Hot Stuff

Friday, May 14, 2010

:: Berjanggut ::





BERJANGGUT

            Berjanggut merupakan salah satu sunnah Rasulullah s.a.w, amalan para sahabat dan para anbia a.s. Mencukur janggut dan memelihara misai itu adalah  budaya atau cara hidup orang Yahudi, Nasrani dan Majusi. Oleh sebab itu orang Islam diperintahkan supaya berkeadaan sebaliknya, tidak mengikut budaya mereka itu untuk membezakan cara hidup orang Islam dengan cara hidup mereka seperti yang disabdakan Nabi s.a.w yang bermaksud :

            “Berbezalah kamu daripada orang Musyrik, iaitu peliharalah janggut dan cukurlah misai” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

            Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “kamu simpanlah janggut dan potonglah misai, ubahlah warna uban kamu (dengan berinai) dan janganlah kamu mencontohi Yahudi dan Nasrani”. (Riwayat Ahmad).

            Kata Imam al-Bukhari : “Ibn Umar menipiskan misainya sehingga kelihatan kulitnya yang putih.” (Fath al-bari: 11/524).

            Daripada keterangan di atas, jelas membuktikan bahawa para sahabat yang berjanggut kerana mencontohi amalan kekasih mereka Rasulullah s.a.w.

            Menurut Imam Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, bahawa janggut itu tidak dicukur, katanya : “Bahawa pendapat yang terpilih adalah membiarkan janggut mengikut keadaan semula jadinya, tanpa memendekkan sedikit pun pada hukum asalnya, dan pendapat yang terpilih pada misai pula adalah tidak mencabut atau mencukurnya habis, memadai (memendekkannya) setakat kelihatan di tepi bibir.”

            Merujuk kitab al-Majmu karangan Imam al-Nawawi, kata al-Khithabi dan ulama-ulama selainnya “ Janggut itu disimpan, dibiarkan dengan tidak digunting. Mengguntingnya adalah makruh seperti perbuatan orang a’jam (bukan Islam)” (Al-Majmu’ 1/342)

            Had untuk memotong janggut adalah berdasarkan kepada perbuatan Ibn ‘Umar r.a semasa mengerjakan haji dan umrah, yang mana beliau telah menggenggam janggutnya dan yang lebih daripada genggamannya dipotong. Maksudnya, semasa Ibn ‘Umar mengerjakan haji atau umrah, belian menggenggam janggutnya, mana yang lebih (daripada genggaman) dia akan memotongnya. (Riwayat al-Bukhari n0. 5892).

            Mengenai misai pula, menurut Imam al-Nawawi bahawa pendapat yang terpilih adalah tidak memotongnya habis, cukup memendekkannya setakat jelas kelihatan di tepi bibir.

            Janggut adalah hiasan untuk kaum lelaki dan amalan Nabi s.a.w. Kepada mereka yang sudah berjanggut maka teruskan sehingga ke akhir hayatmu serta syabas diucapkan kerana bersabar di atas segala kata-kata kurang enak sepanjang berjanggut. Sebenarnya kamu adalah lelaki sejati yang mencintai Rasul.

rujukan Majalah Solusi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...