Sumber : http://www.ustaznoramin.com
Saya di perdengarkan berita gaib itu juga kerana kehendak dengan banyak bukti-bukti yang diperlihatkan yaitu kekuasaan dan kemurkaan Allah s.w.t. ,tapi setelah berita gaib itu hilang saya banyak mendengar bisikan syaitan yang ingin meruntuhkan iman, bagaimana solusinya untuk menghilangkan bisikan tersebut sampai saat ini saya tetap sholat malam, terima kasih banyak?
Jawapannya
Setiap amalan ibadah mestilah didahulukan dengan menuntut ilmu dengan guru yang mempunyai ijazah dan mahir dalam bidang tersebut. Ilmu agama tidak boleh dengan membaca sahaja tanpa guru, kerana ditakuti tersesat dari ajaran yang sebenar. Islam mengajar umatnya menuntut ilmu, kerana ilmu itu wajib dan merupakan fardhu ain kepada semua umat Islam. Hadis Nabi yang bermaksud :
“Menuntutlah ilmu adalah fardhu ke atas setiap muslim samada lelaki ataupun perempuan”
Hadis Lain yang bermaksud :
“Sesiapa yang pergi mencari ilmu maka Allah akan membuka pintu syurga untuknya, dan malaikat akan menghamparkan sayapnya untuknya, dan para malaikat serta ikan-ikan di lautan mendoakan untuknya." (HR Abu Daud)
Sering kita didengari dalam dunia sekarang ini, bahawa banyak terwujudnya ajaran-ajaran sesat sepertimana Ayah Pin, Nabi Melayu, Tarikat Tok Ayah, Aminah Wadud dan banyak lagi. Ini semua berpunca dari tidak menuntut ilmu dan hanya membaca semata-mata dan beramal tanpa ilmu, kalau mereka menuntut ilmu kemungkinan besar ilmu yang di tuntut oleh mereka tidak habis, sebab itulah ilmu mereka dapat menyesatkan mereka. Dalam menuntut ilmu ini mempunyai protokolnya tersendiri yang perlu dipatuhi. Diantara protokolnya ialah pertama mesti kita berguru dengan guru yang alim, mahir dalam bidang agama dan diakui oleh orang bahawa tok guru ini adalah orang yang alim dan warak. Kedua mestilah menuntut ilmu sehingga habis pengajiannya dan jangan sekerat jalan. Ketiganya menuntut ilmu biar dengan hati yang ikhlas dan bukan untuk mencari keuntungan dengan sedikit ilmu yang dipelajari. Keempat mestilah belajar ilmu tauhid terlebih dahulu untuk kita mengenali Allah, di ikuti dengan ilmu fiqh supaya ibadah kita tidak tersesat dan yang terakhir menuntut ilmu ihsan atau tasawuf untuk membawa hati kita benar-benar rasa berada dihadapan Allah.
Budaya masyarakat sekarang ini, mereka tidak mahu menuntut ilmu tauhid dan ibadah (fiqh) terlebih dahulu kerana mereka rasa ini adalah biasa dan boleh diamalkan tanpa berguru, mereka terus mencari ilmu tasawuf dan belajar melalui guru yang bukan pakar dalam bidang tasawuf, maka sebab itulah berlakunya kesesatan sehinggakan ada yang mendakwa dirinya pernah berjumpa dengan Allah, pernah berbual dengan roh dan sebagainya. Nasihat saya, pelajari dahulu ilmu tauhid dan fiqh, belajar membaca Al-Quran dan sempurnakan dahulu ibadah-ibadah yang wajib. Setelah mempunyai asas yang kukuh dan kuat barulah mempelajari ilmu-ilmu kebatinan dengan guru yang benar-benar mempunyai ijazah (kepakaran) dalam bidang tersebut.
Boleh menuntut ilmu tasawuf untuk memantabkan lagi segala amalan ibadah, membersihkan hati dari penyakit-penyakit hati supaya diri kita mudah untuk menjadi orang soleh dan orang yang taqarrub (dekat) dengan Allah. Tetapi janganlah menuntut ilmu tasawuf untuk jadi bomoh, nak pergi alam laduni, nak berbual dengan jin, berbual dengan roh dan sebagainya, takut kita ditipu oleh syaitan.
Jangan amalkan segala amalan yang luar dari tuntutan agama seperti zikir-zikir yang tidak terdapat dalam Al-Quran atau zikir-zikir yang bukan dari para ulamak yang muktabar. Kadang-kadang zikir-zikir mereka seperti mentera sami siam. Takut amalan yang dilakukan tidak tahu asal sumbernya diamalkan dan ditakuti ditipu oleh syaitan, seperti sering di dengari dengan suara-suara gaib, atau bermimpi berjumpa dengan orang alim yang meminta melaksanakan amalan-amalan yang kurafat. Biarlah kita perkemaskan dahulu asas-asas syariat dengan sempurna, setiap ibadah kita benar-benar berhadapan dengan Allah dan takut akan seksaan Allah, kerana asas-asas inilah yang menjadi dinding kepada diri kita supaya tidak sesat dan tidak tertipu dengan syaitan. Ikhlaskan diri kepada Allah akan segala amalan yang diamalkan dan tidak sedikitpun berharap akan ganjaran-ganjaran yang baik dari Allah. Sentiasa dalam keadaan redho dan berendah diri kepada Allah, maka ini juga dinamakan tasawuf. Ada pendapat ulamak yang mengatakan ilmu tasawuf ini datang dengan sendirinya apabila kita benar-benar ikhlas beribadah kerana Allah, hidup dan mati juga kerana Allah, ilmu ini datang tanpa disedari oleh orang tersebut dan orang lain yang mengetahuinya.
Cara untuk mengatasi masalah ini, perlulah menuntut ilmu dengan bergurukan orang yang alim, kerana apabila berguru dengan orang alim kita akan memperolehi keberkatan dari Allah. Ilmu yang dipelajari akan menjadi pelindung dari segala tipu daya syaitan untuk menyesatkan anak-anak adam. Biarlah setiap amalan yang diamalkan berdasarkan ilmu yang dimiliki dan mempunyai hujah yang berpandukan kepada dalil-dalil naqli dan aqli. Ada pendapat umalak yang mengatakan orang yang beramal dengan adanya dalil maka amalannya diterima oleh Allah, manakala orang beramal tanpa dalil amalannya di tolak oleh Allah. Ini sahaja saya rasa untuk menjauhkan diri anda dari mendengar suara-suara gaib yang tidak sepatutnya. Hadis Nabi yang bermaksud :
“Ilmu dan amal ibarat sepohon pokok yang berbuah”
Orang yang berilmu dan beramal dengan apa yang ia pelajari diibaratkan sepohon pokok yang berbuah dan dapat dimanfaatkan oleh orang lain yang memerlukannya. Jadi jelas bahawa ilmu itu merukan faktor utama untuk membimbing manusia kejalan yang benar dan perlu berilmu dahulu baru diikuti dengan amal. Imam Ahmad mengatakan, “Menuntut ilmu dan mengajarkannya lebih utama daripada berjihad dan amal sunnah lainnya.”
No comments:
Post a Comment