Hot Stuff

Wednesday, December 28, 2011

:: Cara Islam Menanam Tata Rabbani ::


Oleh: Prof. Dr. Yusuf al-Qharadhawi.
Buku: Al-Khasais al-'Ammah Li al-Islam.

Islam telah berusaha untuk menanamkan tata Rabbani kepada jiwa setiap Muslim di dalam kehidupannya melalui berbagai cara. Cara-cara tersebut ialah:

1. Melalui Jalan 'Ibadah.

Melalui ibadah-ibadah wajib dan ibadat sunat yang digalakkannya iaitu melalui pengulangan solah lima waktu setiap hari. Ia merupakan ruh seperti ruh yang ada pada setiap jasad, Ia sentiasa menemukan setiap orang mu'min dengan Allah S.W.T.Apabila manusia tenggelam dalam permasalahan kehidupannya, maka bangunlah Muazzin melaungkan kalimah Allah Yang Maha Besar, mmempersaksikan bahawa hanyalah Allah S.W.T. Ilah yang ditauhidkan dan Muhammad adalah Rasulullah, mengajak kepada menunaikan solah waktu kepada keme­nangan yang hakiki, maka terangkatlah muslim dari dunianya untuk berhadapan dan mengadap Tuhannya untuk beberapa waktu, yang akan mendorong dirinya untuk menyeru ke arah kebaikan untuk dirinya dan umatnya. Mengangkat dirinya daripada alam kebendaan ke alam keruhanian, daripada keegoan kepada mementingkan orang lain.

Berpuasa sebulan yang diulangi pada setiap tahun juga menanamkan ruh rabbani ke dalam jiwa muslim.Ketika berpuasa semua Muslimin mengharamkan dirinya dari terlalu menurut hawa nafsu sama ada ketika makan minum, hubungan jenis dan juga segala aktiviti kehi­dupannya.

Setiap hari bermula dari terbitnya fajar hingga jatuhnya matahari,merupakan tarbiyyah kepada kemahuan dan kehendak nafsu, melatih muslim untuk menuju taqwa untuk mencapai kesempurnan ibadah kepada Allah S.W.T. dengan sempurna. Allah S.W.T. berfirman dalam sebuah Hadith Qudsi yang bermaksud:

" Puasa itu kepunyaanKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya; hamba yang meninggalkan makanan keranaKu, hamba yang meninggalkan minuman keranaKu, hamba yang meninggalkan isteri keranaKu dan hamba yang meninggalkan kelazatan keranaKu. "

Berzakat iaitu dengan selalu mengeluarkan harta dapat menghapuskan sifat bakhil, membersihkan harta dan jiwanya di samping dapat memupuk rasa syukur kepada Allah S.W.T. di atas segala ni'mat pemberianNya. Firman Allah S.W.T. :

"Ambillah zakat dari sebahagian dari harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan berdo’alah untuk mereka. Sesungguhnya do’a kamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui “
(Surah at-Taubah ayat 103.)

Ia dinamakan zakat kerana ia mengandungi makna pembersihan, penumbuhan dan keberkatan. Manakala perkataan Dharibah (cukai) pula mengandungi makna pemaksaan, kekerasan dan hutang. Dengan demikian tuntutan Islam menunaikan zakat adalah secara suka rela dan redha meredhai serta meminta dengan Allah S.W.T. dengan do'a: "Ya Allah! janganlah jadikan (zakat ini) sebagai barang rampasan tetapi jadikan (zakat ini) sebagai hutang."

Haji pula memisahkan seseorang Muslim dari tanah airnya, mening­gal keluarga dan sanak saudaranya, berhijrah kepada Allah S.W.T., mengorbankan diri dan hartanya, menanggung beban perpisahan dan beberapa kesusahan kerana menunaikan kehendak Allah S.W.T., hingga sampai ke Tanah Suci, iaitu di sana didirikan rumah ibadah yang pertama yang didirikan di muka bumi ini. Di sana terdapat sejarah penghijrahan Nabi Ibrahim a.s. dan pengorbanan Nabi Ismail a.s.. Juga kesan peninggalan Nabi Muhammad S.A.W. dan da'wah kebenaran selepas kewafatan baginda.

