Assalamualaikum......
Kehadapan saudari, moga-moga sihat hendakNya. Saya ingin mengucapkan ribuan
terima kasih kerana sudi membaca email ini. Ini bukanlah utusan untuk menagih
cinta tapi sekadar ungkapan hati terakhir saya terhadap saudari. Saya kira sudah
tidak sesuai saya menggunakan panggilan "abang" ataupun
"sayang". Sebab saya rasa lebih selesa dan setaraf menggunakan
panggilan saudari sahaja.
Terlebih dulu biar saya mulakan warkah ini dengan sedikit kenangan dipertemuan
kita yang pertama. Masa itu kita masih lagi menuntut, dari balas membalas sms
hinggalah ke panggilan telefon. Ketika itu, semuanya indah. Almaklumlah kita
telah lama mengenali antara satu sama lain, cuma kesempatan untuk bersua muka
dan bertanya khabar tidak dapat kita lalui sebelum itu. Dari sinilah kita
berjanji untuk hidup semati melayari bahtera percintaan.
Sepanjang perhubungan yang memakan masa bertahun lamanya, kita telah melalui
pelbagai ranjau dan duri. Semuanya kita dapat hadapi dengan tenang dan sabar.
Masa itu saudarilah segala-segalanya bagi saya. Tempat saya mencari ketenangan
dan keabadian duniawi. Boleh dikatakan memang sesuatu yang tidak mungkin saya
lupakan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kerana sepanjang waktu ini,
saudari mahu memikul tanggungjawab sebagai seorang kekasih. Saya anggap inilah
masa dimana tahap percintaan kita berada dikemuncak yang paling tinggi.
Lebih menyemarakkan lagi hubungan kita, apabila keluarga tidak membantah
mengenainya. Walaupun saya tidak nafikan bahawa ada sedikit keraguan dari
keluarga saya. Namun saya tetap dengan pendirian saya. Mencintai saudari dengan
sepenuh jiwa raga saya. Kata-kata orang saya tolak ketepi hanya kerana saya
sayangkan saudari. Itulah namanya cinta. Cinta yang tidak mengenal erti
kepayahan, erti kesusahan dan banyak lagi definasi yang boleh diberikan. Namun
apakan daya, cinta juga boleh menjadi racun dan parutnya akan kekal sehingga
keakhir hayat.
Namun segalanya berubah setelah kita berjauhan sekali lagi. Kali ini atas dasar
mencari peluang kehidupan ditempat orang. Saya masih ingat ketika saya nyatakan
kepada saudari yang saya akan berkerja di Kuala
Lumpur, saya lihat wajah saudari berubah. Memang saya
faham situasi yang dilalui saudari ketika itu. Sebenarnya saya pun berat untuk
meninggalkan saudari, tetapi apakan daya. Saya perlu berbakti kepada kedua
ibubapa saya, dan inilah jalan yang terbaik untuk masa depan keluarga saya
malah untuk kita juga. Lebih-lebih lagi sayalah satu-satunya harapan kepada
keluarga. Dan saya amat bersyukur kerana saya mempunyai pengarang jantung yang
memahami situasi saya ketika itu.
Kuala Lumpur sebuah tempat yang asing bagi saya. Namun, saya tekatkan semangat
tetapkan hati untuk meredah hutan batu ini yang sememangnya penuh dengan
cabaran dan godaan. Itulah Kuala Lumpur. Pada suatu pagi 15 haribulan Mei 2005
saya selamat sampai di Stesen Putra, tempat dimana bas-bas dari pantai timur
menurunkan penumpang. Dengan hanya membawa pakaian sehelai sepinggan, saya
membawa diri. "Dimanakah tempat yang harus kutuju?". Akhirnya
teringat saya kenalan di Sentul. Jadi saya gunakan peluang ini untuk menumpang
setenggah hari dirumahnya kerana awal jam 9, saya dikehendaki melaporkan diri
di tempat kerja baru saya. Sehinggalah sekarang. Saya tempuh dengan penuh
semangat dan matlamat. Untuk keluarga dan juga untuk kita.
