Hot Stuff

Wednesday, January 25, 2012

:: Antara Impian & Ujian ::


Oleh : Syed Fahmi Akmal Bin Syed Isa
Sumber : I Luv Islam

“Apa impian kamu apabila dewasa kelak?”
“Sudah tercapai ke impian kamu?”

 Setiap insan di muka bumi ini mempunyai pelbagai impian dan harapan yang tersendiri. Sedar atau tidak, impian inilah yang kadang kala memandu kita untuk mencapai apa yang kita mahu dan memberi semangat untuk seseorang itu meneruskan perjalanan sebagai daie Allah.
Impian yang sering kali kita harapakan kadang kala susah untuk kita laksanakan apatah lagi untuk dicapai. Sedangkan kita telah memiliki satu strategi dan pelan perlaksanaan yang begitu terperinci. Tetapi, mengapa kita masih gagal melaksanakannya? Cuba kita renung kembali, dimana kesilapan kita. Adakah kegagalan ini berpunca daripada kerapuhan strategi kita ataupun kerana sikap kita sendiri?

Namun pada hakikatnya, sebaik manapun strategi yang telah kita susun dan seampuh manapun kekuatan yang kita kumpul, sekiranya kita masih gagal kembali kepada Allah, selagi itulah kita akan berada ditakuk yang lama. Dalam kita merancang pelbagai impian pada masa hadapan, kita kadang kala terlupa landasan yang sepatutnya kita pilih dalam merealisasikan impian tersebut. Sekiranya kita mempunyai impian untuk menjadi kaya, jalan apa yang perlu dipilih? Adakah jalan pintas yang memberikan kebahagian yang singkat atau jalan yang jauh namun memberi satu kepuasan? Semua ini adalah pilihan yang Allah telah berikan kepada kita. Allah tidak menjadikan sesuatu perkara itu sia-sia tetapi Allah turunkan hikmah serta keadilan terhadap sesuatu yang terjadi. Seperti mana firman Allah :
“Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu dari azab Neraka.” (Surah Shad : 27)

Impian yang telah dirancang dengan begitu rapi itu sering kali gagal untuk dilaksanakan juga. Ikhtiar demi ikhtiar telah kita cuba namun hakikatnya, usaha itu masih belum membuahkan hasil. Allah tidak akan mengkabulkan sesuatu permintaan hamba-Nya dengan mudah tetapi Allah turunkan pelbagai ujian kepada hamba-Nya untuk menguji sejauh mana mereka bersama Allah. Ayuh kita renung kembali sirah perjuangan Rasulullah suatu ketika dahulu. Baginda amat mengimpikan agar Islam terus tersebar ke seluruh pelosok dunia ini. Tetapi, sepanjang Baginda memperjuangkan Islam. Allah menurunkan pelbagai ujian demi ujian terhadap baginda sepanjang merealisasikan impiannya untuk melihat Islam terus berkembanng ke serata dunia. Allah telah berfirman didalam Al-Quran ;
“Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (Surah Al ‘Ankabut : 3)

Allah menurunkan ujian terhadap hamba-Nya bukan untuk menggagalkan impian setiap hamba-Nya tetapi Allah curahkan ujian demi ujian ini untuk melihat sejauh mana pergantunggan kita terhadap Allah. Ini adalah tanda bagaimana Allah begitu kasih terhadap kita. Ujian inilah merupakan penghubung yang sangat kuat antara kita dengan-Nya. Kita telah diberikan satu formula yang amat berkesan iaitu ‘Usaha+Doa+Tawakkal’. Ini adalah formula yang terbaik dalam kita memastikan impian kita dapat terlaksana. Adakah kita mempraktikkan kataupun tidak? Lihat kembali diri anda... 

Secara konklusinya, setiap insan dimuka bumi ini mempunyai 1001 impian dah harapan tetapi impian itu tidak akan dapat dikecapi sekiranya kita tidak kembali kepada Maha Pencipta kita iaitu Allah S.W.T. Setiap impian yang diimpikan itu pastinya akan disulami dengan pelbagai warna ujian daripada-Nya dalam memastikan impian yang bakal kita kecapi suatu masa nanti adalah impian yang benar-benar memberikan kenikmatan dan kepuasan yang tidak terhingga. Dan ingatlah, impian yang seharusnya ditanam dan disemai dalam diri kita adalah untuk menjadi seorang muslim dan mukmin yang baik dan bakal menjadi tetamu Syurga yang kekal abadi kelak. InsyaAllah.....

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...