Hot Stuff

Saturday, June 19, 2010

:: Surat Cinta Tragis ::


Assalamualaikum......

Kehadapan saudari, moga-moga sihat hendakNya. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi membaca email ini. Ini bukanlah utusan untuk menagih cinta tapi sekadar ungkapan hati terakhir saya terhadap saudari. Saya kira sudah tidak sesuai saya menggunakan panggilan "abang" ataupun "sayang". Sebab saya rasa lebih selesa dan setaraf menggunakan panggilan saudari sahaja.  

Terlebih dulu biar saya mulakan warkah ini dengan sedikit kenangan dipertemuan kita yang pertama. Masa itu kita masih lagi menuntut, dari balas membalas sms hinggalah ke panggilan telefon. Ketika itu, semuanya indah. Almaklumlah kita telah lama mengenali antara satu sama lain, cuma kesempatan untuk bersua muka dan bertanya khabar tidak dapat kita lalui sebelum itu. Dari sinilah kita berjanji untuk hidup semati melayari bahtera percintaan.

Sepanjang perhubungan yang memakan masa bertahun lamanya, kita telah melalui pelbagai ranjau dan duri. Semuanya kita dapat hadapi dengan tenang dan sabar. Masa itu saudarilah segala-segalanya bagi saya. Tempat saya mencari ketenangan dan keabadian duniawi. Boleh dikatakan memang sesuatu yang tidak mungkin saya lupakan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kerana sepanjang waktu ini, saudari mahu memikul tanggungjawab sebagai seorang kekasih. Saya anggap inilah masa dimana tahap percintaan kita berada dikemuncak yang paling tinggi.

Lebih menyemarakkan lagi hubungan kita, apabila keluarga tidak membantah mengenainya. Walaupun saya tidak nafikan bahawa ada sedikit keraguan dari keluarga saya. Namun saya tetap dengan pendirian saya. Mencintai saudari dengan sepenuh jiwa raga saya. Kata-kata orang saya tolak ketepi hanya kerana saya sayangkan saudari. Itulah namanya cinta. Cinta yang tidak mengenal erti kepayahan, erti kesusahan dan banyak lagi definasi yang boleh diberikan. Namun apakan daya, cinta juga boleh menjadi racun dan parutnya akan kekal sehingga keakhir hayat.


Namun segalanya berubah setelah kita berjauhan sekali lagi. Kali ini atas dasar mencari peluang kehidupan ditempat orang. Saya masih ingat ketika saya nyatakan kepada saudari yang saya akan berkerja di Kuala Lumpur, saya lihat wajah saudari berubah. Memang saya faham situasi yang dilalui saudari ketika itu. Sebenarnya saya pun berat untuk meninggalkan saudari, tetapi apakan daya. Saya perlu berbakti kepada kedua ibubapa saya, dan inilah jalan yang terbaik untuk masa depan keluarga saya malah untuk kita juga. Lebih-lebih lagi sayalah satu-satunya harapan kepada keluarga. Dan saya amat bersyukur kerana saya mempunyai pengarang jantung yang memahami situasi saya ketika itu. 

Kuala Lumpur sebuah tempat yang asing bagi saya. Namun, saya tekatkan semangat tetapkan hati untuk meredah hutan batu ini yang sememangnya penuh dengan cabaran dan godaan. Itulah Kuala Lumpur. Pada suatu pagi 15 haribulan Mei 2005 saya selamat sampai di Stesen Putra, tempat dimana bas-bas dari pantai timur menurunkan penumpang. Dengan hanya membawa pakaian sehelai sepinggan, saya membawa diri. "Dimanakah tempat yang harus kutuju?". Akhirnya  teringat saya kenalan di Sentul. Jadi saya gunakan peluang ini untuk menumpang setenggah hari dirumahnya kerana awal jam 9, saya dikehendaki melaporkan diri di tempat kerja baru saya. Sehinggalah sekarang. Saya tempuh dengan penuh semangat dan matlamat. Untuk keluarga dan juga untuk kita.