Di sana semua orang Islam dari berbagai bangsa dan keturunan meninggalkan sesuatu yang melambangkan gejala-gejala perbezaan, kedudukan dan pangkat, keturunan dan negeri. Mereka memakai pakaian yang seakan-akan kain kafan orang mati, yang mana pakaian itu lebih tinggi kedudukannya lahirnya semasa haji, lalu mengha­lakan segala hati, lisan perasaan dan harapan kepada Allah S.W.T.:"Aku perkenankan seruanMu wahai Tuhanku, aku perkenankan seruanMu, yang tida sekutu bagiMu. Sesunguhnya segala pujian dan nikmat adalah kepunyaanMu dan juga segala pemerintahan, Dan tiada sekutu bagiMu.

Di samping fardhu asasi yang tertentu, yang mana merupakan batasan minima yang mencorakkan hubungan manusia dengan Allah S.W.T., Islam membuka pintu untuk membuat amalan yang baik (nawa­fil), untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan melakukan perkara yang disukaiNya. Antaranya solah-solah sunat di samping solah-solah wajib lima waktu, puasa-puasa sunat di samping puasa wajib Ramadhan, sadaqah-sadaqah di samping zakat yang wajib, haji dan umrah di samping haji dan umrah yang wajib. Di dalam perkara tersebut terjadilah perlumbaan di kalangan yang ingin berlumba-lumba dalam membuat perkara kebaikan dan sifat dahulu mendahuli di kalangan orang-orang yang bertaqwa kepada Allah S.W.T.. Di dalam sebuah Firman Allah S.W.T. yang diriwayatkan di dalam hadith Qudsi yang bermaksud:

"Tiada yang lebih sempurna taqarrub hambaKu kepadaKu kecuali dengan menunaikan fardhu-fardhu yang Aku wajibkan ke atasnya, hambaKu yang sering mendekatkan diri kepadaKu dengan melakukan Nawafil sehingga Aku senangi dan Aku cintai. Apabila Aku telah menyenanginya Aku melindungi pendengarannya yang dengannya ia mendengar, matanya yang denganya ia melihat, tangannya yang dengannya ia mempergunakannya. Jika ia meminta perlindungan Aku memberi perlindungan kepadanya dan jika ia meminta sesuatu Aku memberikan kepadanya. " (Hadith Riwayat Bukhari)

Bukanlah ibadah itu (fardhu atau sunat),hanya menghubungkan seseorang makhluk dengan Khaliknya di saat-saat peribadatannya sahaja, kemudian selepas itu tidak ada lagi hubungan dengan Tuhannya,lalu ia kekal semula di muka bumi mengikut hawa nafsun­ya.

Sama sekali tidak. Peranan ibadat adalah menanamkan Islam di dalam hati nurani orang-orang yang menunaikannya, menanam jiwa taqwa kepada Allah S.W.T. yang Maha Tinggi kedudukanNya, memberi kepadanya bekalan ingatan kepada Allah S.W.T. apabila ia lupa, menguatkan azamnya apabila ia lemah dan menerangi jalan kehidupannya apabila lampu-lampu yang menerangi kehidupan di sekeli­lingnya padam.

Islam tidak menyukai seseorang Muslim yang hanya menjadi manusia Rabbani di dalam masjid, di sana ia ruku', sujud dan bermunajat serta berdo'a, tetapi apabila ia keluar dari masjid ia berubah corak dari Insan Rabbani kepada Insan Haiwani atau Insan Syaitani.

Islam tidak menyukai seseorang Muslim yang hanya menjadi manusia Rabbani di Bulan Ramadhan, tetapi apabila hilangnya bulan Ramadhan maka hilanglah bersamanya sifat ibadah dan ketaatannya kepada Allah S.W.T.. Seolah-olah ia menyembah Bulan Ramadhan bukan Tuhan Bulan Ramadhan. Kerana hal itu Salaf as-Saleh di kalangan Umat Islam berkata: " Jadilah orang-orang yang Rabbani, tetapi janganlah menjadi orang-orang yang hanya beribadat di Bulan Ramadhan sahaja. "

Islam juga tidak suka seseorang itu hanya menjadi orang Rabbani ketika mana ia berada di sisi Bait alHaram dan Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi dan Masya'ir Muqaddasah, tetapi selesai sahaja ibadah hajinya selesailah umrah, haji dan ziarahnya. Apabila berkira bicara untuk pulang, maka ia melupakan udara Rabbani dan makna Rabbani. Tenggelam pula ia dalam perut kehidupan kebendaan sebagai mana tenggelamnya orang-orang yang lalai.

