Hot Stuff

Saturday, December 17, 2011

:: Berkahwin Ketika Belajar ::



Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a berkata: “Ketika kami muda, kami berada bersama-sama Nabi s.a.w dan kami tidak mempunyai apa-apa harta. Baginda berkata kepada kami: “Wahai para pemuda! Jika kamu mampu hendaklah kamu berkahwin, sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu hendaklah berpuasa kerana berpuasa itu adalah pendinding baginya.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Norma masyarakat kita, tamat pengajian dan bekerja beberapa tahun dulu baru mendirikan rumah tangga. Namun, kini semakin ramai pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berkahwin ketika belajar terutama dalam kalangan penuntut pengajian Islam dan mereka yang belajar di luar negara.

Sememangnya memenuhi tuntutan agama itu pada usia muda memberi banyak manfaat terutama untuk menghalalkan hubungan daripada terjebak dengan budaya couple yang boleh mengundang maksiat.

Melangsungkan perkahwinan pada cuti semester menjadi pilihan kebanyakan pelajar yang mengambil keputusan kahwin awal.

Dengan restu dan sokongan ibu bapa, niat baik mereka dipermudahkan walaupun berdepan pelbagai cabaran. Pelajar terpaksa membuat persiapan saat akhir kerana perlu menduduki peperiksaan dan bersengkang mata membuat kerja sampingan bagi memastikan bajet mencukupi.

Antaranya, pasangan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Azwan Fadhli Muhamad, 24 dan Azizan Mohd Zan, 23 yang sah bergelar suami isteri apabila menjalani akad nikah, baru-baru ini di Klang.

Mohd Azwan berkata, beliau berhasrat mengikut hubungan suci itu sejak tahun lalu, bagaimanapun perlu beberapa kali berjumpa keluarga pasangannya untuk meyakinkan mereka mengenai hasrat murninya itu.

Katanya, perancangan awal memeterai ikatan itu pada Mei lalu, setelah bertunang Februari lalu, bagaimanapun tarikh itu ditunda kepada cuti semester bulan ini kerana faktor kewangan dan tuntutan pengajian.

“Sejak mengenali Azizan yang juga sama kelas bagi mata pelajaran Khat, saya bercadang berkahwin awal. Saya yakin keputusan mendirikan rumah tangga pada usia muda pastinya membawa berkat.

“Melihat ramai rakan di universiti yang berkahwin ketika belajar bertambah terurus hidup mereka, mendapat keputusan akademik lebih baik. Mereka juga bijak mengurus masa serta lebih bertanggungjawab. Senario ini meningkatkan keyakinan saya untuk meneruskan hasrat ini.

“Keputusan menangguhkan perkahwinan juga bagi menghormati permintaan ibu mentua yang mahukan anaknya tamat pengajian sekurang-kurangnya pada peringkat ijazah Jun lalu sebelum meneruskan pengajian al-Quran dan Sunnah peringkat sarjana bermula 13 Disember lalu,” katanya.

Mohd Azwan yang kini mengikuti pengajian tahun akhir ijazah Sains Seni Bina berkata bagi menanggung kos perbelanjaan perkahwinan kira-kira RM15,OOO, beliau mengambil upah projek seni reka grafik dan fotografi sementara pasangannya menjadi guru tadika serta mengadakan kelas tuisyen sebagai pekerjaan sampingan.

Sementara itu, Azizan berkata, persefahaman antara pasangan dengan keluarga memudahkan persiapan perkahwinan termasuk mengambil langkah berjimat cermat.

“Memahami situasi kami yang sama-sama belajar dan belum ada pendapatan tetap keluarga tidak meletakkan nilai hantaran terlalu tinggi dan pemilihan barang hantaran juga berpatutan.

“Kad jemputan perkahwinan kami siap sebulan sebelum majlis kerana dibuat sendiri Mohd Azwan yang perlu menunggu tamat peperiksaan pada awal bulan lalu sebelum menumpukan sepenuhnya pada persiapan perkahwinan.

“Tarikh majlis bertandang bagi sebelah keluarga lelaki juga belum ditetapkan kerana perlu memikirkan soal peruntukan kewangan untuk majlis itu serta memberi keutamaan kepada pengajian semester baru bermula,” katanya.

Mengenai perancangan selepas berkahwin, Azizan berkata, mereka terpaksa tinggal berasingan di kolej kediaman masing-masing selama dua bulan sebelum menyewa rumah berhampiran UIAM.

“Kami akan terus melakukan kerja sampingan untuk menyara hidup selepas berkahwin dan pada masa sama memastikan kecemerlangan akademik supaya dapat terus menikmati kemudahan biasiswa.

“Walaupun hidup serba sederhana, lebih utama kami menghalalkan hubungan dan percaya Allah SWT sentiasa membuka pintu rezeki bagi kami. Petanda sudah ada kerana Mohd Azwan ditawarkan jawatan artis grafik sambilan daripada sebuah syarikat baru-baru ini,” katanya.
Dalam surah An-Nur ayat ke 32 terjemahannya:
Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...