Hot Stuff

Monday, November 9, 2009

::Apabila Ulama' Dipandang Sepi.::


Oleh : Muhammad Ibnu Nazir


BismillahirRahmanirRahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera. Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi, dengan nikmat dan rahmat-Nya, dapatlah kita hidup dan menjalankan tanggungjawab kita sebagai seorang mukmin kepada-Nya. Salam dan Selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W , Ahli keluarga Baginda dan Sahabat-sahabatnya. Aku bersaksi tiada Tuhan yang wajib disembah kecualiNya dan Muhammad S.A.W itu hamba dan PesuruhNya.


Dari Sahl bin Saad as-Saaidi r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda ; “Ya Allah! Jangan Kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu zaman di mana para ulama tidak diikuti lagi dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya) dan lidah mereka seperti lidah orang arab (pada fasihnya).” (Hadith Riwayat Ahmad R.A.).

Kalau kita perhatikan masyarakat dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh dari gambaran yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadith tersebut. Masyarakat dekad kini sudah agak jauh menyimpang dari mendekati Para Ulama. Mereka seolah-olah gerun untuk mendampingi Ulama atas sebab khuatir perbuatan mereka akan ditegur. Di samping itu juga kebanyakan orang sudah hilang pertimbangan dan tanpa ada perasaan segan silu melakukan kemaksiatan dan kebathilan, walaupun di hadapan orang yang tinggi akhlaknya. Golongan ini juga pandai berkata-kata, berhujah, dan memutarbelitkan fakta-fakta kenyataan. Justeru itu juga mereka begitu tertib dan halus dalam berkata-kata sehinggakan memikat orang lain, walaupun pada masa yang sama, mereka adalah seperti harimau atau binatang buas yang bersedia untuk menerkam, memamah, membaham dan merobek-robekkan mangsanya dengan rakus.


Jika kita perhatikan dari sudut aqidah peribadi masa kini, apa yang didapati pula ia jelas dan nyata, serta bertepatan dengan Hadith Rasulullah s.a.w tersebut, di mana ramai di kalangan kita cenderong untuk mendampingi orang yang mempunyai kepentingan duniawi dan disusuli pula golongan orang yang punyai kemahsyuran duniawi yang tinggi. Ini tidak dapat dinafikan lagi, apabila golongan para hartawan, jutawan malah golongan yang popularitinya tinggi itulah yang selalu diagung-agungkan malahan diangkat sebagai teman atau idola yang paling dikasihi dan sayangi. Ia berbeza pula, apabila Para Ulama tersohor dipinggirkan sejauh-jauhnya atas prinsip yang tidak diterima akal. Golongan Ulama ini juga sering dicemuh, difitnah, dianak tirikan malahan ada yang dicederakan atau dibunuh. Inilah realitinya mentaliti manusia yang bergelar mereka maju dalam semua aspek kehidupan. Maju dalam ertikata ketamadunan manusia. Tetapi masih mengamalkan prinsip yang jumud, seperti klonolisme, fasisme, materilisme , darwinisme dan sebagainya. Golongan inikah yang paut kita angkat sebagai peneraju Ummah?.


Bertepatan dengan Hadith Rasulullah s.a.w ini juga, ia dapat kita hujahkan dengan begitu jauh sekali. Perbandingan di antara Para Ulama dengan pendokong dan pemimpin kekufuran ini perlu melalui proses perbandingan yang telus. Jika kita perhatikan, Para Ulama bertungkus-lumus dan bermati-matian untuk menyelamatkan manusia yang sesat dan kufur ke landasan yang betul. Dengan menyeru agar manusia meninggalkan segala tuntutan nafsu dan syaitan, serta menyeru agar kembali kepangkuan jalan yang benar melalui syariat Allah s.w.t dan Sunnah s.a.w itu merupakan tunjang utama yang dipikul oleh mereka. Tidak hairanlah pula, mereka-mereka (Ulama) ini, dicemuh dan dinafikan hak-hak mereka. Atas dasar pegangan Islam yang utuh itu jugalah membuatkan Para Ulama ini cekal dalam menyebarkan Islam. Semua ini sama sekali tidak dipeduli malahan ada yang masih tidak menghargai jasa-jasa dan perjuangan Jihad mereka ke jalan Allah s.w.t ini. Apa yang malangnya pula, ramai yang mengenali pemimpin dan para penghibur duniawi yang tidak ada batu asas pun dalam perjuangan Islam. Mereka diangkat dan diberikan dengan jolokan gelaran perjuangan bangsa dan perjuangan seni yang mahsyur. Tetapi pada amnya mereka itu semua tidak ubah seperti momokan jerangkung yang tidak berindentiti langsung. Gelaran ini sepatutnya diberikan kepada pendokong dan penyokong nya juga agar, perkongsian itu sama rata. Inilah realitinya masyarakat kita.