Ya, Islam tidak suka Muslim seperti ini, malah Islam menghendaki agar seseorang Muslim itu sentiasa mempunyai hubungan dengan Tuhannya, di masjid, di jalan, di tempat kerja, di bulan Ramadhan serta di semua tempat dan keadaan. Dengan demikian Rasulullah S.A.W. berpesan dalam sabdanya yang bermaksud: " Bertaqwalah kamu kepada Allah S.W.T. di mana sahaja kamu berada "(Hadith Riwayat Tirmizi).

Firman Allah S.W.T. pula yang bermaksud:

Terjemahannya:
"Dan kepunyaan Allah lah timur dan barat, maka ke mana kamu menghadap di situlah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya) lagi Maha Mengetahui " (Surah al-Baqarah: ayat 115 ).

Sabda Rasulullah S.A.W. lagi yang bermaksud: "Sebaik-baik amalan yang disukai Allah ialah amalan yang sentiasa dilakukan walaupun sedikit. " (Hadith Riwayat Bukhari.)

2. Melalui Jalan Akhlaq.

Jalan seterusnya untuk menanam tata Rabbani ke dalam hati nurani Muslim dan di dalam kehidupannya ialah jalan akhlak assalimah. Ia lahir pada setiap ketika dalam kehidupan muslim sama ada yang merupakan tingkah laku individu atau masyarakat.

Dengan demikian Islam mengambil kesempatan dari perkara-perkara yang tidak mesti lagi kehidupan manusia untuk menghubungkan seseorang Muslim dengan Tuhannya melalui akhlak seharian.

Apabila ia duduk di hidangan makanan, lalu ia mendahului dengan nama Allah, Bismillahirrahmanirrahim yang mana Allah S.W.T.lah yang menyediakan sebab-sebab sehingga sampai rezeki yang halal kepadanya.

Apabila ia merasa kenyang dan beredar dari hidangan maka disudahi pula dengan pujian kepada Allah, Alhamdu Lillah. Apabila ia minum ia berkata yang bermaksud: " Segala pujian bagi Allah S.W.T. yang menjadikan air seenak sungai Furat denan rahmatNya dan tidak menjadiakan air semasin dan sepahit dengan sebab-sebab dosa kami. "

Apabila ia memakai pakaian ia berkata yang bermaksud: " Segala Pujian yang telah memberikan pakaian kepadaku. Wahai Tuhanku! bahawasanya aku memohon kepadaMu dari kebajikan pakaian ini dan dari sesuatu pakaian ini dibuatkan untuknya. Dan aku berlindung dengan Engkau dari kejahatan pakaian ini dan dari kejahatan sesuatu yang pakaian ia ini dibuatkan untuknya ." Begitulah ia berdoa apabila memenfaatkan dari sesuatu ni'mat pemberian Allah S.W.T..

Apabila ia menunggang binatang atau menaiki sebarang kenderaan ia berkata yang bermaksud: " Maha suci yang menggerakkan kenderaan ini untuk kita, pada hal sebenarnya kita tidak memiliki kekuatan untuk menundukkannya dan bahawasanya kita pasti kembali kepada Tuhan kita. "

Apabila ia bersafar ia berkata yang bermaksud: " Wahai Tuhan! Engkaulah teman di dalam safar ini dan Engkaulah yang menjadi pengganti penjaga keluargaku. Wahai Tuhan temanilah kami di dalam safar kami dan lindungilah keluarga kami. "

Dan apabila ai pulang dari safar ia berkata yang bermaksud: " Kami adalah orang yang kembali, orang yang bertaubat, orang yang beribadat, orang yang memuji Allah, Tuhan kami. "

Apabila ia meletakkan rusuknya untuk tidur ia berkata yang maksudnya: " Dengan nama Engkau, ya Tuhanku, aku letakkan rusukku dengan nama Engkau dan dengan nama Engkau juga aku mengangkatnya. "

Dan apabila bangun dari tidur untuk menaiki bahtera kehidupan ia berkata yang bermaksud: " Segala pujian bagi Allah yang telah menghidupkan aku sesudah mematikan aku dan kepadanya tempat kembali. "

Malah ketika menikmati nafsu sex. Seseorang Muslim itu masih mengingati unsur Rabbani, yang boleh mengurangkan kebuasan dan membawa ia ke ufuk ketingginan, semasa menyetubuhi isterinya dan ia berkata yang bermaksud: " Dengan nama Allah, wahai Tuhan, jauhilah kami dari godaan Syaitan dan jauhkanlah pula dari godaannya itu apa sahaja yang Allah anugerahi kepada kami. "

Begitulah kehidupan seseorang Muslim,ia tidak pernah lupa kepada Tuhannya, tidak pernah lalai terhadap hubungannya dengan Tuhan, malah sentiasa merasa dekat denganNya, jinak dengan-Nya, maka nilaian tata rabbani sentiasa ada bersamanya ke mana sahaja ia pergi.

