Hot Stuff

Monday, November 28, 2011

:: Pendakwah Internet ::


Oleh : Ustaz Nor Amin Sayani B. Zainal

Sebagai seorang pendakwah atau da’i, dia hendaklah bijak dan kriatif mencari idea menyampaikan dakwahnya kepada masyarakat sekelilingnya. Hal ini penting kepada mereka, sebab bukan semua masyarakat di luar sana suka mendengar kuliah atau ceramah agama. Cuba kita lihat ceramah atau kuliah yang diatur di dalam masjid atau sebagainya, orang yang hadir itu boleh kita bilang dengan jari kita sendiri. Jika dinisbahkan dengan jumlah ahli qariah yang terdapat di sekeliling masjid tersebut, sangat jauh beza dan boleh dianggap bahawa program tersebut gagal menarik minat ahli qariah masjid tersebut. Mungkin meningkat sedikit jumlah kehadiran jemaah ke masjid apabila pihak jawatan kuasa masjid mengundang penceramah yang terkenal memberikan ceramah. Tapi itu juga tidak mampu menarik lebih ramai ahli qariah ke masjid.

Dari segala permasalah yang diutarakan di atas ini, maka perlulah pendakwah ini mempunyai kriativiti yang luas untuk membuat sesuatu usaha baru bagi meningkatkan jumlah masyarakat yang berminat terhadap program-program dakwah yang telah dirancangkan. Zaman sekarang ini, masyarakat dunia sudah mula menggunakan perkhidmatan jalur lebar (internet) untuk mengakses segala maklumat yang diperlukan. Internet juga merupakan sumber pencarian utama bagi mereka mendapatkan sesuatu maklumat, berita dan sebagainya. Alangkah baiknya jika kita pendakwah menggunakan kesempatan atau peluang yang ada ini untuk menyebarkan segala maklumat Agama Islam kepada pelayar-pelayar internet ini.

Menjadi tugas para pendakwah mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan teknologi maklumat ini, jika tidak mendalami ilmu ini dengan baik, maka ia akan menyulitkan pendakwah itu untuk menyampaikan segala bahannya dengan baik dan lebih berkesan. Jangan kita anggap mudah hendak menyampaikan dakwah kepada masyarakat sekeliling. Memang boleh kita pergi menyampaikan ceramah lebih kurang 1 jam atau 2 jam dan habis ceramah terus balik. Kita sendiri pun tidak tahu bahan yang disampaikan kepada pendengar itu berkesan atau pun tidak. Tiada maklum balas dan kritikan yang kita dapat tentang bahan yang diberikan.

Maka dari inilah saya merasakan bahawa internet ini merupakan medan baru bagi pendakwah untuk menyampaikan segala materi dakwah kepada masyarakat. Selain dari ceramah di tempat-tempat tertentu, maka lebih baik, bahan yang ingin di sampaikan itu dikongsikan dahulu di dalam internet. Secara tidak langsung kita akan menerima komen, kritikan, pendapat yang baik atau tidak baik dari pengunjung yang membacanya. Setelah itu, kita dapat menilai sejauh manakah kehebatan materi yang akan di sampaikan dan kesempatan yang ada kita dapat menambah segala kekurangan yang ada dalam bahan ceramah kita.

Menurut Prof. Dr. Yosuf Al-Qardawi bahawa  melaksanakan dakwah itu bukan satu perkara yang mudah dan ia perlu mempunyai jiwa yang besar, sebesar ajaran yang didakwahkannya, mempunyai wawasan yang luas dan berkemampuan mengesankan serta menyalakan api Islam dalam hati setiap masyarakat”.

Bukan mudah untuk menjadi seorang pendakwah, segala ilmu pengetahuan terutamanya ilmu Agama Islam perlu di dalami olehnya. Jika tidak, ia akan mengalami kesulitan untuk berhadapan dengan mad’unya. Pendakwah tidak dapat menjawab persoalan-persoalan yang telah dilemparkan oleh mad’unya. Tidak menjadi kesalahan bagi pendakwah mendalami berbagai ilmu-ilmu yang berkaitan internet atau computer, kerana masyarakat akan menghormati dan memandang mereka sebagai orang yang hebat dengan mempunyai berbagai ilmu pengetahuan, bukan sekadar ilmu agama sahaja, tetapi ia juga mahir dalam bidang ilmu-ilmu lain.

Pendakwah yang berjaya adalah mereka yang mempunyai daya usaha yang tinggi dan tidak pernah berputus asa dalam segala usaha yang dilakukan, walaupun usahanya mendapat kritikan dari berbagai pihak, yang menjadi cita-cita utamanya ialah memperolehi keredhoan Allah terhadap segala usaha murninya untuk memartabatkan Agama Islam di dunia ini. Untuk mahir menggunakan teknologi internet ini, pendakwah perlulah berkorban masa, wang dan tenaga untuk mempelajari dan memiliki alat-alat yang berkaitan dengan teknologi ini, supaya ia mudah mengakses dan tahu cara menggunakan aplikasi yang terdapat dalam internet ini. Kalau ia tidak mempunyai jiwa dan wawasan yang besar, maka semua ini tidak akan berlaku, sebab hendak mempelajari sesuatu teknologi ini bukan satu perkara yang mudah, dia memerlukan masa yang panjang dan rujukan yang banyak. Barulah kita dapat menguasai sesuatu teknologi itu dengan baik dan berkesan.

Ramai pendakwah yang terkenal menggunakan pendekatan ini untuk mereka menyampaikan sesuatu bahan agama. Ada diantara mereka menjadi popular disebabkan oleh teknologi internet ini. Contoh yang saya dapat berikan di sini ialah seperti Ustaz Azhar Idrus atau dikenali sebagai Ustaz Youtube. Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman yang dikenali ustaz blogger yang pernah memenangi anugerah blogger terbaik. Ustaz Zahazan, Datuk Ustazah Siti Nor Bahiyah dan banyak lagi. Mereka ini tidak melepaskan segala peluang yang ada dalam internet untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Mereka memanfaat segala ruang yang ada dalam internet untuk menyampaikan segala usaha dakwah mereka kepada pengunjung blog dan facebook mereka.

Kebanyakkan mereka ini semuanya berasal dari pendakwah biasa seperti berceramah atau pengkuliah biasa sahaja. Apabila mereka menceburkan diri mereka ke dalam dunia internet, maka mereka lebih dikenali, lebih berpengaruh dan mempunyai peminat yang tersendiri. Sebenarnya banyak lagi kelebihan yang terdapat dalam dunia internet ini, tidak rugi jika para pendakwah memanfaatkan perkara ini kerana ia sangat memberi keuntungan yang luar biasa.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...