Oleh : Megat Shahrul Imran Bin Ismail
Sumber : I Luv Islam
Petang yang indah. Matahari seolah-olah mengalirkan cintanya melalui sinar-sinar cahaya perangnya, yang menembusi setiap sudut dunia, menyinari setiap ciptaan Ilahi.
Burung-burung menzahirkan cintanya, bertasbih memuji keindahan Yang Maha Indah. Pokok-pokok kelihatan seolah-olah tiang-tiang cinta, bersambung ke langit, menghubungkannya dengan bumi.
Namun begitu, keindahan petang itu tetap tidak dapat menghapuskan awan kelabu di hatiku pada petang itu. Aku duduk berbaring di atas katil, merenung siling bilikku. Hatiku resah. Petang itu kelihatan sangat suram.
*****
Sejam sebelum itu...
"Umar! Ke sini sekejap!" Panggil Puan Zubaidah.
Aku mengerling ke sekeliling kelas. Suasana di dalam kelas senyap sekali. Semua murid sibuk menyiapkan tugasan sejarah yang diberi oleh Puan Zubaidah, yang juga guru kelas ku itu.
Aku bangun dari kerusi, lalu perlahan menuju ke meja guru yang terletak di bahagian hadapan kelas. Aku duduk di kerusi yang bertentengan dengan guruku itu.
"Umar,"
"Err... ya cikgu?" aku kenal dengan renungan itu. Renungan yang menjanjikan berita buruk.
"Kamu dah tahu keputusan peperiksaan semester kamu?"
Nah. Soalan yang menakutkan.
"Err.. belum.. kenapa cikgu?"
Puan Zubaidah mengeluarkan sehelai kertas berwarna kuning. Transkrip keputusan peperiksaan.
"Tak megapa. Lihat dahulu."
Aku melihat kertas itu.
Terkejut!
"Tidak mungkin. Ini mesti salah orang."
Aku melihat namanya. benar. UMAR ASYRAFF BIN MOHD AMIRUL. Tetapi, bagaimana mungkin?
"Umar, sebenarnya cikgu lihat keputusan kamu sejak beberapa bulan ni agak merundum. Cikgu pun terkejut dengan perubahan keputusan kamu, tapi..."
"......"
"Cikgu tahu, kamu dah berusaha. Cuma, lepas ini, cuba lagi ya?"
"Baik, cikgu..."
*****
Aku bertanya kepada diri.
'Aku dah usaha kan? Kenapa masih tak berjaya? Aku study tak cukup ke? ke Allah memang tak bagi aku berjaya? Kenapa?'
Sedang aku sibuk merenung siling bilikku, berfikir, waktu itulah kebetulan abang Razif, murobbiku, datang menegurku.
"Assalamualaikum... kenapa muram je ni? Senyum lah sikit.. eleh... putus cinta ke? Haha"
Abang razif memang seorang murobbi yang ceria. Lawaknya sentiasa membuatku tersenyum. Aku sangat mengaguminya. Sebagai murobbi yang sangat prihatin, dia sering sekali menziarahiku. Paling tidak, seminggu sekali dia mesti menjejakkan kali ke bilik ini. Kebetulan waktu inilah dia datang.
"Waalaikumsalam. Eh, pandai jelah anta. Mana ada apa-apa, kan senyum ni? Hehe..."
"Tak payah nak cover dengan ana. Ada tulis kat dahi tu, 'sedang dilanda masalah', hehe gurau.. kenapa ini? Ceritalah."
"Hmm... ok lah... sebenarnya, tadi Puan Zubaidah panggil ana. Dia tunjuk result peperiksaan semester tempoh hari. Ana masih tak meningkat lagi. Ana tak fahamlah akhi, ana dah usaha penuh-penuh, tapi kenapa masih tak berjaya?"
"Oh.. akhi, ini ujian Allah S.W.T. anta ingat lagi tak ana cakap, Allah S.W.T dah kata dalam surah al-Baqarah, ayat 214. Orang beriman itu pasti diuji. Ujian itulah yang akan menentukan sejauh mana Iman anta."
"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu Amat dekat." (al-Baqarah: ayat 214)
Murobbiku yang satu ini, kata-katanya selalu penuh dengan nasihat. Itulah juga punca mengapa aku selalu berkongsi masalah dengannya.
"Tapi.. ana dah usaha. Ana dah berdoa, ana dah tawakkal. Kenapa Allah S.W.Tmasih tak bagi? Sedangkan ana dah usaha habis-habisan dah ni."
"Akhi, anta berusaha untuk apa? Maksud ana bukan niat anta, tapi kenapa anta berusaha?"
"Untuk dapatkan result cemerlanglah. Kenapa?"
"Huhu... akhi, sebenarnya, kita tak boleh macam tu. kadang-kadang manusia berusaha dengan harapan dia akan dapat capai hajatnya atas usahanya. Mungkin itu sebab Allah tak bagi apa yang kita hajatkan."
"Maksud anta?"
"Kita tak boleh berusaha untuk capai apa yang kita hajati. Itu seolah-olah menunjukkan kita mengaku yang kita ni ada kekuasaan. Sebenarnya akhi, kita berusaha untuk menunjuk sahaja."
