Oleh : Zulakmar Hazwan bin Zulkhefli
Sumber : I Luv Islam
Lahirnya kita ke dunia ini bersih, bersih dari dosa, bersih dengan akhlak terpuji, bersih dengan puji-pujian, bersih dengan kasih-sayang, dan bersih dengan reputasi yang mengkagumkan. Kita menangis dengan penuh keberanian, bersuara melalui deria suara dan tangisan air mata.
Dunia kita ketika lahir bagai sebidang kain yang kosong, belum dilukis, dicorak dan diwarnakan. Usia kita makin meningkat dari sehari ke sehari lalu memberi warna pada kain lukisan itu. Tetapi setiap langkah kita ditemani dan dipengaruhi orang-orang sekeliling kita terutamanya ibu bapa kita.
Ibu bapa bagai pelukis latar asal yang mencorak gambaran awal lukisan kehidupan kita. Namun, apabila kita jauh dari ibu bapa, kitalah yang menentukan kehidupan yang kita mahukan. Pesanan dan pengajaran yang baik diselami oleh diri kita ini akan membawa kita untuk memilih jalan yang baik untuk teruskan kehidupan.
Sedar tidak sedar, kita melalui kehidupan dengan mencari kesempurnaan dan kebahagiaan. Kesempurnaan seharusnya boleh diperoleh. Begitu juga dengan kebahagiaan.
Kita mengecapi kesempurnaan dari dua arah yang berbeza iaitu dari arah menambah melakukan kebaikan dan mengurangkan melakukan kesilapan. Arah mana yang lebih mudah adalah terpulang kepada setiap individu. Walau bagaimanapun, kita perlu usahakan dari kedua-dua arah itu.
Ketika kita meningkat dewasa, kita masih dalam proses pembelajaran yang meluas. Melakukan kesilapan antara cara kita mengenal kehidupan tetapi kita diingatkan untuk tidak melakukan kesilapan yang sama. Maka ini adalah arah mengurangkan melakukan kesilapan.
Seolah-olah ketika menjawab soalan peperiksaan. Pada asalnya kita perlu menjawab semua soalan dengan betul, tetapi kesilapan yang mengurangkan markah peperiksaan. Maka perlu bagi kita untuk kurang melakukan kesilapan.
Apatah lagi jika kita pernah menjawab soalan yang sama. Inilah keadaan apabila kita mendekati kematangan dalam kehidupan, rencah kehidupan kita telah kenal maka kita perlu mengelak dari melakukan kesilapan.
Ketika usia kanak-kanak, kita sering dipuji apabila melakukan kebaikan. Begitu juga apabila kita melihat anak-anak kecil yang rajin, kita merasa teruja dan memuji-muji mereka.
Ini kerana, kehidupan kanak-kanak terjurus kepada eksplorasi kehidupan dan lebih jinak kepada permainan. Oleh itu, apabila kebaikan dilakukan, maka kita merasakan sesuatu kelainan lalu hati mudah tersentuh dan mulut mudah memuji.
Bayangkanlah, jika sifat kanak-kanak dan kehidupan kanak-kanak itu diteruskan hingga remaja dan dewasa. Meskipun kita mungkin tidak melakukan kesilapan, tetapi kita tidak lagi dipandang baik dan mendapat tempat dalam masyarakat serta memiliki jiwa yang kosong.
Itulah hakikatnya, apabila usia meningkat, kita perlu menambah amalan kebaikan kerana ia mengisi jiwa yang kosong dengan keyakinan, peribadi yang baik dan memberi kebaikan kepada masyarakat.
Kesempurnaan seharusnya boleh dicari dan boleh dikecapi. "No one perfect" tidak seperti dijangkakan. Malah, ungkapan itu hanya tepat bagi relatif antara seorang manusia dengan manusia yang lain. Kesempurnaan yang kita cari adalah dari definasi dari diri kita sendiri.
Definasi itu pula harus dibimbing oleh ajaran agama Islam yang terpuji. Fitrah manusia menolak sesuatu yang mustahil untuk diusahakan. Maka, jika tiada siapa yang mampu jadi sempurna, kenapa perlu kita usahakan?
Oleh kerana itu, kesempurnaan seharusnya boleh dicapai, maka wajar diusahakan.
Tentulah, setiap kali langkah lukisan kehidupan kita disentak oleh dugaan dan cabaran. Itu perkara biasa. Diri-diri yang mengenali hakikat ini akan mampu tersenyum apabila dugaan itu tiba. Ingatlah, dunia ini cukup luas untuk kita hidup, kerana dengan kelebihan dunia ini kita memiliki sosial dan kekeluargaan.
Berganding tanganlah ketika senang dan susah terutamanya sesama ahli keluarga. Menghadapi dugaan dan cabaran bersama sokongan dari ahli keluarga dan rakan-rakan akan memudahkan laluan kehidupan kita. Maka, jagalah perhubungan siratulrahim dan hargai mereka ketika senang dan susah.
Agama Islam juga menganjurkan untuk kita saling berpesan-pesan ke arah kebaikan dan melarang dari kemungkaran berlaku. Ternyata kehidupan kita dipengaruhi oleh hubungan sesama manusia ini. Apabila difikirkan, kehidupan kita lebih sukar dan mungkin sering kali melakukan kesilapan apabila kita hidup keseorangan di bumi Allah S.W.T ini.
Allah S.W.T memberi kita peluang untuk hidup di muka bumi Allah S.W.T dan ketetapannya adalah ketentuan yang pasti berlaku ketika perjalanan kita menuju kematian.
Maka, kita wajar mencari kesempurnaan dalam kehidupan; menjadi seorang hamba Allah S.W.T yang sempurna, menjadi seorang rakan yang berpesan-pesan ke arah kebaikan, menjadi seorang anak yang menyempurnakan kehidupan ibu bapa dengan kebahagiaan, menjadi seorang suami atau isteri yang menyempurnakan nafkah serta tanggungjawap, menjadi seorang ayah atau ibu yang mendidik serta membimbing anak ke arah kesempurnaan akidah, akhlak dan ilmu pengetahuan dan menjadi individu yang berguna kepada masyarakat serta berkorban demi agama Allah S.W.T tercinta.
Apabila kita mencapai kesempurnaan yang kita mahukan, ketika itulah kita mencapai kejayaan di dunia. Sempurnakan ia menjadi kejayaan di Akhirat.
Marilah berganding bahu mengejar kesempurnaan bersama-sama. Now everyone can be perfect!
No comments:
Post a Comment