Kerana kerja, saya mula mengenali beberapa individu-individu yang saya anggap
sebagai sahabat malah saudara kepada saya di bandaraya ini. Maklumlah
saya seperti mana yang saudari tahu, memang tidak mempunyai saudara mara
disini. Saya disini sebatang kara, mencari rezeki ditempat orang. Namun
"Alhamdulillah" saya sekarang mempunyai rakan taulan yang baik, malah
jiran yang perihatin. Dari sini saya mengenali beberapa orang individu yang
saya anggap hanyalah sebagai seorang adik. Yang sudi menemani dan bertanya
khabar tentang saya. Ketika itu hubungan kita sudah dingin. Harapan bertanya
khabar saudari tentang saya jarang saya terima. Apabila saya bertanya khabar
kepada saudari melalui sms, saudari selalu saja mengantuk ataupun mahu menonton
rancangan kegemaran saudari. Namun saya akur kepada semua itu. Ini menyebabkan
saya membalas, semasa saudari berkirim sms kepada saya, saya selalunya akan
memberi alasan mengantuk. Dengan harapan saudari faham ertinya. Namun semua itu
tidak berhasil.
Tanggal 9 haribulan Januari 2007
Sekarang biarlah saya mulakan perenggan ini kepada titik dan detik hubungan
kita musnah. Perkenalan saya dengan individu yang mungkin saudari anggap
sebagai orang ketiga, adalah secara kebetulan. Yang saya anggap sebagai adik
angkat saya. Biarlah saya memanggilnya adik angkat sahaja dalam luahan hati
saya ini. Agar tidak timbul perasaan benci dihati saudari. Malah bukan dia
sahaja yang saya berkenalan, tetapi banyak lagi gadis-gadis yang mengenali saya.
Namun sebagai seorang abang dan adik, mestilah hubungan kami lebih rapat. Saya
tidak pernah merasiakan hubungan kita. Malah saya pernah memberitahunya yang
kita sudah bertunang. Sekali diingat memang terukir senyuman diwajah. Akhirnya
hubungan yang rapat bertukar menjadi akrab, namun saya masih menganggap dirinya
hanyalah seorang adik. Dan kerana hubungan inilah, yang menyebabkan timbul
perasaan iri hati dikalangan beberapa gadis kenalan saya yang lain. Memang
betullah pesanan ayah saya bahawa manusia memang tidak boleh lari dari penyakit
hati ini.
Tekaan saya tepat, suara-suara sumbang mula terbang ketelinga kekasih hati adik
angkat saya. Hubungan mereka semakin retak, atas dasar cemburu buta yang
membuta tuli. Kenapalah tidak diperiksa terlebih dahulu sebelum membuat
andaian. Malah saya pernah memutuskan bahawa kami tidak sepatutnya berjumpa
lagi. Berjumpa dalam erti kata lain, ialah keluar makan dan adakalanya menonton
wayang bersama. Itupun bukan kami berdua sahaja, malah ada orang lain yang
mengikut. Disinilah mula timbul perasaan kesian melihat keadaan hubungan adik
angkat saya ini. Malah segala masalah diceritakan kepada saya. Dan saya percaya
dia juga berkongsi masalah tersebut dengan saudari. Hingga ke satu tahap saya
melihat dia dikasari oleh kekasihnya, bukan kekasaran yang biasa tetapi
bertukar menjadi ganas. Saya sendiri pernah menasihati kekasihnya itu. Namun
nasihat tidak diperdulikannya. Yang menjadi mangsa belasahan merupakan adik
angkat saya sendiri. Saya tidak sanggup melihat semua itu. Akhirnya dia
menyatakan kepada saya yang dia sudah berpisah dengan kekasih hatinya itu.
Terdetik satu pertanyaan dihati saya, "adakah kerana aku dia berpisah,
ohhh tidak, apa yang telah aku lakukan" itu yang bermain dipemikiran saya
ketika itu. Lebih memburukkan lagi keadaan dia menyatakan rasa hatinya kepada
saya. Memang betul kata orang tua, jiwa wanita senang untuk ditakluki hanya
kerana kebaikan seorang lelaki dan begitulah sebaliknya. Kebaikan yang
diberikan disalah ertikan. Namun saya tidak menyalahkan dirinya kerana memendam
perasaan kepada saya. Hinggalah kesuatu saat perasaan bersalah dan kesian saya
bertukar menjadi sayang. Saya tidak tahu adakah ini datang dari naluri saya
atau hanyalah simpati yang menyerupai sayang.
