Oleh : Ustaz Fathi Yusuf
Sumber : I Luv Islam
Terdapat beberapa panduan ringkas yang  boleh dijadikan rujukan ibu bapa dalam menghadapi media yang semakin menjadi-jadi.
Pertamanya, perlu diingat bahawa gelombang media perosak yang makin  mengganas ini menuntut keprihatinan maksimum ibu bapa. Insafilah,  anak-anak kita pada fitrahnya inginkan kesucian  jiwa dan hembusan  taqwa. Mesej-mesej daripada bahan media perosak hakikatnya  amat jauh  dari fitrah anak-anak. Maka usah kita sogokkan  mereka dengan  bahan-bahan pemusnah ini. Jika kita ingin membeli majalah,  pilih lah  majalah yang membina. Jangan ada majalah  pendorong pergaulan bebas, majalah hiburan, majalah berunsur misteri dan  tahyul, apa tah lagi majalah berunsur seks dalam rumah kita. Sejak dari  tadika, mereka perlu didedahkan dengan majalah Islami.
Begitu juga dengan media elektronik. Usah berikan kepada anak-anak bahan-bahan CD atau DVD, mahu pun rancangan TV yang berunsur seks, ganas dan melalaikan.  Usah biarkan mereka menonton adegan intim orang bercinta.  Hari ini  siri kartun kanak-kanak pun ada adegan French kiss, apa lagi  dalam  rancangan TV dan filem lain. Maka, peranan ibu bapa amat penting  untuk  mengawal dan sentiasa amengingatkan anak-anak dengan adegan yang  boleh  merosakkan iman ini.
Tapisan, pemantauan dan panduan ibu bapa amat  penting dalam  mengendalikan media untuk anak-anak. Bagi media yang  sukar disekat, ibu  bapa perlu bertindak sebagai penapis bahan-bahan  yang tersiar.  Tentukan kepada anak-anak bahan yang boleh ditonton dan  yang tidak  boleh ditonton. Begitu juga dengan internet.  Perlu ada tapisan bagi  membuka laman web. Gunakan teknologi semasa  untuk menapisnya. Walaupun  tapisan seratus peratus unsur perosak adalah  hampir mustahil, namun  sekurang-kurangnya biarlah ia terkawal.
Pemantauan perlu dibuat secara berkala bagi  memerhatikan  kecenderungan dan tingkahlaku anak-anak. Perlu diingat  dengan kelebihan  sebahagian anak-anak dalam soal perkembangan teknologi  mungkin mereka bijak menyembunyikan perangai tidak senonoh mereka  menggunakan bahan yang merosakkan. Maka, ibu bapa bukan sahaja perlu  prihatin, bahkan perlu mengikuti perkembangan teknologi bagi memintas  salahlaku yang mungkin dilakukan oleh anak-anak.
Perlu diingat juga bahawa ibu bapa perlulah seimbang dalam memantau   penggunaan media oleh anak-anak. Apa yang penting ialah kefahaman dan   keyakinan anak-anak tentang bahaya bahan-bahan media yang merosakkan.   Sebaik-baiknya biarlah anak-anak itu diserap dengan iman yang mendalam   sehingga mampu mempunyai benteng diri bagi mengelakkan pengaruh media   perosak ini. Selain itu, ibu bapa juga perlu menyediakan bahan-bahan alternatif  bagi  memenuhi tuntutan jiwa kanak-kanak dan remaja, agar jiwa muda dan  segar  mereka tidak terkulai layu akibat sekatan yang melampau dan  tidak  munasabah.
Mudah-mudahan kami dan anda semua menjadi ibu bapa yang sentiasa peka   dengan cabaran yang berlaku ini. Cabaran kita hari ini jauh lebih   rencam dan kompleks berbanding cadaran ibu bapa kita yang mendidik kita.   Moga Allah sentiasa menunjukkan hidayah buat kita semua.

No comments:
Post a Comment