Hot Stuff

Wednesday, November 30, 2011

:: Maruah atau Nyawa Mana lebih Berharga? ::

Sumber : I Luv Islam
Topik yang mahu saya kongsikan pada kali ini ialah"Maruah VS Nyawa. Yang Mana Lebih Berharga?"
Antara pendapat yang agak menarik perhatian saya ialah semasa berdiskusi dengan para pelajar saya.
Hiruma Youichi: 'Ok cuba kalau ko hidup tapi tak ada maruah langsung,orang panggil ko benda pelik-pelik macam ko ni sampah masyaraka lah itulah, inilah. Kalau ada maruah masa mati orang ingat lagi, dengan maruah je ko boleh terus hidup.'
Sara Sapura: 'Aku rase la maruah . Sebab maruah merupakan kehormatan diri yang mesti di jaga dan Allah sudah pun pertanggungjawab kita untuk di jaga.'
Layla Ashla: 'Maruah la sebab mana hendak cari ganti kat dunia ni. Bak kata ustazah Aishah mana ada 'spare part' kat dunia ni.'
Rata-rata memilih 'maruah' sampaikan saya terfikir:
"Eh, tak ada pun yang pilih nyawa. Nyawa ni tak penting ke?"
Hmm..saya mengingatkan diri saya bahawa semua pendapat ini adalah daripada remaja yang berumur 14 tahun sahaja. Jari-jemari saya mula rancak menari di atas papan kekunci komputer riba saya.
Saya agak teruja untuk mengutarakan pendapat saya. Tidaklah begitu bernas dan jitu tetapi saya gemar berdiskusi mengenai hal sebegini rupa. Sebelum itu, saya teringat akan satu firman Allah S.W.T dalam Surah as-Syu'ara.
Kelam-kabut saya dibuatnya semasa mencari buku yang mengandungi ayat al-Quran itu. Al-maklumlah saya ini bukanlah berpengetahuan luas dalam bidang ilmu agama. Tersangat cetek ilmu agama saya ini.
Nama sahaja seorang Muslim tetapi tidak mahir dan berpengetahuan dalam agama sendiri. Malu sungguh saya pada diri sendiri dan pada Pencipta saya. Seakan-akan saya ini seorang yang bertopengkan Islam sahaja. Astaghfirullah.
Kembali semula kepada topik tadi. Baiklah. Izinkan saya mengutarakan pendapat peribadi saya sendiri. Sebelum itu, ampunkan saya jika terdapat percanggahan dan kesilapan dalam saya membentangkan pandangan saya.
Apa itu maruah dan nyawa?
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, maruah bermaksud keberanian, kegagahan, kehormatan diri dan harga diri. Manakala nyawa pula bermaksud roh yang menghidupkan manusia (haiwan dan lain-lain), jiwa dan semangat.
Jika kita ditanya dengan soalan sebegini rupa, mungkin agak sukar bagi kita untuk memilih antara 'maruah' dan 'nyawa'. Bagi saya, kedua-duanya amat penting dan berharga dalam kehidupan manusia. Jadi, setelah bertafakur sebentar, saya membuat keputusan untuk memilih maruah dan nyawa.
Allah S.W.T telah berfirman di dalam Surah as-Syu'ara ayat 83-84 yang bermaksud:
"Wahai Tuhanku, berikan daku ilmu pengetahuan agama dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh. Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Dan jadikanlah daku daripada orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun Naim."
Ini adalah doa Nabi Ibrahim a.s kepada Allah S.W.T. Cuba perhatikan ayat yang saya highlightitu. Sedangkan Nabi Ibrahim a.s pun meminta nama yang baik dalam kalangan manusia.
Kenapa kita pula tidak mahu nama yang wangi? Nama yang baik datangnya daripada maruah yang terpuji.
Benar pandangan pelajar saya bahawa maruah itu penting bagi seseorang. Tanpa maruah diri maka hilanglah nilai seseorang itu. Jika hilang nilai sebagai seorang manusia, jadi apakah ia masih boleh dipanggil manusia?
Sebagaimana yang kita ketahui, Islam sangat mementingkan maruah diri. Oleh sebab itu, Islam telah menggariskan pelbagai panduan yang perlu umat Islam patuhi. Contohnya menutup aurat, cara pergaulan, percakapan, tingkah laku dan sebagainya.
Mengapa Allah S.W.T menyuruh kita mematuhi semua yang ditetapkan untuk menjaga maruah diri? Tujuan utama kita diwajibkan menjaga maruah diri ialah supaya kita dijauhi daripada maksiat.
Maruah juga melambangkan harga diri seseorang dan sesuatu bangsa. Sebagai umat Islam, kita perlu tahu apa itu maruah diri seorang Islam supaya dapat menjaga kehormatan diri dan kesucian agama Islam itu sendiri.
Pada masa kini, banyak mata yang memandang serong kepada Islam. Mereka sedaya-upaya mencari kelemahan dan kesalahan umat Islam. Pendek kata, maruah adalah nilai diri kita, hidup mati kita, kita mesti memiliki dan mempertahankannya walaupun terpaksa mengobankan harta dan nyawa.
Maruah tidak boleh digadai atau dijual beli. Demi menjaga maruah, darah dan nyawa menjadi tebusan. Begitulah tingginya harga maruah pada manusia.
Memanglah maruah itu tidak dapat dilihat dan disentuh tetapi kita boleh merasai bahawa maruah itu wujud dalam diri kita. Sifat yang paling hampir dengan maruah adalah malu. Jika perasaan malu itu masih tersemat dalam diri,Insya-Allah maruah diri akan sentiasa terpelihara.
Sekarang kita lihat kepada kepentingan nyawa pula. Islam amat mementingkan keselamatan nyawa kerana nyawa adalah anugerah Allah S.W.T yang sangat berharga dan sebarang perbuatan yang cuba mengancam anugerah tersebut amatlah dicela. Jadi, tidak pentingkah nyawa bagi kita?
Firman Allah S.W.T:
Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang- orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Al-Baqarah 2:195)
Diriwayatkan dari Jundab r.a:
Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda:"Seorang lelaki terluka dan bunuh diri, maka Allah S.W.T berkata:"Hamba-Ku mendahului-Ku dengan membunuh dirinya sendiri maka Aku haramkan syurga untuknya."
Fenomena bunuh diri amat membimbangkan dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Jika ditimpa masalah sahaja, jalan penyelesaiannya ialah bunuh diri. Dangkal dan naif sungguh pemikiran ini.
Tidak sedarkah wahai manusia, Allah S.W.T tidak akan menguji dan membebankan diri kita dengan sesuatu kecuali sesuai dengan kemampuannya. Senario ini memberi gambaran bahawa nyawa langsung tidak ada makna dalam hidup seseorang.
Nyawa yang yang dimiliki bagai dipandang enteng. Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W melarang kita daripada melakukan kezaliman kepada diri sendiri. Ini adalah satu contoh yang boleh saya kaitkan dengan nyawa kita.
Mari kita bermuhasabah sebentar. Apa tujuan kita dilahirkan di dunia ini dan mengapa Allah S.W.T mengutuskan Malaikat untuk meniupkan roh kepada kita semasa proses penciptaan manusia?
Adakah semata-mata mengejar kemewahan dan keseronokan duniawi?
Ingatlah bahawa kita pernah berjanji kepada Ilahi semasa di alam roh dulu. Apa janji kita pada Allah S.W.T?
Mungkin ada yang tidak tahu yang kita pernah mengikat janji kepada Al-Khaliq. Kita pernah mementerai satu perjanjian dengan Allah S.W.T di mana kita mahu bertuhankan kepada-Nya. Ingatan buat diri saya dan kepada sesiapa yang sedang membaca entry ini.
Nyawa yang dipinjamkan oleh ar-Rahman adalah sangat bernilai. Jika dikumpul harta kekayaan di seluruh dunia sekalipun tidak mampu membayar harga sebuah nyawa. Sebagai seorang Muslim, gunakanlah nyawa yang diberikan untuk mengejar syurga-Nya.
Setiap mukmin yang panjang umurnya mempunyai banyak peluang untuk ia beramal ibadat kepada Allah S.W.T sebagai bekalan di akhirat nanti. Jadi, bolehlah saya menyangkal jika ada yang mengatakan nyawa itu kurang penting jika dibandingan dengan maruah.
Ini bukan bermaksud kita hanya perlu fokus kepada akhirat sahaja. Kita hendaklah bersikap professional di antara dunia dan akhirat. Saya ada terbaca satu hadis di dalam buku 'Hadis 40 Imam Nawawi' yang bertajuk 'Mengambil Dunia untuk Keselamatan Akhirat. Suka untuk saya kongsikan hadis ini dengan anda semua.
Diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W telah memegang belakang beliau lalu bersabda:
"Jadilah kamu di dalam dunia itu sebagaimana kamu seorang yang asing, ataupun pengembara." Ibnu Umar R.A berkata: "Jika kamu berada di petang hari, maka jangan kamu tangguh sehingga ke pagi hari keesokannya, dan jika kamu berada pada waktu pagi, maka janganlah berrtangguh sehingga ke petang hari."(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Hadis ini mengingatkan setiap Muslim agar tidak terlena di dunia kerana kita tidak sepatutnya menjadikan dunia ini sebagai tempat tinggal yang abadi. Ambillah hanya sekadar keperluan sahaja yang mampu menjadi bekalan dalam perjalanan kita ke akhirat sana.
Namun, tidak dinafikan kita sering terlupa bahawa dunia yang kekal adalah akhirat. Kita berlumba-lumba mengejar pangkat, wang dan sebagainya seperti dunia inilah destinasi terakhir kita. Mungkin kerana itu, kita sering mengeluh dan berasa kecewa tatkala diri dilanda musibah.
Dengan menggunakan akal yang cetek dengan pengetahuan agama, kita merasakan tiada sesiapa yang mampu membantu diri keluar daripada belenggu permasalahan. Paling menyedihkan, sesetengah daripada kita mengambil jalan pintas dengan membunuh diri.
Dia seakan-akan lupa akan matlamat kehidupan di bumi ini dan mengapa Allah S.W.T mengurniakan nyawa kepada dirinya. Na'uzubillahimin alik. Semoga perkara ini tidak terjadi kepada diri saya dan anda semua.
Saya tertarik hati dengan pendapat yang diutarakan oleh teman seperjuangan saya di SMAN:
Aisah Sekbong : 'Nyawa tu penting kerana tanpa nyawa jasad tiada gunanya,dengan nyawa kita mampu untuk mengutip sebanyak mana bekal bagi meneruskan perjalanan menuju alam yang abadi bagi menikmati bekal yang dibawa,nyawa penting kepada umat Islam dengan nyawa kita boleh mempertahankan Islam,tanpa Islam nyawa juga tiada gunanya, sebab itulah para pejuang sanggup kehilangan nyawa demi Islam,nyawa itu adalah roh, jasad yang syahid bersama Islam akan menjamin rohnya dapat bertemu Rabuljalil dalam keadaan yang diredhai maka bahagia lah roh buat selamanya.'
Kesimpulannya ialah maruah dan nyawa sangat penting kepada seseorang Mukmin. Saya pasti bukan Islam sahaja yang menganjurkan supaya umatnya menjaga maruah dan nyawa. Agama-agama lain pun begitu juga. Kata-kata terakhir saya petik dari sebuah blog:
"Harga nyawa manusia bergantung kepada kewarasannya. Maruah manusia bergantung kepada nilai kemanusiannya."
Wallahualam.