Justeru itu juga, penelitian kita tidak berakhir di sini, ia berlanjutan lagi demi mengupas sejauh mana langkah mereka-mereka ini. Perlu diingati juga bahawa, proses ini perlulah dilalui dengan telus, tanpa bukti-bukti yang konkrit, mana mungkin dapat diperjelaskan. Sebagai contoh yang dapat kita perhatikan, golongan atasan (pemimpin), merupakan golongan (minoriti) yang agak cenderung melakukannya. Takut untuk merujuk sesuatu fatwa yang dihasilkannya kepada Para Ulama, dengan alasan ia tidak mendatangkan keuntungan yang besar kepada diri dan kronolismenya. Menyatakan idea-idea yang bercanggah dengan syariat Islam, sehingga mengetepikan semua hak-hak yang berkaitan dengan Islam. Tanpa dirujukpakai oleh Para Cendiakawan dan Ulama Islam. Malahan itu juga, ada yang sanggup bersetongkol dengan pihak Munafikun, yahudilisme dan kristianisasi. Pekara inilah yang ditakuti kita dekad ini. Mengejar kemewahan duniawi dan mengetepikan segala Syariat Allah s.w.t. Bukankah ini jelas dan nyata, bahawa Hadith Rasulullah s.a.w ini bertepatan. 



Begitu juga dengan golongan Para Ulama Palsu, menyatakan sesuatu fatwa yang mengelirukan umat Islam. Dengan beridentitikan sebagai Ulama Palsu, mengajar agar manusia saling benci-membenci antara manusia, walaupun ia beragama Islam. Bukankah manusia itu semuanya bersaudara. Tidak kiralah ia berlainan agama dan berlainan pegangan sekalipun. Dalam masa yang sama juga mengharapkan rakyat untuk mempercayai segala kata-katanya, tetapi disebalik pintu, ia seperti harimau yang kelaparan menunggu mangsanya. Memperkuda-kudakan Islam, dengan mengajak orang agar membenci sesama mereka. Malah petah pula berkata dalam soal golongan Syurga dan golongan Neraka serta menepikan segala ketentuan Allah s.w.t. Ini semua satu bentuk fahaman yang jengkel dan mengelirukan manusia. Kembalilah kepada Syariat Allah s.w.t dan junjungilah Sunnah Rasulullah s.a.w, agar segala kepincangan dapat diperbetulkan dengan sempurna. 


Malahan bertepatan dengan Hadith Rasulullah s.a.w ini juga, ada golongan yang suka merujuk dan mengagung-agungkan golongan populariti. Meniru bulat-bulat identiti mereka tanpa memikirkan akan akibat seterusnya serta ada yang sanggup mengorbankan Islam demi mengejar dan menjunjung golongan ini. Tetapi malangnya golongan Para Ulama dipinggirkan sejauh-jauhnya. Berasa takut untuk mendampingi dan merujuk dengan Para Ulama, seolah-olah ia seperti medan magnet yang perlu dijauhi. Begitulah sikap yang dapat kita perhatikan dalam masyarakat kita hari ini. Perlu diingati juga, berapa ramaikah di antara kita yang mengikuti kuliah-kuliah Agama yang dianjurkan Para Ulama kepada kita?. Mungkin ada yang perihatin, tetapi ia cuma segelintir, malah ia juga mengikut kadar ketentuan masa dan jadual yang telah ditetapkan. Jika ia berkaitan dengan timbulnya masa untuk hiburan, maka ia dianjakkan dan dimansuhkan. 



