Hot Stuff

Sunday, December 18, 2011

:: Menghayati Susah Sesudah Senang ::


Oleh : Norden Mohamed
Sumber : I Luv Islam
Sebahagian besar daripada kita asalnya datang daripada keluarga yang serba kekurangan. Sewaktu kecil, kita pernah merasa punyai hanya sepasang baju sekolah yang senteng kerana ayah tidak mampu membeli pakaian baru. Ataupun, kita menyarung baju yang gedoboh kerana ia asalnya pakaian sekolah abang yang diberi kepada kita.
Untuk berjimat, kita membawa bekal ke sekolah berupa lempeng atau cekodok sekadar mengalas perut. Walaupun diberi duit belanja, ianya cukup-cukup untuk membeli mi sepinggan dan segelas air sirap. Itu pun sudah cukup baik kerana ramai lagi kawan-kawan di waktu itu tidak membawa se sen pun ke sekolah. Mereka berlapar. Kalau haus, mereka menonggeng minum air paip sehingga kenyang. Tiada paip water cooler di sekolah pada zaman itu.
Di rumah, kita makan apa yang emak hidangkan. Kadang-kadang, makan malam kita adalah lauk tengahari. Ada juga masanya, makan malam kita adalah lauk dua tiga hari yang lepas, yang diperhangat sampai kering. Seisi keluarga akan makan hidangan yang sama. Bukan macam sekarang. Adakalanya, hanya si suami yang akan makan masakan isterinya, sedangkan anak-anak makan apa jua menu selain daripada masakan ibu.
Siapa yang tidak pernah merasai kemiskinan? Sama ada ketika di kampus ataupun di hari-hari terakhir bulan ketika hidup membujang, sebahagian daripada kita tentu sekali pernah mengalami situasi tidak berduit hendak makan. Keadaan itu cukup menyakit dan memalukan. Malu pada orang dan malu pada diri sendiri.
Sebab itu, kita berazam untuk mengubah cara hidup dengan belajar rajin-rajin hingga mendapat kerja baik, atau menjadi usahawan hingga hidup kita menjadi selesa, kaya dan akhirnya dihujani kemewahan yang melimpah ruah. Alhamdulilah. Kita yang asalnya susah dan 'makan untuk hidup' kini bertukar senang dan kini 'hidup untuk makan.' Betapa lama kelamaan, kesenangan yang berpanjangan itu menjadikan kita terlupa apa erti kemiskinan.
Kita yang mewah biasa melancong ke pelbagai tempat eksklusif atau bersantai bersama keluarga di kompleks membeli-belah. Di sana, kita lihat wajah-wajah yang riang gembira seperti kita. Kemewahan ada di mana-mana. Orang masih berbelanja walaupun ramai yang kata harga barang-barang sudah mahal.
Tetapi, kita tak akan terserempak dengan golongan yang sudah tidak mampu mengunjungi ke tempat-tempat rekreasi seperti kita. Mereka tiada di tempat-tempat ini. Mereka juga tidak kelihatan di gerai-gerai tepi jalan, di pasar-pasar tani, bahkan di pasar-pasar malam. Mereka hanya berada di tempat kerja. Selepas kerja, mereka akan berkurung di rumah. Pendek kata, mereka sudah berundur dari pentas dunia kerana lelah mengejar kesenangan. Mereka kalah dan terperosok di dalam dunia kemiskinan dan menyisih diri. Sebab itu kita sudah tidak temui mereka.
Apakah kebimbangan mereka yang miskin ini? Mereka bimbang bagaimana hendak memberi makan kepada isteri dan anak-anak, membayar sewa rumah, melangsaikan pelbagai jenis bil dan hutang piutang yang semakin bertambah. Hidup mereka kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Masa depan mereka hanyalah setakat esok hari. Mereka tidak berani berpandangan jauh kerana yang dekat pun sudah tidak terlarat hendak difikirkan, apatah lagi diimpikan.
Barangkali, dalam keadaan risau dan hampir putus harap akibat kemiskinan, maka terdetik di hati mereka mengapakah Allah menjadikan mereka sesusah dan semalang ini? Mengapa mereka tidak bernasib baik seperti orang lain yang cukup makan pakainya? Oleh kerana melihat masa depan yang kelam dan suram, mereka tergamak mempersoal Allah yang menjadikan mereka malang sebegitu. 
"Hampir-hampir kemiskinan itu membawa kepada kekufuran."
Meskipun hadis ini lemah, kemiskinan harta boleh membuatkan seseorang itu bimbang, risau dan putus asa. Kemiskinan harta boleh menjadikan seseorang itu juga miskin jiwanya hingga bertanya keadilan Allah yang mengatur segalanya.

Alangkah baik, dalam kemewahan kita pada hari ini, kita tidak lupa kepada mereka yang malang ini. Kita mesti menolong mereka. Apabila kita menghulurkan bantuan kepada mereka, tentulah mereka akan memanjatkan syukur kepada Allah. Mereka akan memuji-Nya kerana rintihan mereka didengari oleh Yang Maha Mendengar.
Jika sebelum ini, mereka mempersoalkan Allah kerana kemiskinan mereka, tidakkah bantuan yang kita sampaikan kepada mereka itu menjadikan mereka berterima kasih dan mengagungkan Allah kembali? Dalam erti kata yang lain, tidakkah bantuan kita menarik mereka dari jurang kekufuran untuk kembali meyakini-Nya?
Mari hayati zaman sukar kita dengan menyenangkan orang lain. Mari gembirakan hati kita dengan membahagiakan orang lain. 
"Barangsiapa ingin doanya terkabul dan dibebaskan dari kesulitannya hendaklah dia menyelesaikan kesulitan orang lain."(Hadis riwayat: Imam Ahmad)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...