Pemakaian tudung
kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita menjaga
auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah
dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu
mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar
dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala
hingga ke kaki.
Kalau
dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya
dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci.
Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan
mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan
masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya
mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat,
nama, harta dan kemewahan dunia.
Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita
yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita
saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup
aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan.
Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja
pejabat-pejabat.
Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih
tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan
sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain
belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai
fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.
Ada
rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan
kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya.
Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar
fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan
fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.
Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja
menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita.
Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan
tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan
muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan
lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian
wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan
bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung
kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan
sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.
Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita
tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan
manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya
satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga
dan berbangga bila boleh memakai tudung?
Ada
orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung
tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung
yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih
menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi
maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti
zina, khalwat dan sebagainya.
Jadi,
nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain
yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap
orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup
aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka
rasa lebih bebas lagi.
Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat
Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung,
perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak
perbezaan agama Islam dengan agama mereka.
Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini
kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam.
Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.
Kalau
kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari
masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan
lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.
Ini
tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung.
Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari
masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka
mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.
Walau
apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita
Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan
Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung,
namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala
tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.
Kalau
sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri
dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas
lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki.
Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh
masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.
Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan
tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi
orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara
meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain.
jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam.
Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak
yang menghiasi peribadi wanita muslimah.
Barulah orang terpikat untuk
mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui
"Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah
cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak
langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.
1 comment:
minta izin utk bkongsi artikel dlm blog ini, saya akan letakkan sumbernya.
Post a Comment