Hot Stuff

Wednesday, December 21, 2011

:: Cahaya Islam Bersinar Di Korea Selatan ::


Oleh : Prof Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin
Sumber : I Luv Islam

Kunjungan sulung saya ke Korea Selatan, November yang lalu adalah untuk memenuhi undangan ceramah di sana disamping membuat liputan mengenai perkembangan Islam di bumiWinter Sonata ini.
Alhamdulillah, setelah bermusafir dengan pesawat MH 67 ke Seoul selama 7 jam, saya selamat mendarat pada jam 6.45 pagi. Setelah berehat seketika di penginapan yang telah disediakan, saya memulakan lawatan ke Korea ini dengan mendirikan solat Jumaat di Seoul Central Mosque di Itaewon. Subhanallah, masjid ini merupakan sebuah Pusat Islam dan Masjid Jamek yang besar lagi tersergam indah di atas sebuah bukit di tengah-tengah ibu kota Korea ini.
Saya terpaksa berhimpit sebelum berjaya masuk ke dalam dewan solat masjid kerana jemaah yang hadir telah pun memenuhi ruang solat sehingga melimpah ke bahagian luar masjid. Kelihatan khatib tempatan yang bernama Ustaz Sulaiman sedang berkhutbah dengan penuh bersemangat di dalam bahasa ibunda iaitu bahasa Korea. Para jemaah yang hadir kelihatan khusyuk mendengar khutbah yang disampaikan.
Jelas kelihatan bahawa mereka berasal daripada bangsa yang pelbagai, seolah-olah kami sedang berada di sebuah perhimpunan umat Islam antarabangsa. Selain daripada masyarakat tempatan dari Korea, ramai juga kelihatan orang-orang Islam yang berketurunan Pakistan, Bangladesh, Turki, Arab, Malaysia dan Indonesia. Selepas solat Jumaat, saya mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan masyarakat Islam di sini.
Saya juga bersempatan melawat Seoul Central Mosque dengan lebih dekat lagi. Pejabat operasinya nampak kemas dan kakitangannya sentiasa kelihatan mesra menyambut kedatangan tetamu dari dalam dan luar negara. Kelihatan juga di perkarangan masjid, sebuah sekolah rendah Islam yang telah dibangunkan bagi memberikan pendidikan Islam secara khusus kepada anak-anak Muslim.
Majoriti penduduk Korea Selatan yang berjumlah seramai 48.8 juta orang ini secara rasminya tidak menganut sebarang agama. Manakala umat Islam pula, adalah kaum yang begitu minoriti di sini. Namun begitu, syiar Islam semakin hari semakin terserlah perkembangannya. Pada setiap minggu dan bulan, semakin ramai rakyat Korea yang membuat keputusan untuk memilih Islam sebagai agama mereka.
Kini, penduduk beragama Islam di negara yang terkenal dengan produk ginseng itu dianggarkan mencecah kira-kira 140,000-150,000 orang termasuk pelajar dan pekerja yang menetap di situ. Daripada jumlah ini, kira-kira 35,000 orang adalah Muslim daripada kalangan rakyat tempatan Korea Selatan.
Perkembangan Islam di situ dapat dilihat dengan jelas apabila semakin banyak masjid dan surau dibina di beberapa penempatan penduduk Islam. Ia bukan hanya berfungsi sebagai tempat menunaikan solat, bahkan sebagai pusat pengajian dan penyebaran Islam. Apa yang jelas, dakwah yang dijalankan oleh imam dan pemimpin agama terdahulu dan sekarang terutamanya di kalangan rakyat tempatan telah berjaya menyedarkan masyarakat Korea untuk memilih agama Islam dengan rela hati.
Menurut sejarah, Islam telah mula bertapak di Korea sejak ratusan tahun dulu tetapi bercambah semasa Perang Korea (1950-1953). Risalah Islam mula dibawa dan kemudiannya disebarkan oleh beberapa orang tentera daripada batalion ketenteraan Turki yang bertugas di Korea.
Kini, penyebaran agama Islam di Korea banyak dibantu oleh Korean Muslim Federation(Persekutuan Korea Muslim–KMF) yang telah ditubuhkan bagi menangani kebajikan dan dakwah kepada masyarakat Islam setempat serta kepada rakyat Korea.
Seoul Central Mosque merupakan masjid yang pertama dibina di Korea Selatan iaitu pada 1976. Ia telah dipilih oleh KMF sebagai pusat dakwah dan pusat pendidikan Islam kepada penduduk setempat di situ.
