Oleh : Abu Ridhwan
Sumber : http://langitilahi.com
Persoalan cinta dan kahwin merupakan tajuk perbincangan yang paling disukai oleh remaja dan belia. Mengapa manusia suka dengan cinta dan mahu berkahwin? Sudah tentu mahu mengecapi kebahagiaan. Ada yang bercinta hangat tapi tidak sampai ke jinjang perkahwinan. Ada yang mengenal cinta selepas perkahwinan dan tetap bahagia. Ada juga yang bercinta kemudian berkahwin dan kemudian berpisah (bercerai). Ada juga yang bercinta dan berkahwin dan terpaksa berusaha mempertahankan alam perkahwinan demi anak-anak yang semakin membesar.
Perkahwinan adalah Kemuliaan
Pernikahan adalah fitrah manusia, maka jalan yang sah untuk memenuhi keperluan ini adalah dengan aqad nikah. Bukan dengan cara yang amat kotor lagi menjijikan seperti cara-cara orang zaman sekarang seperti “couple” haram sana sini kononnya untuk menyuburkan perasaan cinta dan membina sifat saling faham memahami, akibatnya terlanjur sehingga berzina, ada juga yang terlibat dengan lesbian atau homoseksual kerana sayang sesama sejenis, semua jalan ini telah menyimpang jauh dan diharamkan oleh Islam.
Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009. Bermakna 1442 orang sebulan, 48 orang sehari, 2 orang setiap jam. Apa yang mampu kita rumuskan dengan statistik ini? Fikir-fikirkan.
Sasaran utama dari disyariatkannya perkahwinan dalam Islam di antaranya ialah untuk membentengi martabat manusia dari perbuatan kotor dan keji yang telah menurunkan dan merendahkan martabat manusia yang luhur. Islam memandang perkahrwinan dan pembentukan keluarga sebagai jalan efektif untuk memelihara pemuda dan pemudi dari kerosakan serta melindungi masyarakat dari kekacauan.
Rasulullah SAW ada bersabda:
“Wahai para pemuda ! Barangsiapa diantara kalian berkemampuan untuk berkahwin, maka nikahlah, kerana nikah itu lebih menundukan pandangan, dan lebih membentengi farji (kemaluan). Dan barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia puasa (shaum), kerana shaum itu dapat membentengi dirinya”. (Hadith Sahih Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa’i, Darimi, Ibnu Jarud dan Baihaqi)
Pernikahan adalah suatu keberanian untuk bertanggung jawab dan kesediaan untuk berjuang. Justeru dirikanlah rumahtangga kita di atas landasan ibadah dan mengharap redhanya Allah. Bukan sekadar faktor cinta dan suka sama suka lalu berkahwin. Kalau atas faktor ini maka asbab kita berkahwin tidak konkrit dan berkemungkinan akan mudah goyah. Mungkin juga atas faktor nafsu semata. Menurut statistik dari JAKIM, sejumlah 20,259 pasangan suami isteri telah bercerai pada tahun 2007. Bermakna 1488 pasangan bercerai dalam masa sebulan, 56 pasangan bercerai dalam sehari! Mungkinkah mereka ini terlupa bahawa di saat seseorang melaksanakan aqad pernikahannya, maka mereka akan mendapati banyak ucapan doa dari para undangan dengan doa keberkatan sebagaimana diajarkan oleh Rasulullah SAW;
“Semoga Allah memberkahimu, dan menetapkan keberkahan atasmu, dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan.”
Doa ini sarat dengan makna yang mendalam, bahawa perkahwinan seharusnya akan mendatangkan banyak keberkahan bagi pasangan yang berkahwin. Namun malangnya keluarga bahagia yang diharapkan bertukar menjadi konflik rumahtangga.
Justeru amat penting buat para pemuda yang berkeinginan untuk berkahwin mempersiapkan diri anda dengan persiapan yang betul bagi membina sebuah rumahtangga yang islami dan tarbawi (terdidik).
Pertama, meluruskan niat. Pemuda perlu faham untuk apa kita berkahwin. Berkahwin bukanlah sekadar untuk memuaskan keperluan seksual . Perkahwinan merupakan salah satu tanda kebesaran Allah SWT sebagaimana diungkap dalam al-Quran:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (ar-Ruum:21)
Perkahwinan juga merupakan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan sebagaimana ditegaskan dalam salah satu hadith:
“Barangsiapa yang dimudahkan baginya untuk menikah, lalu ia tidak menikah maka tidaklah ia termasuk golonganku” (HR.At-Thabrani dan Al-Baihaqi).