:: Sudahkah anda mendidik anakmu? ::

Oleh : Ustaz Fathi Yusuf
Sumber : I Luv Islam
Soalan yang ringkas tetapi mungkin sukar dijawab oleh ibu bapa : Sudahkah kita mendidik anak-anak kita dengan baik?
Mendidik anak bukan sekadar proses spontan yang berlaku secara semula jadi, namun ia adalah satu amanah yang amat didorong oleh syarak. Tak dinafikan bahawa manusia secara semula jadinya mahukan anak mereka menjadi orang 'baik'. Walau jahat sekali pun seorang bapa atau ibu, hati kecilnya tetap mahukan si anak menjadi orang yang berguna dan taat.
Naluri semula jadi manusia akan menggerakkan dirinya untuk mengasuh dan mendisiplinkan anak-anak. Hanya manusia yang hilang nilai kemanusiaan dan diserap nafsu serakah kebinatangan sahaja yang mahu melihat anaknya rosak dan jahat.
Namun keadaan ini amat jarang berlaku. Kebanyakan manusia termasuk yang kurang beragama, bahkan yang terlibat dengan jenayah sekalipun biasanya berhasrat untuk memperolehi anak yang berjaya dan menjadi penyejuk hati.
Dalam Islam, keinginan untuk mendidik, dan mendisiplin anak-anak bukan sekadar terbit dari kemahuan naluri, bahkan ia terpancar dari pedoman agama dan berpaksikan perintah Allah dan Rasulnya. Firman Allah SWT:
Maksudnya : "Dan hendaklah engkau menyuruh ahli keluargamu mengerjakan solat, dan bersabarlah terhadap perintah itu." (Thaha:132)
Solat yang dinyatakan dalam ayat di atas menjadi simbol kepada tema pendidikan anak yang dikehendaki oleh agama. Solat menjadi tapak kukuh kepada pembangunan kecemerlangan individu. Dalam solat terkandung ketaatan, disiplin, kesabaran, kawalan perlakuan, penyucian jiwa, ketajaman tumpuan akal serta kepatuhan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Jika bapa berjaya melatih anaknya solat dengan tekun, bersegera, khusuk dan sempurna, maka secara kasarnya, bapa itu sudah berjaya mendidik anaknya menjejak ke arah kecemerlangan.Selain dari suruhan agar ibu bapa mendidik anak, terdapat juga ancaman keras ke atas mereka yang gagal mendidik anak. Secara tegas dan jelas, Allah meminta agar ibu bapa mendidik anak dengan sempurna, kerana kegagalan mendidik mereka bermakna menghantar mereka ke neraka. Firman Allah:
Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka..." (Al-Tahrim:6)
Ayat di atas meletakkan tanggungjawab mendidik anak sebagai tanggungjawab yang paling hampir bagi setiap individu. Maksudnya, sebelum seseorang itu sibuk dengan urusan mengajar dan mendidik orang lain, dia terlebih dahulu perlu memastikan bahawa anggota kelurganya terdidik dan selamat dari ancaman api neraka.
Jika orang di bawah amanahnya rosak, bukan di anak sahaja yang akan tercampak ke neraka, bahkan si bapa atau ibu yang cuai dan gagal mendidik juga mungkin turut sama terhumban ke sana. Dalam hadis Nabi riwayat al-Bukhari dan Muslim:
Maksudnya: "Seorang lelaki itu bertanggungjawab terhadap isterinya, dan dia akan dipersoal tentang tanggungjawabnya. Dan seorang wanita itu bertanggungjawab terhadap rumah suaminya, dan dia akan dipersoal tentang tanggungjawabnya."
Moga catatan ringkas ini dapat membuat kita terus berfikir... dan bermuhasabah.

Tuesday, November 29, 2011

:: Hukum Muzik Pada Pandangan Syarak ::


Oleh: Ustaz Ridhwan Hj Hashim
          BA (Univeristi Al-Azhar), MA (UKM)
          Bekas Imam Masjid Subang Jaya, Selangor.

MUQADDIMAH

Muzik pada umumnya merupakan alat-alat tertentu yang timbul daripadanya alunan bunyi dan irama sama ada ia berbentuk yang dipukul atau dipalu seperti gendang, rebana dan lain-lain atau yang ditiup seperti seruling, serunai, trompet dan lain-lain atau yang dipetik seperti gambus, gitar, biola dan seumpamanya. Kedudukan hukum muzik ini bergantung kepada apa jenis alat dan penggunaannya kerana ada diantaranya yang diharamkan oleh syarak dan ada pula diharuskan. Oleh itu kedudukan hukum muzik itu sendiri akan tertakluk kepada perkara-perkara berikut:

i)Menggunakan alat-alat muzik yang dilarang oleh syarak, maka kedudukan muzik itu adalah haram.

ii)Menggunakan alat-alat muzik yang diharuskan oleh syarak, maka kedudukannya adalah harus seperti memukul ghirbal (sejenis rebana) sewaktu perkahwinan.

iii)Bermain alat muzik yang harus, namun telah dicampur dengan perkara-perkara yang haram seperti nyanyian-nyanyian oleh golongan wanita dalam keadaan mendedahkan aurat di hadapan golongan lelaki ajnabi atau bukan mahram dengan suara yang merdu, lirik lagu yang mengandungi unsur-unsur cinta asmara,  percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, disertai dengan arak, judi dan sebagainya. Para ulamak telah sepakat menghukumkan bermain alat muzik dalam keadaan seperti ini adalah haram.

