Hot Stuff

Wednesday, November 18, 2009

:: Kepimpinan Rasullullah::



Oleh : Tuan Muda Farhan


Pengenalan


Rasulullah s.a.w. telah diutuskan oleh Allah S.W.T untuk memimpin dan membimbing umat manusia di dunia ini ke jalan yang selamat dan bahagia di dunia dan di akhirat. Baginda s.a.w. adalah rahmat yang diberikan oleh Allah S.W.T.yang tidak ternilai harganya kepada alam semesta ini yang menjadi contoh kepada semua umat manusia.

Para nabi dan rasul merupakan manusia pilihan utusan Allah untuk memimpin dan membimbing manusia ke jalan yang benar. Oleh yang dimikian, para nabi dan rasul merupakan pemimpin yang menjadi contoh dan mercu tanda sejarah ketamadunan manusia. Dalam konteks yang lebih khusus, nabi Muhammad s.a.w merupakan nabi dan rasul yang terakhir dan penghulu segala nabi dan rasul, yang mempunyai kedudukan yang tersendiri terutama yang berkaitan dangan hal-hal kepimpinan. Beliau baginda s.a.w mempunyai gaya kepimpinan yang tersendiri dalam menguruskan agama yang dibawanya sehingga agama Islam menjadi agama yang terunggul di muka bumi ini.

Sebagai pembawa risalah Allah, untuk pemimpin manusia sejagat, baginda s.a.w merupakan pemimpin yang mempunyai kebijksanaan yang luar biasa yang tiada tolok bandingnya. Rasulullah telah merangka strategi yang sangat baik dalam menyebarkan agama Islam sehingga membawa kepada pembukaan kota Mekah dan seterusnya agama Islam telah berkembang ke seluruh pelusuk dunia.


Kepimpinan Rasulullah dan Kepimpinan Masa Kini


(Dipetik daripada Kitab Ihya Ulumuddin – Karya Hujjatul Islam Imam Muhammad bin Abu Hamid Al-Ghazali dll sumber pelbagai ) mengatakan bahawa agama Islam merupakan agama yang diredhai Allah di muka bumi. Walaupun terdapat pelbagai pegangan dan agama yang ada di muka bumi, hanya agama Islam sahaja yang mendapat keredhaan Allah s.w.t. kerana ajaran Islam merupakan ajaran yang lengkap yang merangkumi semua aspek dan sesuai diamalkan oleh kehidupan sepanjang zaman. Islam merupakan peraturan hidup yang sangat sempurna dan tidak ada agama lain yang mempunyai peraturan yang sesempurna agama Islam.

Rasulullah s.a.w. telah diutuskan oleh Allah untuk memimpin da membimbing umat manusia di dunia ini ke jalan yang selamat dan bahagia di dunia dan di akhirat. Baginda s.a.w. adalah rahmat yang paling berharga dari Allah S.W.T.yang tidak ternilai harganya kepada alam semesta ini, sebagaimana jelas dari firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

'Dan tidaklah kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam'.(Al-Anbiya’:107)

Sebagai seorang Rasul yang diutuskan, darjat ketinggiannya mengatasi pemimpin-pemimpin yang lain. Baginda bersifat maksum iaitu terpelihara dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Maka kerana itu, arah dan tujuan yang di bawanya untuk seluruh umat manusia ini adalah benar dan terjamin. Baginda memimpin umatnya ke jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T. iaitu agama Islam. Kini Baginda s.a.w. sudah tidak ada lagi di dunia ini, tetapi umatnya tetap dijamin tidak akan sesat selama mana mereka berpegang dengan pusaka tinggalannya iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Melalui dua sumber ini umat Islam sentiasa terpimpin dalam menghadapi kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini.

Dalam menyampaikan ajaran dan perintah dari Allah, Baginda juga memperlihatkan contoh-contoh teladan yang sangat baik untuk diikuti oleh umatnya. Berkenaan hal ini Allah S.W.T. telah berfirman:

‘Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).' (Al-Ahzab: 21)

Nabi Muhammad s.a.w bukan sahaja sebagai seorang pendakwah yang menyebarkan ajaran Islam, tetapi baginda juga merupakan seorang pemimpin teragung yang perlu dijadikan contoh kepada pemimpin lain. Baginda telah dilantik menjadi pemimpin sejak kecil lagi dimana baginda telah diberi tanggungjawab yang amat besar bagi seorang kanak-kanak untuk mengembala kambing.

