Hot Stuff

Wednesday, December 21, 2011

:: Bercermin Dengan Sang Syahid ::


Oleh : Abu Ridhwan

Hari ini marilah kita mulai dengan mengevaluasi diri, apakah kita memang sudah benar-benar menjadi Islam dan mukmin sebagaimana yang Allah kehendaki dan bukannya sebagaimana yang kita kehendaki. Jangan-jangan, baru sebatas khayalan dan angan-angan kosong belaka. Inginkan syurga, tetapi tidak siap menggadaikan diri, harta dan jiwa untuk Islam. Firman Allah SWT:

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar.” (‘Ali Imran:142).

Apakah sukar bagi kita pada hari ini untuk menjadi pemuda yang komited dengan Islam? Setiap kita ada cabaran masing-masing yang dihadapi, namun janganlah pernah kita berundur dari menjadi pemuda rabbani, yang tetap teguh berjuang memelihara maruah Islam dan umatnya. Marilah kita bercermin, bukankah kita sering bercermin? Kita berhias di depannya, memperindah tampilan dan menghapus keburukan. Mengapa kita begitu percaya terhadap cermin yang pasif? Pernahkah kita bayangkan jika cermin itu adalah orang lain yang menatap kita, atau kita yang menatap orang lain, seburuk apakah kita di hadapan orang yang baik, atau apa yang kurang dari kebaikan kita di hadapan orang yang lebih baik? Dapatkah kita jujur mengakui kekurangan? Sungguhkah kita mahu memperbaikinya bukan? Allah SWT berfirman, ertinya:

“Apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman.” mereka menjawab: “Akan berimankah kami sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?” Ingatlah, Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh; tetapi mereka tidak tahu.” (Al Baqarah: 13)

Buat seketika dalam kesibukan kita seharian, marilah kita bercermin, kita berguru dari salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang telah mencontohkan kepada kita bagaimana seharusnya pemuda Islam beraksi! Moga-moga cerminan peribadi luhur dari sahabat mulia ini mampu menyedarkan kita betapa pada diri pemuda memiliki seribu kekuatan yang dapat diberikan kepada Islam.

Beliau bernama Zaid bin Haritsah RA. Saat berusia 8 tahun, beliau dibawa keluar oleh ibunya Sa’diy binti Tha’labah untuk menziarahi kaumnya Bani Ma’n. Semasa mereka di dalam perjalanan iaitu ketika hampir sampai kepada kaum mereka, mereka diserbu oleh pasukan berkuda Bani Al-Qain, kemudian pasukan tersebut merampas harta, unta dan menawan kanak-kanak. Semasa menjadi tawanan, beliau telah di bawa ke pasar Ukaz di Mekah, dijual kepada seseorang dari Quraisy yang bernama Hakim bin Huzam bin Khuwailid, kemudian dihadiahkan kepada ibu saudaranyanya Khadijah binti Khuwailid. Pada waktu itu, Khadijah RA telah menjadi isteri Muhammad bin Abdullah. Selanjutnya Khadijah menugaskan Zaid sebagai pelayan bagi Muhammad. Baginda pun menerimanya dengan senang hati, lalu segera memerdekakannya. Dengan peribadinya yang besar dan jiwanya yang mulia, Zaid diasuh dan dididiknya dengan segala kelembutan dan kasih sayang seperti anaknya sendiri. Setelah Rasulullah SAW diangkat menjadi Rasul, Zaid turut ikut masuk Islam dan menjadi orang kedua yang masuk Islam, bahkan Rasulullah SAW sangat mencintai dan menyayangi beliau.

Zaid sentiasa berdamping bersama Rasulullah SAW.  Nabi juga sering mengajak Zaid ke mana sajaha baginda pergi berdakwah. Ketika baginda pergi ke Tha’if, Nabi mengajak Zaid untuk menyebarkan agama kebenaran. Saat itu orang-orang Thaif di tengah perjalanan menganiaya Nabi SAW. Malah mereka berbaris disepanjang jalan keluar ke Ta’if, untuk melontar Rasulullah dengan anak-anak batu disertai maki cerca dan sumpah hamun yang tak terperi, hingga pecah dan luka-luka kaki Baginda, darah melumuri kasut Baginda manakala Zaid bin Harithah pula membentengkan badan Rasulullah dengan dirinya hingga luka kepalanya.