Disinilah mula terdetik perasaan dihati saya yang menyatakan, "aku tidak
boleh meneruskan sandiwara kotor ini". Sebab itulah saya memutuskan untuk
berpisah dengan saudari. Bukan untuk bersama dengan adik angkat saya. Malah
penglibatan adik angkat saya itu hanyalah rekaan saya semata-mata. Kerana saya
tidak boleh menipu, berbohong kepada saudari. Alasan itu sebenarnya adalah
alasan yang terakhir saya, kerana alasan pertama saya adalah sebab keluarga dan
juga masa depan. Saya tidak nampak masa depan antara kita lagi. Hubungan kita
memang sudah renggang ketika itu sama ada saudari perasaan atau tidak,
terpulanglah. Berat untuk saya menyatakanya kepada saudari. Namun saya gagahkan
semangat untuk menyatakannya juga. Dengan harapan agar saudari faham akan
tindakan saya ini.
Akan tetapi tekaan saya meleset sama sekali, kita terputus hubungan seketika
sahaja. Ini kerana seseorang individu yang perihatin dan mengambil berat
mengenai diri saudari mula menghubungi saya. Kita boleh menipu dengan perkataan
atau perbuatan, namun sama sekali tidak dapat menyembunyikan perasaan hati ini.
Bergitulah juga apa yang berlaku keatas diri saya. Saya ingin mengucapkan
terima kasih saya kepada individu tersebut diatas usahanya yang murni itu.
Tidak perlulah saya ceritakan lebih lanjut lagi, kerana saudari tentunya lebih
maklum dengan apa yang terjadi. Namun saya sedar kenapa saudari berkelakuan
sebegitu. Dan saya faham. Sebab itulah saya menerima saudari semula dalam hidup
saya. Saya akui memang saya seorang lelaki yang lemah, tetapi lemah saya
hanyalah kerana cinta.
Dan bukanlah niat saya untuk mengungkit perkara tersebut, cuma yang menyebabkan
saya terkilan adalah sikap saudari ketika ingin berpisah dengan saya beberapa
hari lepas. Saya nyatakan begitu kerana perpisahan pertama kita, memang ada
kaitannya dengan perpisahan beberapa hari lalu. Dimasa lalu, setiap peluang
saya berikan kepada saudari untuk menyuarakan rasa hati saudari. Baik melalui
sms, malah saya menelefon saudari membincangkan dan mendengar rintihan serta
tangisan saudari. Tidak pula terniat dihati saya untuk membeli nombor telefon
yang baru. Apatah lagi menukar nombor tersebut dengan orang lain. Kerana saya
tahu, ketika itulah masa saudari mengalami tekanan yang kuat. Peluang dan ruang
saya berikan secukupnya untuk saudari.Walaupun jika diingat cercaan saudari
sebelum itu, tidak ada maknanya peluang itu diberikan. Tetapi saya bukan kejam
dan tidak berperikemanusian seperti saudari. Malah saya pernah menebalkan muka
menjawab panggilan telefon saudari dihadapan tetamu dan juga majikan saya semasa
mesyuarat syarikat dijalankan. Malunya saya ketika itu. Tetapi saudari tetap
saya layan, walaupun menyakitkan. Masih ingatkah saudari?
Tetapi apabila tiba giliran saya yang hendak ditinggalkan, kenapa peluang dan
ruang tidak diberikan kepada saya? Semua ruang ditutup rapat bagaikan mengunci
diri sendiri didalam kotak kecil lagi gelap. Ini membuatkan saya hampa dengan
sikap saudari. Saudari sepertinya tidak yakin dengan keputusan saudari. Peluang
dan ruang yang saya inginkan pada beberapa hari lepas bukan untuk mencari jalan
menambat hati saudari, malah bukan untuk menyatakan rasa cinta saya kepada
saudari. Apa yang saya inginkan adalah, masa saudari agar dapat mendengar
segala rintihan dan luahan hati. Lebih-lebih lagi mendengar suara saudari untuk
terakhir kalinya, walaupun apa yang saya akan dengar adalah perkataan
perpisahan dari mulut saudari, namun saya akan tetap redha mendengarnya. Agar
saya yakin, keputusan yang saudari buat adalah berdasarkan diatas kerelaan hati
saudari yang sepenuhnya. Bukan lari meninggalkan saya parah lagi hancur
kesorangan setelah saya dilanggar dan patah remuk semuanya. Saya rasa saudari
pun pernah merasainya. Hendak rasanya saya pergi ke Kuantan mendengar sendiri
dari mulut saudari. Bukan kerana untuk memujuk, tetapi untuk memberi kekuatan
kepada saya melupakan saudari dari dalam hati saya. Bantu yakinkan saya, yang
saudari boleh meneruskan hidup dengan tenteram tanpa saya. Itu sahaja yang saya
hendak daripada saudari. Kalau beginilah sikap saudari, nescaya saudari akan terus
lari dari saya. Harus diingat kita sekampung malah berjiran. Sampai bila
saudari akan lari?
