Hot Stuff

Saturday, December 10, 2011

:: Manusia Akan Menemui Satu Titik ::


Sumber : I Luv Islam

Manusia akan menemui titik akhir keseronokan dalam kehidupan, dan mula mencari kebahagiaan atau 'sakinah' sebenar dalam kehidupan apabila Sang Pencipta memberi cahaya hidayah-Nya dalam mencari hakikat kebenaran. Kebanyakan mereka yang berhijrah pasti merasai injakan perubahan yang mereka alami, dan mereka yang masih kekal dalam kebahagian dunia pasti merasa hairan tentang perasaan yang tidak mungkin dapat diungkapkan dengan bait perkataan.
Ibrah Dari Kisah Seorang Sahabat
Dari jauh aku lihat dari kejauhan. Lagaknya seperti aku pernah mengenalinya suatu masa dahulu, namun aku kurang pasti sama ada dia adalah insan yang ku kenali dahulu. Lalu tanpa sedikit rasa malu, aku mendekatinya dan menegurnya."Assalamualaikum". Lelaki berkenaan berpaling kepadaku lantas menyambut salamku."Wa'alaikumussalam". Aku kaget, benarlah dia adalah kenalan ketika di universiti dahulu. Subhanallah.Sungguh aku terkesima dengan kebesaran Allah Yaa Rabbul Izzati.
Masakan aku tidak terkejut, peribadinya sangat berubah, tutur katanya, akhlaknya. Benarlah bahawa ini tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Rozmi (bukan nama sebenar) merupakan antara kenalan ketika aku di Universiti dahulu, pada awal perkenalan dia sangat terkenal dengan sikap yang suka melawak, percakapannya yang sangat kasar, bertukar-tukar teman wanita dan baginya Islam itu hanya agama yang dianuti sejak lahir dan tidak lebih sekadar dari itu. Jangan ditanyalah tentang tuntutan agama, jauh sekali. Kalau dahulu bahasa gurauan kami "Kalau Rozmi solat, tanda nak kiamat lah" dan diiringi dengan gelak sorak rakan-rakan lain. Apabila masing-masing bergraduat, sejak itu kami terputus hubungan,dan hari ini Allah menemukan kami dalam situasi yang diluar jangkaan.
Kami meluangkan masa hampir sejam di kedai minum. Sungguh aku cukup kagum dengan dia. Antara kata-kata yang cukup terkesan adalah,"Manusia ini akan menemui satu titik, titik untuk mencari hakikat kebahagian sebenar". Sungguh aku antara insan yang sangat gembira, benarlah firman Allah:

Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan,nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu.Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.- Surah Al-Baqarah (Ayat 284)
Mungkin insan yang kita lihat kini, bergelumang dengan maksiat tetapi kita masih tidak tahu pengakhiran hidupnya. Tiada yang mustahil Allah memberi keampunan pada akhir hayatnya dan ini bukanlah sesuatu yang mustahil bagi Allah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...