Dari pengalaman itu, secara tidak langsung telah melatih baginda menjadi seorang pemimpin. Baginda telah berjaya menyelesaikan pelbagai permasalahan yang timbul. Sebagai contoh, baginda telah berjaya menyelesaikan pertikaian siapa yang akan meletakkan semula batu Hajarul Aswad ke tempat asalnya ketika berlaku banjir besar di Mekah. Baginda bijak menyelesaikan pertelingkahan diantara ketua-ketua puak yang berebut-rebut untuk meletakkan hajarul aswad ke tempatnya. Dari peristiwa itu, Rasulullah telah digelar penduduk mekah sebagai Al-Amin. Baginda juga mempunyai kebijaksanaan termasuk berniaga sehingga Khadijah tertarik kepada baginda untuk menguruskan perniagaannya. Baginda jujur dalam urusan jual beli dan menyebabkan perniagaan Siti Khadijah berkembang maju.

Rasulullah s.a.w menghadapi pelbagai kesukaran dalam menyebarkan agama Islam. Baginda telah menempuhi pelbagai tentangan daripada pelbagai masyarakat. Rasulullah s.a.w merupakan seorang pemimpin yang bijaksana. Baginda telah merangka strategi menyebarkan ajaran Islam dengan berhijrah ke Madinah setelah penduduk Quraisy Mekah menentang dan ingin membunuh baginda.

Semasa di Mekah, beberapa orang suku kaum Khazraj iaitu penduduk Madinah telah membuat perjanjian Aqabah pertama dengan Rasulullah s.a.w. Selepas mereka kembali ke Madinah, mereka menyebarkan Islam kepada penduduk Madinah. Pada tahun berikutnya (621 Masihi), beberapa orang suku kaum Aus dan Khazraj menemui baginda lagi dan membuat Perjanjian Aqabah yang kedua. Antara perjanjian yang di buat oleh kaum Aus dan Khazraj ialah berjanji membantu baginda ketika hijrah,meninggalkan amalan jahiliah seperti minum arak, berjudi dan sebagainya. Selepas perjanjian itu, Rasulullah s.a.w telah menghantar Mus’ab bin Umair ke Madinah untuk menyebarkan Islam. Dari peristiwa inilah membuktikan Rasulullah s.a.w sebagai pemimpin yang unggul dan bijaksana mengatur strategi.

Rasulullah SAW mempunyai peranan yang sangat besar dalam pembentukan masyarakat Madinah. Pembentukan Madinah mempunyai perkara yang tersirat iaitu sebagai medium untuk menyatukan penduduk Madinah yang selama ini bermusuhan. Rasulullah telah membina masjid yang pertama ketika berhijrah di Madinah iaitu Masjid Kuba’. Rasulullah telah menjadikan masjid sebagai tempat pertemuan umat Islam. Segala aktiviti dan musyawarah akan dilakukan di masjid. Secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim dan menguatkan perpaduan umat Islam.



Selepas Rasulullah s.a.w dan orang muhajirin Mekah berhijrah ke Madinah, baginda telah mewujudkan perlembagaan terlebih dahulu sebelum menubuhkan negara iaitu Piagam Madinah. Piagam Madinah ini mencatatkan mengenai tanggungjawab ketua Negara dan rakyat. Piagam ini mendapat persetujuan orang Islam dan bukan Islam. Piagam Madinah merupakan perlembagaan bertulis pertama digubal di dunia. Antara kandungan Piagam Madinah ialah Rasulullah s.a.w sebagai pemimpin semua penduduk Madinah dan menjadi ketua hakim berlandaskan musyawarah dan adil. Tidak ada paksaan memeluk Islam, penduduk Madinah bebas untuk memilih dan mengamal agama tanpa gangguan penganut lain. Masyarakat Madinah hendaklah bersatu-padu dan bekerjasama tanpa mengira bangsa.