3. Melalui Jalan Pendidikan Dan Pembentukan.

Sementara jalan ke tiga untuk memantapkan tata rabbani juga ialah jalan pendidikan Ia merupakan jalan yang paling penting dan berkesan.

Pendidikan hendaklah bermula di rumah, kemudian di sekolah; iaitu dengan menanam tata rabbani tersebut ke dalam fikiran anak-anak yang sedang membesar dengan menggunakan cara yang baik dan ber­hikmah.

Jika bapa merasakan ia bertanggunjawab kepada menyediakan makanan dan kebendaan kepada anaknya, supaya anak-anak tidak terdedah kepada penyakit dan maut, maka bapa lebih lagi bertanggungjawab untuk memberi makanan ruh kepada mereka. Ia tidak patut melalai­kan tanggungjawab yang membawa kerosakan yang lebih dahsyat daripada kelaparan atau maut. Ini adalah dengan mendedahkan kepada kematian hati atau ruhani. Jika berlaku hal ini ia akan membawa kepada kerosakan yang berkekalan.

Oleh sebab itu, pendidikan adalah sangat penting. Sabda Rasulul­lah S.A.W. yang bermaksud: " Setiap orang adalah pengembala dan setiap daripada kamu bertang­gungjawab terhadap gembalaannya. " (Hadith Riwayat Muslim dan Bukhari).

Firman Allah S.W.T.:

"Hai orang-orang yang beriman, periharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintah " (Surah at-Tahrim: ayat 6.)

Oleh yang demikian, ibu bapa diwajibkan agar mendidik anak-anak mereka untuk taat kepada Allah S.W.T. dan menunaikan apa yang difardhukanNya apabila anak-anak telah sampai kepada umur yang boleh menerima pengajaran iaitu tujuh tahun. Ketegasan pula perlu digunakan ketika mereka berumur sepuluh tahun Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: " Latihlah anak-anak kamu menunaikan solah ketika berumur tujuh tahun, pukullah mereka ketika berumur sepuluh tahun. "

Suruhan memukul bukanlah bererti menganiaya atau menyiksa kanak-kanak, tetapi sebagai tanda kesungguhan bapa mentarbiyyah anak lelaki dan perempuan mereka agar mentaati Allah. Ibubapa yang murabbi tentulah ia tidak sanggup membiarkan keingkaran anak-anaknya itu begitu sahaja tanpa dihukum

Seperti yang telah ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W. pergaulan ibu dengan anak-anak kecil lebih memberi kesan daripada pergau­lan dengan bapa pada kebanyakkan keadaan.

Sementara itu sekolah juga mempunyai peranan untuk mendidik pelajar-pelajarnya lelaki dan perempuan dengan nilai-nilai rabba­ni.Tidak mencukupi jika sekolah hanya memberi pengetahuan dan kemahiran kebendaan dan ilmu kehidupan, kemudian meninggalkan mereka teraba-raba jahil tentang isu kewujudan yang hebat dan mengkagumkan mereka ini, Mereka ditinggalkan dengan soalan-soalan yang tidak dibekali jawapan seperti; ‘ Dari mana ia datang? ‘ ‘ Siapa yang menjadikannya?’ ‘ Mengapa ia dijadikan? ‘ ‘ Ke mana ia akan pergi selepas ini? ‘ ‘ Apakah itu risalah Islam dan sipakah yang menentukannya? ‘ ‘ Apakah balasan bagi yang menunaikannya atau apakah balasan bagi yang mengingkarinya? ‘

Hanya keimanan kepada Allah S.W.T. sahajalahyang dapat menja­wab segala persoalan ini dengan seyakin-yakinnya dan melegakan hati nurani. Inilah keimanan hakiki yang ditentukan oleh Islam, kerana ia terselamat dari kesalahahan manusia, keraguan, lintasan hati dan pertentangan fikiran.

Sekolah yang tidak menanamkan keimanan kepada jiwa pelajar-pelajarnya akan melahirkan generasi yang gelisah dan mempunyai unsur penentangan dalam diri, Generasi ini akan mengharung gelombang kehidupan dengan rasa resah dan gelisah.Tanpa panduan dan petunjuk jalan, maka sudah tentu mereka akan bertambah sesat dan tidak menjumpai jalan pulang iaitu jalan yang lurus.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...