Hot Stuff

Wednesday, December 14, 2011

:: Gotong Royong Di Ambang Kepupusan ::

Oleh : Prof Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin
Sumber : I Luv Islam

Buat sekian lamanya, para penduduk Taman Persaudaraan Jaya terpaksa menghadapi kesesakan untuk bersolat Jumaat di Surau Kerjasama yang ternyata begitu kecil untuk menampung jemaahnya yang ramai. Namun masing-masing tersenyum kegembiraan selepas solat Jumaat apabila Pengerusi Jawatan Kuasa Penaja Masjid Ukhuwah mengumumkan bahawa Masjid Ukhuwah, Taman Persaudaraan Jaya telah pun siap dibina dan akan dirasmikan oleh Dato Mufti pada hari Ahad yang akan datang.Para penduduk diminta hadir ke majlis gotong perdana pada hari Sabtu pagi, sehari sebelum majlis perasmian pada hari Ahad berikutnya.'Gotong Royong Perdana' dijadualkan bermula seawal jam 8 pagi hari Sabtu tersebut.

Namun menjelang jam 11 pagi, tercerna tanda gusar dan kegelisahan di air muka Imam Tua. Peluh sejuk menitis deras kerana hanya 3 orang ahli kariah yang hadir untuk bergotong-royong. Kerja-kerja yang perlu dilunaskan masih terlalu banyak dan begitu berat untuk dipikul oleh mereka berempat yang hadir.  Imam Tua tidak punyai banyak pilihan melainkan dengan menghubungi Imam Muda, AJK Masjid, Ketua Kampung dan ahli kariah yang lain yang belum nampak batang hidung mereka. Panggilan Imam Tua dijawab dengan pelbagai jawapan dan alasan :-

Imam Muda : Maaf Tuan Imam, mungkin mesej tak sampai kepada orang ramai. Boleh Tuan Imam hantar semula sms kepada semua ahli kariah yang lain?

Ketua Kampung : Maaf Tuan Imam, saya akan datang tengahari nanti sebab sekarang ada majlis kenduri anak saudara sepupu.

Ketua Belia 5B :  Tuan Imam sepatutnya umum di FB, saya tak ingat ada atau tidak dapat jemputan gotong-royong ni.

Dato Farid :  Itulah Tuan Imam, saya sibuk dan awal-awal lagi saya dah bangkang cadangan gotong-royong ni. Zaman sekarang ni gotong-royong dah tak sesuai lagi. Bagaimana kalau saya cadangkan Imam buka tender untuk kemaskan masjid kita, ok tak Tuan Imam...?

Haji Leman :  Maaflah Tuan Imam, saya ni dah tua. Ajaklah ahli jemaah yang muda-muda untuk bantu.

Datin Fatimah :   Maaf ye Tuan Imam, kami kaum wanita sibuk. Gotong-royong ni sepatutnya kerja orang lelaki. Di mana orang-orang lelaki di Taman Persaudaraan Jaya ni...?

Menjelang jam 4 petang, Imam Tua semakin kepenatan. Tambah lagi dengan kerisauan bahawa Dato' Mufti akan merasmikan masjid baru keesokan paginya. Keringat sejuk semakin pantas berguguran dan  mula membasahi baju dan seluarnya. Dadanya yang lapang tiba-tiba dirasakan sempit, Imam Tua mula sesak nafas dan akhirnya terduduk menahan sakit. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Imam Tua berpesan agar ahli kariah mengambil berat mengenai masa depan Masjid Ukhuwah yang mereka rancangkan bersama.

Bilal yang bergegas datang untuk melaungkan azan segera mengumumkan pemergian Imam Tua selepas melaungkan azan dan Imam Muda pula pantas ke Masjid Ukhuwah untuk mengimami solat jenazah tersebut. Manakala ahli kariah yang lain terus berpusu-pusu memberikan penghormatan terakhir sambil bercerita mengenai pelbagai jasa dan kebaikan Imam Tua yang menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika bergotong royong. Namun kini segala-galanya hanya tinggal sebagai kenangan.

Amalan gotong-royong merupakan suatu tradisi Melayu yang telah diwarisi daripada nenek moyang kita. Bergotong-royong bermaksud melakukan sesuatu pekerjaan secara beramai-ramai dan secara sukarela. Pada satu ketika dahulu, semangat bergotong-royong adalah begitu kental di kalangan masyarakat kita. Seluruh masyarakat kampung akan menghulurkan pertolongan, tidak kira sama ada kematian, kenduri-kendara, musim menanam dan menuai atau semasa mendirikan rumah.

Faedah dari tradisi gotong-royong:

1.Apabila kita bergotong-royong, kerja yang berat akan menjadi ringan dan kerja yang susah akan menjadi senang.
2.Bergotong-royong memupuk persahabatan dan ukhuwah serta akan bertindak sebagai jambatan masyarakat atau jamaah yang sejahtera. Setiap ahli akan mengamalkan hidup bagai aur dengan tebing.
3.Kerja bergotong-royong dapat menjimatkan wang kerana ianya adalah percuma dan kerja juga akan disiapkan di dalam masa yang pantas.

Namun kini, semangat gotong-royong ternyata kian luntur selaras dengan perubahan zaman. Keutamaan hari ini sudah berubah berbanding masa dahulu. Kepentingan berjiran tidak ada kerana kita tidak nampak kesan baik di depan mata, sebaliknya masyarakat lebih suka pada apa yang mereka nampak. Salah satu lagi sebabnya juga apabila ianya dikaitkan dengan masyarakat kini yang lebih bersifat individualistik dan materialistik.

Saya berpandangan bahawa kita semua bertanggungjawab untuk menyuburkan semula tradisi Melayu dan budaya Islam ini. Semangat kekitaan ini perlu dipupuk dalam kalangan semua lapisan masyarakat dan hidup berjamaah tanpa mengira sama ada mereka tinggal di kawasan perumahan kos rendah, di perumahan elit, di bandar atau di perkampungan, berjawatan tinggi atau pun kelas pertengahan. Dengan menyebarkan konsep kejiranan dan kekitaan ini, secara tidak langsung, semangat gotong-royong juga dapat dipupuk samada di kawasan perumahan kita dan juga di dalam amalan hidup secara berjamaah. Organisasi yang hebat, juga tampak sukar untuk berjaya mencapai misi dan visinya tanpa semangat tolong-menolong dan bergotong-royong yang tinggi.

Mari kita insafi firman Allah swt yang bermaksud:-
"Bertolong-tolonganlah kamu dalam kebaikan dan takwa dan jangan bertolong-tolongan dalam kejahatan dan permusuhan." - Surah Al-Maidah (Ayat 2)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...