Hot Stuff

Sunday, January 8, 2012

:: Lembutmu Bukan Penghalang ::

Oleh: Lubabah Muhsin, Tahun 1, Kuliah Syariah, Universiti Al-Azhar
Sumber : ISMA Mesir

Dia Khawlah al-Azwar
Hayunan  pedang tangkas menghunus. Perang semakin sengit. Tentera Muslim berhadapan dengan tentera Rom yang ramai. Perindu-perindu syahid agak keletihan. Saat melamar bidadari syurga terasa kian hampir. Biar syahid, mengalah tidak sekali!
Keduk…keduk…keduk…
Seekor kuda perang meluncur gagah. Wajah si penunggang itu dilitupi kain. Berani. Debu-debusahrawi berterbangan. Mata-mata terbeliak kagum. Teruja. Amuk si perwira menghayun tombak dengan garang. Musuh-musuh Allah jatuh. Allahuakhbar! Semangat tentera Muslim menyala-nyala. Musuh berasa gerun.
“Adakah itu Khalid al-Walid?” Mereka tertanya-tanya.
Sememangnya nama besar Khalid al-Walid cukup menggentarkan mereka. Salah seorang ketua skuad Islam, Raafe bin Umaira berbisik kagum,
“Beliau bertempur seperti Khalid al-Walid, tapi saya yakin beliau bukan Khalid.”
Saat tersingkap tabir wajah, nyatalah sang perwira itu bukan seorang lelaki perkasa sebaliknya seorang srikandi yang berhati waja. Tatkala mengetahui tentera yang mengucar-ngacirkan musuh itu adalah Khawlah al-Azwar, Khalid al-Walid hampir terjatuh daripada kudanya. Takjub.
Membebaskan abang tersayang
Khawlah al-Azwar terdorong menggempur musuh, mencari syahid dalam peperangan itu sebaik sahaja beliau mendapat berita bahawa abangnya Zirar al-Azwar telah ditawan. Sangkar besi milik tentera Rom yang penuh dengan penyeksaan membuatkan Khawlah al-Azwar tidak mampu mendiamkan diri.
Peperangan beransur reda apabila barisan pertahanan pihak musuh berjaya dipecahkan. Khawlah tidak sabar-sabar menanti operasi seterusnya. Abangnya mesti dibebaskan. Tentera Muslim mengatur operasi serangan seterusnya di Beit Lahiya, Gaza, Palestin. Di situlah Zirar al-Azwar dipercayai terpenjara. Khawlah al-Azwar menghunus pedang, menyertai perang. Akhirnya, di situ abangnya yang tersayang berjaya dibebaskan.
Mahir berkuda dan bersenjata
Khawlah al-Azwar, namanya seindah peribadi. Dibesarkan pada zaman di mana Islam sering diancam dengan peperangan. Ayahnya sedia memperlengkapkan didikannya dengan ilmu mempertahankan diri. Sejak kecil lagi dia diajar untuk menunggang kuda dan bermain pedang. Segala teknik dan kemahiran juga diperturunkan kepadanya. Maka, mekarlah si mawar agama itu sebagai seorang srikandi yang perkasa. Mahir bersenjata dan berkuda.
Dalam Perang Yarmouk, beliau cukup berwibawa memimpin dan memelihara kaum wanita yang ikut serta dalam peperangan itu. Tidak lengkap pasukan tentera Islam tanpa kaum wanita sebagai sayap kiri perjuangan. Dan ketika itu, keberanian Khawlah terserlah sehinggakan dalam satu kejadian, kepalanya cedera mengalirkan darah. Pengorbanannya tidak sia-sia. Panji kemenangan Muslim berkibar dalam peperangan itu hingga membawa kepada pembukaan Syam. Bandar Damsyik bercahaya dengan sinar baru.
Terlepas dari kurungan
Dalam peperangan Sahura, Khawlah dan beberapa mujahidah Muslimah ditawan. Namun, sekali-kali tiada episod kekalahan dalam kamus hidupnya. Lawan tetap lawan. Mungkin begitu jeritan batin Khawlah. Beliau tidak mahu hanya terus menanti bantuan tanpa berusaha melakukan tindakan. Bertalu-talu hatinya menerima semangat yang menyuruhnya berlawan. Pengawal-pengawal yang mengurung mereka kelihatannya nampak gagah perkasa. Sekali pandang, untuk menemui kebebasan itu memang mustahil. Dia mungkin tidak berupaya jika melawan secara berseorangan. Lalu, dia berpidato untuk membakar semangat teman-temannya.