Mencintai Rasulullah SAW.

Ternyata antara sahsiah Zaid yang boleh kita ikuti adalah rasa kecintaannya kepada Rasulullah SAW. Beliau amat mencintai Nabi dan sentiasa mempertahankan Nabi sebagai tanda beliau cinta dan sayang kepada Rasulullah SAW. Begitu jugalah seharusnya kita para pemuda Islam perlulah sentiasa menzahirkan rasa kecintaan kita kepada Rasulullah SAW dalam setiap kehidupan kita. Mengenal Nabi semata tidak cukup bahkan menuntut kita untuk menzahirkan kecintaan kita kepada baginda SAW dengan sentiasa menjadi pengikut Nabi yang setia dan komited dengan Islam dan dakwah Islamiyyah. Zaid sentiasa menyertai misi dakwah baginda SAW.  Maka kita juga perlu terlibat sama dalam misi dakwah dalam setiap kehidupan kita. Apakah ada lagi kerja yang lebih mulia selain menyeru manusia kepada kebenaran? Janganlah kita melihat kerja dakwah adalah kerja para ustaz dan alim ulama semata. Sebaliknya ikutlah jejak Zaid, menjadi generasi pemuda yang mendokong dakwah, sentiasa dekat dengan kebenaran. Marilah kita menjadi pendokong dakwah dan membina diri kita sehingga mampu menjadi model dakwah, tidak semestinya dengan berkata-kata, tetapi cukup dengan bersahsiah dan berperibadi mulia. 

Dalam sebuah majlis, Rasulullah SAW pernah ditanya para sahabat. ”Ya Rasulullah, apa ciri-ciri peribadi Muslim?” Rasulullah menjawab, ”Ciri-ciri Muslim itu, apabila dia melihat kamu, maka dia mendekat kepadamu, kemudian dia menyegerakan salam. Lalu kau lihat tampak pada wajahnya selalu tersenyum. Lalu, dia akan lebih awal menhulurkan tangannya untuk bersalaman. Kalau kau dekat dengan dia, kau mencium wanginya. Kalau kau bicara dengan dia perhatikan baik-baik, pasti dia mengajakmu selamat dunia akhirat. Mahu berbicara tentang apa saja, pada akhirnya mengajak kamu selamat di akhirat. Kalau berurusan dengannya, dia permudah. Itulah ciri-ciri peribadi Muslim.” (Muttafaq ‘Alaih)

Mu’tah Menjadi Saksi Keperwiraannya

Tidak “jantan” sekiranya pada diri pemuda tidak miliki semangat keperwiraan. Zaid bin Haritsah merupakan seorang panglima perang yang gagah berani, dan terbaik dalam membidik panah. Beliau juga terlibat dalam perang Badar, dan menjadi perisai terhadap tubuh Nabi saat perang Uhud, bahkan beliau ikut serta dalam perang Khandak, perjanjian Hudaibiyah, penaklukan Khaibar, dan perang Hunain, dan Rasulullah SAW telah melantik Zaid sebagai panglima dalam 7 kali perang : Al-jumu’, Al-thorf, al-‘aish, hismi dan lain-lainnya.

Aisyah pernah berkata tentangnya : “Rasulullah SAW tidak pernah sama sekali mengutus bala tentera kecuali mengangkat Zaid sebagai panglimanya”.

Saat tentera Romawi mengubah perbatasan negara Islam dan menjadikan Syam sebagai pusat pemerintahan mereka, Rasulullah SAW mengirim pasukan ke daerah Balqo di bahagian negara Syam, dan memberikan wasiat kepada para perajuritnya setelah menunjukkan Zaid bin Haritsah sebagai pemimpin pasukan, baginda bersabda:

“Kalian harus patuh kepada Zaid bin Haritsah sebagai pimpinan, seandainya ia gugur pimpinan dipegang oleh Ja’far bin Abi Thalib, dan seandainya Ja’far gugur pula, maka tempatnya diisi oleh Abdullah bin Rawahah. Jika semua gugur maka musyawaralah siapa yang pantas di antara kamu sekalian”.