"Menunjuk?"
"Hehe.. Dengar sampai habis dulu... kita berusaha sebab kita nak tunjukkan kepada Allah, betapa kita inginkan apa yang kita hajati itu, tunjukkan kesungguhan kita kepada Allah. Sebab Allah yang akan bagi. Bukannya kita usaha untuk capai perkara itu. Bila Allah lihat kita bersungguh-sungguh menunjukkan kepadaNya betapa kita inginkan perkara itu, baru Allah akan bagi."
"Oh..."
"Hmm... lagipun, mungkin itu ada baiknya bagi anta. Think positive. Ingat surah al-Baqarah, ayat 216?"
"Diwajibkan atas kamu berperang, Padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. boleh Jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (al-Baqarah ayat 216)
"Tapi ana tak berjaya.. macam mana itu boleh jadi lebih baik pula?"
"Huhu..akhi. Nak dengar cerita tak?"
"Cerita ini tentang seorang ahli ikhwanul muslimin. Namanya hampir sama macam anta, Umar. Umar Tilmisani."
Umar Tilmisani ini, salah seorang hakim mahkamah tinggi, di Mesir. Dia juga adalah mursyidul am Ikhwanul muslimin yang ketiga. Seorang da'ie, seorang murobbi, yang sangat hebat. Dia sangat hebat, sampai dikatakan dia itu, meninggalkan kesan positif pada setiap orang yang pernah berhubungan dengannya.
"Hebat betul orangnya."
"Hehe. Anta nak tahu tak bagaimana dia ini, boleh tertarik dengan Islam? Tertarik dengan ikhwanul muslimin?"
"Dia asalnya bukan Islam ke?"
"Eh, dia Islam. Cuma mula-mulanya tu, Islam pada nama. Anta tahu kan?"
"Oh.. ok, sambung cerita."
"Pada masa itu, Umar Tilmisani ini hendak menghadiri perbicaraan. Jadi dia nak naik keretapi dari Kaherah ke Iskandariah."
Dalam pada dia tengah menunggu tu, dia terlihat kelibat seorang tukang sapu. Dia tengok, tukang sapu itu menyapu dengan penuh keikhlasan. Dia tertarik melihat peribadi seorang yang begitu mulia itu.
Dia pun pergi dan bertanya kepada tukang sapu itu. Tukang sapu itu pun menceritakan kepadanya, tentang Islam. Umar Tilmisani ini pun kagum dengan akhlak yang ditunjuk oleh tukang sapu itu. Akhirnya, Umar Tilmisani ini, ikut halaqoh dengan tukang sapu itu."
"Wah, hakim mahkamah tinggi, ikut halaqoh dengan tukang sapu?"
"Ya. Anta bayangkan, betapa hebatnya tukang sapu itu. Padahal bukan sesiapa pun, cuma tukang sapu. Tapi anta lihat, sampai boleh halaqohkan hakim mahkamah tinggi. Maksud ana tadi, kalau pun anta tak berjaya dalam akademik, don't be sad, mungkin ada kebaikannya akhi."
"Kita memang kena usaha, tapi kalau Allah tak bagi, maknanya Dia tahu apa yang lebih baik untuk kita. Mana tahu, suatu hari nanti, ana jadi tukang sapu macam itu? Haha...."
Tanpa disedari, air mataku menitis. Jatuh diatas kaki seluarku.
"Oh. Betul juga. Syukran akhi, tenang sikit hati ini."
"Bukan ana yang bagi. Ketenangan, Allah S.W.T yang bagi. Kalau anta rasa gelisah, ingatlah Allah. baca al-Quran ke. Sebab Allah dah janji Akhi."
"Hehe. Ana tahu. Surah ar-Ra'd, ayat 28. Kan?"
"(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (ar-Ra'd ayat 28)
"Pandai ikhwahku ini. Ok akhi, ana perlu beransur dulu, banyak assignment tak siap lagi. Ada masa ana datang ziarah lagi, Insya-Allah. Kalau ada masalah, call atau datang je bilik ana ye."
"Syukran Akhi. Uhibbuka fillah."
"Uhibbuka fillah aidhon, akhi..."
Kami berpeluk.
"Assalamualaikum.."
"Waalaikumussalam..."
Abang Zarif pun keluar.
Aku merenung ke langit. Mujur keindahan tadi masih belum pudar. Kini hatiku tenang. Setenang langit petang yang mulai bertukar merah. Indahnya ukhuwah kerana Allah S.W.T, setiap kita saling menguatkan yang lain.
Kerana itulah Allah S.W.T menggambarkan orang yang beriman sebagai saudara. Setiap langkah dakwah, jika diambil bersama, pasti terasa lebih ringan. Itulah keajaiban ukhuwah fillah.
Aku bangun dari katil, lalu berwudhuk dan membuka al-Quran kecil milikku.
"Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Mengetahui, apa yang terbaik untukku, maka berikanlah yang terbaik. Aku redha dengan ketentuan-Mu, aku ikhlas dengan cintaku pada-Mu. Redhailah kehidupanku, Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang..."
Jika takdirnya begitu sukar, yakinlah, pasti ada baiknya. Percayalah, kerana DIA lebih tahu!
No comments:
Post a Comment