Persoalan yang timbul sekarang ialah yang mana satukah alat muzik yang diharamkan oleh syarak dan mana satu yang diharuskan. Adakah semua alat muzik itu diharamkan atau semuanya diharuskan atau sebahagiannya diharamkan dan sebahagiannya pula  diharuskan. Jika hukumnya haram, maka apakah pengharaman itu ke atas alat-alat muzik itu sendiri atau kerana faktor-faktor luar yang beserta dengan alat-alat muzik tersebut. Inilah yang akan kita bincangkan dalam risalah yang kecil dan ringkas ini berdasarkan huraian dan pandangan para ulamak yang muktabar.

PANDANGAN ULAMAK MENGENAI ALAT MUZIK

Terdapat pelbagai pandangan di kalangan ulamak mengenai perkara di atas. Mereka tidak sepakat mengenainya disebabkan perbezaan pandangan dalam memahami hadis-hadis yang menyebut mengenai alat-alat muzik (wajhu ad-dilalah) dan juga dari segi penentuan kedudukan martabat hadis-hadis yang diriwayatkan mengenainya.

Golongan Ulamak Pertama

Sebahagian ulamak mengharamkan hampir semua bentuk alat hiburan atau muzik. Mereka berdalilkan kepada beberapa hadis yang menyebut tentang alat-alat muzik yang ditegah oleh syarak sepertimana berikut:

  1. Daripada Abdul Rahman bin Ghunm katanya, Abu ‘Amir atau Abu Malik al-Asy’ari telah menceritakan kepada aku bahawa dia telah mendengar Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Pasti akan berlaku satu kaum dari umatku yang menghalalkan zina, kain sutera, arak dan alat-alat permainan muzik. (1)                                                                          
(1) Riwayat al-Bukhari (5590) dalam kitab al-Asyribah, bab orang yang menghalalkan arak dan menamakannya dengan nama yang lain.

  1. Daripada Abu Malik al-Ays’ari katanya, Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya akan ada segolongan manusia dari umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain. (Mereka meminum) sambil dialunkan dengan bunyi muzik atau suara para artis. Allah s.w.t. akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa) dan akan merubah mereka menjadi kera atau babi. (1)
(1) Riwayat Ibnu Majah (4020) dalam kitab al-Fitan, bab hukuman.

  1. Daripada Nafi’ bahawa Ibnu Umar r.a. telah mendengar suara seruling tukang gembala. Lalu ditutup dua telinganya dengan dua jari telunjuknya dan memalingkan kenderaannya dari jalan seraya berkata: Wahai Nafi’, adakah kau masih mendengarnya?. Aku menjawab: Ya. Maka dia terus menjauhkan diri sehingga aku mengatakan tidak mendengar lagi, baru diangkat tangannya dan mengembalikan kenderaannya ke jalan. Kemudian Ibnu Umar berkata: Saya melihat Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam berbuat demikian sewaktu mendengar seruling tukang gembala. (1).
(1) Riwayat Abu Daud (4914) dalam kitab al-Adab, bab larangan nyanyian dan alat muzik; Ibnu Majah (1901) dalam kitab an-Nikah, bab nyanyian dan ad-duff; Musnad Ahmad (4307) dalam kitab Musnad al-Mukthirin Min as-Sahabah, bab musnad Abdullah bin Umar bin al-Khattab.

  1. Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mengharamkan arak, judi, gendang dan ghubaira’ (1) dan tiap-tiap yang memabukkan adalah haram.(2)
(1) Ulamak berselisih pendapat mengenai makna alat muzik tersebut. Ada yang menyatakan tonbur ( alat muzik seumpama gitar yang mempunyai tali daripada tembaga. Berasal dari Parsi). Ada yang menyatakan gitar, ada yang menyatakan gambus dan lain-lain . Lihat Nailu al-Autar oleh as-Syaukani.
(2) Riwayat Abu Daud (3680) dalam kitab al-Asyribah, bab larangan daripada perkara yang memabukkan.

  1. Daripada Ubaidillah bin Zahr, daripada Ali bin Yazid, daripada Abu Umamah, daripada Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam sabdanya: Sesungguhnya Allah Ta’ala mengutuskan aku untuk membawa rahmat dan petunjuk kepada seluruh alam, dan memerintahkan aku supaya menghapuskan mazamir (alat-alat muzik yang bertiup) dan kabarat iaitu gambus dan seruling serta berhala-berhala yang disembah pada zaman jahiliah. ( Riwayat Ahmad ).

Hadis Abu Umamah ini terdapat pada sanadnya Ali bin Yazid al-Ilhani dan dia adalah rawi yang lemah. Tetapi oleh kerana ia disokong oleh sumber yang lain seperti hadis Ibnu Mas’ud dan lain-lain sahabat maka hadis ini menjadi kuat. Antara hadis yang menyokong hadis itu juga ialah hadis riwayat Ibnu ‘Abbas r.a. yang telah berkata bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

الكوبة حرام والدن حرام والمعازف حرام والمزامير حرام                

Kubah itu haram, dannu itu haram, ma’azif itu haram dan alat muzik jenis bertiup itu haram.

Hadis ini diriwayat oleh al Imam Musaddad dan al-Imam al-Baihaqi dalam as-Sunan al- Kubra secara mauquf dan diriwayatkan oleh al-Bazzar secara marfu’.
                                                                       
Demikianlah beberapa hadis yang menjadi dalil kepada ulamak yang mengharamkan alat-alat hiburan ( muzik ). Di sana terdapat beberapa riwayat yang lain, yang tidak perlu penulis senaraikan ke semuanya di sini kerana lafaznya tidak jauh berbeza dengan hadis-hadis tersebut di atas selain daripada istidlalnya yang sama.

Dalam kitab al-Muhazzab oleh al-Imam Abu Ishak as-Syirazi ada menjelaskan bahawa bermain alat-alat muzik itu haram sekalipun tidak diiringi dengan lagu. Kata as-Syirazi:

ويحرم إستعمال الألات التى تطرب من غير غناء كالعود والطنبور والمعزفة والطبل والمزمار     
Dan diharamkan menggunakan alat-alat (muzik) yang dibunyikan tanpa ada lagu seperti gitar, thunbur, ma’zifah, thabl (gendang) dan mizmar.

Adapun dalilnya ialah firman Allah yang bermaksud: Dan ada di antara manusia yang membeli “ Lahwu al-Hadis ” bagi tujuan menyesatkan manusia daripada jalan Allah.. ( Surah Luqman: 6 )

Berkata Ibnu Abbas: “ Lahwu al-Hadis ” sesungguhnya itulah alat-alat hiburan.

Al-Imam an-Nawawi mengatakan dalam kitabnya al- Minhaj dalam Kitab as-Syahadat:

ويكره الغناء بلا آلة وسماعه ويحرم استعمال آلة من شعار الشربة كطنبور وعود وصنج      
     ومزمار عراقي واستماعها.                                                                                      

Makruh menyanyi dengan tidak disertai alat (muzik) dan mendengarnya. Dan adalah haram menggunakan alat (muzik) yang menjadi syiar peminum-peminum (arak) seperti tonbur, gitar, shanj dan mizmar ‘iraqi dan haram mendengarnya.