Wahai sahabat-sahabatku yang sedang berjuang di jalan Allah, apakah saudari semua sanggup menjadi tukang-tukang picit orang Rom? Apakah saudari sanggup menjadi hamba orang kafir yang dilaknati? Adakah rela saudari dihina dan dicaci maki oleh bangsa Rom yang durjana? Di manakah letaknya kehormatan saudari sebagai seorang Muslimah yang bertaqwa? Sesungguhnya mati itu lebih baik bagi kita daripada menjadi hamba-hamba orang Rom.”
Mendengarkan bicaranya itu telah membangkitkan singa yang tidur dalam jiwa setiap mujahidah Islam tika itu. Sebelum memulakan misi serangan ke atas pengawal-pengawal yang garang itu, mereka berdoa, bertaubat dan bermunajat dengan bersungguh-sungguh dan seikhlas hati kerana selepas ini mereka mungkin terpilih dalam mendapat bantuan Allah ataupun dibawa menghadap Allah Yang Maha Kekal. Menang atau mati syahid, mengalah tidak sekali!
Khawlah al-Azwar berpidato lagi,
Jangan sesekali saudari gentar dan takut. Kita semua harus bersatu dalam perjuangan dan jangan ada yang terkecuali. Patahkan tombak mereka, hancurkan pedang mereka, perbanyakkan takbir serta kuatkan hati. Insya-Allah pertolongan Allah sudah dekat.”
Allahuakhbar! Pasukan Muslimah itu bertempur dengan pengawal-pengawal durjana dan akhirnya mereka berjaya menumpaskan mereka. Lantas, mereka lari membebaskan diri daripada kurungan untuk terus berjihad, bergabung dengan tentera Muslimin.
Begitulah kentalnya episod hidup Khawlah al-Azwar. Hari ini Islam sering terancam. Adakah mungkin akan lahir lagi jiwa srikandi seperti Khawlah al-Azwar yang tegar membela Islam? Atau hanya mampu berpeluk tubuh menuding jari kepada orang lain melihat suasana yang semakin kucar-kacir?
Pelaksanaan amal
  1. Nilai ikhlas penting dalam proses pembinaan jati diri sebagai seorang wanita muslimah kerana ia menuntut pengorbanan yang besar dalam mendidik mereka untuk memainkan peranan sebagai seorang hamba Allah, isteri, ibu dan ahli masyarakat dengan sebaiknya.
  2. Meletakkan sifat malu yang bertempat. Dewasa ini, wanita muslimah diasak hebat dengan kelantangan golongan yang menuntut ideologi feminisme itu tertegak. Maka, kita sewajarnya mampu melahirkan pejuang sehebat Khaulah dalam menghadapi perang ideologi ini.
  3. Muslimah yang jujur dalam keimanannya akan sentiasa beribadah kepada Allah dengan penuh pengharapan dan semangat yang tinggi kerana dia menyedari bahawa amanah untuk menegakkan syariat Allah itu wajib ke atas setiap muslim dan muslimah.
  4. Darjat seorang wanita diangkat tinggi dalam Islam. Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang-orang beramal di antara kamu, baik lelaki atau perempuan, kerana sebahagian kamu adalah sebahagian yang lain.” (Ali Imran:195)
Mereka juga orang yang tak pernah keciciran dari medan juang. Malah, sayap sang lelaki bakal longlai dan lesu tanpa pelengkap kekuatan dari sayap sang wanita. Mereka jugalah yang melengkapi kefanaan dunia dengan seindah perhiasan iaitu wanita solehah. Melontarkan persoalan kepada diri sendiri, adakah kita orangnya?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...