Lihat sahaja pada malam ini (Sabtu, 07 Nov. 2009), berapa ramaikah yang memenuhi ruang TV dan stadium Bukit Jalil untuk menonton perlawanan Akhir Piala Malaysia dengan jumlah yang menghadiri kuliah-kuliah Agama di surau dan masjid. Ini salah satu contoh, di mana untuk memperjelaskan bukti-bukti yang konkrit yang telah saya nyatakan seperti di atas tadi. Gemuruh dengan sorakan, disusuli pula dengan perkataan maki hamun antara penyokong mereka, inilah budaya yang perlu kita perhatikan dan fikirkan akan kesudahannya. Perlu diingati juga, surau yang terletak di stadium itu juga belum tentu safnya dipenuhi seperti orang yang berada di ruang stadium. Jika situasi ini berterusan, maka tidak mustahil suatu hari nanti Islam itu hanya tinggal pada namanya sahaja. Seperti amanat Hang Tuah pada Bangsa Melayu, “Tidak Akan Melayu Hilang Di Dunia”. Ini bertepatan dengan generasi kini, yang hanya mengakui bangsa melayu tetapi mengetepikan syariat Islam.


Islam hanya dipraktikkan pada fesyen sahaja, sekadar menutupi aurat tanpa disedari masih ada corong-corong yang terdedah. Golongan remaja wanita kini amnya, masih terkapai-kapai mencari sesuatu yang pasti, bila ditanyakan akan soal pendidikan duniawi, mereka petah berkata dengan hujah-hujah yang bernas, tanpa segan silu pula mengagungkan sejarahwan barat sebagai idola, tetapi apabila soal berkaitan hukum-hukum Islam, mereka bentak bangun, dan menyatakan pendirian meraka bahawa hak asasi wanita itu perlu diperjuangkan dan menganggap bahawa Islam itu terlalu “Complicated”. Tetapi pada hakikatnya mereka-mereka inilah yang sebenarnya memalukan dunia Islam. Sebagai contoh, tiada seorangpun yang membantah apabila Iklan ‘Tuala Wanita” dimainkan kaca TV. Jika benar mereka ini memperjuangakan hak-hak wanita, kenapa soal yang memalukan ini tidak dibantah. Ini baru dipermulaan arena pengaiban hak-hak wanita. Banyak lagi yang perlu diperhujahkan di sini. Dan ini sebagai contoh yang perlu kita sama-sama kongsikan. Jika pencemaran Iklan ‘Tuala Wanita” ini dipandang sepi, maka tunggulah bila terjadinya peristiwa yang dahsyat lagi 3, 5, 7 tahun yang akan datang. Fikirkan!.


Maka dengan itu, setelah banyak yang kita kongsikan di sini, ambillah satu pendekatan dalam diri kita amnya, untuk mengubah cara hidup kita agar tidak lari dari landasan-Nya. Pergunakanlah masa yang sesingkat ini, untuk memperbetulkan apa yang yang telah berlaku. Sebagai contoh yang perlu kita ambil, adalah Bilal r.a, beliau merupakan sahabat Nabi s.a.w yang Zuhud Imannya. Walaupun diseksa dan dihina dengan kejam, namun beliau tetap berpendirian teguh bersama Nabi s.a.w. Dengan mengucapkan sekali kalimah di hadapan Nabi s.a.w, beliau tidak gentar dan tidak akan kembali kepada kekufuran, walaupun melalui kepahitan yang berpanjangan. Dan diriwayatkan juga, beliau berkulit hitam, tetapi hati beliau putih dan bersih, sehinggakan nama beliau tersohor sampai ke hari ini. Ini adalah perjuangan, perjuangan demi Allah s.w.t, tanpa memikirkan akan ganjaran duniawi semata-mata. 



Sebenarnya banyak lagi cerita-cerita motivasi yang perlu kita kongsikan, carilah dan belilah buku-buku atau kitab-kitab tentang perjuangan Para Sahabat r.a yang kini banyak dipasaran. Kongsilah bersama mereka yang memerlukan. Semoga hari-hari yang mendatang nanti akan memberi sinar dan harapan kepada diri dan generasi kita kelak, serta memohon kepada Allah s.w.t supaya kita sama-sama dilindung di bawah naungan-Nya. Ameen. Allahu Akhbar!, Allahu Akhbar!, Allahu Akhbar!.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...