Oleh : Ummu Ayman
Sumber : I Luv Islam
Pada malam ini,saya terpanggil untuk menulis setelah membaca nota di Facebook di tulis oleh sahabat baik saya tentang "Di mana Allah".
Ketika solat kita sering gagal mencapai kesedaran berbicara kepada Allah kerana persepsi kita adalah Allah jauh di Arasy. Persepsi ini sukar untuk dibuang kerana ia telah lama tertanam di dalam minda kita sejak kita anak-anak lagi.
Persepsi dan apa yang ada di fikiran kita yang sering membelengu diri kita di dalam mengarahkan kesedaran kita kepada Allah.
Persoalan "Di mana Allah" adalah persoalan pokok yang penting di dalam mengarah kesadaran ketika solat.
Ketika bersembang dengan Pak Ustaz Abu Sangkan di lapangan terbang sebelum keberangkatan pulang Ustaz ke Jakarta, Pak Ustaz mengatakan tentang laut .
''Kalau sesuatu terjatuh di dalam laut, atasnya apa? Laut bukan? Bawahnya apa? Laut juga.Kirinya? juga laut, bagaimana kanannya? Oh,laut juga.Lautnya ada berapa?'' tanya Ustaz .
''Satu!'' Begitulah juga dengan Allah, di mana pun kita mengadap di situlah wajah Allah.
"Allah Maha Besar? Sebesar apa? Besar sangat jawab anak-anak di dalam kursus yang kami anjurkan. Adakah sebesar bumi ini?" tanya saya.
Jawab mereka besar lagi.
"Adakah Allah ada disyurga?" Saya cuba memerangkap mereka. Ada yang menganggukkan kepala. Dan saya katakan,
"Wah,kalau begitu syurga lagi besar dari Allah?".
"Tak",jawab mereka dengan kuat dan tegas.
Mereka dapat mengerti seketika itu bahawa tidak ada yang lebih besar dari Allah dan saya katakan, Ya tidak ada yang lebih besar dari Allah dan Rasulullah saw ajarkan Allah Maha Besar atau Allahu Akbar.
Justeru, kita harus mempunyai kesedaran ini ketika kita mengangkat takbiratul ihram yakni "Allahu Akbar".Allah Maha Besar dan meliputi semuanya termasuk diri kita.Justeru ALLAH SANGAT DEKAT dengan kita! Kesedaran ini penting dalam solat.
Kesedaran Allah Maha Melihat.Ya,pastinya kita semua tahu Allah Maha Melihat. Tapi adakah kita berada di dalam kesedaran Allah Maha Melihat ketika solat?
Ustaz mengingatkan kita bahawa ketika kita solat,pastinya kita tidak dapat melihat Allah tetapi Allah melihat segala gerak geri kita, segala detikan hati kita.Bila hati kita bersambung dengan Allah ketika solat, pastinya seperti orang yang bertemu,ada rasa di hati.
Apabila kita mengadap-Nya dengan penuh kesedaran sedang berhadapan dengan-Nya dan sedang berbicara penuh hormat dengan-Nya,pastinya seperti orang bertemu dan berbicara ada respon dari yang sedang menjadi rakan perbicaraan.
Begitu juga pertemuan dan perbicaraan dengan Allah; Allah merespon.Allah menyambut kita.Ada rasa di hati.Ada getaran di dalam jiwa dan kemudian di aliri rasa ketenangan yang sangat hebat, tidak terbanding apa pun di dunia ini. Saya menamakannya syurga di dunia.
Tiga kesedaran yang saya sebutkan di atas:-
(1) Di mana Allah, Allah Maha Dekat dan Maha Meliputi semuanya.
(2) Allah Maha Melihat.
(3) Menyedari kesedaran kepada Allah ketika solat dan merupakan beberapa kunci penting di dalam mencapai solat yang khusyuk.
Hati dan jiwa perlu sentiasa terarah kepada Allah. Saat hati dan jiwa terpaling dari Allah, sesaat itu juga rasa hubungan dan getaran tadi hilang entah ke mana dan kita terpinga-pinga mencari kembali kesedaran itu semula.
Semoga sedikit sebanyak dapat membantu kita mencapai solat yang khusyuk dan dapat merasakan kesedaran di mana Allah tidak kira di mana kita berada.
No comments:
Post a Comment