Dalam Mazhab Hanbali, berkata Imam Ibnu Qudamah al-Hanbali dalam al-Mughni yang boleh disimpulkan sebagaimana berikut:

Hiburan itu tiga keadaan:

i) Haram - iaitu memetik tali-tali alat permainan dan alat-alat yang ditiup,   memalu gambus, thunbur dan lain-lain alat hiburan. Sesiapa yang sengaja mendengarnya maka ditolak kesaksiannya kerana diriwayatkan daripada Saiyyidina Ali r.a. bahawa Nabi Sollallahu ‘alaihiwasallam bersabda yang maksudnya: Apabila telah nyata pada umatKu lima belas perkara nescaya bala akan menimpa mereka. Maka Baginda menyebutkan di antaranya: Muncul alat-alat nyanyian dan alat-alat hiburan.

ii) Harus - iaitu duff (kompang), kerana Nabi Sollallahu ‘alahi Wasallam telah bersabda yang maksudnya: Zahirkanlah kerja perkahwinan itu kepada orang ramai dan kamu palulah kompang padanya.

iii)Makruh - iaitu memalu kayu pada kayu apabila tidak dicampur dengan perkara haram atau makruh.

Abdul Rahman al-Jaziri menyebut: Hukum alat muzik yang bertali seperti tonbur, rebab, qanun atau bertiup seperti seruling di sisi ulamak hanafiyyah ialah makruh tahrim.

Berkata al-Imam as-Sayyid ‘Alwi al Maliki al Husni: Ketahuilah bahawa alat-alat hiburan yang mempunyai tali seperti rebab, gitar dan qanun haram mendengarnya dan haram memainkannya mengikut pendapat yang masyhur dari mazhab yang empat dan wajib mengingkarinya (mendengar alat-alat tersebut) dan memberikan nasihat mengenainya. Adapun memukul rebana tidaklah mengapa dalam majlis pernikahan berdasarkan hadis Nabi Sollallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud: Iklankanlah pernikahan dan kamu pukullah rebana (ad-Duff) di atas pernikahan itu. Namun tidak harus memukulnya selain daripada majlis pernikahan menurut pendapat yang masyhur tetapi lawan pendapat yang masyhur, harus memukul (alat rebana) dalam semua upacara majlis kegembiraan orang-orang Islam.

Golongan Ulamak Yang Kedua

Di sana terdapat sebahagian ulamak yang mengharuskan alat-alat nyanyian atau muzik. Dr. Wahbah menyebut bahawa Imam Malik, az-Zohiriyyah dan sekumpulan ulamak sufi mengharuskan mendengar nyanyian walaupun bersama-sama dengan alat muzik seperti al-‘ud (alat muzik bertali seperti gitar dan seumpamanya) dan lainnya. Inilah pendapat sekumpulan para sahabat seperti Ibnu Umar, Abdullah bin Ja’afar, Abdullah bin az-Zubair, Mu’awiyyah, Amru bin al-‘As dan lain-lain. Begitu juga pendapat sebahagian tabi’ien seperti Said bin al-Musayyab.

Antara ulamak yang mengharuskan muzik juga ialah As-Syeikh Mahmud Syaltut. Beliau telah menjelaskan dalam fatwanya Al-Fatawa Dirasah li Musykilat al-Muslim al-Mu’asir fi Hayatihi al-Yaumiyyah wa al ‘Ammah di mana katanya:

“ Mendengar alat-alat bunyian yang ada irama dan suara yang merdu tiada boleh dihukumkan haram sebagai ia suara alat atau suara manusia atau suara binatang. Hanya haram itu apabila digunakan pada perkara haram atau digunakan untuk tujuan haram atau ia melalaikan daripada perkara yang wajib pada syara’ ”.

Selain itu, Dr. Ahmad as-Syarbashi juga menghimpunkan segala fatwa ulamak dalam kitabnya Yas’alunaka ‘an ad-Din wa al-Hayah dalam perkara mendengar muzik dan nyanyian. Daripada perbincangannya itu dapat disimpulkan bahawa beliau berpendapat, fatwa al-‘Allamah as-Syeikh Mahmud Syaltut itu adalah pendapat pertengahan yang adil di antara ulamak yang mengharamkan dan ulamak yang mengharuskan dalam perkara muzik dan nyanyian itu.

Al-‘Allamah as-Syeikh Abdul Ghani an-Nabulsi menegaskan dalam kitabnya Idhoh ad-Dilalat fi Sama’i al-Alat -(Menjelaskan dalil-dalil dalam masalah yang berkait dengan hukum mendengar alat-alat muzik) - bahawa hukum haram segala bentuk alat muzik yang disebutkan dalam hadis bukanlah disebabkan alat-alat muzik itu sendiri atau suara dan bunyian yang terhasil daripadanya. Kalaulah dihukumkan dengan sebab yang demikian, maka sudah tentulah bunyi-bunyian yang merdu seperti suara burung juga termasuk dalam hukum haram. Sedangkan ulamak telah bersepakat bahawa suara kicauan burung dan seumpamanya itu tidaklah dihukum haram. Bahkan mengguna dan mendengar alat-alat muzik dihukum haram adalah disebabkan faktor-faktor luar yang haram yang beserta dengannya dan juga yang membawa kepada “al-Lahwu”. Menurut beliau “al-Lahwu” ialah perkara-perkara yang dengannya menyebabkan manusia lalai daripada melakukan ketaatan dan menunaikan kewajipan kepada Allah serta membawanya kepada melakukan perkara-perkara yang haram dan dilarang oleh syariat.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa sesiapa yang memerhatikan semua hadis yang datang daripada Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam mengenai alat-alat muzik ini, dia akan mendapati larangan-larangan tersebut dikaitkan dengan menyebut ‘ al-Malahi ’ – iaitu perkara-perkara yang melalaikan - dan juga menyebut tentang arak, penyanyi-penyanyi perempuan yang mendedahkan aurat, perkara-perkara keji dan kefasikan bersamanya. Ini bermakna ia dihukum haram dengan sebab perkara-perkara haram tersebut bukannya alat muzik itu sendiri. Hadis-hadis yang tidak menyebutkan perkara-perkara tersebut adalah hadis-hadis Ahad yang tidak boleh dithabitkan hukum dengannya secara qot’ie (putus dan muktamad). Bahkan hadis-hadis yang bersifat mutlak (umum) ini, dikhususkan oleh hadis-hadis yang menyebut tentang perkara-perkara haram yang mengiringi permainan muzik. Dengan itu, maka hadis-hadis yang menyebut tentang pengharaman alat-alat muzik hendaklah dilihat dalam konteks bahawa ianya disertai dengan perkara-perkara haram dan boleh menyebabkan kelalaian kerana di sana terdapat hadis yang melarang bermain muzik dikaitkan dengan perkara tersebut. 

Beliau juga mensyaratkan tujuan dan niat yang baik walaupun tidak disertai dengan perkara-perkara haram dan melalaikan ketika bermain muzik dan mendengar nyanyian yang diharuskan. Niat memainkan peranan. Sekiranya dia mempunyai niat atau cita-cita yang tidak baik melalui alat muzik yang dimainkan serta nyanyian harus yang didengarinya seperti bercita-cita atau berkhayal meminum arak, berfoya-berfoya dan berseronok dengan perempuan ketika bermain muzik dan mendengar lagu itu atau dia mahu kalau boleh perkara tersebut ada dalam majlis tersebut, maka hukumnya adalah haram juga. Peranan niat yang membawa kesan kepada hukum harus dan haram ini samalah seperti peranan niat ketika membaca al-Quran bagi mereka yang berada dalam keadaan berhadas besar. Jika dia berniat membaca al-Quran maka hukumnya adalah haram dan jika berniat zikir maka hukumnya adalah harus. Begitu juga seseorang yang minum air teh dengan niat minum arak dan juga seorang suami yang bersetubuh dengan isteri dalam keadaan dia niat menggauli atau menggambarkan isterinya itu adalah perempuan tertentu yang bukan isterinya maka kedua keadaan tersebut, hukumnya adalah haram.