Oleh kerana pernikahan merupakan sunnah Rasul, maka selayaknya proses menuju perkahwinan, tata cara (proses) perkahwinan bahkan kehidupan pasca perkahwinan harus mencontohi Rasul. Misalnya saat hendak menentukan pasangan hidup hendaknya lebih mengutamakan kriteria ad Deen (agama/akhlaq) sebelum hal-hal lainnya (kecantikan/ketampanan, keturunan, dan harta). Dalam proses perkahwinan (walimatul ‘urus) hendaknya juga dihindari perkara-perkara yang berlebihan (membazir), tradisi yang menyimpang (bidaah) dan keadaan bercampur baur (ikhtilath).
Justeru niatkanlah istana perkahwinan kita sebagai ladang amal.
Kedua, persiapan ilmu, khususnya ilmu agama. Menuntut ilmu wajib bagi setiap muslim. Hal ini sesuai dengan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh sekelompok sahabat di antaranya Anas bin Malik RA :
“Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap muslim”
Kita harus berilmu agar selamat hidup di dunia dan di akhirat. Dengan berilmu kita akan tahu mana yang diperintahkan oleh Allah SWT dan mana yang dilarang, atau mana yang disunnahkan oleh Rasul-Nya dan mana yang tidak sesuai dengan sunnah (bidaah).
Dengan ilmu kita tahu tentang hukum halal dan haram, kita mengetahui makna kehidupan dunia ini dan kehidupan setelah kematian iaitu alam kubur, kita tahu kedahsyatan Mahsyar dan keadaan hari kiamat serta kenikmatan jannah dan kengerian neraka dan sebagainya.
Orang yang berilmu akan tahu betapa berat siksa Allah sehingga ia takut berbuat maksiat kepada Allah. Ia akan takut akan ahli keluarganya berbuat maksiat kepada Allah. Dengan itu ia akan mentarbiyah dirinya dan ahli keluarganya dengan tarbiyah Islam dengan bersungguh-sungguh.
Perlu diketahui bahawa sesungguhnya pasangan suami isteri dalam kehidupan berumahtangga akan menghadapi banyak permasalahan dan untuk mengatasinya perlu kepada ilmu. Dengan ilmu, pasangan suami isteri tahu apa tujuan yang akan dicapai dalam sebuah perkahwinan iaitu untuk beribadah kepada Allah SWT, dan dalam rangka mencari redha-Nya semata. Apabila mereka ditimpa masalah dan musibah, dengan ilmu yang benar akan dapat memandu mereka kembali kepada Allah untuk memperbaiki kelemahan dan masalah rumahtangga.
Seorang suami yang kurang ilmu, biasanya hanya bijak bercakap sahaja tetapi kurang beramal. Suami yang sebegini biasanya cenderung bersikap emosional dan mudah marah. Cepat bertindak terburu-buru dan mengikut hawa nafsu. Maka persiapkanlah diri anda dengan ilmu yang bermanfaat. Selain ilmu agama, belajarlah ilmu-ilmu lainnya, seperti psikologi, komunikasi, kesihatan, pengurusan kewangan dan lainnya (jika diperlukan). Walaupun tidak mendalam, setidaknya kita tahu serba sedikit dan dapat membantu mengukuhkan institusi kekeluargaannya.
Ketiga, persiapan untuk menjadi seorang pemimpin rumahtangga. Allah SWT telah menegaskan bagi seorang lelaki menjadi pemimpin dalam rumah tangga, firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’: 34);
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.”
Tugas sebagai seorang pemimpin ini tidak bererti seorang suami lebih tinggi dari yang dipimpin (isteri). Kedudukan hanyalah sekadar pembahagian tugas, dengan beban tanggungjawab yang lebih besar. Seorang suami bertanggungjawab penuh untuk menafkahi dan membimbing isteri serta anak-anaknya agar selamat dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam Surah al-Tahrim ayat 6, maksudnya:
“Wahai orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya terdiri daripada manusia dan batu (berhala)…”
Dr Wahbah Zuhayli ketika mengulas ayat al-Quran ini telah menyatakan bahawa Allah memerintahkan agar kita mendidik diri agar terselamat daripada seksaan api neraka dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Seterusnya kita juga berkewajipan untuk memimpin dan mendidik serta menyuruh ahli keluarga untuk mentaati Allah serta melarang mereka daripada terjebak dalam sebarang perkara maksiat… ‘Nasihatilah mereka serta didiklah mereka supaya kamu dan keluarga kamu terselamat daripada azab api neraka yang besar yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu’ (Dr Wahbah Zuhayli, al-Tafsir al-Munir, 28/316).
Justeru mulailah dengan kemampuan memimpin diri sendiri. Dengan keupayaan ini insyaAllah kita akan mampu memimpin rumahtangga kita kelak.
No comments:
Post a Comment