Kerana kerja, saya mula mengenali beberapa individu-individu yang saya anggap sebagai sahabat malah saudara kepada saya di bandaraya ini.  Maklumlah saya seperti mana yang saudari tahu, memang tidak mempunyai saudara mara disini. Saya disini sebatang kara, mencari rezeki ditempat orang. Namun "Alhamdulillah" saya sekarang mempunyai rakan taulan yang baik, malah jiran yang perihatin. Dari sini saya mengenali beberapa orang individu yang saya anggap hanyalah sebagai seorang adik. Yang sudi menemani dan bertanya khabar tentang saya. Ketika itu hubungan kita sudah dingin. Harapan bertanya khabar saudari tentang saya jarang saya terima. Apabila saya bertanya khabar kepada saudari melalui sms, saudari selalu saja mengantuk ataupun mahu menonton rancangan kegemaran saudari. Namun saya akur kepada semua itu. Ini menyebabkan saya membalas, semasa saudari berkirim sms kepada saya, saya selalunya akan memberi alasan mengantuk. Dengan harapan saudari faham ertinya. Namun semua itu tidak berhasil.

Tanggal 9 haribulan Januari 2007

Sekarang biarlah saya mulakan perenggan ini kepada titik dan detik hubungan kita musnah. Perkenalan saya dengan individu yang mungkin saudari anggap sebagai orang ketiga, adalah secara kebetulan. Yang saya anggap sebagai adik angkat saya. Biarlah saya memanggilnya adik angkat sahaja dalam luahan hati saya ini. Agar tidak timbul perasaan benci dihati saudari. Malah bukan dia sahaja yang saya berkenalan, tetapi banyak lagi gadis-gadis yang mengenali saya. Namun sebagai seorang abang dan adik, mestilah hubungan kami lebih rapat. Saya tidak pernah merasiakan hubungan kita. Malah saya pernah memberitahunya yang kita sudah bertunang. Sekali diingat memang terukir senyuman diwajah. Akhirnya hubungan yang rapat bertukar menjadi akrab, namun saya masih menganggap dirinya hanyalah seorang adik. Dan kerana hubungan inilah, yang menyebabkan timbul perasaan iri hati dikalangan beberapa gadis kenalan saya yang lain. Memang betullah pesanan ayah saya bahawa manusia memang tidak boleh lari dari penyakit hati ini.

Tekaan saya tepat, suara-suara sumbang mula terbang ketelinga kekasih hati adik angkat saya. Hubungan mereka semakin retak, atas dasar cemburu buta yang membuta tuli. Kenapalah tidak diperiksa terlebih dahulu sebelum membuat andaian. Malah saya pernah memutuskan bahawa kami tidak sepatutnya berjumpa lagi. Berjumpa dalam erti kata lain, ialah keluar makan dan adakalanya menonton wayang bersama. Itupun bukan kami berdua sahaja, malah ada orang lain yang mengikut. Disinilah mula timbul perasaan kesian melihat keadaan hubungan adik angkat saya ini. Malah segala masalah diceritakan kepada saya. Dan saya percaya dia juga berkongsi masalah tersebut dengan saudari. Hingga ke satu tahap saya melihat dia dikasari oleh kekasihnya, bukan kekasaran yang biasa tetapi bertukar menjadi ganas. Saya sendiri pernah menasihati kekasihnya itu. Namun nasihat tidak diperdulikannya. Yang menjadi mangsa belasahan merupakan adik angkat saya sendiri. Saya tidak sanggup melihat semua itu. Akhirnya dia menyatakan kepada saya yang dia sudah berpisah dengan kekasih hatinya itu. Terdetik satu pertanyaan dihati saya, "adakah kerana aku dia berpisah, ohhh tidak, apa yang telah aku lakukan" itu yang bermain dipemikiran saya ketika itu. Lebih memburukkan lagi keadaan dia menyatakan rasa hatinya kepada saya. Memang betul kata orang tua, jiwa wanita senang untuk ditakluki hanya kerana kebaikan seorang lelaki dan begitulah sebaliknya. Kebaikan yang diberikan disalah ertikan. Namun saya tidak menyalahkan dirinya kerana memendam perasaan kepada saya. Hinggalah kesuatu saat perasaan bersalah dan kesian saya bertukar menjadi sayang. Saya tidak tahu adakah ini datang dari naluri saya atau hanyalah simpati yang menyerupai sayang.