Jikalau itupun saudari tidak dapat berikan kepada saya, sekurang-kurangnya
berilah saya peluang dan ruang untuk mendengar suara saudari untuk kali
terakhir. Bukan untuk mencerca, tetapi hanya untuk menyampaikan ucapan semoga
saudari berbahagia. Dan sentiasa berada dalam lindungan Allah S.W.T.
Lebih-lebih lagi berita yang saudari sampaikan beberapa hari lepas, yang
menyatakan saudari sudah menemui pilihan hati. Izinkan saya mengucapkan selamat
berbahagia kepada saudari berdua. Tetapi malangnya, itupun saudari tidak dapat
berikan kepada saya. Peluang itu sahaja yang saya inginkan.
Kerana rasa yang tidak puas hati saya ini, menyebabkan saya mengirimkan sms
kepada buah hati saudari. Bukan untuk bertarung tenaga merampas saudari
darinya, tetapi meminta tolong darinya agar saudari berani menyampaikan hasrat
saudari sendiri kepada saya, tanpa perlu kepada penyataan dan ayat didalam
YAHOO MESSENGER. Sehingga sekarang saya masih simpan dialog tersebut. Beranilah
kiranya saudari tunjukkan yang saudari mampu melakukannya, bukan berselindung
disebalik taipan ayat sahaja. Apa yang menyakitkan hati saya adalah, ketidak
sudian saudari mendengar rintisan saya buat kali terakhir, itupun dalam YAHOO
MESSENGER sahaja. Hati yang telah remuk, dihancur beraikan dengan tindakan
saudari keluar dari YAHOO MESSENGER. Langsung tidak memberi peluang sedikit pun
untuk saya. Tidak seperti peluang dan ruang yang saya berikan sebelum ini. Malah
berbagai alasan yang diberikan untuk saudari tidak bersemuka dengan saya. Bukan
bersemuka secara fizikal yang saya mahukan, tetapi hanya lisan yang saya
perlukan. Katakan kepada saya yang saudari ingin berpisah dengan saya dengan
yakin. Barulah saya dapat melepaskan saudari dengan tenang tanpa perlu
memikirkan kesan kepada diri saudari. Jelas saudari tidak dapat menghadapi
saya. Jelas hati saudari dipaksa untuk menyintai orang lain. Jika salah kata
saya ini, buktikan. Itu sahaja yang saya mahukan. Tetapi sekali lagi saya hampa
kerana tidak diberikan peluang.
Niat yang baik untuk meminta tolong dari kekasih hati pujaan kalbu saudari itu
disalah ertikan. Malah dibalas dengan amaran supaya tidak menganggu saudari
lagi, dan ayat yang tidak boleh dilupakan adalah "HAK AKU". Betapa
hebatnya lelaki pilihan hati saudari. Tahniah saya ucapkan. Siapa dia untuk
menyatakan hak tersebut kepada saya, bukankah saudari masih menjadi hak ibubapa
saudari? Tetapi tidak dinafikan lelaki memang egonya tinggi. Namun tidak salah
kita bertolak ansur dalam hal ini. Tidak perlulah dia menunjukkan dominasinya.
Bukan itu yang saya inginkan. Berani kerana seorang wanita. Dari perkataan
dalam sms itu dapat saya bayangkan yang sesuatu yang amat negatif telah saudari
berikan kepadanya mengenai hal saya. KENAPA? Seperti sayalah penjahat lagi
digeruni didunia ini. Saya ingatkan saudari tahu macam mana perangai saya,
setelah kita bersama selama beberapa tahun. Namun jangkaan saya meleset sama
sekali, sebaik sahaja saudari mengetahui tentang sms tersebut, saudari pula
yang melatah memberi amaran kepada saya. Tanpa sebarang usul periksa, dan tanpa
mendengar terlebih dahulu penjelasan saya.
Itulah manusia. Berubah dengan sekilip mata. Insan yang saya kenal bukan
setakat dua atau tiga tahun, malah lebih daripada itu sanggup melakukannya
terhadap saya.
Disebalik kesakitan dan kepedihan itu, saya tidak salahkan saudari. Namun
semuanya bermula dengan kesilapan saya sendiri. Saya mengaku silap dan salah,
adalah berpunca dari diri saya sendiri. Saya membiarkan saudari mengharapkan
sesuatu yang tidak dapat saya berikan secepat mungkin. Salah saya juga kerana
menyayangi seorang wanita dan mencintai seorang wanita. Itulah bezanya wanita
pertama dengan saudari. Saya juga tidak dapat memberikan kepastian kepada
saudari.