Saya sempat menemui saudara Dr. Hussein Janj, pegawai eksekutif KMF yang berketurunan Turki yang memiliki ijazah sarjana muda, sarjana dan kedoktoran (PhD) dalam bidang bahasa Korea. Dr. Hussein yang telah berdakwah selama 16 tahun di Korea menyatakan bahawa semakin hari semakin ramai rakyat Korea yang memilih Islam sebagai agama mereka.
Saban hari dan di hujung minggu terutamanya, semakin ramai rakyat tempatan yang datang ke masjid untuk mempelajari Islam dengan lebih dekat dan kemudiannya memeluk Islam. Melalui kelas pengajian 'What Is Islam?' yang dijalankan di Seoul Central Mosque sahaja telah berjaya menarik seramai 150 orang memeluk Islam pada setiap tahun.
Sehingga kini, perkembangan Islam di Korea Selatan cukup membanggakan apabila 10 buah masjid, 40 buah surau dan lima buah Pusat Islam telah didirikan di seluruh negara. Di antara masjid yang ada di Korea Selatan ialah di Seoul (1976), Pusan (1979), Anyang (1986), Jeonju (1986), Ansan (2001), Incheon Bupyong (2004), Paju (2005), Pochean (2005) dan Gwangju (2005).
Ada di antara surau-surau di negara itu yang dibina oleh para pekerja yang datang dari negara Arab, Pakistan dan Bangladesh tetapi ianya cukup bermakna kepada pembangunan Islam di negara Winter Sonata ini.
Kekuatan umat Islam yang paling ketara ialah apabila setiap hari Jumaat, kerana lebih 1,000 orang jemaah berhimpun menunaikan solat Jumaat di setiap masjid utama di seluruh Korea Selatan termasuklah rakyat asing dan para pelajar universiti yang datang dari luar negara.
KMF bukan hanya berperanan membimbing umat Islam, malah menyediakan perkhidmatan membekalkan daging lembu, kambing dan ayam untuk diedarkan di restoran yang menyajikan hidangan halal di seluruh Korea Selatan.
Kebanyakan daging lembu serta kambing yang dibekalkan oleh KMF biasanya diimport dari New Zealand dan Australia. Jadi masyarakat dan pelancong Islam tidak perlu merasa bimbang untuk mendapatkan makanan halal kerana KMF memainkan peranan mereka dengan baik.
Walaupun setakat ini Islam tidak disekat atau dihalang di sini, namun ianya mempunyai cabaran tersendiri termasuklah hijab bagi wanita yang bekerja, makanan halal dan pendidikan Islam untuk generasi anak-anak mereka.
Umumnya, rakyat Korea adalah masyarakat yang mempunyai daya saing yang tinggi. Ini telah menjadi budaya kerja dan budaya hidup mereka. Rata-rata di kalangan mereka bekerja dengan penuh kesungguhan sejak awal pagi dan hanyalah pulang ke rumah menjelang lewat malam. Kesannya, Korea Selatan telah menempah nama di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang termasuklah teknologi, ekonomi, sukan dan lain-lain lagi.
Namun begitu, kebanyakan dari rakyat Korea merasai kekosongan dari sudut rohani. Majoriti daripada mereka tidak mempercayai kewujudan Tuhan dan tidak menganut sebarang agama. Sebagai contoh, kadar membunuh diri di kalangan rakyat Korea adalah merupakan yang tertinggi di dunia.
Di sini, jelas kelihatan bahawa kemajuan dunia yang hebat tidak mempunyai apa-apa erti yang besar apabila rohani masyarakatnya kosong daripada petunjuk Ilahi. Cahaya Islam telah menyinari kehidupan masyarakat tempatan Korea. Mereka sudah mempunyai jawapan kepada erti kehebatan dan kecemerlangan kehidupan yang sebenar.
Cuba saksikan beberapa tayangan yang membuktikan betapa cahaya Islam semakin berkembang di Korea ini.
1-Anak muda Korea membaca al-Quran
2-Islam di Korea
Semakin terbukti bahawa cahaya Islam kian mekar berkembang ke seluruh pelusuk alam dengan dakwah Islamiah yang disebarkan.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar. Salam perjuangan.

2 comments:

Faiqah Umaira said...

teringin nak ke Korea, melihat perkembangan Islam di sana :)

Tuan Muda Farhan said...

setuju.. saya juga ingin ke korea.. insyaAllah akan jejakkan kaki ke sana =)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...