Setelah pasukan muslim berjalan dan saat tiba berhampiran kota yang bernama Mu’tah, pasukan muslim bertemu dengan pasukan Romawi yang jumlahnya melebihi 200 ribu tentera, hingga terjadilah peperangan yang sangat sengit. Panglima Zaid bin Haritsah terus maju menyerbu, memberikan arahan kepada pasukannya, membelah barisan tentera musuh. Beliau yakin bahawa maut telah menanti di tempat itu. Tetapi Zaid tidak gentar dan tidak mundur selangkah pun dari menghadapi maut, dia terus maju menebas leher-leher musuhnya.

Seluruh pasukan Islam kala itu memperlihatkan bagaimana Zaid bin Haritsah menjadi pahlawan di medan perang Mu’tah. Zaid terus melakukan serangan dengan sekuat tenaga. Hingga akhirnya Zaid terkena banyak tusukan tombak dan senjata dari pihak tentera musuh, beliau pun terbunuh sebagai syahid. Zaid bin Haritsah gugur sebagai syuhada pada Jumadil Awal 8 Hijrah, saat itu berusia 55 tahun.

Peperangan Mu’tah merupakan peristiwa yang amat mengharukan bagi pasukan Islam; tiga pahlawan Islam gugur di tengah-tengah pertempuran sesudah masing-masing memimpin pasukan Islam yang jumlahnya tidak seimbang tersebut. Jumlah tentera Islam adalah 3000 orang manakala pasukan kafir berjumlah 200 ribu orang. Namun dengan izin Allah SAW  tentera Islam mencapai kemenangan bersejarah dalam peperangan tersebut.

Imam Ibnu Katsir mengungkapkan ketakjubannya terhadap kekuasaan Allah SWT melalui hasil peperangan yang berakhir dengan kemenangan kaum muslimin dengan berkata, “Ini kejadian yang menakjubkan sekali. Dua pasukan bertarung, saling bermusuhan dalam agama. Pihak pertama pasukan yang berjuang di jalan Allah SWT , dengan kekuatan 3000 orang. Dan pihak lainnya, pasukan kafir yang berjumlah 200 ribu pasukan. 100 ribu orang dari Romawi dan 100 ribu orang dari Nashara Arab. Mereka saling bertarung dan menyerang. Walau sedemikian sengitnya pertempuran itu, hanya 12 orang yang terbunuh dari pasukan kaum muslimin, padahal, jumlah kematian dari kaum musyirikin sangat ramai.”

Allah SWT berfirman:

“Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata, “Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah? Dan Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 249)

“Sesungguhnya Allah telah membeli jiwa dan harta orang-orang Mukmin dengan syurga sebagai imbalannya.” (at-Taubah: 111)

Indahnya Kehidupan Bersama Islam

Alangkah bahagianya jika kita ditakdirkan lahir dan berada pada zaman kegemilangan Islam bersama dengan Rasulullah SAW. Ini kerana kita dapat berjuang, belajar secara langsung daripada Baginda, dapat melihat wajahnya serta boleh berkomunikasi secara langsung dengannya apabila menghadapi sesuatu masalah. Saat itu juga pasti indah dalam hidup kita kerana dapat bersahabat dengan para sahabat RA yang sentiasa menjadikan hidup mereka bermakna di sisi Allah SWT. Namun ianya hanyalah khayalan semata. Saat ini kita hanya mampu belajar dari serah kehidupan mereka yang luarbiasa. Zaid bin Haritsah telah menemui syahidnya di jalan Allah SWT dan telah lama meninggalkan kita. Namun beliau telah mengajarkan kepada kita erti hidup bagi seorang pemuda Islam. Sejak seusia muda lagi beliau komited dengan perjuangan Islam. Beliau menjadi tulang belakang dan dan barisan hadapan perjuangan Islam. Beliau menyediakan dirinya untuk diurus oleh Islam dan untuk memajukan dakwah Islam. Beliau telah menyerahkan dirinya untuk Islam. Bahkan sebelum beliau syahid, beliau telah mendidik anaknya sehingga menjadi pemuda Islam yang hebat juga seperti dirinya iaitu Usamah bin Zaid bin Haritsah yang mendapatkan julukan al-Hub ibnul-Hub. Semoga kita dapat mengikuti jejak langkah Zaid bin Haritsah, mencintai Nabi SAW dan berjuang untuk Islam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...