Undang-undang Islam dilaksanakan secara menyeluruh tetapi peraturan kaum atau keluarga yang sesuai dengan Islam boleh diamalkan. Hukuman bagi penduduk yang melakukan kesalahan adalah adil. Riba dan penindasan adalah dilarang Semua penduduk Madinah diwajibkan mempertahankan kedaulatan Negara dan mempunyai semangat cinta akan negara sekiranya Negara diancam oleh musuh. Bagi orang yahudi, mereka mempunyai hak yang sama dengan penduduk Islam Madinah yang lain seperti hak kebebasan, hak keselamatan dan sebagainya selagi mematuhi piagam Madinah. Dengan wujudnya perlembagaan ini, Madinah telah berkembang menjadi sebuah Negara yang maju dan agama Islam telah menjadi kuat.



Setelah Madinah maju, Rasulullah telah membuka semula kota Mekah setelah hampir lapan tahun di Madinah. Peristiwa pembukaan kota Mekah ini bermula apabila Rasulullah SAW serta muhajirin yang amat merindui Mekah ingin melakukan Umrah. Sebagai menunjukkan kesungguhan hasrat mereka semata-mata untuk mengerjakan umrah, Nabi Muhammad s.a.w mengutus Saidina Uthman al-Affan untuk berunding dengan pembesar Mekah.

Peristiwa itu membawa kepada perundingan di antara Nabi Muhammad dengan utusan Quraisy, Suhail bin ‘Amr yang akhirnya membawa kepada pemeteraian perjanjian Hudaibiyah. Antara isi kandungan perjanjian itu ialah umrah ditangguhkan ke tahun depan, orang Islam diberi masa tiga hari saja untuk menyempurnakannya serta tidak dibenarkan membawa senjata kecuali pedang yang bersarung. Kedua-dua pihak juga bersetuju menguatkuasakan gencatan senjata selama 10 tahun dan bebas membuat perjanjian dengan sesiapa saja. Pelarian Muslim yang berasal dari Makkah hendaklah dipulangkan ke Makkah, manakala orang Islam yang berpaling tadah tidak perlu dikembalikan ke Madinah. Walaupun perjanjian bertulis itu memberi banyak kelebihan kepada pihak musuh namun ianya memberi kesan yang baik terhadap perkembangan Islam.

Perjanjian Hudaibiyah membuka jalan menuju Makkah dan membuka peluang untuk berdakwah ke seluruh pelosok Tanah Arab. Pembukaan ini ialah strategi jangka panjang Rasulullah dalam menyebarkan Islam kerana penguasaan Mekah akan memantapkan Islam. Selepas pembukaan Kota Mekah, Islam disebarkan keseluruh Tanah Arab sehinggalah ke Negara Parsi (Iran).

Rasulullah s.a.w telah memainkan peranan yang amat penting dalam penyebaran Islam di seluruh dunia. Hari ini, kita dapat merasai nikmat Islam dengan kebijaksanaan Rasulullah dalam merangka strategi penyebaran Islam. Allah s.w.t telah merakamkan di dalam Al-Quran mengenai Rasulullah sebagai tokoh yang terbaik dan termasyur.

Pada hari ini, pelbagai kemajuan dan kejayaan telah dicapai dunia dalam pelbagai bidang seperti bidang sains dan teknologi. Manusia kini dapat menikmati kemudahan dan kesenangan dengan terciptanya pelbagai teknologi. Sungguhpun perkembangan sains dan teknologi pesat membangun, namun ajaran Islam tetap dilaksanakan seiring dengan perkembangan semasa. Pada hari ini juga, kita dapat melihat dakwah yang telah dilakukan Rasulullah pada masa dahulu berkembang luas dengan peningkatan penduduk dunia yang memeluk Islam yang dianggarkan berjumlah melebih 1 bilion orang. Ini kerana dakwah dapat disebarkan dengan meluas dan menyeluruh dengan kehadiran teknologi seperti internet ,media massa dan media cetak.

Kesimpulannya, agama Islam telah tersebar luas keseluruh dunia dan kepimpinan Rasulullah telah menjadi contoh dan ikutan pemimpin masa kini untuk mentadbir sesebuah Negara dengan lebih berkesan. Sesungguhnya, tiada insan yang teristimewa di dunia ini melainkan junjungan besar Muhammad Rasulullah s.a.w. Kepimpinan Rasullullah s.a.w lebih hebat cabaran dan dugaannya berbanding dengan kepimpinan masa kini yang kita dapat lihat lebih banyak bergantung terhadap kemodenan teknologi .

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...