Bukan sekadar apa yang masyarakat mahu.
Akhlak yang indah. Yang cantik. Yang mulia.
Ketahuilah bahawa perempuan yang sedemikian, mahal harganya.
Terjaga. Kemas. Bukan murah yang boleh diambil oleh sesiapa. Suci!
Bidadari Dunia!
Siapakah yang mahu menjadi?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...