Tetapi di hari mulia lepas Hari Raya Korban, saya telah melakukan pengorbanan
bukan sekadar pengorbanan haiwan tetapi perasaan cinta saya. Kepastian yang
dicari sudah pun saya tetapkan. Cuma menunggu masa yang sesuai. Malangnya pilihan
saya menjerat diri saya sendiri. Itu takdir ketentuan ilahi. Dihari ini saya
terima dengan hati yang tenang dan tabah. Jangan kata saudari tidak mengetahui
hubungan saya dengan adik angkat saya, hubungan ini hanyalah akan berakhir
sebagai hubungan adik dan abang. Kami tidak akan ada peluang bersama. Namun
dengan apa yang telah berlaku. Saya berserah kepada Allah Yang Esa
sebulat-bulatnya. Biarlah saya ubati hati yang hancur ini terlebih dahulu,
melupakan nikmat sebuah pencintaan. Kerana cinta saya kini hanyalah kepadaNya
dan juga kepada keluarga saya.
Seperti diawal email ini, sudah saya katakan ini bukan usaha saya untuk
menambat hati saudari mahupun mengikat saudari semula. Tetapi hanya sebagai
satu cara saya meluahkan isi hati saya, agar saya tenang menghadapi dugaan ini.
Email ini tidak akan timbul jika saudari tidak menutup semua ruang dan peluang
yang telah saya nyatakan sebelum ini. Satu ruang yang kecil sahaja yang saya
mahukan, namun malangnya tidak diberikan. Jadi email inilah sahaja satu-satunya
cara untuk saya menyatakan segala apa yang terbendung dalam diri ini.
Diakhirnya, izinkan saya menyatakan sesuatu sebagai menutup utusan ini. Jikalau
saudari sudah membaca sampai disini, terima kasih saya ucapkan. Kerana sudi
memberi peluang ini kepada saya. Saya tahu apa yang saya taipkan ini terlalu
panjang, tetapi percayalah ini adalah yang pertama dan terakhir buat saya untuk
saudari. Adalah berbaloi hubungan cinta yang dibina bertahun lamanya diluahkan
dengan isi kandungan yang berperenggan-perenggan. Bukan sekadar satu dua
perenggan sahaja.
Jika saudari sudah membaca sampai disini pula makna saudari telah memberi saya
tanggapan yang baik kepada saudari. Masih ada segelung kebaikkan didalam diri
saudari. Masih ada sifat kemanusian didalam diri saudari.
Dan dikesempatan ini juga saya memohon kemaafan diatas segala ketelanjuran dan
juga perkataan yang menyingung saudari. Sudah saya katakan, ini hanyalah luahan
hati sanubari ikhlas dari saya. Dari saat saya menulis ini, sudah tidak ada apa-apa
dendam dan tidak pula saya bertindak mencerca saudari. Saya anggap semua ini
adalah jodoh ketentuanNya. Saya juga ingin megucapkan terima kasih saya kepada
ibu saudari yang sudi mendengar luahan hati saya. Yang tidak dapat diberikan
oleh saudari sendiri. Terima kasih.
Akhir kata izinkan saya sekali lagi, untuk mengucapkan sesuatu yang akan saya
ucapkan jika ruang yang kecil itu diberikan kepada saya. Selamat berbahagia
kepada saudari berdua. Saya irinkan doa moga-moga saudari berdua kekal sehingga
keakhir. hayat. Malah dikurniakan keturunan yang soleh dan solehah. Kirimkan
salam saya kepada dirinya, walaupun saya tidak mengenali dirinya, namun saya
berharap dia dapat menjaga saudari dengan lebih baik daripada saya menjaga
saudari.amin
Mungkin inilah jodoh kita. Dijodohkan bertemu hanya untuk bercinta. Dan kerana
kekuasaanNya kita ditakdirkan berpisah seperti sebelum kita bercinta. Sebagai
orang asing kita mulakan. Dan sebagai orang asing juga kita akhiri.
Wassalam......
notis: Cerita di dalam entry ini adalah kisah benar yang berlaku, tetapi tiada kaitan dengan ana mahupun kenalan ana =).. entry dalam ini telah lama berada dalam laptop ana, baca sekadar membuat renungan dan rumusan dengan apa yang terdapat dalam cerita ini. cintailah PENCIPTA melebihi ciptaanNya =)....