Pendapat Al-‘Allamah as-Syeikh Abdul Ghani an-Nabulsi ini turut dipersetujui oleh al Ustaz Mustofa Ahmad az-Zarqa sebagaimana tersebut dalam kitabnya Fatawa Mustofa az-Zarqa. Bahkan beliau turut memperakui bahawa kitab karangan Al-‘Allamah as-Syeikh Abdul Ghani an-Nabulsi tersebut adalah sebagai rujukan terbaik dalam mengetahui hukum yang berkait dengan masalah alat-alat muzik. Dalam kitab Fatawanya juga, al-Ustaz Mustofa Ahmad az-Zarqa telah menukilkan pandangan al-‘Allamah Ibnu ‘Abidin r.a. dalam Hasyiahnya, syarah kepada kitab Raddu al-Mukhtar di mana nas kata-katanya ialah:

“Aku berpendapat: Ini semua memberi maksud bahawa alat-alat muzik itu bukanlah haram kerana alat muzik itu sendiri, tetapi ia di sebabkan al-lahwu (iaitu disertai dengan perkara-perkara haram dan melalaikan daripada menunaikan tanggunggjawab dan kewajipan kepada Allah). Hukum ini sama sahaja sama ada orang yang mendengarnya atau bermain menggunakannya ”. Beliau seterusnya menegaskan “ Apakah kamu tidak lihat bahawa hukum bermain alat muzik itu, kadang-kadang harus dan kadang-kadang dihukum haram. Ini semua adalah disebabkan perbezaan niat dan tujuan mendengarnya. Dan sesungguhnya setiap perkara itu adalah berdasarkan kepada tujuan dan niatnya ”.

Di antara ulamak mutakhir di zaman kita ini yang sependapat dengan golongan ulamak yang kedua ini ialah as-Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhowi sebagaimana dijelaskan dan dihuraikan dengan pangjang lebar dalam kitabnya Malamih al-Mujtama’ al-Muslim Allazi Nansyuduhu - ( Ciri-ciri unggul masyarakat Islam yang kita idamkan) - dan juga al Halal wa al-Haram fi al-Islam - ( Halal dan haram dalam Islam ). Dalam huraian tersebut beliau telah menolak hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh golongan yang mengharamkan alat-alat muzik dengan menyatakan bahawa hadis-hadis yang diriwayatkan mengenai alat-alat muzik adalah dipertikaikan kesahihannya

Sekalipun hadis ke 1 (lihat hadis-hadis yang menjadi hujjah kepada golongan yang mengharamkan alat-alat muzik di atas) di sebutkan dalam kitab Sahih al-Bukhari tetapi ia termasuk dalam kategori “ al- Mu’allaqat” bukan termasuk dalam kategori hadis yang sanadnya bersambung. Pada sanadnya terdapat seorang perawi Hisyam bin Ibn ‘Ammar yang dipersoalkan oleh sebahagian ahli hadis. Abu Daud berkata tentangnya: Beliau meriwayatkan empat ratus hadis yang tidak mempunyai sebarang sandaran. Imam Ahmad berkata: Dia tidak teliti dan lemah akal. Al-Hafiz az-Zahabi pernah berkata mengenainya: Beliau jujur dan banyak riwayat, namun ada perkara yang tidak disenangi tentangnya. Selain daripada dipertikaikan kesahihannya, pendalilannya juga dipertikaikan. Ini kerana perkataan al-ma’azif sebagaimana dalam hadis tersebut belum ada persepakatan tentang maknanya secara tepat. Menurut sebahagian orang ia bermaksud “ permainan-permainan ”. Ini sangat umum. Ada juga yang mengatakan ia bermakna “ alat-alat muzik ”.

Selain itu, hadis itu juga tidak mempunyai makna yang jelas tentang pengharamannya kerana ungkapan ( يستحلون –yang diterjemahkan dengan makna mereka menghalalkan ) dalam hadis itu mempunyai dua makna sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn al-‘Arabi. Makna pertama ialah dengan makna hakiki bukan majazi iaitu mereka beriktikad bahawa perkara tersebut adalah halal. Makna kedua: ia adalah kiasan (majaz) yang bermaksud bermudah-mudah menggunakan perkara tersebut. Beliau juga telah menegaskan bahawa hadis ini adalah menjelaskan tentang perilaku sekelompok manusia yang tenggelam dalam kemewahan, kefoyaan dan arak. Mereka dikelilingi oleh arak dan wanita, permainan dan nyanyian serta zina dan sutera. Oleh itu kita dapati Ibn Majah meriwayatkan hadis ini dari Abu Malik al Asy’ari dengan lafaz yang bermaksud:

“ Akan ada di kalangan umatKu yang akan meminum arak yang dinamakan dengan nama lain. Kepala-kepala mereka dipenuhi dengan alat-alat muzik dan penyanyi-penyanyi wanita. Allah akan memasukkan mereka ke dalam tanah dan akan menggantikan rupa mereka dengan rupa kera dan babi ”.

Perkara  yang sama juga telah diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya dan al-Bukhari dalam kitab Tarikhnya. Setiap mereka yang meriwayatkan hadis ini bukan melalui Hisyam Ibn ‘Ammar meletakkan ancaman itu ke atas orang yang meminum arak dan bukannya pada alat-alat muzik tersebut. Alat-alat muzik tersebut hanya dijadikan sebagai penyempurna dan yang mengikuti mereka.

Di samping itu beliau juga telah menukilkan beberapa riwayat sebagimana yang disebutkan oleh as-Syaukani dalam kitabnya Nailu al-Awthor bagi menyokong dan menguatkan pandangan ulamak yang mengharuskan alat-alat muzik. Antaranya ialah:

i)          Imam Haramain dalam kitab an-Nihayah dan Ibnu Abu ad-Dunya telah menyatakan:  Para sejarawan telah menukilkan bahawa Abdullah Ibn az- Zubair memiliki beberapa hamba wanita yang pandai bermain gitar, dan Ibnu Umar pernah ke rumah beliau serta mendapati al-‘ud (sejenis alat bertali seperti gitar dan seumpamanya) terdapat di sisinya. Ibnu Umar berkata: Apakah ini wahai sahabat Rasulullah?. Abdullah Ibn az-Zubair pun memberikannya kepada Ibnu Umar untuk dilihatnya. Ibnu Umar menelitinya dan berkata: Adakah ini mizan syami ( sejenis alat muzik dari Syam)?. Abdullah Ibn az-Zubair berkata: Ya, dengannya diukur akal manusia.

ii)                  Pengarang kitab al-‘Aqd, al-‘Allamah al-Adib Abu Umar al-Andalusi menceritakan: Pada suatu hari Abdullah Ibnu Umar mengunjungi Abdullah Ibnu Ja’far. Beliau mendapati Abdullah Ibnu Ja’far memiliki seorang hamba perempuan yang dalam biliknya terdapat al ‘ud. Kemudian Abdullah Ibnu Ja’far berkata kepada Ibnu Umar: Adakah kamu rasa ia tidak mengapa?. Katanya: Ia tidak menjadi sebarang kesalahan.        

iii)         Imam al-Mawardi telah meriwayatkan daripada Mu’awiyyah dan ‘Amru Ibn al-‘As bahawa mereka berdua pernah mendengar bunyi al-‘ud yang dimainkan di hadapan Abdullah Ibnu Ja’far. Bahkan Abu Fadhl Ibnu Tahir dalam kitabnya as-Sima’ menyatakan: Tiada khilaf di kalangan Ahli Madinah tentang keharusan al-‘ud.

iv)          Abu al-Faraj al-Asbahani pernah menyatakan bahawa Hassan bin Thabit pernah mendengar dari ‘Izzah al-Mila nyanyian syairnya yang diiringi dengan bunyian alat muzik.

v)              Ar-Rawyani pernah menceritakan dari al-Qaffal bahawa Mazhab Malik bin Anas mengharuskan nyanyian yang disertakan alat muzik. Al-Ustaz Abu Mansur al-Fawrani menukilkan dari Imam Malik bahawa beliau mengharuskan al-‘ud. Manakala Abi Talib al-Makkiy telah menyebutkan dalam kitabnya Quutu al-Qulub yang dinukilkan daripada Syu’bah bahawa beliau pernah mendengar bunyi gendang besar (thonbur) di rumah al-Minhal Ibnu ‘Amru iaitu seorang ahli hadis yang masyhur.

vi)           Imam al-Mawardi menceritakan tentang keharusan al-‘ud di kalangan sebahagian ulama mazhab syafi’e. Ia juga diceritakan oleh Abu al-Fadhl Ibnu Tahir dari Abu Ishak as-Syirazi. Al-Asnawi menyebutkannya dalam kitab al-Muhimmat daripada ar-Rawyani dan al-Mawardi. Ibnu an-Nahwi meriwayatkan perkara tersebut dari al-Ustaz Abu Mansur. Ibnu al- Mulaqqin menceritakannya dalam kitab al-Umdah daripada Ibnu Tahir. Al-Adfuwi menceritakannya daripada as-Syeikh ‘Izzuddin Ibnu Abdul Salam. Pengarang kitab al-Imta’ menceritakannya daripada Abu Bakar bin al- ‘Arabiy. Imam al-Adfuwi juga telah menegaskan keharusannya.