Disinilah mula terdetik perasaan dihati saya yang menyatakan, "aku tidak boleh meneruskan sandiwara kotor ini". Sebab itulah saya memutuskan untuk berpisah dengan saudari. Bukan untuk bersama dengan adik angkat saya. Malah penglibatan adik angkat saya itu hanyalah rekaan saya semata-mata. Kerana saya tidak boleh menipu, berbohong kepada saudari. Alasan itu sebenarnya adalah alasan yang terakhir saya, kerana alasan pertama saya adalah sebab keluarga dan juga masa depan. Saya tidak nampak masa depan antara kita lagi. Hubungan kita memang sudah renggang ketika itu sama ada saudari perasaan atau tidak, terpulanglah. Berat untuk saya menyatakanya kepada saudari. Namun saya gagahkan semangat untuk menyatakannya juga. Dengan harapan agar saudari faham akan tindakan saya ini.

Akan tetapi tekaan saya meleset sama sekali, kita terputus hubungan seketika sahaja. Ini kerana seseorang individu yang perihatin dan mengambil berat mengenai diri saudari mula menghubungi saya. Kita boleh menipu dengan perkataan atau perbuatan, namun sama sekali tidak dapat menyembunyikan perasaan hati ini. Bergitulah juga apa yang berlaku keatas diri saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih saya kepada individu tersebut diatas usahanya yang murni itu. Tidak perlulah saya ceritakan lebih lanjut lagi, kerana saudari tentunya lebih maklum dengan apa yang terjadi. Namun saya sedar kenapa saudari berkelakuan sebegitu. Dan saya faham. Sebab itulah saya menerima saudari semula dalam hidup saya. Saya akui memang saya seorang lelaki yang lemah, tetapi lemah saya hanyalah kerana cinta.

Dan bukanlah niat saya untuk mengungkit perkara tersebut, cuma yang menyebabkan saya terkilan adalah sikap saudari ketika ingin berpisah dengan saya beberapa hari lepas. Saya nyatakan begitu kerana perpisahan pertama kita, memang ada kaitannya dengan perpisahan beberapa hari lalu. Dimasa lalu, setiap peluang saya berikan kepada saudari untuk menyuarakan rasa hati saudari. Baik melalui sms, malah saya menelefon saudari membincangkan dan mendengar rintihan serta tangisan saudari. Tidak pula terniat dihati saya untuk membeli nombor telefon yang baru. Apatah lagi menukar nombor tersebut dengan orang lain. Kerana saya tahu, ketika itulah masa saudari mengalami tekanan yang kuat. Peluang dan ruang saya berikan secukupnya untuk saudari.Walaupun jika diingat cercaan saudari sebelum itu, tidak ada maknanya peluang itu diberikan. Tetapi saya bukan kejam dan tidak berperikemanusian seperti saudari. Malah saya pernah menebalkan muka menjawab panggilan telefon saudari dihadapan tetamu dan juga majikan saya semasa mesyuarat syarikat dijalankan. Malunya saya ketika itu. Tetapi saudari tetap saya layan, walaupun menyakitkan. Masih ingatkah saudari?


Tetapi apabila tiba giliran saya yang hendak ditinggalkan, kenapa peluang dan ruang tidak diberikan kepada saya? Semua ruang ditutup rapat bagaikan mengunci diri sendiri didalam kotak kecil lagi gelap. Ini membuatkan saya hampa dengan sikap saudari. Saudari sepertinya tidak yakin dengan keputusan saudari. Peluang dan ruang yang saya inginkan pada beberapa hari lepas bukan untuk mencari jalan menambat hati saudari, malah bukan untuk menyatakan rasa cinta saya kepada saudari. Apa yang saya inginkan adalah, masa saudari agar dapat mendengar segala rintihan dan luahan hati. Lebih-lebih lagi mendengar suara saudari untuk terakhir kalinya, walaupun apa yang saya akan dengar adalah perkataan perpisahan dari mulut saudari, namun saya akan tetap redha mendengarnya. Agar saya yakin, keputusan yang saudari buat adalah berdasarkan diatas kerelaan hati saudari yang sepenuhnya. Bukan lari meninggalkan saya parah lagi hancur kesorangan setelah saya dilanggar dan patah remuk semuanya. Saya rasa saudari pun pernah merasainya. Hendak rasanya saya pergi ke Kuantan mendengar sendiri dari mulut saudari. Bukan kerana untuk memujuk, tetapi untuk memberi kekuatan kepada saya melupakan saudari dari dalam hati saya. Bantu yakinkan saya, yang saudari boleh meneruskan hidup dengan tenteram tanpa saya. Itu sahaja yang saya hendak daripada saudari. Kalau beginilah sikap saudari, nescaya saudari akan terus lari dari saya. Harus diingat kita sekampung malah berjiran. Sampai bila saudari akan lari?