Semua mereka itu menyatakan keharusan mendengar nyanyian (yang diharuskan syarak) bersama dengan alat-alat muzik yang dimaklumi.

Selain daripada Dr. Yusuf al-Qardhowi, bekas Syeikh al-Azhar Fadhilah al-Imam al- Akbar as-Syeikh Ja-du al-Haq Ali Ja-du al-Haq (telah meninggal dunia pada pertengahan 90-an) juga bersependapat dengan pendapat yang mengharuskan alat-alat muzik sebagaimana yang dapat dilihat dalam kitab himpunan fatwa-fatwanya mengenai persoalan-persoalan semasa yang bernama Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qodhoya Mu’asirah, juzuk ke v. Dalam jawapan atau fatwanya yang panjang lebar mengenai hukum mendengar alat muzik itu, beliau akhirnya membuat kesimpulan dengan berkata:  “ sebagai mengambil sikap jalan tengah antara pendapat-pendapat ulamak tersebut, maka kami lebih cenderung untuk berkata bahawa mendengar alat-alat muzik walau apa pun jenis dan bentuknya, menghadiri majlis-majlisnya dan mempelajarinya adalah termasuk dalam perkara-perkara yang diharuskan. Dengan syarat ia tidak mendorong kepada membangkitkan nafsu syahwat, perlakuan-perlakuan tidak senonoh dan tidak disertai dengan arak, tarian-tarian, perkara-perakara yang buruk dan fasik atau digunakan untuk perkara-perkara haram atau ia digunakan sebagai wasilah atau alat yang membawa kepada berlakunya perkara haram dan mungkar atau ianya boleh melalaikan daripada menunaikan tanggungjawab dan kewajipan.

Demikian juga pandangan Prof. Dr. Hamka. Beliau telah menyebut dalam tafsirnya ‘Al-Azhar’ (jil.7, m.s.5559) di mana katanya: Semata-mata nyanyian pada pokoknya tidaklah haram. Baru jadi haram kalau dia telah menjadi permainan kata-kata yang menimbulkan syahwat. Majlis Tarjih Muhammadiyyah pada Kongres Muhammadiyyah ke 20 di Yogyakarta tahun 1931 telah mengambil kesimpulan bahawa ala-alat muzik itu pada pokoknya tidaklah apa-apa. Dia akan terpuji kalau nyanyian yang dinyanyikan atau dimuzikkan dapat menambah ghairah agama. Sebaliknya dia menjadi haram hukumnya jika dia akan menimbulkan kelalaian kita beragama.

Golongan Ulamak Yang Ketiga

Golongan ini ialah golongan yang mengharamkan beberapa jenis alat muzik dan mengharuskan selain daripadanya. Alat-alat muzik yang diharamkan itu ialah (al-mizmar- المزمار ) seruling atau semua alat yang ditiup seperti serunai dan seumpamanya, (al-awtarالأوتار ) alat muzik bertali dan (Thoblu al-Kubahطبل الكوبة) gendang kecil yang ramping di tengah. Inilah pendapat di sisi Imam al-Ghazali r.hm. dan mereka yang sependapat dengannya. Ini kerana ia menjadi lambang kepada peminum arak dan khunsa. Selain daripada alat-alat muzik tersebut, hukumnya masih kekal seperti asalnya iaitu harus. Umpamanya rebana sekalipun terdapat loceng kecil padanya, begitu juga dengan tabuh, syahin dan gendang yang dipukul dengan kayu serta alat-alat lain

Al-Imam al-Ghazali berhujjah dengan berkata bahawa syarak tidak mengharamkan alat-alat tersebut kerana kelazatannya. Jikalau ia hanya kerana kelazatannya maka perkara-perkara lazat yang lain turut dilarang. Ia dilarang atas dasar turutan (ittiba’). Apabila arak diharamkan, maka semua amalan peminum arak turut diharamkan bersama iaitu alat muzik bertali dan seruling. Keadaan ini samalah seperti pengharaman berkhalwat dengan wanita ajnabiyyah kerana ia boleh membawa kepada persetubuhan. Begitu juga dengan pengharaman memandang ke arah peha kerana ia bersambung dengan dua kemaluan. Diharamkan juga arak yang sedikit sekalipun tidak memabukkan kerana ia membawa kepada mabuk. Setiap perkara yang mendorong kepada yang haram mesti diharamkan juga sebagai satu jalan menghalang daripada terjatuh terus ke dalam jurang yang pasti haram. Muzik bertali dan seruling (atau seumpamanya) menjadi haram kerana mengikuti pengharaman arak lantaran tiga alasan:

i)        Ia boleh mengakibatkan seseorang itu meminum arak, kerana kelazatan  yang ada padanya hanya akan sempurna dengan arak.

ii) Alat ini menyebabkan orang yang baru meninggalkan arak mengingati kembali majlis-majlis hiburan yang dihidangkan dengan arak. Ini kerana majlis hiburan tersebut kebiasaannya diserikan dengan alat-alat muzik tersebut. Dengan itu apabila dia bermain dengan muzik tersebut, maka ia akan membawa kepada ingatan terhadap majlis itu. Ingatan akan mendorong kepada kerinduan. Dengan itu alat muzik tersebut menjadi penyebab seseorang yang telah meninggalkan amalan meminum arak kembali melakukannya.

iii)  Terdapat ijma’ ulamak mengenainya, kerana ia telah menjadi amalan orang fasik. Oleh itu ia dilarang kerana menyerupai mereka. Ini kerana sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk di kalangan kaum tersebut.


Huraian Dan Pendapat Para Ulamak Berkenaan Ayat 6 Surah Luqman. (1)

Firman Allah Taala yang bermaksud: Dan ada di antara manusia yang membeli “Lahwu al-Hadis ” bagi tujuan menyesatkan manusia daripada jalan Allah dengan tanpa ilmu. Dan mereka mempersenda-sendakan orang yang berjuang untuk menegakkan agama Allah. Bagi mereka itu azab yang hina.
                  
Sebab Turun Ayat:

Menurut pendapat yang masyhur sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Juwaibir  daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa ayat ini diturunkan kepada seorang kafir Quraisy yang bernama an-Nadhar bin al-Harith. Beliau telah membeli seorang jariah, yang merupakan seorang penyanyi. Apabila an-Nadhar mendengar ada orang yang ingin masuk Islam, maka orang itu diajaknya datang ke tempatnya, lalu dia berkata kepada penyanyi tersebut: Berilah orang ini makanan dan minuman, dan perdengarkanlah nyanyianmu kepadanya. Kemudian dia berkata kepada orang tersebut: Ini lebih baik bagimu daripada apa yang di ajak oleh Muhammad untuk mengerjakan sembahyang, berpuasa dan berperang mengikut dia. Maka turunlah ayat di atas, mencela  perbuatan jahat tersebut dan memberi amaran keras dengan siksa api neraka yang sangat pedih dan hina.
As-Suyuti menyebutkan dalam Lubab an-Nuqul fi Asbab an-Nuzul bahawa Ibnu Jarir meriwayatkannya melalui toriq al-‘Aufi daripada Ibnu Abbas r.a.. 