Jikalau itupun saudari tidak dapat berikan kepada saya, sekurang-kurangnya berilah saya peluang dan ruang untuk mendengar suara saudari untuk kali terakhir. Bukan untuk mencerca, tetapi hanya untuk menyampaikan ucapan semoga saudari berbahagia. Dan sentiasa berada dalam lindungan Allah S.W.T. Lebih-lebih lagi berita yang saudari sampaikan beberapa hari lepas, yang menyatakan saudari sudah menemui pilihan hati. Izinkan saya mengucapkan selamat berbahagia kepada saudari berdua. Tetapi malangnya, itupun saudari tidak dapat berikan kepada saya. Peluang itu sahaja yang saya inginkan.

Kerana rasa yang tidak puas hati saya ini, menyebabkan saya mengirimkan sms kepada buah hati saudari. Bukan untuk bertarung tenaga merampas saudari darinya, tetapi meminta tolong darinya agar saudari berani menyampaikan hasrat saudari sendiri kepada saya, tanpa perlu kepada penyataan dan ayat didalam YAHOO MESSENGER. Sehingga sekarang saya masih simpan dialog tersebut. Beranilah kiranya saudari tunjukkan yang saudari mampu melakukannya, bukan berselindung disebalik taipan ayat sahaja. Apa yang menyakitkan hati saya adalah, ketidak sudian saudari mendengar rintisan saya buat kali terakhir, itupun dalam YAHOO MESSENGER sahaja. Hati yang telah remuk, dihancur beraikan dengan tindakan saudari keluar dari YAHOO MESSENGER. Langsung tidak memberi peluang sedikit pun untuk saya. Tidak seperti peluang dan ruang yang saya berikan sebelum ini. Malah berbagai alasan yang diberikan untuk saudari tidak bersemuka dengan saya. Bukan bersemuka secara fizikal yang saya mahukan, tetapi hanya lisan yang saya perlukan. Katakan kepada saya yang saudari ingin berpisah dengan saya dengan yakin. Barulah saya dapat melepaskan saudari dengan tenang tanpa perlu memikirkan kesan kepada diri saudari. Jelas saudari tidak dapat menghadapi saya. Jelas hati saudari dipaksa untuk menyintai orang lain. Jika salah kata saya ini, buktikan. Itu sahaja yang saya mahukan. Tetapi sekali lagi saya hampa kerana tidak diberikan peluang.

Niat yang baik untuk meminta tolong dari kekasih hati pujaan kalbu saudari itu disalah ertikan. Malah dibalas dengan amaran supaya tidak menganggu saudari lagi, dan ayat yang tidak boleh dilupakan adalah "HAK AKU". Betapa hebatnya lelaki pilihan hati saudari. Tahniah saya ucapkan. Siapa dia untuk menyatakan hak tersebut kepada saya, bukankah saudari masih menjadi hak ibubapa saudari? Tetapi tidak dinafikan lelaki memang egonya tinggi. Namun tidak salah kita bertolak ansur dalam hal ini. Tidak perlulah dia menunjukkan dominasinya. Bukan itu yang saya inginkan. Berani kerana seorang wanita. Dari perkataan dalam sms itu dapat saya bayangkan yang sesuatu yang amat negatif telah saudari berikan kepadanya mengenai hal saya. KENAPA? Seperti sayalah penjahat lagi digeruni didunia ini. Saya ingatkan saudari tahu macam mana perangai saya, setelah kita bersama selama beberapa tahun. Namun jangkaan saya meleset sama sekali, sebaik sahaja saudari mengetahui tentang sms tersebut, saudari pula yang melatah memberi amaran kepada saya. Tanpa sebarang usul periksa, dan tanpa mendengar terlebih dahulu penjelasan saya. 

Itulah manusia. Berubah dengan sekilip mata. Insan yang saya kenal bukan setakat dua atau tiga tahun, malah lebih daripada itu sanggup melakukannya terhadap saya.

Disebalik kesakitan dan kepedihan itu, saya tidak salahkan saudari. Namun semuanya bermula dengan kesilapan saya sendiri. Saya mengaku silap dan salah, adalah berpunca dari diri saya sendiri. Saya membiarkan saudari mengharapkan sesuatu yang tidak dapat saya berikan secepat mungkin. Salah saya juga kerana menyayangi seorang wanita dan mencintai seorang wanita. Itulah bezanya wanita pertama dengan saudari. Saya juga tidak dapat memberikan kepastian kepada saudari.