Pandangan Ulamak Mengenai ‘al-Lahwu al-Hadis’

i-                 Ibnu Kathir mentafsirkannya dengan makna orang jahat yang berpaling daripada mengambil manfaat dengan mendengar kalamullah dan menghadap kepada nyanyian-nyanyian dan alat-alat muzik.

ii-        Abdullah bin Mas’ud menyatakan bahawa maksudnya ialah nyanyian-nyanyian sebagaimana maksud kata-katanya: “Nyanyian, Demi Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia”. Beliau mengulanginya sebanyak tiga kali.

iii-                Al-Hasan al-Basri berkata: Ia adalah nyanyian dan alat-alat muzik.

iv-                Mujahid berkata: Ia adalah nyanyian dan alat-alat tiupan.

v-               Ad-Dhohhak mengatakan: Termasuk dalam maknanya juga ialah syirik kepada Allah.

vi-             Ibnu Jarir berkata bahawa: Setiap perkataan , ucapan, kisah dan cerita yang bertujuan untuk menghalang manusia daripada menghayati ayat-ayat Allah dan mengikuti jalannya , maka termasuklah di dalam maksud ayat ini.

vii-          Berkata al-Imam as-Suyuti: Iaitu apa sahaja yang melalaikan daripada melakukan perkara yang sepatutnya diambil berat.

viii-   Al-Ustaz Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang menegaskan dalam tafsirnya at-Tibyan Fi Tafsir al-Quran al-Karim bahawa: Termasuk juga makna ‘Lahwa al-Hadith’ ialah segala kerja atau kegiatan yang dilakukan pada masa sekarang ini di atas nama kebudayaan dan seumpamanya yang bertujuan supaya para belia Islam tidak ada masa untuk pergi berusrah atau mengkaji agama mereka untuk memahami ajaran agamanya. Kegiatan-kegiatan seumpama ini akan menghalang para belia Islam untuk bangun berjuang menegakkan agama Allah. Mereka ini dilalaikan dengan program-program yang sengaja diadakan untuk menyesatkan mereka.


(1) Lihat Tafsir Ruh al-Ma’ani oleh al-Alusi, Mukhtasar Ibnu Kathir oleh Mohd Ali al-Sobuni, Tafsir al-Quran al-Azim oleh Ibnu Kathir, Tasir al-Jalalain oleh al-Suyuti dan al-Mahalli, al-Jami’u Li Ahkam al-Quran oleh al-Qurtubi dan al-Tibyan Fi Tafsir al-Quran al-Karim oleh Haji Abdul Hadi Awang.

Kesimpulan

Ulamak yang mengharamkan alat-alat muzik adalah bersandarkan kepada ayat di atas dengan menyatakan bahawa ia termasuk dalam erti kata al-Lahwu al-Hadith sebagaimana pendapat al-Hasan al-Basri, Mujahid dan mereka yang sependapat dengannya.

Manakala ulamak yang mengharuskannya pula berpendapat bahawa ayat di atas menyebutkan dengan jelas dan terang bahawa larang-larangan itu tidaklah ditujukan kepada nyanyian atau alat-alat permainan itu sendiri, tetapi ia disebabkan oleh faktor yang lain iaitu sebagaimana yang diterangkan dalam ayat itu sendiri yang bermaksud: ‘supaya dia dapat menyesatkan manusia dari jalan Allah’. Oleh itu sekiranya nyanyian dan alat-alat muzik itu dibeli atau dipergunakan untuk melalai dan menyesatkan manusia dari jalan Allah atau yang boleh mendorong dan mempesonakan orang ramai sehingga melampaui batas syarak, maka pastilah bahawa hukumnya adalah haram. Bahkan termasuklah juga semua perkara, benda, alat, program dan apa sahaja yang melalai dan menyesatkan manusia. Inilah yang dikatakan Lahwu al-Hadith, sebagaimana pendapat Ibnu Kathir dan juga para ulamak yang lain sebagaimana yang disebutkan di atas. Jika dilihat kepada sebab turun ayat di atas, ia lebih menjelaskan dan memperkuatkan lagi pendapat golongan ulamak ini. Ini kerana ia diturunkan kerana mencela an-Nadhar yang menggunakan hiburan yang terdiri daripada penyanyi dan alat muzik untuk melalai dan menyesatkan manusia bukannya mencela nyanyian dan alat muzik itu sendiri. Walau bagaimanapun ia menjadi haram dan dicela jika berlaku sebagaimana yang telah dihuraikan di atas. Oleh itu ayat ini tidak boleh dijadikan dalil untuk mengharamkan semua jenis alat muzik sebagaimana yang menjadi sandaran kepada golongan ulamak yang mengharamkannya.


KESIMPULAN

Daripada perbincangan di atas kita dapat membuat beberapa kesimpulan sepertimana berikut:-

i)         Pada umumnya terdapat tiga pendapat ulamak mengenai kedudukan hukum alat-alat muzik. Mereka itu ialah:

a)    Yang mengharamkan semua jenis dan bentuk alat muzik kecuali ad-dufuf iaitu kompang atau rebana yang dipukul ketika majlis pernikahan kerana terdapat hadis yang sahih mengenai keharusannya. Namun ia tidak harus memukulnya selain daripada majlis pernikahan menurut pendapat yang masyhur. Tetapi lawan pendapat yang masyhur adalah harus memukul alat rebana atau kompang dalam semua upacara majlis kegembiraan umat Islam.

b)              Yang mengharuskan semua jenis dan bentuk alat-alat muzik. Mereka berpendapat bahawa yang haram itu bukalah zat atau ain alat muzik itu sendiri tetapi faktor-faktor luar yang mengiringinya itu yang menentukan sama ada ia menjadi haram atau sebaliknya.

c)          Yang mengaharamkan beberapa jenis alat muzik - iaitu al- Mizmar, al-Awtar dan Thoblu al-Kubah – dan mengharuskan selain daripadanya.

ii)              Ketiga-tiga golongan ulamak tersebut di atas mempunyai hujjah dan dalil-dalil yang masing-masing mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Dalam perbincangan ini, penulis tidak berhajat untuk mentarjihkan (menentukan manakah pendapat yang paling kuat dan sahih). Apa yang penting di sini ialah kita dapati bahawa persoalan berkenaan dengan hukum alat muzik ini merupakan satu perkara yang menjadi khilaf (perselisihan pendapat) di kalangan ulamak. Mereka tidak sepakat mengenainya. Ini bermakna ia tidak termasuk dalam perkara ijmak para ulamak. Inilah yang ditegaskan oleh as-Syeikh Ja-du al-Haq dalam kitab Fatawa beliau. Dalam fatwanya itu beliau telah menolak dakwaan sesetengah golongan yang mendakwa bahawa persoalan muzik dan mendengarnya adalah termasuk dalam perkara ijmak para ulamak. Penolakan beliau itu berdasarkan kepada apa yang dihuraikan oleh al-Imam as-Syaukani dalam risalahnya yang bertajuk Ibtol Da’wa al-Ijma’ ‘ala Tahrim Mutlak as-Sima’ – iaitu Membatalkan Dakwaan Ijma’ Para Ulamak Ke Atas Hukum Haram Mendengar Muzik Secara Mutlak. Dengan ini, maka sewajarnyalah kita saling meraikan dan menghormati pendapat atau pendirian golongan yang mungkin berbeza dengan pendapat atau pendirian kita. Kita tidak boleh menghukum secara muktamad umpamanya mengatakan bahawa dia adalah haram sama sekali dan sesiapa yang menggunakannya, maka dia berdosa, menjadi fasik dan ditolak kesaksiannya. Kita seharusnya berhati-hati apabila mengeluarkan hukum khususnya yang melibatkan halal dan haram. Imam Malik pernah berkata: Tidak pernah menjadi sikap golongan yang telah mendahului kita yang telah menjadi ikutan mengatakan: “ Ini halal, itu haram. Sebaliknya mereka berkata: Saya tidak suka ini, saya berpendapat begini”. Dalam menentukan hukum, kita seharusnya juga mengambil kira dari sudut kepentingan dan kemaslahatan dakwah. Lebih-lebih lagi dalam keadaan masyarakat kita pada hari ini yang kelihatan hampir sudah sebati dengan bentuk hiburan yang menyimpang daripada ajaran Islam. Janganlah kerana sesuatu keputusan hukum yang diambil itu boleh menyempitkan ruang dan peluang menyelamatkan masyarakat daripada keadaan tersebut. Di samping itu kita tidak lupa bahawa apa yang dikatakan keseronokan, hiburan dan seumpamanya merupakan satu sifat kehendak naluri manusia semulajadi yang tidak boleh kita hapuskan. Persoalannya bagaimana kita hendak ketengahkan bentuk hiburan yang diizinkan syarak atau alternatif kepada hiburan yang ada pada hari ini tanpa kita menafikan kehendak naluri manusia itu.

iii)           Melihat kepada senario industri muzik pada hari ini, melalui konsert-konsert yang dianjurkan khususnya yang melibatkan artis-artis wanita tanah air atau yang diimport dari negara-negara luar, maka kita tidak meragui lagi bahawa hukumnya adalah haram. Ini kerana jelas kepada kita keadaan mereka yang mendedahkan aurat secara terbuka, mengenakan solekan yang agak keterlaluan dan menari berlenggang lenggok di atas pentas dengan pakaian menjolok mata. Golongan ini diberi amaran keras oleh Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam dengan azab api neraka sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud: Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama: Golongan penguasa yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua: Golongan perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang. Berlenggang lengguk waktu berjalan dan menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga, bahkan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya. (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a.). Di samping pergaulan bebas tanpa batasan antara lelaki dan perempuan, lirik lagu yang memuja cinta dan manusia dengan suara yang lunak dan memukau para penonton, melalai dan mengkhayalkan anak-anak muda sehingga kadang-kadang sampai kelarut malam sepertimana persembahan yang pernah berlaku di Dataran Merdeka atau Bukit Jalil yang kelihatan penuh dengan sampah-sampah terdiri daripada kondom, botol-botol arak dan…..dan…dan seumpamanya, begitulah seterusnya. Inilah perancangan musuh khususnya Yahudi Laknatullahi ‘Alaihim dan sekutunya-sekutunya termasuk golongan yang bertopengkan Islam bagi tujuan menjauhkan anak-anak muda daripada Islam. Pendek kata, keadaan dan bentuk hiburan di tanah air kita pada hari ini telah jauh menyimpang daripada batas-batas syariat. Bukan kerana alat-alat muzik yang dimainkan kerana ia masih terdapat kekhilafan di kalangan ulamak tetapi bentuk perlaksanaan dan persembahan itu yang sememangnya disepakati atau ijmak para ulamak akan pengharamannya apabila berlaku keadaan yang disebutkan di atas. Bagi golongan ulamak yang mengharuskan alat-alat muzik, bermain dan menggunakan alat muzik dalam majlis yang haram atau untuk perkara-perkara yang haram atau yang boleh membawa kepada kemungkaran maka hukum bermain dan menggunakannya juga adalah haram. Jika tidak, maka hukumnya adalah harus.

iv)Perselisihan pendapat di kalangan ulamak mengenai hukum mendengar atau menggunakan alat-alat muzik ini khususnya apabila terdapat pendapat yang mengharuskannya dengan syarat-syarat tertentu, tidak seharusnya diambil kesempatan untuk mengambil sikap bermudah-mudah dengannya atau memandang ringan terhadap penggunaan alat-alat muzik tersebut. Pandangan atau kenyataan yang sering mengaitkan alat-alat muzik dengan kelalaian, kefoya-foyaan, budaya lepak, membuang masa dan kekhayalan yang ke semua itu akhirnya mungkin menjebakkan seseorang ke lembah maksiat, tidak boleh dipandang ringan atau dinafikan begitu sahaja. Barangkali pandangan atau kenyataan tersebut ada kebenarannya, terutamanya apabila melihatkan keadaan masyarakat yang terlalu lemah iman khususnya generasi muda yang mudah terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat dan hanyut dengan keseronokan dunia pada hari ini. Oleh itu penulis berpendapat bahawa walaupun mungkin kita bersetuju dengan pendapat golongan ulamak yang kedua ini, ia tidaklah bermakna kita boleh mendengar atau menggunakannya semahu-mahunya. Kalau boleh dielakkan daripadanya maka itulah sebaik-baiknya, kerana mengambil jalan ihtiyathi – إحتياطي- iaitu mengambil sikap berwaspada dan berhati-hati agar lebih selamat – itu adalah sangat digalakkan dalam Islam. Sekiranya hendak menggunakannya juga maka biarlah dengan sebab yang kukuh dan munasabah serta wujud keperluannya. Sekali sekala mendengar atau menggunakannya untuk mengetuk pintu kesunyian maka itu barangkali tidaklah menjadi halangan. Asalkan ia tidak menjadi kelaziman dan kebiasaan kerana kita bimbang ia mungkin boleh melalaikan hati yang menyebabkan lemahnya iman kita yang sememangnya sudah sedia lemah ini. Pendek kata, walaupun ia harus pada setengah pandangan ulamak tetapi kita juga di waktu yang sama hendaklah berhati-hati dengannya.

والله أعلم بالصواب وهو حسبنا ونعم الوكيل وإليه المآب

RUJUKAN

Al-‘Allamah Jalaluddin Muhammad al-Mahalli dan al-Allamah Jalaluddin Abdul Rahman as-Suyuti; Tafsir al-Jalalain, Darul Makrifah: Beirut. t.th..

Muhammad Ali as-Sobuni; Mukhtasar Ibnu Kathir, Jil. 3, Cet. II, 1396H, Darul Quran al-Karim.

Abu al-Fida’ Ismail Ibnu Kathir; Tafsir al-Quran al-Azim, Jil.3, 1415H / 1994M, Darul Makrifah: Beirut.

Al-’Allamah Abu al-Fadhl Syihabuddin Mahmud al-Alusi; Ruh al-Ma’ani, Jil. 12, 1414H/ 1994M. Cet. Darul Fikr.

Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi; al-Jami’u Li Ahkam al-Quran, Juzuk 13 & 14, 1987M. Al-Haiah al-Misriyyah al-‘Ammah li al-Kitab.

Abdul Hadi bin Awang; at-Tibyan fi Tafsir al-Quran al-Karim, Cet. 2,

Prof. Dr. Hj. Abd. Malik Abdul Karim Amnullah (Hamka); Tafsir al-Azhar, Jilid 7, Cetakan V, 2003. Pustaka Nasional Pte-Ltd., Singapura.

Abdul Rahman al-Jaziri; Kitab al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, Jilid 2, 1410H / 1990M. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Beirut.
  
As-Syeikh Abdul Ghani an-Nabulsi; Idhohu ad-Dilalat fi Sama’i al-Alat. Cetakan I, 1401H / 1981M. Dar al-Fikr al-Mu’asir, Beirut.

Al-Imam as-Syaukani; Nailu al- Awtor. Juzuk 8. Dar al Jail, Beirut.

Al-Ustaz Mustofa Ahmad az-Zarqa; Fatawa Mustofa az-Zarqa. Cetakan I, 1420H / 1999M. Dar al-Basyir, Jeddah.

As-Syeikh Ja-du al-Haq Ali Ja-du al-Haq; Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qodhoya Mua’sirah. Juzuk 5. Al Azhar al Syarif. Mesir.

Al-‘Allamah as-Sayyid Muhammad bin Muhammad al-Husaini az-Zubaidi (masyhur dengan nama al-Murtadho); Ittihaf as-Sadatil Muttaqin bi Syarhi Ihya’ Ulumiddin. Juzuk 7, Cetakan I, 1409H / 1989M. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Beirut.

Dr.Yusuf al-Qardhowi; Malamih al- Mujtama’ al Muslim Allazi Nansyiduhu. Cetakan I, 1414H / 1993M. Maktabah Wahbah, Kaherah.

Dr.Yusuf al-Qardhowi; al-Halal Wa al-Haram Fi al-Islam.Terjemahan Muammal Hamidy. Cetakan ke IV, 1987. Pustaka Nasional, Singapura.

Dr. Ahmad as- Syarbasi; Yas’alunaka fi ad-Din wa al-Hayat. t.th. Dar al-Jail, Beirut.

Dr. Abdul Fattah Mahmud Idris; Hukmu al-Ghina’ wa al- Ma’azif fi al-Fiqh al-Islami. Cetakan II, 1415H / 1994M. Universiti al Azhar al Syarif, Mesir.

Dr. Wahbah az-Zuhaili; Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. Cetakan ke II,1405H / 1985M. Dar al-Fikr.Damsyik.

Pehin Datu Seri Maharaja Ust. Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Islam Dan Muzik: Fatwa Mufti Kerajaan Brunei. Cetakan II, 2001.MR Prind Sdn.Bhd. Kuala Lumpur.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...