Tetapi di hari mulia lepas Hari Raya Korban, saya telah melakukan pengorbanan bukan sekadar pengorbanan haiwan tetapi perasaan cinta saya. Kepastian yang dicari sudah pun saya tetapkan. Cuma menunggu masa yang sesuai. Malangnya pilihan saya menjerat diri saya sendiri. Itu takdir ketentuan ilahi. Dihari ini saya terima dengan hati yang tenang dan tabah. Jangan kata saudari tidak mengetahui hubungan saya dengan adik angkat saya, hubungan ini hanyalah akan berakhir sebagai hubungan adik dan abang. Kami tidak akan ada peluang bersama. Namun dengan apa yang telah berlaku. Saya berserah kepada Allah Yang Esa sebulat-bulatnya. Biarlah saya ubati hati yang hancur ini terlebih dahulu, melupakan nikmat sebuah pencintaan. Kerana cinta saya kini hanyalah kepadaNya dan juga kepada keluarga saya.

Seperti diawal email ini, sudah saya katakan ini bukan usaha saya untuk menambat hati saudari mahupun mengikat saudari semula. Tetapi hanya sebagai satu cara saya meluahkan isi hati saya, agar saya tenang menghadapi dugaan ini. Email ini tidak akan timbul jika saudari tidak menutup semua ruang dan peluang yang telah saya nyatakan sebelum ini. Satu ruang yang kecil sahaja yang saya mahukan, namun malangnya tidak diberikan. Jadi email inilah sahaja satu-satunya cara untuk saya menyatakan segala apa yang terbendung dalam diri ini.

Diakhirnya, izinkan saya menyatakan sesuatu sebagai menutup utusan ini. Jikalau saudari sudah membaca sampai disini, terima kasih saya ucapkan. Kerana sudi memberi peluang ini kepada saya. Saya tahu apa yang saya taipkan ini terlalu panjang, tetapi percayalah ini adalah yang pertama dan terakhir buat saya untuk saudari. Adalah berbaloi hubungan cinta yang dibina bertahun lamanya diluahkan dengan isi kandungan yang berperenggan-perenggan. Bukan sekadar satu dua perenggan sahaja.


Jika saudari sudah membaca sampai disini pula makna saudari telah memberi saya tanggapan yang baik kepada saudari. Masih ada segelung kebaikkan didalam diri saudari. Masih ada sifat kemanusian didalam diri saudari.

Dan dikesempatan ini juga saya memohon kemaafan diatas segala ketelanjuran dan juga perkataan yang menyingung saudari. Sudah saya katakan, ini hanyalah luahan hati sanubari ikhlas dari saya. Dari saat saya menulis ini, sudah tidak ada apa-apa dendam dan tidak pula saya bertindak mencerca saudari. Saya anggap semua ini adalah jodoh ketentuanNya. Saya juga ingin megucapkan terima kasih saya kepada ibu saudari yang sudi mendengar luahan hati saya. Yang tidak dapat diberikan oleh saudari sendiri. Terima kasih.

Akhir kata izinkan saya sekali lagi, untuk mengucapkan sesuatu yang akan saya ucapkan jika ruang yang kecil itu diberikan kepada saya. Selamat berbahagia kepada saudari berdua. Saya irinkan doa moga-moga saudari berdua kekal sehingga keakhir. hayat. Malah dikurniakan keturunan yang soleh dan solehah. Kirimkan salam saya kepada dirinya, walaupun saya tidak mengenali dirinya, namun saya berharap dia dapat menjaga saudari dengan lebih baik daripada saya menjaga saudari.amin

Mungkin inilah jodoh kita. Dijodohkan bertemu hanya untuk bercinta. Dan kerana kekuasaanNya kita ditakdirkan berpisah seperti sebelum kita bercinta. Sebagai orang asing kita mulakan. Dan sebagai orang asing juga kita akhiri.

Wassalam......

notis: Cerita di dalam entry ini adalah kisah benar yang berlaku, tetapi tiada kaitan dengan ana mahupun kenalan ana =).. entry dalam ini telah lama berada dalam laptop ana, baca sekadar membuat renungan dan rumusan dengan apa yang terdapat dalam cerita ini. cintailah PENCIPTA melebihi ciptaanNya =)....

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...